19 Jun 2007

All posts from 19 Jun 2007

Teknik Pengurusan Masa

Semalam saya ada terangkan tentang pengurusan masa dan bagaimana anda boleh menguruskan masa dengan lebih baik jika anda boleh mencari masa yang terluang. Berjayakah anda mencari masa anda yang terluang untuk belajar dengan lebih tekun? Hari ini, saya ingin ceritakan tentang langkah ketiga dalam menguruskan masa dengan berkesan. 
Langkah ketiga – kurangkan gangguan 
Gangguan merupakan sesuatu yang boleh menggangu dan mengalihkan tumpuan anda kepada apa yang sedang anda lakukan. Contohnya, ketika anda sedang bersemangat untuk belajar di rumah, tiba-tiba ada seseorang (adik-beradik atau ibu bapa) memasang televisyen dengan sangat kuat. Bunyi daripada televisyen itu mungkin mengganggu tumpuan anda terhadap apa yang anda lakukan hingga tidak boleh fokus kepada pelajaran dengan sepenuhnya. Ini mungkin membuat anda hilang semangat untuk meneruskan pembelajaran. Lebih buruk lagi, anda terus menyertai aktiviti menonton televisyen tadi. Bukankah ini sangat merugikan? 
Saya tidak nafikan bahawa gangguan yang berlaku amat sukar untuk dielakkan. Secara umumnya, ada dua jenis gangguan yang boleh mengganggu konsentrasi dan fokus anda kepada pelajaran. Gangguan-gangguan itu ialah gangguan luaran dan dalaman. Hari ini saya ceritakan tentang gangguan-gangguan luaran. Gangguan luaran merupakan gangguan yang datang daripada luar diri anda sendiri. Bunyi televisyen dan radio yang kuat, aktiviti adik-beradik yang lain dan tugasan harian di rumah boleh jadi beberapa faktor yang menyebabkan gangguan luaran ini.
Jika anda ada adik-beradik yang masih kecil di rumah, mungkin mereka kadang-kadang menggangu ketika anda sedang belajar. Gangguan luaran juga boleh disebabkan oleh faktor cuaca seperti suhu yang terlalu panas di tempat anda sedang belajar. Selalunya, suhu yang terlalu panas boleh menggangu konsentrasi anda semasa belajar. 
Langkah mengurangkan gangguan luaran  Ada beberapa perkara yang anda boleh lakukan untuk mengurangkan gangguan-gangguan ini. Pertama, jika gangguan itu datang daripada adik-beradik di rumah, anda perlu mendapatkan kerjasama daripada ibu bapa di rumah. Anda perlu bercakap dengan ibu bapa dan beritahu mereka bahawa anda perlu sedikit masa untuk fokus kepada pelajaran adik-adik.
Mungkin ibu bapa anda boleh menghalang adik-beradik lain daripada mengganggu proses pembelajaran anda. Ini tidak bermaksud anda terlepas daripada tanggungjawab untuk menjaga adik-beradik yang lain terutamanya jika ada adik-beradik yang masih kecil. Mereka perlu juga dijaga supaya dapat mengurangkan beban ibu bapa di rumah. Apa yang saya nasihatkan ialah, dapatkan sedikit masa untuk diri anda sendiri supaya dapat fokus sepenuhnya kepada usaha-usaha belajar dan mengulangkaji. 
Kedua, anda perlu berusaha mencari tempat yang sesuai untuk anda belajar. Mungkin kawan anda ada tempat belajar yang sesuai. Cari tempat yang yang tidak bising dan tempat di mana anda tidak akan diganggu. Ia tidak semestinya tempat yang tersorok atau sunyi. Cukup jika suasana tempat itu tenang dan bersih. Di sini, anda boleh belajar secara berkumpulan. Cuma anda perlu ingat, apabila sudah bersama kawan-kawan, jangan sampai lalai dan leka berborak hingga lupa tujuan utama untuk belajar. Ketiga, jika tidak ada tempat yang sesuai di rumah atau di rumah kawan, saya cadangkan anda luangkan banyak masa di sekolah atau di perpustakaan.
Saya percaya perpustakaan adalah antara tempat yang paling sempurna untuk anda belajar. Ini kerana perpustakaan menyediakan tempat yang selesa untuk anda duduk belajar, suasananya tidak bising dan anda mudah pula untuk mendapatkan buku rujukan. Jadi, luangkan masa anda untuk belajar di perpustakaan. 
Setelah anda kurangkan gangguan luaran ini, anda akan dapat menggunakan masa anda dengan lebih berkesan. Mungkin dengan duduk belajar selama 40 minit sahaja, hasilnya sama dengan masa 2 jam belajar dalam keadaan penuh gangguan luaran. Saya ucapkan selamat berjaya.   
 

read more
Osman AffanTeknik Pengurusan Masa