3 Rahsia keyakinan diri – Rahsia 1.3

0

Dalam posting yang lepas, saya telah berikan dua soalan mengenai keyakinan diri. Soalan-soalan itu ialah

  • Soalan pertama, adakah benar orang lain boleh melihat dalaman diri anda yang tidak yakin?
  • Soalan kedua, bagaimanakah rahsia pertama ini dapat membantu anda?

Keyakinan diriSaya telah bincangkan mengenai soalan pertama. Mari kita bincangkan mengenai soalan kedua. Mengapa dengan mengetahui bahawa orang lain tidak dapat melihat yang anda tidak yakin boleh membantu meningkatkan keyakinan diri anda? Hmmm…. berbelit-belit pula rasanya ayat ini. :)

Begini. Apabila kita rasa tidak yakin diri, kita rasa lemah, malu dan tidak dapat melihat kekuatan yang ada dalam diri kita. Lebih buruk lagi, kita akan rasa seolah-olah satu dunia dapat melihat kelemahan diri kita. Ini membuat keyakinan diri kita semakin jatuh. Hakikatnya, orang lain tidak dapat melihat kelemahan dan rasa tidak yakin itu tadi. Jadi dengan menyembunyikan rasa tidak yakin itu sahaja, kita akan terus kelihatan sangat yakin dan bersemangat!

Ini adalah beberapa perkara yang perlu kita ingat jika kita sedang merasa tidak yakin.

  • Jangan sebut atau beritahu orang yang kita tidak yakin, tidak pandai atau tidak hebat. Contohnya, jika kita sedang memulakan ucapan, jangan mulakan dengan “Saya sebenarnya tak berapa bersedia ni, baru disuruh buat presentasi ni semalam”, atau “maafkan saya, bahasa Inggeris saya teruk sikit”. Tujuan kita kata begini selalunya ialah untuk melindungi diri kita agar orang faham kenapa ucapan atau presentasi kita tidak bagus. Tetapi apa yang buruknya, selepas berkata demikian, orang lain akan segera nampak rasa tidak yakin diri kita itu. Malah, orang lain akan mula mencari kelemahan dan kekurangan dalam ucapan dan presentasi kita.
  • Keyakinan diriApabila kita rasa tidak yakin semasa belajar, mengulangkaji atau semasa menghadapi peperiksaan, jangan bercakap tentang rasa tidak yakin itu. Berlagak atau berlakon seperti yang kita sedang merasa yakin (kenang kembali pengalaman di mana kita merasa yakin dan tiru semula apa rasanya semasa yakin itu). Apa yang kita buat ini akan menimbulkan rasa yakin dalam diri lalu meningkatkan kebolehan kita untuk mengulangkaji atau menjawab soalan peperiksaan.
  • Jangan asyik ingatkan diri kita bahawa kita tidak yakin. Saya selalu mendapat soalan daripada pelajar atau orang dewasa mengenai masalah yang mereka rasa tidak yakin dengan kebolehan diri mereka.  Mereka ini berulang-ulang kali mengatakan bahawa mereka tidak yakin. Sedar atau tidak, bila kita kata kita tidak yakin, kita sedang mengarahkan minda kita untuk merasa tidak yakin. Jadi…… betul-betul lah tidak yakin rasanya.

Mulai hari ini, setiap kali kita rasa tidak yakin, jangan sebut kuat-kuat. Bertenang, tarik nafas dalam-dalam dan bayangkan bagaimana agaknya rupa dan kelakuan kita kalau kita sedang merasa yakin. Ini akan melatih minda kita supaya fokus kepada keadaan keyakinan diri yang tinggi. Selamat mencuba. :)

Comments

  • Saya setuju dengan tuan.
    Saya sendiri, dahulu…
    memang ada masalah keyakinan diri terutamanya semasa bercakap di depan khalayak ramai.

    Seringkali, sebelum saya berucap/membuat presentasi, saya akan mengatakan, “saya seorang yang lemah dalam bahasa inggeris”.
    Saya sering memohon maaf atas kelemahan saya itu.
    Hasilnya, saya jadi rendah diri, takut2 dan tidak bersemangat langsung setiap kali membuat presentasi.

    Sebetulnya, kita tidak perlu berkata sesuatu yang negatif tentang diri kita.
    Kerana ianya tidak memberikan sebarang kebaikan pun pada kita.
    Sebaliknya, bisikkan kata2 positif pada hati dan pujuklah diri kita bahawa tiada manusia yang sempurna di dunia ini.
    Yang penting, kita buat saja apa yang kita mampu buat…
    dan buatlah yang terbaik!!

  • Syukri…memang itulah yang saya maksudkan. Banyak masanya kita rasa rendah diri bukan kerana dikutuk atau dicemuh orang lain, tetapi oleh diri kita sendiri.

    Saya setuju tentang tidak ada manusia yang sempurna dan tidak perlu menunggu sempurna baru hendak berani melakukan sesuatu. :)

  • hey ladies

    tahap keyakinan saya saban berkurang setiap tahun..saya menjadi malas untuk berfikir dan lebih selesa untuk menjadi low profile..
    ini disebabkan saya lemah dalam pergaulan..bila gagal untuk berkomunikasi atau memilki perhubungan yang rapat atau kukuh..saya akan menjadi down dan tidak bersemangat.faktor kegagalan saya dalam perhubungan mungkin disebabkan berfikir secara cerewet dan teliti dalam bergaul..saya ingin jadi yang terbaik malangya menjadi yang ‘tercorot’..harap dr dapat menolong saya untuk menjadi orang yang lebih berkeyakinan dalam pergaulan..salam