3 Sumber keyakinan diri – Sumber 3.1

3 Sumber keyakinan diri – Sumber 3.1

Gambar hiasanJika kita asyik membandingkan diri kita dengan orang yang kurang berjaya, tentu kita kelihatan lebih hebat bukan? Bukankah perasaan begini akan menghancurkan dan merosakkan kita di masa akan datang?
Ya, benar, jika kita terlalu bandingkan diri dengan orang yang kurang berjaya, kita akan gagal. Itulah sebabnya sumber ketiga keyakinan diri ini mengatakan bahawa anda perlu ingat 2 perkara iaitu

  1. Apabila kita rasa rendah diri dan tidak yakin, bandingkan diri kita kepada orang lain yang kurang berjaya dan yang selalu kalah dengan pencapaian diri kita.
  2. Apabila kita mahu meningkatkan semangat diri kita untuk terus berjaya, kita bandingkan diri kita dengan orang lain yang lebih hebat, lebih berjaya dan lebih bersemangat daripada kita.

Gambar hiasanTujuan kita membandingkan diri dengan orang kurang berjaya adalah sekadar untuk menaikkan semula semangat kita daripada bawah. Apabila semangat dan keyakinan diri kita jatuh ke paras terendah, tidak begitu mudah untuk kita mengangkatnya begitu sahaja. Saya dapati antara cara termudah untuk mengangkatnya semula ialah dengan membandingkan diri dengan kelemahan orang lain.
Namun, kita tidak sepatutnya berhenti di situ. Apabila semangat dan keyakinan diri kita sudah meningkat sedikit akibat aktiviti perkara pertama, kita perlu tingkatkan lagi kejayaan kita dengan membandingkan diri kita dengan orang-orang yang lebih berjaya.
Jika kita sedang lemah semangat dan tidak yakin diri, ia akan jadi lebih teruk jika kita bandingkan diri kita dengan orang-orang berjaya. Ini kerana kita akan rasa semakin jauh ketinggalan di belakang. Jadi apa kata kita naikkan dulu sedikit semangat kita. Kemudian, apabila ia sudah meningkat Gambar hiasansedikit, kita pun sudah mula mampu hilangkan rasa sedih dan kecewa akibat rasa tidak yakin diri tadi, barulah kita bandingkan diri kita dengan orang-orang berjaya. Ini akan menambahkan dan meningkatkan lagi semangat dan keyakinan diri kita sendiri.
Idea mengenai sumber keyakinan diri ketiga ini sebenarnya datang apabila saya teringat kisah saya semasa di tingkatan lima.  Ketika belajar di Kolej Islam Sultan Alam Shah Klang, saya dikelilingi oleh pelajar-pelajar cemerlang. Keputusan peperiksaan bulanan saya selalunya tidak sehebat kawan-kawan saya yang lain. Ini membuat saya merasa kecil dengan kebolehan diri saya terutamanya dalam bidang akademik. Lama-kelamaan, saya seolah-olah telah menerima kenyataan bahawa saya tidak sehebat pelajar lain. Ini adalah satu perkara yang tidak sihat untuk keyakinan diri.
Kemudian, beberapa bulan sebelum peperiksaan SPM, saya pulang ke kampung dan mengambil peluang bermalam di rumah sahabat baik saya daripada sekolah lama (SMKA Tok Jiring). Ketika bermalam di sana, selepas membuat latihan dan sedikit ulangkaji, sahabat saya ini membuka cerita kisah sekolah rendah kami (SK Tok Jiring). Sahabat saya ceritakan tentang ke mana perginya 11 orang pelajar yang berjaya mendapat 5A dulu. Masing-masing ada cerita kejayaan masing-masing. Semasa dia bercerita, saya mula sedar rupa-rupanya saya juga termasuk dalam cerita tersebut kerana saya adalah salah seorang daripada 11 pelajar tadi. Saya juga mula sedar yang saya sebenarnya datang dari kalangan pelajar cemerlang. Lebih hebat lagi, saya mula sedar yang kalau dulu saya boleh cemerlang, kenapa sekarang tidak boleh cemerlang?
Cetusan idea ini terus meningkatkan semangat diri saya untuk bersedia menghadapi peperiksaan SPM pada tahun itu. Sejak hari tersebut, apabila saya lihat sahabat lain yang cemerlang di KISAS, saya akan kenang kembali bagaimana saya cemerlang suatu masa dahulu. Dalam masa yang sama, saya tekadkan azam untuk capai kejayaan seperti beberapa pelajar cemerlang di dalam kelas saya dan kelas lain. Dua perkara ini berjaya mengekalkan semangat dan keyakinan diri saya hingga hari peperiksaan sebenar.
Saya percaya anda boleh gunakan pendekatan ini. Saya juga percaya bahawa pendekatan ini boleh digunakan oleh ibu bapa untuk meningkatkan semangat anak-anak. Bagaimana ye? Kita tunggu posting seterusnya. 🙂

Leave a Comment