3 Sumber keyakinan diri – Sumber 3.2

3 Sumber keyakinan diri – Sumber 3.2

Bagaimanakah ibu bapa boleh gunakan sumber keyakinan diri yang ketiga ini untuk membantu anak-anak mereka? Begini.
Keyakinan diriJika bercakap dengan anak-anak, elakkan daripada membandingkan kebolehan anak-anak kita dengan orang lain. Contohnya, kita kata kepada anak-anak kita,
‘Belajar la betul-betul. Mak tengok anak jiran sebelah tu rajin belajar, keputusan pun cemerlang. Bukan macam kau.’
‘Masa abang kau dulu, tak payah suruh, dia belajar sendiri. Sebab tu dia boleh masuk universiti.’
‘Anak Pak Long kau semua cemerlang. Kenapa la anak-anak abah ni tak boleh jadi macam tu’.
Keyakinan diriMembandingkan anak-anak kita dengan orang lain yang lebih cemerlang lebih banyak merosakkan daripada membantu sebenarnya. Walaupun niat kita baik untuk meningkatkan semangat mereka, ia lebih memedihkan hati dan semangat mereka kerana mesej yang mereka perolehi ialah
‘Asyik aku je yang tak pandai. Asyik aku je yang bodoh. Orang lain semua pandai, semua bagus.’
Apabila anak-anak dapat mesej begini, semangat dan keyakinan diri mereka akan terus jatuh. Dibimbangi mereka akan membesar dengan pemikiran bahawa semua orang lain lebih baik daripada mereka.
Jadi, kalau mahu meningkatkan keyakinan diri anak-anak untuk kecemerlangan, ada dua langkah. Semasa berbual dengannya

  1. Imbas kembali cerita-cerita di mana anak-anak kita hebat, cemerlang, bijak dan yakin. Cerita dengan penuh keyakinan agar anak-anak kita ingat semula tentang kisah itu semua. Kesannya, kita akan lihat anak kita semakin bersemangat. Cara dia duduk juga akan berubah sedikit seperti mahu kita terus bercerita. Teruskan bercerita dengan ikhlas. (Ikhlas bermaksud tak nampak macam kita bercerita macam terpaksa atau tak bersungguh-sungguh).
  2. Apabila wajah anak-anak kita dah nampak mula bercahaya, mula berseri dan mula ceria, baru kita masukkan sedikit cerita tentang orang lain yang cemerlang. Dalam keadaan ceria, anak-anak kita akan lebih bersedia untuk menerima cerita-cerita tentang kehebatan orang lain. Kemudian katakan kepada mereka, “Mak/abah rasa, anak-anak mak/abah lebih hebat dari mereka semua ni. Kalau belajar betul-betul sikit, tambah jadi rajin sikit, mesti tak ada orang lain boleh lawan. (Senyum dan kita mesti percaya apa yang kita katakan).

Apa kata kita cuba teknik ini bila berpeluang. Jika kita tidak cuba, kita pasti akan gunakan cara lama yang biasa kita gunakan. Jangan risau jika tidak dapat buat dengan sempurna kerana setelah mencuba, kita akan dapat beberapa idea baru bagaimana mahu melaksanakan teknik ini dengan lebih berkesan. Untuk jangka masa panjang, kita akan mula meningkatkan tahap keyakinan diri anak-anak kita sendiri tanpa bantuan orang lain. Selamat mencuba. 🙂

Leave a Comment