7 Petua Memikat Hati Rakan Sebaya

Pembuka kata

Assalamualaikum w.b.t??.. hmmm? hari ni kita mulakan dengan nada yang berbeza?. apabila saya tulis perkataan memikat, apakah yang bermain di fikiran anda? Saya percaya ramai antara anda yang akan terfikir tentang lelaki memikat wanita atau sebaliknya. Bukan itu yang saya maksudkan sebenarnya?namun, ia boleh juga jadi begitu jika teknik-teknik ini digunakan.?

Apa yang mahu saya kongsikan disini ialah 7 petua bagaimana mahu membuat rakan sebaya anda mesra dan suka kepada anda (dalam erti kata yang baik). Rakan sebaya tidak semestinya sama umur dengan anda. Saya percaya rakan anda disekolah sama ada junior atau senior boleh kita kategorikan sebagai rakan sebaya juga.

Jika anda lihat disekolah, kolej atau universiti anda, pasti ada segelintir pelajar yang agak janggal apabila kita bergaul dengan mereka. Apabila kita berada bersama mereka, kita rasa tidak selesa, bosan, menyampah atau benci dengan apa yang pelajar itu kata atau lakukan. Pernahkah anda melihat pelajar begini? Sudah tentu ada bukan?

Sepanjang pengalaman saya belajar di merata-rata tempat di Malaysia, pasti ada saya jumpa pelajar yang saya gambarkan ini. Apa yang saya sedar ialah, pelajar ini tidak bermaksud untuk menyakitkan hati sesiapa atau membuat orang disekelilingnya memandang serong kepadanya.

Contohnya, ada pelajar yang sentiasa mahu kelihatan lebih hebat daripada orang lain. Kalau anda cerita kepadanya, ?Eh, semalam aku berenang seberang sungai tu tak sampai 20 minit tau!?. Dia kemudian akan menjawab, ?Alah, aku hari seberang tak sampai 10 minit pun!?. Pelajar yang suka bercakap begini selalu tidak tahu bahawa?ada masanya kita perlu membiarkan kawan kita bersinar lebih terang.?(Maksud bersinar lebih terang ialah, biar kawan kita lebih menyerlah). Apabila anda selalu mahu menyerlah setiap kali anda berada dikalangan kawan-kawan anda, anda akan dipulaukan suatu hari nanti. Bukan itu sahaja, anda juga akan jadi bahan ejekan dan gurauan kawan-kawan anda.

Seperkara lagi, sebenarnya ada lebih daripada 7 petua untuk tujuan ini. Tetapi, kita mulakan dengan 7 petua ini dulu supaya anda lebih mudah ingat dan lebih mudah untuk mengamalkannya. Kita akan mulakan dengan petua yang pertama esok.??Selamat membaca.

Petua 1

Petua pertama berbunyi, ?Timbulkan rasa minat?dalam diri anda untuk mengetahui tentang cerita dan kisah kawan-kawan anda.? Bayangkan anda ada dua orang kawan rapat. Kawan pertama ini suka benar mendengar cerita-cerita anda. Apabila anda pergi ke mana-mana atau lakukan sesuatu, kawan anda ini suka mendengarnya. Dia kelihatan khusyuk mendengar setiap kali anda bercerita atau berbual dengannya tentang diri anda.

Kawan yang kedua pula sebaliknya. Setiap kali anda bercerita tentang sesuatu, dia pasti akan buka ceritanya pula. Apabila anda bercerita, dia tidak sabar untuk menyampuk dan bercerita tentang ceritanya pula. Malah, dia menunjukkan muka yang tidak berminat apabila anda bercerita tentang kisah anda.

Jika anda mahu pergi?ke sesuatu tempat yang menyeronokkan dan anda boleh boleh bawa seorang kawan, kawan yang manakah satukah antara dua kawan ini akan anda pilih???

Saya percaya jawapannya tentu mudah bukan? Anda akan pilih kawan yang suka mendengar cerita anda.

Maksud petua ini begini. Jika anda ada rasa minat dan menunjukkan rasa minat anda mengenai apa yang kawan-kawan anda ceritakan, anda akan disukai oleh kawan-kawan anda. Kawan-kawan akan mencari anda apabila mereka ada sesuatu yang hendak diceritakan. Apabila mereka pergi ke mana-mana tempat yang istimewa, mereka akan teringat kepada anda. Malah, mungkin mereka akan dapatkan sesuatu untuk anda sebagai cenderahati.

Apa yang perlu anda lakukan?

  • Wujudkan rasa minat yang ikhlas dalam hati anda mengenai kawan-kawan anda. Jika anda mahu orang lain berminat dengan apa yang anda mahu katakan, anda juga mesti berminat dengan apa yang orang mahu ceritakan. Ada satu pepatah dalam dunia perniagaan yang berbunyi, ?Unless you love everybody, you cannot sell to anybody.? Maksudnya lebih kurang, anda tidak akan dapat menjual kepada sesiapa yang anda tidak suka/tidak berminat.
  • Apabila kawan-kawan anda bercerita, tahan diri anda daripada membuka cerita anda yang mungkin lebih hebat daripada cerita mereka. Anda boleh buka cerita anda pada masa yang lain. Biarkan kawan anda menyerlah.
  • Tanya dengan lebih lanjut mengenai cerita kawan anda tadi. Jika dia bercerita tentang lawatan ke zoo negara, tanya dengan lebih lanjut tentang pengalamannya di sana, tentang haiwan yang dilihat dan tentang aktiviti yang dilakukannya. Ini akan menaikkan lagi semangat kawan anda untuk bercerita kepada anda.
  • Senyum dan angguk. Jangan dengar cerita kawan anda seperti patung yang tidak bergerak. Ini menampakkan seolah-olah anda merasa sangat bosan. Senyum atau ketawa apabila ada pengalaman yang mencuit hati. Angguk kepala anda sekali sekala untuk menunjukkan anda faham apa yang kawan anda ceritakan.
  • Duduk atau berdiri dalam keadaan seseorang yang sedang minat mendengar sesuatu. Jika anda sedang menonton satu cerita yang anda sangat suka, bagaimana cara anda duduk atau berdiri? Ya, gunakan cara duduk atau berdiri itu apabila anda mendengar cerita kawan-kawan anda.

Anda mungkin bimbang jika anda jadi bosan apabila kawan anda ini semakin bersemangat untuk bercerita dan semakin panjang pula cerita mereka. Jika anda sudah berjaya menanam sifat yang minat untuk mengetahui tentang kawan anda, anda akan kurang hadapi masalah begini. Tambahan lagi, sebenarnya cerita kawan anda itu tidaklah akan jadi sampai berminggu-minggu. Jadi, tunjukkan minat anda kepada cerita mereka.?

Petua 2

Petua kedua ialah, anda perlu?menghargai apa-apa sahaja pertolongan?atau pemberian kawan-kawan anda. Pernahkah anda mengalami situasi di mana anda memberikan kawan anda sesuatu dan dia kelihatan seperti tidak kisah dan tidak kelihatan gembira dengan pemberian anda? Apa yang anda rasakan ketika itu?

Ada banyak ketikanya, anda mungkin rasa apa yang kawan anda berikan kepada anda adalah sesuatu yang tidak istimewa. Contohnya, kawan anda mengambil inisiatif membuat salinan kertas peperiksaan lepas dan berikan kepada anda secara percuma. Bagi anda, soalan lepas adalah sesuatu yang tidak berharga jadi anda buat endah tak endah sahaja. Muka anda tidak menunjukkan anda gembira menerima salinan kertas peperiksaan tersebut. Lebih teruk lagi, anda langsung tidak berkata terima kasih. Apabila kawan anda kata,?Mat, nah aku fotostat kertas peperiksaan ni untuk awak.? Anda membalas dengan berkata, ?Hmm? awak letak la atas meja saya tu, nanti saya ambil?.

Apabila anda menunjukkan tanda-tanda bahawa sesuatu yang anda terima itu tidak penting, anda akan melukakan hati kawan anda itu.. Apabila ini berlaku, anda mungkin tidak akan menerima apa-apa lagi daripada dia atau hubungan anda dengannya akan menjadi renggang.

Apakah yang perlu anda lakukan untuk menunjukkan bahawa anda menghargai apa yang diberi?

  • Pertama, apabila kawan-kawan anda beri anda sesuatu, berhenti daripada melakukan apa yang sedang anda lakukan dan lihat kepada apa yang kawan anda berikan.
  • Kedua, belek sedikit apa yang kawan anda beri, senyum dan kata terima kasih kepada kawan anda tadi. Kata sekurang-kurangnya, ?Terima kasih banyak-banyak Man?.. menyusahkan awak je fotostat kertas ni untuk saya?.
  • Jangan berhenti di situ sahaja. Katakan sesuatu yang menunjukkan bagaimana apa yang diberi itu boleh membantu anda. Contohnya, ?Saya pun memang tengah cari sangat contoh kertas peperiksaan ni. Alhamdulillah awak dan fotostat untuk saya. Senang saya nak buat ulangkaji nanti?. (jangan lupa senyum).?
  • Jika anda mahu buat sahabat anda lebih merasa dihargai, tanya lebih lanjut mengenai sesuatu yang telah diberikannya tadi. Contohnya, ?Baguslah kertas ni. Kat mana awak jumpa model kertas peperiksaan ni??

Dialog yang saya berikan itu adalah contoh sahaja. Saya harap anda dapat memahami konsep dan idea yang saya cuba sampaikan disitu. Anda perlu ingat, manusia sangat suka jika mereka dihargai. Bukan sahaja mereka akan rasa gembira apabila dihargai, mereka akan rasa hubungan mereka semakin rapat dengan anda.

Petua 3

Petua yang ketiga ini adalah petua termudah tetapi selalunya paling susah diamalkan. Petua ketiga berbunyi, ?SENYUM?. Mudah bukan?

Senyuman yang manis dan mesra mempunyai satu keajaiban. Ia boleh menyampaikan mesej kemesraan dan keceriaan. Sebagai contoh, jika anda selalu tersenyum, anda akan menarik kawan-kawan yang ceria disekeliling anda. Ini adalah kerana, kawan-kawan yang ceria selalu tertarik dengan kawan-kawan yang kelihatan ceria juga. Sebaliknya, jika anda selalu bermasam muka, anda akan dijauhi kawan-kawan anda.

Persoalannya, bagaimana mahu senyum jika anda selalu ada masalah? Ya, saya faham, bila anda ada masalah, anda akan mudah bermasam muka. Apabila anda bermasam muka, anda akan rasa sedih dan marah. Ini akan membuat lebih ramai lagi kawan-kawan menjauhi anda. Jalan penyelesaian yang mudah ada sebenarnya. Begini:

  • Jika anda sedang dilanda masalah dan mula merasa sedih, cuba anda senyum. Senyum betul-betul seperti anda sedang merasa gembira.
  • Sambil anda senyum, wujudkan rasa gembira di dalam diri anda. Bayangkan satu situasi di mana anda merasa gembira dan seronok. Kekalkan imaginasi yang menggembirakan itu sepanjang anda tersenyum tadi.
  • Bergerak seperti orang yang sedang gembira. Mulai hari ini, lihat di sekeliling anda. Lihat bagaimana orang yang sedih bergerak dan bagaimana pula orang yang sedang gembira bergerak. Tiru pergerakan orang yang sedang gembira dan anda akan rasa perasaan yang sama.

Apabila anda mula amalkan sikap yang mudah tersenyum, anda akan kelihatan mesra dan mudah didekati. Saya selalu perhatikan kawan-kawan saya yang mudah tersenyum. Walaupun mereka kadangkala ada masalah tersendiri, mereka pandai mengasingkan masalah mereka daripada kehidupan seharian mereka. Mereka sentiasa tersenyum dan mudah pula ketawa. Mereka ini mempunyai kawan yang ramai.

Apa yang boleh anda lakukan ialah berlatih untuk mudah tersenyum. Jika selama ini anda memang susah hendak tersenyum, latih diri anda setiap pagi untuk senyum di depan cermin. Wujudkan rasa seronok di dalam diri anda apabila anda senyum. Insyaallah, anda akan dapati semakin ramai kawan-kawan rapat kepada anda.?

Petua 4

Petua yang keempat ialah bercakap hanya tentang perkara yang baik mengenai kawan-kawan anda. Anda tentu pernah berada dalam satu kumpulan kawan-kawan di mana mereka bercakap tentang sesuatu yang tidak baik mengenai kawan-kawan lain. Kita panggil ini sebagai sesi mengumpat.?

Ada banyak perkara yang tidak baik jika anda bercakap atau menyertai sesi mengumpat ini.

  • Perkara terbesar ialah ini boleh jadi satu dosa. Apabila anda bercakap tentang sesuatu yang buruk mengenai kawan anda, anda menjatuhkan maruah kawan anda itu dan mungkin anda akan berkata sesuatu yang tidak benar.
  • Apabila anda mengutuk atau mengumpat kawan anda, jelas hubungan anda dan kawan itu akan renggang atau putus terutama apabila kawan anda itu tahu mengenai apa yang anda katakan.
  • Anda sendiri akan merasa janggal apabila berada di samping kawan-kawan yang anda kutuk tadi. Ini kerana, anda sedar bahawa anda kutuk mereka dan kini anda berada disamping mereka pula.
  • Apabila anda mengutuk, anda menjatuhkan reputasi anda sendiri dikalangan kawan-kawan anda sendiri. Kawan-kawan anda akan mula berhati-hati dengan anda kerana bimbang anda akan mengutuk tentang diri mereka pula.
  • Akhirnya anda akan dipulaukan.

Ada dua nasihat yang pernah saya pelajari yang boleh anda amalkan.

  • Pertama, amalkan cara berfikir yang positif. Maksud saya, lihat kepada perkara yang baik dalam sesuatu kejadian. Apabila anda selalu mencari, melihat dan berfikir tentang perkara yang baik, anda akan mula bercakap tentang perkara-perkara yang baik. Jika anda ternampak sesuatu yang baik di dalam diri kawan-kawan anda, puji mereka. Dalam waktu yang sama, tanamkan azam dalam diri anda untuk mempunyai sifat yang baik itu juga.
  • Jika anda berada di dalam kumpulan yang sedang mengumpat dan mengutuk, cadangkan topik lain untuk dibincangkan jika anda mampu. Jika anda tidak mampu mengubah topik negatif yang sedang dibincangkan, minta diri dan tinggalkan kumpulan itu hingga mereka mengubah topik yang lebih baik. Anda perlu ingat, anda adalah apa yang anda fikirkan. Jika anda selalu bercampur dalam perbualan bersifat negatif, anda akan selalu terfikir tentang perkara negatif. Akibatnya, anda juga jadi seorang yang berfikiran dan bersifat negatif.

Tambahan pula, dengan bercakap tentang sesuatu yang baik tentang kawan-kawan anda, anda akan merapatkan lagi hubungan anda dengan kawan itu. kawan-kawan lain yang melihat sifat anda itu akan mahu mendekati anda kerana mereka tahu anda hanya akan bercerita tentang perkara yang baik mengenai mereka.

Selamat mencuba.?

Petua 5

Petua kelima ini adalah mudah. Jika anda hendak memikat hati rakan sebaya anda, sebut nama mereka dengan baik. Teknik anda perlu gunakan sama ada anda sudah kenal lama dengan kawan anda itu atau anda baru sahaja berkenalan dengannya.

Jika anda sudah kenal lama dengan kawan anda:

  • Sebut nama mereka dengan baik. Kadangkala, kita tidak tahu cara menyebut nama kawan kita dengan betul. Mereka pula malu untuk membetulkan cara kita memanggil mereka. Jadi, jika tidak pasti, tanya mereka bagaimana cara untuk menyebut nama mereka. Contoh mudah, saya ada kawan bernama Farid. Beberapa tahun saya berkawan dengannya saya asyik memanggil namanya Farid, Farid. Cara bunyi saya sebut ?Rid? itu sama seperti saya menyebut perkataan (parit). Saya rasa semua orang sebut nama Farid begitu. Tiba-tiba satu hari Farid bercerita kepada saya bahawa ayahnya tidak suka nama Farid dipanggil begitu kerana ia salah. Cara memanggilnya ialah ?Rid? dibunyikan seperti perkataan inggeris ?read?. Saya pun agak terkejut kerana tidak mengetahui tentang perkara ini. Namun, tidak semua kawan bernama farid mahu disebut nama mereka begitu.?
  • Kadang-kadang ada kawan yang dipanggil menggunakan nama gelaran sahaja. Ada yang dipanggil panjang, bulat, rempit, botol,tokan, toyol dan sebagainya. Walaupun kawan kita ini menyahut setiap kali dipanggil dengan nama begitu, ia tidak bermaksud mereka suka nama itu. Jadi anda perlu berhati-hati tidak mengikut apa sahaja yang orang lain gunakan.

Jika anda baru berkenalan:

  • Sebaik-baiknya, anda tanya kawan baru anda ini bagaimana cara untuk menyebut nama mereka. Kadang-kadang mereka tidak selesa dengan nama penuh? mereka lalu mereka anda panggil mereka dengan nama ringkas atau pendek. Ikut sahaja asalkan nama itu bukan bermaksud yang terlalu tidak baik. JIka dia menyuruh anda memanggilnya dengan nama tidak baik, mungkin anda boleh nasihatinya dengan memberitahu akibat buruk jika menggunakan nama yang tidak elok. Nama adalah satu doa. Jika anda menggunakan nama yang tidak elok maksudnya, ia seolah-olah anda mendoakan sesuatu yang tidak elok juga.
  • Gunakan nama kawan anda itu selalu apabila bercakap dengannya. Jika nama beliau Ali, selalu gunakan nama itu dalam ayat anda. Contohnya, ?Ali, awak ada kenal tak???, ?Ali, awak berasal dari??? dan sebagainya. Ada dua kesan bila anda bercakap begini. Pertama, ia kelihatan lebih mesra dan sopan. Jadi ia boleh merapatkan hubungan anda dengannya. Kedua, anda akan mudah ingat namanya dengan cepat. Tentu anda ada pengalaman berkenalan dengan seseorang dan cepat pula terlupa nama mereka. Dengan sentiasa mengulang nama mereka, anda akan pasti lebih mudah ingat.

Selamat mencuba.?

Petua 6

Petua memikat hati rakan sebaya yang keenam ialah ?sokong cita-cita kawan-kawan anda?. Maksudnya, jika kawan-kawan anda bercerita kepada anda tentang cita-cita mereka, dengar dengan teliti dan beri sepenuh sokongan anda kepada mereka. Namun, ini ada syaratnya. Syaratnya ialah cita-cita kawan-kawan anda itu adalah cita-cita yang baik. Jika mereka kata mahu jadi perompak professional atau membuka pusat perjudian antarabangsa, jangan sekali-kali anda sokong mereka!??? Sebaliknya, beri mereka nasihat dan tunjuk sebab mengapa mereka tidak sepatutnya ada cita-cita sebegitu.

Di zaman kanak-kanak dan remaja tentu anda mempunyai banyak cita-cita dan impian yang ingin anda capai dalam hidup anda. Saya ada dengar cita-cita kawan saya yang mahu mengembara ke seluruh dunia, ada yang mahu menjadi rakan kongsi di syarikat antarabangsa yang besar, ada yang mahu menjadi tokoh yang dikenali dan sebagainya.

Namun, sewaktu anda mendengar cita-cita itu, bunyinya mungkin agak tidak munasabah dan terlalu sukar untuk dicapai. Peranan anda dalam memikat hati kawan-kawan anda ialah anda perlu beri sokongan kepada mereka walau apa pun cita-cita mereka. Ini bukan bermakna anda berlakon memberikan semangat kepada mereka semata-mata mahu memikat hati mereka. Sokongan anda mestilah ikhlas di mana anda perlu yakin dan percaya bahawa kawan anda tadi boleh mencapai cita-cita mereka.

Sokongan anda ini akan menyebabkan dua perkara terjadi:

  1. Kawan anda tadi akan menghargai anda kerana menyokong cita-citanya. Anda akan menjadi sumber tenaga dan semangatnya untuk berusaha. Saya percaya selepas ini jika dia ada sesuatu yang baru dalam usaha mencapai cita-citanya, dia akan mencari anda. Dia akan ceritakan kepada anda. Lebih baik lagi, dia pula akan menyokong cita-cita anda. Anda juga akan jadi semakin bersemangat. Akhirnya, hubungan anda berdua menjadi semakin rapat dan akrab.
  2. Apabila anda menyokong kawan-kawan anda, semangat dan kayakinan diri mereka akan bertambah. Mereka akan mula yakin dengan kebolehan diri mereka sendiri lalu mereka berusaha dengan lebih kuat lagi. Anda akan jadi orang yang bertangungjawab di atas kejayaan kawan anda tadi. Bukankah itu sesuatu yang baik untuk dicapai dalam hidup?

Mulai hari ini, dengar dengan teliti cerita kawan-kawan anda mengenai cita-cita dan impian mereka. Beri sepenuh tumpuan dan sokong mereka dengan merasa yakin bahawa mereka akan berjaya. Insyaallah, jika anda bantu kawan anda untuk mencapai kejayaan, kejayaan akan menjadi milik anda juga nanti.?

Petua 7

Petua yangterakhir untuk siri 7 petua memikat hati rakan sebaya ini ialah, ?elakkan diri daripada menajdi seorang terlalu sensitif dan mudah kecil hati?. Apa yang saya maksudkan dengan mudah kecil hati?

Anda tentu pernah ada kawan yang mudah sangat merajuk, hilang mood dan bersedih. Apa yang anda rasa setiap kali kawan anda ini merajuk walaupun disebabkan perkara kecil sahaja? Tentu anda rasa tidak senang bukan? Ada orang yang terlalu sensitif hingga apabila anda abaikan dia seketika sahaja pun dia boleh jadi marah dan merajuk. Aduhh?. letih kalau nak layan kawan macam ni bukan?

Masalah terlalu sensitif ini bukan sahaja masalah dikalangan kawan-kawan perempuan ye,??kawan-kawan lelaki pun sama naiknya. Cuma lelaki yang mudah hilang mood dan merajuk ni lagi buruk lah rupanya..?

Tidak salah kalau anda hilang mood atau terasa hati sekali sekala tetapi jangan jadikan itu sebagai salah satu identiti anda. Silap sikit merajuk. Silap sikit bersedih. Silap sikit tidak mahu bercakap. Hmmm? kalau anda teruskan berperangai begini, saya percaya satu hari nanti anda boleh kira berapa ramai kawan-kawan disekeliling anda.

Jadi, mulai hari ini, tabahkan dan kuatkan semangat anda. Jangan hiraukan perkara sangat gurauan remeh temeh kawan-kawan disekeliling anda. Jika hati anda ceria dari dalam, tidak ada sesiapa yang boleh mengganggu keceriaan anda itu.

Selamat mencuba.?

Kesimpulan

Alhamdulillah, saya telah kongsikan 7 petua untuk memikat hati rakan sebaya anda. Tidak kira anda sedang berada di bangku sekolah, kolej, universiti atau sudah bekerja, anda perlu tahu bagaimana mahu memikat hati rakan sebaya anda. Kawan-kawan adalah penting dalam hidup kita. Tanpa mereka, kita mungkin jadi makhluk asing di tempat kita sendiri.

Jadi, walaupun 7 petua ini kelihatan mudah, anda akan terkejut dengan kesannya. Saya ucapkan selamat berjaya dan selamat mencuba untuk memikat hati rakan sebaya anda.?

7 Comments

  • Puteri Saifira says:

    Tip yang sangat berfaedah.Terima kasih kerana mengongsikannya!

  • Shamiza says:

    Petua yang sangat berguna untuk diri saya dan juga utk masyarakat..terima kasih

  • Syar says:

    saya mempunyai rakan yang ramai tetapi sukar untuk saya melakukan minat yang sama seperti yang merekaa lakukan. jadi situasi tu membuatkan saya tidak dapat melakukan aktiviti yang sama mereka lakukan dan berasa terabai apabila mereka ingin melakukan aktiviti lain. boleh bantu saya dengan cara yang sesuai?

  • salam admin. nak tambah kawan tu mudah. nak kekalkan persahabatan tu agak susah. kebanyakannya lah.

  • muhammad hanif says:

    alhamdulillah . memang benar dengan petua2 yang dikongsi bersama ini . saye telah alami dan pernah menghadapi situasi tersebut . artikel ini sangat bermanafaat kepada semue sekiranya di gunapakai untuk kehidupan . in shaa allah .

  • Iylia says:

    Terima kasih kerana berkongsi petua…susah kalau hidup tanpa bimbingan kawan tambah tambah lagi semasa belajar

Leave a Comment