7 Petua Pandai Bahasa Inggeris – Petua 7

Petua pandai Bahasa Inggeris yang ketujuh dan yang terakhir ialah ‘Hafal ayat-ayat dalam Bahasa Inggeris untuk kegunaan harian’. Maksudnya begini, apa yang membuat bertutur dan menulis dalam Bahasa Inggeris sukar ialah anda tidak tahu bagaimana cara untuk menggambarkan sesuatu dalam Bahasa Inggeris. Contohnya kalau anda mahu kata ‘saya rasa tidak sihat’ dan tidak tahu apa ayat yang biasa digunakan untuk menggambarkan situasi ini, mungkin sukar jadinya. Apa yang anda akan kata untuk menggambarkan ayat tadi?
Adakah anda akan kata ‘I am not healthy’? Atau “I feel not healthy’? Hmmm… yang mana satu ye? Mungkin banyak cara yang boleh digunakan untuk menggambarkan ayat ‘saya rasa tidak sihat’ tetapi ayat yang biasa saya gunakan ialah ‘I am not feeling well’. Pernahkah anda dengar sesiapa berkata begitu?
Untuk pengetahuan anda, saya sendiri selalu merasa sukar untuk menggambarkan sesuatu di dalam Bahasa Inggeris suatu masa dahulu. Ini kerana saya cuba menukarkan ayat Bahasa Melayu kepada ayat Bahasa Inggeris. Jadi, kalau perkataan ‘rasa’ saya akan tukar kepada ‘feel’, kalau perkataan ‘sihat’ saya tukar kepada perkataan ‘healthy’. Apabila digabungkan menjadi satu ayat, ia tidak begitu tepat bukan?
Petua terakhir ini menyuruh anda menghafal ungkapan-ungkapan dan eskpresi dalam Bahasa Inggeris. Dalam buku khas vocabulary anda yang anda sudah sediakan, tulis juga ungkapan-ungkapan yang anda tahu. Mula kumpul dan hafal ungkapan-ungkapan yang anda boleh gunakan setiap hari. Contohnya, apa yang anda perlu kata untuk bertanya tentang waktu, “What time is it?”, untuk memberitahu yang anda rasa begitu gembira, “I feel great!” dan sebagainya.
Mulai hari ini, jika anda mahu gambarkan sesuatu tetapi tidak tahu bagaimana cara melakukannya, tanya seseorang yang pandai Bahasa Ingeris. Lebih baik lagi, tanya guru Bahasa Inggeris anda. Salin apa yang anda baru belajar itu dan mula praktikkan. Setiap kali anda rasa tidak sihat dan mahu memberitahu perkara itu kepada kawan anda, kata “I am not feeling well today”. Katakannya dengan yakin. Bayangkan anda seperti seorang mat salleh yang sedang menuturkan kata-kata tersebut (Jangan risau, anda tidak akan jadi mat salleh betul-betul 🙂  ) Cara paling mudah untuk menghafal sesuatu ialah dengan sentiasa mengulangnya. Gunakan ayat-ayat itu apabila sesuai.
Selamat mencuba. 🙂

Comments are closed.