7 Petua Skor A 2008 – Petua 7

7 Petua Skor A 2008 – Petua 7

Petua ketujuh untuk skor A 2008 ini ialah ‘dapatkan sokongan daripada ibu bapa, guru dan rakan-rakan’. Sekali lagi ringkas sahaja bunyi petua ini tetapi adakah kita tahu mengapa sokongan mereka ini semua sangat penting dalam usaha mencapai gred A dalam tahun ini?
Skor A 2008Begini. Semasa kita berusaha untuk mencapai matlamat, kita akan menghadapi pelbagai rintangan dan cabaran. Rintangan dan cabaran ini mungkin datang dalam bentuk kegagalan, kekecewaan dan rasa sakit hati akibat macam-macam perkara. Contohnya, kalau kita nak skor A dalam subjek Bahasa Inggeris, mungkin kita tidak akan selalu mendapat gred tersebut. Ada kalanya kita dapat gred B, C, D atau gagal. Cabaran ini boleh menggugat keyakinan dan semangat kita untuk berjaya.
Jadi, dalam keadaan begini, ibu bapa, guru dan rakan-rakanlah yang boleh membantu menaikkan semula semangat dan keyakinan diri yang semakin jatuh itu. Namun, tidak semudah itu untuk mendapat sokongan mereka. Di sini saya akan kongsikan bagaimana caranya untuk mendapat sokongan mereka. Mari kita mulakan dengan bagaimana mendapat sokongan daripada ibu bapa.
Secara umumnya, ibu bapalah yang paling mudah untuk menyokong dan memberi semangat kepada kita. Ini adalah kerana kejayaan kita mencerminkan kejayaan buat diri mereka juga. Malah, banyak ketikanya, ibu bapalah yang lebih risau berbanding pelajar apabila menjelang peperiksaan (pernah lihat situasi begini?). Walaupun mereka mudah menyokong, ada beberapa perkara yang perlu kita lakukan agar mereka lebih mudah memahami cabaran yang sedang kita tempuhi.

  • Skor A 2008Pertama, belajar untuk meluahkan apa yang terbuku di hati kepada ibu bapa. Masalah biasa dikalangan pelajar dan ibu bapa ialah hilangnya kebolehan untuk mereka berkomunikasi dengan baik. Perkara ini selalu saya lihat dalam sesi kaunseling yang saya jalankan terutamanya apabila anak-anak meningkat dewasa (dari umur 12 hingga 17 tahun). Jika anda ada masalah atau kerisauan, cuba bincangkan dengan ibu bapa. Saya faham ini bukan perkara mudah. Namun setelah anda buka mulut dan berkongsi masalah dengan ibu bapa, fikiran mereka akan jadi lebih terbuka untuk menyokong kita. Contohnya, jika kita sedang risau dan tertekan, jangan hanya berdiam diri dan mula menunjukkan perangai-perangai yang tidak menyenangkan. Perasaan tertekan tidak akan hilang dengan cara begitu. Apa kata jumpa ibu bapa, beritahu mereka yang kita sedang rasa tertekan dan minta nasihat mereka untuk membantu diri kita. Saya percaya mereka akan bantu.
  • Kedua, ceritakan kepada ibu bapa tentang matlamat kita untuk mencapai kejayaan. Ceritakan kepada mereka mengapa kita mahu capai kejayaan.  Kemudian, berterus-terang dengan mereka yang kita perlukan sokongan dan restu mereka untuk merasa lebih bersemangat. Ibu bapa mana yang tidak akan gembira dan menyokong jika anak-anak mereka sudah bertekad untuk berjaya.
  • Ketiga, dalam masa yang sama, walaupun sedang berusaha untuk berjaya, jangan lupa untuk membantu ibu bapa di rumah.  Kerja-kerja rumah selalunya tidak terlalu membebankan untuk kita. Setelah kita bantu meringankan beban ibu bapa di rumah, hati kita akan jadi lebih tenang. Ibu bapa kita juga akan rasa tenang. Jadi, lebih mudahlah untuk mereka membantu kita nanti.

Selamat mencuba. 🙂

Comments are closed.