7 Petua Skor A

Pembuka kata

Skor A 2008Kali ini saya ingin kongsikan dengan anda semua tentang 7 petua skor A untuk tahun 2008. Sebagaimana yang anda sudah tahu, blog ini adalah ditujukan kepada sesiapa yang mahu belajar teknik ‘Belajar’ yang berkesan. Apabila seseorang itu memiliki kemahiran untuk belajar dengan berkesan, dia akan jadi lebih bersemangat dan ‘Motivasi‘ dirinya akan menjadi lebih tinggi. Jadi, teknik belajar boleh meningkatkan motivasi untuk belajar…..kemudian…wujudlah Blog MotivasiBelajar …. :)

Apa yang ingin saya katakan ialah motivasi belajar selalu dikaitkan dengan kecemerlangan akademik. Jika seseorang itu mempunyai teknik belajar yang baik dan tahap motivasi dirinya tinggi, tentu dia boleh capai kejayaan yang cemerlang di dalam peperiksaan. Benar, saya setuju. Cuma, konsep motivasi dan teknik belajar bukan sahaja boleh digunakan oleh pelajar, malah ia sesuai untuk orang dewasa.

Kerapkali saya lihat orang dewasa menghadapi kesukaran untuk mempelajari sesuatu yang baru. Lebih buruk lagi, ramai orang dewasa yang takut untuk mempelajari sesuatu yang baru. Contohnya ada orang dewasa yang takut belajar menggunakan komputer dan internet. Ada yang takut untuk belajar berniaga. Ada yang takut untuk menghadiri kursus kerana bimbang gagal dalam ujian yang bakal diduduki.

Jadi, kepada pelawat setia blog ini, anda boleh gunakan tips dan teknik yang dikongsikan di sini bukan sahaja untuk anak-anak atau saudara-mara tetapi untuk diri anda sendiri.

Insyaallah saya akan kongsikan 7 petua untuk skor A. :)

Petua 1

Skor A 2008Mari kita mulakan dengan petua yang pertama. Petua ini sudah berulang-ulang kali saya tuliskan di dalam blog saya ini. Namun, kepentingannya menyebabkan ia tidak dapat dipisahkan daripada 7 petua penting untuk skor A dalam tahun 2008 ini. Petua pertama ialah, tulis di atas sekeping kertas subjek apa yang anda mahu dapat gred A itu.

Menulis apa yang anda kehendaki mengaktifkan satu bahagian dalam minda anda yang dinamakan RAS (Reticular Activating System). Apabila bahagian minda ini aktif, anda akan mula sedar dan peka kepada peluang-peluang yang boleh mendekatkan anda kepada apa yang anda hendak capai. Contohnya jika anda mahu gred A dalam subjek Bahasa Inggeris, RAS akan membuat anda sedar tentang kawan baik anda yang pandai Bahasa Inggeris. Mungkin dia boleh menolong anda.  Mungkin juga anda akan sedar kelas tambahan Bahasa Inggeris yang diajar oleh seorang guru yang hebat. Selama ini anda tidak sedar kerana anda tidak pernah menulis yang anda anda mahu gred A dalam subjek ini.

Darwish menulis matlamatBagaimana cara menulis gred A yang anda mahukan ini? Mudah sahaja.

Cari sehelai kertas atau lebih baik lagi satu buku khas yang akan sentiasa berada bersama anda sepanjang tahun 2008 ini. Buku khas akan memastikan ia tidak mudah hilang atau rosak seperti sehelai kertas biasa. Anda perlu ingat, buku ini tidak semestinya mahal. Anda boleh beli satu buku latihan biasa yang hanya berharga sekitar RM0.70 ke RM1 sahaja. Kalau ada buku latihan lama yang sudah tidak dipakai pun boleh. :)

Banyak perkara anda boleh tulis tetapi saya cadangkan anda tulis 3 perkara ini.

  1. Tulis semua subjek yang anda ambil dalam tahun 2008 ini dan tulis gred yang anda mahu untuk setiap subjek.
  2. Tulis 3 sebab mengapa anda mahu mendapat gred tersebut. (Jangan tulis “….sebab saya memang nak dapat gred A.” Anda perlu perah otak sedikit untuk menjawab soalan ini kerana soalan begini jarang difikirkan.)
  3. Tulis dalam bentuk ayat apa yang anda akan rasa kalau anda benar-benar mendapat gred tersebut.

Lakukan dahulu langkah ini dan kita akan sambung lagi penjelasan mengenai langkah ini esok. Selamat menulis. :)

Petua 1.1

Skor AAdakah anda sudah menulis langkah semalam? Kalau sudah, bagus. Kalau belum, lakukan sekarang. Walaupun langkah ini nampak terlalu mudah atau kelihatan tidak penting, saya tidak dapat gambarkan betapa hebatnya teknik ini untuk kita mencapai sebarang cita-cita.

Untuk mencapai kecemerlangan akademik, anda perlu menulis matlamat pencapaian akademik anda. Bagaimana jika anda tidak tahu dan tidak pasti apa yang anda mahu capai? Hmmm…ada beberapa kemungkinan mengapa anda tidak tahu apa yang anda mahu capai.

  1. Anda tidak pernah fikirkan perkara ini. Anda pergi ke sekolah, kolej  atau universiti hanya kerana itulah yang anda sudah biasa lakukan.
  2. Anda mungkin tidak ada rujukan. Mungkin kawan-kawan, ahli keluarga anda atau saudara mara anda tidak pernah bercerita tentang apa yang ingin dicapai dalam bidang akademik. Jadi anda pun tidak fikirkan mengenainya.
  3. Anda mungkin takut hendak memikirkan apa yang bakal anda dapat. Ini mungkin sebab utama. Disebabkan anda mungkin belum cemerlang sekarang, anda takut untuk memikirkan apa yang bakal anda perolehi.

Skor AJangan bimbang jika anda masih belum pasti. Mulai hari ini, fikirkan setiap hari apa yang ingin anda capai. Satu cara untuk lakukannya ialah, jangan fikirkan tentang halangan atau kelemahan. Contohnya, “aku nak gred A subjek Sains, tapi selama ni aku asyik dapat gred E je. Mana boleh dapat A kalau macam ni.” Anda cuma perlu fikirkan begini, “Kalau tidak ada halangan untuk capai apa sahaja gred yang aku nak, gred apa yang aku nak pilih agaknya?”

Saya telah sediakan satu ruangan untuk anda isikan dibawah. Untuk setiap subjek, anda perlu isikan gred sekarang (gred yang biasa anda dapat dalam peperiksaan), dan gred serta markah yang anda mahu dapat dalam peperiksaan sebenar. (80 markah gred A, 100 markah juga gred A. Tetapi kalau anda mahu dapat gred A dengan 100 markah, usaha anda pasti berbeza). Ini adalah contoh sahaja. Senaraikan juga subjek anda yang tidak tersenarai di bawah.

Jadual skor ASetelah anda isi jadual ini, kita boleh mula bincangkan tentang petua kedua, esok. Selamat menulis.

p/s Jangan lupa tulis sebab mengapa anda mahu capai gred tersebut dan apa anda akan benar-benar rasa kalau betul dapat capai gred tersebut. :)

Petua 2

Bagaimana dengan latihan menulis matlamat pencapaian akademik? Sudahkah anda jelas apa yang anda hendak capai? Baiklah….kita teruskan dengan petua kedua. Petua kedua berbunyi, kenal pasti kekuatan dan kelemahan anda. Mudah sahaja bukan?

Sebenarnya, apabila kita sudah tulis gred yang biasa kita dapat sekarang dan gred yang kita mahu capai pada masa akan datang, kita boleh mendapat gambaran tentang kekuatan dan kelemahan kita. Mari kita bincangkan tentang kekuatan dulu.

Skor A 2008Mana-mana subjek yang kita rasa mudah nak faham, senang nak skor dalam exam termasuk dalam kategori kekuatan kita. Kena ingat, subjek yang kita rasa mudah sahaja tidak bermaksud kita mudah nak skor dalam peperiksaan. Semasa saya dalam tingkatan 3, saya ada kenal seorang kawan melalui aktiviti silat. Kawan saya ni datang daripada sekolah lain. Semasa berbual dengannya, saya kata kepadanya, “subjek sains susah kan? dah belajar pun susah nak skor.”

Kawan saya tu ketawa kecil. Katanya, “eh, subjek Sains la senang. Aku kalau subjek Sains, setakat nak dapat 40 ke 50 markah tu memang senang je.”

Saya terkejut juga ketika tu. “Senang tu kalau boleh dapat 40-50 markah ke?” Soal hati saya. Rupa-rupanya kawan saya ni memang biasa dapat 40-50 markah untuk subjek Sains. Saya pula biasa dapat 60-70 markah. Saya maksudkan susah kerana susah nak skor A. Namun, saya tidak beri apa-apa komen kepada kawan saya ni cuma ketika saya mula faham, subjek yang senang memberi maksud yang berbeza kepada orang yang berbeza.

Apa yang penting kita tahu ialah, dalam petua ini, apabila kita kata subjek yang kita kuat, ia bermaksud subjek yang kita boleh skor A atau boleh skor markah 80 ke atas.

Apabila kita sudah kenal pasti subjek yang menjadi kekuatan kita, usaha untuk mengulangkaji akan jadi lebih mudah. Untuk subjek-subjek ini, kita perlu:

  • Jadikan sebagai sumber inspirasi. Jadikannya sebagai pendorong bahawa kita mempunyai kekuatan dalam bidang akademik.
  • Luangkan masa untuk mengulangkajinya secara berterusan. Untuk subjek yang kuat, kadangkala kita tidak perlu luangkan terlalu banyak masa kerana masa yang lebih perlu diberikan kepada subjek yang lemah. Namun, dengan usaha yang berterusan (membuat hanya beberapa latihan sehari tetapi berterusan) kita akan sentiasa mampu mengekalkan gred kita yang baik untuk subjek ini.
  • Belajar dengan rasa bersemangat. Seseorang yang pandai subjek Sejarah contohnya pasti rasa tidak sabar untuk mengulangkaji subjek Sejarah setiap kali. Cuba kenal pasti dengan jelas apa yang kita rasa setiap kali mahu belajar subjek yang kita suka ini. Rasa seronok, tenang dan selesa bukan? Rasa ini amat penting untuk kita gunakan semasa belajar subjek yang kita lemah nanti.

Esok saya akan kongsikan apa yang patut kita lakukan dengan subjek yang kita lemah. Selamat mengkaji kekuatan diri. :)

Petua 2.1

Setelah kita kaji kekuatan yang ada pada diri kita, kita juga akan sedar tentang kelemahan yang selalu mengganggu keyakinan diri kita untuk berjaya. Apabila kita sudah tulis gred yang kita mahu dapat dan gred yang kita dapat sekarang, kelemahan diri kita boleh nampak ketara. Apa yang perlu dilakukan terhadap kelemahan ini? Ada beberapa perkara yang perlu kita lakukan.

  • Skor A 2008Pertama, kita perlu ingat, kelemahan itu bukan sesuatu yang kekal. Ramai pelajar cemerlang bermula dengan gelaran pelajar lemah dan tidak cemerlang. Jadi, jangan terlalu risau.
  • Kedua, kelemahan masa kini merupakan satu cabaran buat kita. Anggap ia seperti kita mahu memasuki pertandingan sukan berlari contohnya. Jika kita sekarang masih tidak ada stamina yang kuat untuk berlari (ini merupakan satu kelemahan bukan?), apa yang perlu kita lakukan? Ya….. kita perlu buat latihan untuk meningkatkan stamina seperti berjogging atau buat senaman berbentuk aerobik. Patutkah kita duduk menangis dan putus asa kerana kita tidak ada stamina sekarang? Tidak bukan? Sama seperti kelemahan akademik. Kita tidak perlu bersedih atau putus asa jika pencapaian sekarang masih lemah. Kita cuma perlu buat lebih banyak latihan untuk menguatkannya.
  • Ketiga, kita perlu buat rancangan untuk mengatasi kelemahan kita. Rancangan itu termasuk rancangan untuk buat lebih banyak latihan, berjumpa dengan guru lebih kerap dan berkawan dengan kawan-kawan yang pandai subjek tersebut.

Satu perkara lagi yang kita perlu sedar ialah apabila kita lemah sesuatu subjek, kita akan rasa kurang minat atau benci subjek tersebut. Ini adalah normal. Dalam petua seterusnya nanti, saya akan terangkan bagaimana cara untuk menguruskan masa agar kita sentiasa memberi tumpuan kepada subjek yang kita kurang minat ini.

Akhir sekali, cuba kita perhatikan cara kita duduk, cara kita membaca dan cara kita bergerak semasa belajar subjek yang kita lemah ini. Tentu ia sangat berbeza berbanding subjek yang kita suka kan? Mulai hari ini, cuba duduk dan bergerak seperti kita benar-benar suka subjek yang kita lemah tu. Otak kita tidak dapat bezakan sama ada kita berlakon suka atau tidak. Apabila kita bergerak dansenyum semasa belajar subjek yang kita lemah ini, otak kita akan menghantar isyarat ke seluruh tubuh badan agar menjadi lebih berkesan kerana ia sangka kita sangat suka subjek ini.

Selamat mencuba. :)

Petua 3

Setelah kita tulis matlamat gred yang kita hendak capai dan setelah kita kaji kekuatan dan kelemahan kita, sekarang tiba masanya kita mulakan langkah kecemerlangan dengan mempelajari petua yang ketiga. Petua ketiga ini berbunyi, uruskan masa berpandukan matlamat.

Skor A 2008Petua ketiga ini sangat berkesan untuk mengatasi satu masalah yang saya namakan ‘gejala azam tahun baru’. Maksudnya, pada awal tahun, pelajar (atau orang dewasa) akan menanam azam yang hebat untuk mencapai kecemerlangan dan kejayaan.

Namun, azam itu akan pudar dalam masa hanya beberapa minggu atau beberapa bulan pertama sahaja. Sebab utamanya ialah azam itu tidak disertakan dengan rancangan tindakan. Apa yang perlu kita lakukan untuk tidak terjebak dengan gejala azam baru ini?

Begini.

Perkara paling penting dilakukan selepas kita ada matlamat ialah merancang tindakan. Maksudnya, untuk mendapat gred A dalam subjek Matematik, kita perlu tentukan apakah aktiviti yang perlu kita lakukan.

Contohnya, untuk dapat gred A, kita rasa kita perlu buat 20 latihan matematik setiap hari (tidak termasuk kerja sekolah). Jadi, setiap hari fokus utama kita ialah menyiapkan 20 latihan tersebut tidak kira berapa sibuk dan penat sekalipun.

Kalau boleh, tindakan itu mesti boleh dilakukan dalam masa 48 jam selepas kita menulis matlamat. Mengapa? Jika ia mengambil masa terlalu lama untuk dilaksanakan, kita kan mula hilang semangat. Jika ia dilaksanakan serta-merta, semangat yang masih membara itu akan membantu menolak kita ke hadapan dan melakukan semua perkara yang patut dilakukan.

Skor A 2008Saya lihat teknik ini digunakan oleh beberapa sahabat baik saya yang cemerlang dalam subjek Matematik ketika di sekolah menengah berasrama penuh dulu. Mereka sudah tetapkan berapa soalan mereka perlu buat dalam sehari.

Jika mereka rasa hari mereka akan sibuk dengan aktiviti sukan atau kelab, mereka akan curi mana-mana masa yang terluang untuk menyiapkan latihan tersebut. Kadang-kadang mereka buat latihan semasa menunggu guru masuk ke kelas. Kadang-kadang mereka buat latihan semasa menunggu giliran ke bilik air (kerana bilik air penuh) dan kadang-kadang mereka buat latihan semasa menunggu masuk waktu sembahyang di surau.

Ini menunjukkan bahawa jika kita ingin berjaya, jangan hanya fikirkan tentang hendak mendapat gred A tetapi fikirkan juga apa yang perlu dilakukan setiap hari, setiap minggu dan setiap bulan. Tindakan ini semua lebih mudah kita kawal dan ia boleh menjadi kayu pengukur sama ada kita sedang bergerak menuju matlamat kita atau tidak.

Jadi, tugas kita hari ini, senaraikan aktiviti atau tindakan yang perlu kita ambil untuk memastikan kita dapat apa yang kita inginkan. Minggu depan saya akan terangkan lebih lanjut mengenai petua ketiga ini terutamanya bagaimana menguruskan masa untuk subjek yang kita lemah. :)

Petua 3.1

Skor A 2008Kita masih lagi dalam petua ketiga – uruskan masa mengikut matlamat. Hari ini kita akan bincangkan bagaimana hendak menguruskan masa untuk subjek yang kita lemah. Sebelum itu, apa yang dimaksudkan subjek yang kita lemah? Secara mudahnya begini. Kalau satu subjek itu kita hendak dapat gred A tetapi sekarang kita dapat gred C ke bawah, kita anggap ia subjek yang kita lemah. Ini kerana kita perlu lompat sekurang-kurang dua tangga gred untuk sampai gred matlamat kita itu. Setuju? (Setuju je la ye untuk tujuan perbincangan petua ini. 🙂  )

Baiklah. Mari kita bincangkan masalah pengurusan masa subjek lemah. Selalunya, jika kita lemah sesuatu subjek, kita tidak akan suka untuk luangkan masa belajar atau ulangkaji subjek tersebut. Betul kan? Maksudnya, kalau kita lemah subjek Bahasa Melayu, kita jarang mahu belajar subjek ini apabila ada masa terluang. Kita lebih suka belajar subjek yang kita kuat apabila ada masa terluang.

Ini adalah normal. Subjek yang kita lemah membuat kita rasa tidak selesa. Setiap kali mahu belajar subjek itu, kita sudah mula rasa tekanan perasaan akibat kesusahan untuk memahami subjek tersebut. Jadi, selagi ada peluang, kita akan tinggalkan subjek tersebut. Caranya begini.

Skor A 2008Ada 3 perkara yang kita patut lakukan untuk uruskan masa subjek yang kita lemah ini.

  • Pertama, buka buku subjek tersebut dan belajar topik yang paling mudah dahulu. Belajar bersungguh-sungguh hingga kita dapat kuasai topik tersebut. Biar kita rasa topik itu sangat mudah bagi kita. Apabila ini berlaku, motivasi dalam diri kita akan meningkat. Kita akan rasa lebih bersemangat untuk belajar. Apabila motivasi diri ini timbul, belajar beberapa topik lain yang paling mudah pula. Akhirnya, tanpa kita sedari, kita sudah belajar hampir semua topik. Lebih hebat lagi, semua topik kelihatan mudah sahaja.
  • Kedua, jika kita belajar subjek yang kita kuat 1 jam, kita perlu belajar subjek yang kita lemah 2 jam atau lebih. Secara lojiknya, subjek yang kita lemah perlukan lebih perhatian bukan? Satu perkara yang hebat ialah apabila kita boleh kuasai subjek yang kita rasa susah selama ini, subjek lain akan terasa semakin senang. Lama-kelamaan, kita akan rasa mendapat semua A dalam peperiksaan adalah sesuatu yang kita boleh capai.
  • Mula berkawan dengan pelajar yang pandai dalam subjek kita lemah ini. Tiru cara mereka berfikir tentang subjek ini. Lebih baik lagi, eratkan hubungan kita dengan guru yang mengajar subjek ini. Guru selalunya sangat suka apabila ada anak muridnya yang menunjukkan kesungguhan untuk belajar. Jadi luangkan lebih masa dengan kawan-kawan yang pandai subjek ini dan guru subjek ini.

Kita sambung esok. :)

Petua 3.2

Skor A 2008Ini adalah bahagian terakhir petua ketiga. Kita akan bincangkan bagaimana cara hendak menguruskan masa berpandukan matlamat. Mudah sahaja topik hari ini. Semasa kita merancang masa untuk belajar atau buat sesuatu, fikirkan tentang keberkesanan, bukan jumlah waktu. Maksudnya, jika kita mahu merancang masa untuk belajar, jangan terlalu fikirkan berapa jam mahu belajar, tetapi fikirkan berapa lama kita boleh luangkan masa untuk belajar sesuatu dengan berkesan.

Kita mungkin pernah dengar pelajar merungut yang mereka sudah belajar hampir 6 jam sehari tetapi hasilnya masih tidak memuaskan. Ada dua sebab utama mengapa ia jadi begini.

  • Pertama, pelajar ini mungkin tidak gunakan teknik belajar yang betul. Mereka luangkan banyak masa untuk belajar tetapi mereka lambat faham dan cepat pula lupa. Akibatnya, dalam peperiksaan, mereka tidak dapat menghasilkan prestasi terbaik.
  • Kedua, walaupun masa terluang hampir 6 jam, hakikatnya masa yang digunakan secara berkesan cuma 1 atau 2 jam sahaja. Bagaimana ini boleh berlaku?

Skor A 2008Ada pelajar yang tidak fokus semasa mereka belajar. Ada yang leka dengan televisyen atau radio. Ada yang leka dengan panggilan telefon dan sms. Ada yang leka dengan makan dan minum. Akibatnya, walaupun sudah luangkan masa 6 jam, masa yang betul-betul digunakan untuk belajar ialah 2 jam atau kurang. Pernahkah anda melakukan kesalahan begini? :)

Jadi, mulai hari ini, apabila kita mahu merancang masa untuk belajar, fikirkan berapa lama kita mahu benar-benar fokus. Setelah luangkan masa untuk belajar selama 2-3 jam, fikirkan “berapa banyak aku dah dapat dalam masa 2-3 jam tadi?”. Apabila kita selalu berfikir begini, kita akan habiskan masa dengan berkesan dan walaupun kita luangkan sedikit masa untuk belajar, hasilnya akan jadi lebih baik daripada yang kita jangkakan.

Selamat merancang untuk menguruskan masa. :)

Petua 4

Skor A 2008Petua yang keempat untuk skor A 2008 ialah gandakan ‘latih tubi’. Latih tubi adalah aktiviti membuat latihan bagi setiap subjek terutamanya latihan bagi soalan-soalan yang biasa disoal dalam peperiksaan.

Saya kerap mendapat soalan mengenai situasi begini “saya sudah belajar semua topik dan sudah hafal semua maklumat penting dalam setiap topik. Tetapi, saya masih gagal jawab dengan baik dalam peperiksaan. Akibatnya, saya hanya dapat gred yang sederhana baik.”

Tahu dan hafal semua maklumat tidak menjamin kita mendapat A. Gred A ialah untuk pelajar yang boleh jawab soalan mengikut skema jawapan yang telah diberikan. Maksudnya, jika kita mahu dapat gred A, kita kena tahu bagaimanakah bentuk soalan yang bakal ditanya dan kita perlu tahu bagaimana mahu menjawabnya. Ini akan dapat dicapai dengan melakukan latih tubi.

Saya fikirkan tentang petua ini apabila saya terkenang satu subjek yang dianggap sangat sukar ketika saya mengambil A-Level pada tahun 1996 dulu. Subjek itu ialah Economics. Subjek ini terbahagi kepada 2 bahagian iaitu 50 soalan objektif dan lebih kurang 4 soalan subjektif. Entah kenapa saya boleh jawab soalan subjektif tetapi soalan objektif begitu sukar buat saya. Walaupun saya tahu banyak perkara dan sudah hafal banyak maklumat penting, saya masih gagal mendapat 30 jawapan betul daripada 50 soalan. Paling tinggi markah yang saya dapat pun mungkin 25 ke 29 markah.

Lebih kurang sebulan sahaja lagi sebelum peperiksaan sebenar, saya mula mengumpul semua soalan sebenar daripada 10 tahun lepas (past year questions). Terdapat 20 set kertas soalan semuanya (setahun ada dua peperiksaan begini dijalankan jadi ada 20 set kertas soalan untuk 10 tahun). Apa yang saya lakukan ialah saya betul-betul habiskan masa membuat semua soalan ini dengan niat untuk menghabiskannya sebelum peperiksaan sebenar. Alhamdulilah, saya selesaikan semua soalan itu dalam masa seminggu.

Setelah selesai semua soalan, saya sedar satu perkara. Ada satu corak yang boleh dikenalpasti dalam soalan-soalan tersebut. Malah, ada soalan yang lebih kurang sama cuma diubah cara penyampaiannya. Ini membuat saya sangat yakin bahawa saya pasti boleh menjawabnya dengan baik. Pada hari peperiksaan sebenar, keyakinan dan latih tubi saya itu benar-benar membuahkan hasil. Setelah pensyarah saya periksa jawapan saya yang saya tanda di atas kertas soalan (kertas jawapan sebenar dihantar ke UK untuk diperiksa), saya berjaya mendapat 50 markah per 50. Markah penuh! Saya juga dapat jawab dengan baik dalam soalan subjektif (esei) yang akhirnya memberikan saya gred keseluruhan A untuk subjek Economics. Saya percaya itulah salah satu kehebatan petua keempat ini.

Skor A 2008Saya mahu cadangkan satu cara belajar untuk dapat gred A. Katakan kita sedang belajar subjek Sejarah. Selalunya pelajar akan baca dulu satu topik kemudian membuat latihan yang disediakan di bahagian akhir topik tersebut. Apa kata kita mulakan dengan membuat soalan-soalan itu semua dahulu. Hmmm….pasti ada yang yang rasa pelik. Macam mana nak buat latihan kalau belum baca? Begini.

Apabila kita baca soalan, kita akan mula berfikir tentang jawapannya. Apabila kita fikir tentang jawapan, kita mula akan jadi peka kepada maklumat yang ada di dalam topik tersebut. Dua perkara akan berlaku:

  • Melalui soalan itu, kita akan tahu bahawa maklumat itu adalah penting dalam topik tersebut. Sebab itulah ia disoal dalam soalan di bahagian akhir. Jadi, bila kita mahu belajar dan baca topik itu nanti, kita perlu cari maklumat-maklumat itu.
  • Setelah kita buat soalan di bahagian akhir dan tahu apa yang akan disoal di dalam topik itu, kita akan jadi lebih peka. Apabila kita baca topik tersebut selepas buat soalan, kita akan terjumpa fakta-fakta dalam soalan tadi. Contohnya, jika tadi kita ada buat soalan “pada tahun berapakah Malaysia diisytiharkan merdeka?”, kita akan segera nampak jawapan ini apabila kita membacanya. Bukan itu sahaja, kita akan lebih ingat apa yang kita baca ini.

Skor A 2008

Jadi, kita perlu ingat, untuk skor A, kita perlu banyak buat latihan terutamanya latihan soalan-soalan lepas dan juga latihan di bahagian akhir topik yang kita pelajari. Esok kita akan sambung lagi bagaimana kita boleh manfaatkan petua keempat ini.

Petua 4.1

Kita masih lagi dalam petua keempat iaitu gandakan latih tubi. Hari ini saya akan terangkan tentang konsep latih sampai dapat. :)

Dalam program-program SmartStudy yang biasa saya jalankan, ramai pelajar bertanya tentang masalah di mana mereka sukar hendak memahami sesuatu. Bila saya tanya mereka berapa kali mereka cuba untuk baca sesuatu atau belajar sesuatu, mereka kata hanya 1 atau 2 kali sahaja!

Skor A 2008Hmmm…. apabila kita belajar sesuatu, adalah normal jika kita sukar memahaminya terutamanya apabila kita belajar sesuatu yang kita tidak biasa gunakan. Contohnya, jika selama ini kita tidak pernah memancing, tentu sukar dan janggal apabila kita mahu belajar mengikat mata kail dan memasang umpan. Bagaimana akhirnya kita pandai memancing? Dengan melakukan aktiviti memancing berulang-ulang kali bukan?

Sama seperti belajar. Jika kita rasa subjek Matematik, Sejarah, Sains, Geografi atau apa subjek susah, itu adalah kerana kita belum cuba membuat latihan yang mencukupi. Jadi mulai hari ini, untuk skor A tahun 2008, ada 3 perkara yang perlu kita lakukan.

  • Pertama, lebihkan membuat latihan daripada membaca. Apabila kita membuat latihan, secara automatik kita juga perlu membaca. Namun apa yang lebih hebat, semasa kita membuat latihan, kita akan membaca dan berfikir. Aktiviti berfikir ini mungkin memeningkan pada mulanya tetapi lama-kelamaan kita akan rasa cergas dan cerdas. Kita juga akan lebih ingat apa yang telah kita pelajari.
  • Kedua, dapatkan soalan-soalan lepas. Tidak kira kita berada di sekolah rendah atau menengah, kolej atau universiti, soalan-soalan lepas adalah gambaran tentang apa yang perlu kita tahu dalam setiap subjek. Contohnya, apabila kita banyak membuat latihan soalan lepas subjek Sejarah, kita akan tahu maklumat mana yang penting dalam setiap topik. Jadi, kita tidak perlu terlalu membuang masa belajar topik kurang penting dan maklumat yang jarang ditanya dalam peperiksaan.
  • Ketiga, buat latih tubi ini secara berterusan. Semakin banyak latihan yang kita lakukan, kita akan nampak soalan bagaimana yang bakal keluar nanti. Saya pernah lihat seorang kawan yang begitu handal meneka apakah soalan yang bakal keluar semasa belajar di peringkat A-Level dulu. Rupa-rupanya dia banyak membuat latihan soalan lepas dan dia sudah nampak dengan jelas bentuk-bentuk soalan yang akan ditanya. Apabila ini berlaku, proses pembelajaran jadi ljauh lebih mudah.

Selamat membuat latih tubi. :)

Petua 5

Buku SmartStudyPetua kelima ini adalah sangat penting untuk kita skor A dalam peperiksaan tahun 2008 ini. Saya ada terangkan dengan jelas dan terperinci dalam buku kedua saya ‘Menjadi remaja SmartStudy – Kemahiran Belajar’ iaitu tingkatkan kepantasan dan ketepatan.

Kebolehan kita untuk mendapat gred adalah bergantung kepada petua ini. Ada pelajar mempunyai pengetahuan yang luas dan mendalam dalam sesuatu subjek. Tanya apa sahaja dia boleh jawab. Jadi, pelajar ini ada ketepatan. Ketepatan bermaksud kita tahu dengan tepat apa yang diperlukan oleh soalan-soalan subjek atau soalan-soalan peperiksaan. Namun sayangnya, kadangkala pelajar begini tidak ada kepantasan. Kepantasan adalah berapa cepat anda dapat selesaikan sesuatu soalan atau berapa cepat anda jawab sesuatu soalan di dalam dewan peperiksaan.

Skor A 2008Dalam subjek Matematik contohnya, kerapkali saya dengar rungutan ibu bapa yang mengatakan anak mereka boleh menjawab semua soalan dengan baik di rumah. Tetapi yang peliknya bila tiba waktu peperiksaan, anak mereka ini cuma mendapat keputusan sederhana sahaja, tidak cemerlang. Apabila ini berlaku, saya selalu rasa hampir pasti ia disebabkan anak ibu bapa tadi tidak mempunyai kepantasan.

Untuk membuktikannya, saya uji pelajar tersebut dengan satu atau dua soalan dan saya beri satu tempoh masa. Ternyata pelajar itu gagal menyiapkan soalan tu dalam masa yang diberikan. Jika diberi lebih masa, dia akan berjaya lakukannya. Ini jelas menunjukkan bahawa, walaupun kita tahu banyak perkara tentang sesuatu subjek, kita tidak akan dapat gred A sekiranya kita tidak mempunyai kepantasan.

KetepatanDalam masa yang sama, ada pelajar yang mempunyai kepantasan tetapi tidak mempunyai ketepatan. Pelajar ini cepat dapat selesaikan soalan-soalan peperiksaan tetapi mereka terlalu lalai hingga boleh salah soalan yang paling senang sekalipun. Kepantasan tanpa ketepatan akan menyebabkan kita lalai dan sukar mendapat markah yang baik.Ketepatan tanpa kepantasan pula menghalang kita daripada menjawab soalan dalam masa yang ditetapkan dan akibatnya kita akan gagal juga mendapat gred yang kita mahukan.

Kita akan bincangkan lagi bagaimana kita boleh tingkatkan kepantasan dan ketepatan kita sekaligus. :)

Petua 5.1

Skor A 2008Saya telah terangkan tentang peranan kepantasan dan ketepatan dalam posting saya semalam. Kini saya akan terangkan bagaimana kita boleh tingkatkan tahapketepatan kita dalam usaha skor A 2008.

Untuk meningkatkan tahap ketepatan, kita memerlukan 3 kemahiran belajar. Kemahiran belajar itu ialah

  • Kemahiran untuk fokus semasa belajar
  • Kemahiran menghafal
  • Kemahiran menulis nota kreatif

Kemahiran fokus semasa belajar – ialah kemahiran untuk kita tumpukan sepenuh perhatian kepada apa yang sedang diajarkan. Ini adalah langkah pertama terpenting dalam skor A. Walau kita hebat bagaimana pun, tanpa fokus, kita tidak akan mampu memahami apa yang sedang diajarkan.

Saya selalu lihat cara pelajar cemerlang belajar semasa saya di zaman persekolahan dan semasa saya menjadi guru. Jelas kelihatan bahawa pelajar cemerlang sangat fokus semasa belajar. Bagaimana? Mereka lupakan semua perkara lain sewaktu belajar.

Skor A 2008Mereka tidak peduli tentang orang yang sedang lalu-lalang di tepi kelas mereka dan mereka tidak peduli sangat tentang apa yang berlaku di sekeliling mereka.

Mereka kelihatan begitu khusyuk dalam usaha memahami apa yang sedang diajarkan. Ia seperti seorang budak yang sedang khusyuk menonton cerita kartun kegemarannya. Bolehkah anda bayangkan bagaimana rupa orang yang sedang khusyuk ini?

Jadi, untuk fokus seperti mereka, kita perlu lakukan beberapa perkara:

  • Pertama, apabila cikgu mula mengajar, lupakan semua perkara lain dan tumpukan sepenuh perhatian kepada apa yang guru sedang katakan.
  • Lebih baik, ringankan mulut untuk bertanya. Apabila guru menerangkan sesuatu, fikir betul-betul apa yang guru sedang terangkan. Kemudian apabila ada soalan timbul dalam kepala, buka mulut untuk bertanya. Jangan risau jika kita kelihatan tidak pandai kerana tidak faham kerana selalunya separuh daripada murid di dalam kelas kita itu juga tidak faham sebenarnya. Cuma mereka malu hendak bertanya.
  • Duduk seperti seorang budak yang sedang menonton cerita kartun kegemarannya. Kalau tidak pernah lihat bagaimana cara duduk begini, cuba kita fikirkan bagaimana cara kita duduk apabila kita melakukan sesuatu yang menyeronokkan. Duduk dengan cara begini semasa belajar di dalam kelas atau di mana-mana sahaja.

Petua 5.2

Skor A 2008Cara kedua untuk meningkatkan ketepatan ialah dengan menguasai kemahiran menghafal atau teknik memori. Teknik memori ialah teknik yang boleh membuat kita lebih mudah ingat apa yang sedang dan telah kita pelajari.

Teknik ini bukanlah seperti satu ubat yang boleh dimakan agar semua masalah ‘LUPA‘ hilang. Teknik ini memerlukan latihan dan kesungguhan.

Namun apa yang bagusnya, setelah kita memahami dan menguasai teknik ini, mengingati sesuatu akan jadi lebih mudah.

Apa kaitan teknik memori dengan ketepatan? Apabila kita menjawab soalan peperiksaan, kita perlu mengetahui jawapannya dengan tepat untuk memperolehi markah yang baik. Jawapan yang tepat selalu perlu diingat dengan betul.

Contohnya, berapakah suhu takat didih air? Kalau kita tidak ingat, mungkin kita boleh jawab lebih kurang 90 hingga 110 darjah celsius. Tetapi, itu tidak tepat. Kita perlu ingat dengan tepat bahawa takat didih air ialah 100 darjah celsius.

Bagaimana caranya agar kita boleh kuasai teknik memori atau kemahiran menghafal ini?

  • Pertama, ikuti kursus, seminar atau bengkel kemahiran belajar yang dianjurkan di tempat kita belajar atau mana-mana tempat yang kita boleh hadiri. Selalunya sekolah atau mana-mana pusat pengajian ada menganjurkan program begini untuk pelajar. Saya juga kadangkala agak sibuk memenuhi undangan menjalankan program berbentuk kemahiran belajar dan teknik menghafal ini di sekolah-sekolah, kolej dan juga universiti. Jadi, jangan lepaskan peluang untuk mengikuti program sebegini.
  • Kuasai teknik ini melalui pembacaan. Kini terdapat banyak buku yang mengajar teknik-teknik memori dan kemahiran menghafal. Ada yang ditulis dalam Bahasa Inggeris dan ada yang ditulis dalam Bahasa Melayu (contohnya buku menjadi remaja SmartStudy – Kemahiran Belajar). Saya lihat kebanyakan pelajar cemerlang pasti ada melaburkan wang mereka membeli buku-buku berfaedah begini berbanding pelajar lain yang lebih suka membeli komik, majalah hiburan dan bahan bacaan yang tidak menyumbang ke arah pembangunan diri.
  • Latih teknik ini setiap hari hingga kita rasa selesa menggunakannya. Salah satu tanda rasa selesa ialah kita tidak perlu berfikir lagi untuk melakukannya. Contohnya, apabila kita membaca buku, dengan secara automatik kita akan praktikkan teknik memori hingga kita tidak sedar rupa-rupanya banyak maklumat yang kita telah ingat melalui pembacaan itu.

Mulakan usaha kita untuk menguasai teknik memori ini sekarang!

Petua 5.3

Teknik ketiga untuk meningkatkan ketepatan ialah dengan menguasai teknik menulis nota kreatif. Nota adalah sangat penting buat pelajar. Apa yang dipelajari dalam Januari pasti akan hilang dalam ingatan sebelum tiba bulan Mei atau Jun. Lebih buruk lagi, ada pelajar yang lupa walaupun baru sahaja beberapa minggu lepas mempelajarinya. Walaupun ini perkara biasa, sesuatu mesti dilakukan agar kita dapat ingat lebih lama apa yang telah dipelajari.

Jadi satu cara mudah untuk mengingat apa yang kita sudah pelajari (selain teknik menghafal) ialah dengan menguasai teknik menulis nota kreatif. Nota kreatif berbeza dengan nota-nota biasa. Biasanya nota pelajar hanya dipenuhi dengan tulisan dan juga warna terang daripada ‘highlighter’. Nota begini tidak banyak dapat membantu pelajar sebenarnya. Mengapa?

Skor A 2008Pertama, minda kita berfikir secara bergambar. Minda kita sukar untuk mengingat tulisan. Jadi, nota yang hanya dipenuhi tulisan akan membuatnya sukar diingat. Kedua, nota begini selalunya panjang dan sukar difahami. Bayangkan peperiksaan akan tiba dalam masa 2 minggu dan kita perlu baca nota yang begitu tebal. Apa rasanya? :)

Jadi, mulai hari ini,

  • Tukarkan nota ke dalam bentuk gambar. Anda boleh rujuk kompilasi tips dan petua tentang teknik memori supaya faham bagaimana cara menulis nota bergambar.
  • Tukarkan nota ke dalam bentuk cerita. Dalam kompilasi petua, topik 7 petua mudah ingat apa dipelajari ada saya berikan contoh bagaimana mahu melakukan perkara ini.
  • Sentiasa gambarkan nota yang telah kita tulis dalam minda kita. Cerita bergambar memang lebih mudah untuk dibayangkan.

Selamat mencuba. :)

Petua 5.4

Kita sudah berada dalam tips terakhir petua kelima ini. Dalam beberapa posting lepas, saya ada terangkan tentang cara meningkatkan ketepatan. Hari ini, saya akan kongsikan satu tips bagaimana kita boleh tingkatkan tahap kepantasan kita pula.

KepantasanDiringkaskan cerita, cara paling mudah untuk kita meningkatkan kepantasan ialah dengan membuat latihan dalam masa yang ditetapkan. Apa maksud saya? Bagini.

Katakan kita sedang membuat latihan matematik. Cuba buat satu soalan dan lihat berapa banyak masa yang kita ambil untuk menyiapkannya. Katakan masa yang diambil ialah 7 minit. Kemudian, ambil satu kertas lain, cuba buat lagi sekali soalan yang sama itu.

Bolehkah ia disiapkan dalam jangka masa kurang 7 minit? Kalau boleh, bagus. Tetapi, berapa cepat? 5 minit? 4 minit? Atau 2 minit? Latihan berterusan dengan mengejar masa begini akan membuat otak kita lebih peka, cerdas dan cekap dalam menyelesaikan sesuatu masalah.

Satu cara lagi, setiap kali kita buat latihan daripada buku teks atau buku latihan, catatkan masa yang kita ambil untuk menyiapkannya. Kemudian, cuba tambahkan kepantasan kita dari masa ke semasa. Satu contoh yang biasa saya lakukan semasa saya mengajar Matematik untuk pelajar UPSR, saya berikan mereka 100 soalan sifir mudah. Mereka perlu hafal sifir untuk menyiapkan latihan ini dengan pantas.

Saya cuma beri masa 4 minit untuk menyiapkan 100 soalan itu. Selalunya, buat kali pertama, jarang pelajar saya dapat selesailkan. Namun, setelah dilatih beberapa kali, mereka jadi semakin cepat.

Lama kelamaan, ada pelajar saya yang apabila lihat sahaja soalan, mereka sudah tahu jawapannya. Rekod terpantas yang dapat dicatatkan oleh pelajar saya ialah 2 minit untuk 100 soalan. Betul 100%. Alhamdulillah, pelajar ini mendapat gred A dengan mudah dalam subjek Matematik pada peperiksaan UPSR.

Jadi, mulai hari, latih kepantasan untuk skor A tahun ini. Selamat mencuba. :)

Petua 6

Sudah beberapa minggu tergendala perbincangan kita mengenai petua skor A 2008 kan? Hmm… agak sibuk sedikit kebelakangan ini tetapi tidak mengapa, saya akan habiskan tulisan saya mengenai 7 petua ini.

Petua yang ke-6 untuk skor A tahun 2008 ini ialah ‘jaga kesihatan fizikal dan mental’. Mudah sahaja bunyi petua ini tetapi tahukah kita bagaimana menjaga kesihatan fizikal dan mental. Mari kita mulakan dengan kesihatan fizikal dahulu.

skor a 2008Selalunya, apabila sudah terlalu bersemangat untuk skor A, pelajar lupa menjaga kesihatan tubuh badan mereka. Mereka terperap dalam rumah atau bilik untuk membaca buku. Mereka enggan keluar berjalan-jalan atau bersenam.  Mereka juga mula tidak menjaga makan minum mereka di mana mereka tidak makan dengan cukup, makan berlebihan atau makan makanan yang tidak berkhasiat.

Saya percaya tidak perlu diterangkan mengapa kesihatan fizikal itu penting untuk skor A. Kita kena ingat, minda tidak boleh berfungsi dengan baik jika fizikal kita tidak berada dalam keadaan yang baik.

Sama seperti kereta, ia tidak berfungsi dengan baik jika ada sebarang kerosakan pada enjinnya. Jadi, apa yang perlu kita lakukan untuk menjaga kesihatan fizikal dalam usaha skor A 2008 ini?

  • Pertama, banyakkan makan makanan yang berkhasiat. Ia boleh dilakukan dengan memakan buah-buahan segar atau sayur-sayur segar.  Kebanyakan zat-zat yang kita perlukan boleh didapati di dalam makanan-makanan ini. Jika sukar mendapat makanan berkhasiat, penggunaan ’supplement’ atau zat tambahan yang boleh dibeli di pusat kesihatan atau farmasi juga boleh membantu.
  • Kedua, banyakkan minum air yang bersih. Sukar untuk saya terangkan lebih lanjut mengenai air bersih ini. Namun, air yang dicadangkan oleh Dr Bruce Miller (penulis buku-buku kesihatan termasuk buku mengenai penyakit darah tinggi, kencing manis dan sebagainya) mencadangkan air reverse osmosis atau air yang sudah disuling. Kalau kita pergi ke kedai, kita boleh lihat banyak air minuman yang dijual dalam botol bukan? Selalunya kita hanya panggil air minuman itu dengan nama air mineral. Tetapi bukan semua air itu air mineral. Ada diantaranya ialah air reverse osmosis. Ia selalunya juga ditulis sebagai ‘drinking water’. Dapatkan nasihat seseorang yang lebih pakar daripada saya mengenai perkara ini supaya tidak ada keraguan. :)
  • skor a 2008Luangkan masa 30 hingga 60 minit sehari untuk berpeluh. Mudah sahaja bunyinya kan? Kalau kita berjalan kaki ke kedai pun kadang-kadang sudah ambil masa 30 minit dan kita akan berpeluh.  Itu pun sudah lebih baik daripada asyik terperap di dalam rumah.
  • Lakukan senaman regangan otot 5 – 10 minit sehari. Apabila kita asyik belajar dan duduk di atas kerusi sepanjang masa, otot kita boleh jadi kejang dan tidak selesa.  Perjalanan darah juga akan jadi tidak lancar.  Jadi dengan membuat senaman regangan otot, kita akan rasa lebih segar dan selesa. Mudahlah nanti untuk kita sambung belajar.
  • Lebih menarik lagi, luangkan masa bermain sukan dengan kawan-kawan 30 hingga 60 minit sehari. :)

Petua 6.1

Petua yang ke-6 untuk skor A tahun 2008 ini ialah ‘jaga kesihatan fizikal dan mental’. Saya telah terangkan mengenai tips menjaga kesihatan fizikal. Kali ini, kita bincangkan tips menjaga kesihatan mental pula.

Kesihatan mentalKita perlu faham, kadangkala tekanan perasaan yang kita rasa sebagai pelajar boleh menjadi terlalu hebat hingga ia memusnahkan kebolehan kita untuk berfikiran rasional. Ada ketikanya, pelajar boleh jatuh sakit secara fizikal (demam, letih badan, pening kepala atau kerengsaan kulit) atau secara mental (separuh gila, gila atau hilang akal). Berat juga perkara ini kerana saya sendiri pernah menyaksikan sahabat saya sendiri jatuh sakit secara mental akibat tekanan perasaan semasa belajar dan masih tidak pulih sepenuhnya hingga ke hari ini.

Ada beberapa perkara yang kita boleh lakukan untuk menjaga kesihatan mental kita ini.

  • Pertama, kekalkan imej positif di dalam minda kita. Tekanan perasaan selalunya disebabkan kita terlalu memikirkan perkara-perkara yang menakutkan seperti gagal peperiksaan atau tidak mampu menjawab dengan baik dalam dewan peperiksaan. Hari ini, senaraikan perkara-perkara yang boleh buat kita gembira setiap kali memikirkannya. Apabila kita rasa tertekan, terus lihat pada senarai ini dan fikirkan tentang perkara tersebut. Saya pasti ia boleh membantu mengurangkan tekanan yang kita rasakan.
  • Kesihatan mentalMula berkawan rapat dengan kawan-kawan yang ceria, cemerlang dan yang suka memberi dorongan dan sokongan. Tujuan ini bukan untuk kita pergi kepada mereka dan luahkan masalah kita kerana masalah yang kita bawa akan melemahkan mereka juga. Pergi kepada mereka untuk tiru cara mereka hadapi tekanan perasaan mereka. Pelajar cemerlang selalunya berfikiran positif dan menganggap tekanan perasaan sebagai satu cabaran yang seronok untuk ditempuhi. Ia sama seperti kita bermain sukan. Semakin sukar permainan itu, semakin seronok untuk kita cuba memenanginya.
  • Jaga ibadah harian. Selain daripada menunaikan sembahyang wajib, luangkan juga masa untuk melakukan ibadah sunat yang digalakkan dalam agama kita. Saya selalu percaya bahawa air sembahyang adalah satu senjata hebat pelajar cemerlang untuk mengurangkan tekanan perasaan mereka. Disamping itu, membaca Al-Quran selepas Subuh dan Asar benar-benar boleh menenangkan fikiran dan menambahkan keselesaan dan kelapangan di dalam hati kita.

Selamat mencuba. 🙂

Petua 7

Petua ketujuh untuk skor A 2008 ini ialah ‘dapatkan sokongan daripada ibu bapa, guru dan rakan-rakan’. Sekali lagi ringkas sahaja bunyi petua ini tetapi adakah kita tahu mengapa sokongan mereka ini semua sangat penting dalam usaha mencapai gred A dalam tahun ini?

Skor A 2008Begini. Semasa kita berusaha untuk mencapai matlamat, kita akan menghadapi pelbagai rintangan dan cabaran. Rintangan dan cabaran ini mungkin datang dalam bentuk kegagalan, kekecewaan dan rasa sakit hati akibat macam-macam perkara. Contohnya, kalau kita nak skor A dalam subjek

Bahasa Inggeris, mungkin kita tidak akan selalu mendapat gred tersebut. Ada kalanya kita dapat gred B, C, D atau gagal. Cabaran ini boleh menggugat keyakinan dan semangat kita untuk berjaya.

Jadi, dalam keadaan begini, ibu bapa, guru dan rakan-rakanlah yang boleh membantu menaikkan semula semangat dan keyakinan diri yang semakin jatuh itu. Namun, tidak semudah itu untuk mendapat sokongan mereka. Di sini saya akan kongsikan bagaimana caranya untuk mendapat sokongan mereka. Mari kita mulakan dengan bagaimana mendapat sokongan daripada ibu bapa.

Secara umumnya, ibu bapalah yang paling mudah untuk menyokong dan memberi semangat kepada kita. Ini adalah kerana kejayaan kita mencerminkan kejayaan buat diri mereka juga. Malah, banyak ketikanya, ibu bapalah yang lebih risau berbanding pelajar apabila menjelang peperiksaan (pernah lihat situasi begini?).

Walaupun mereka mudah menyokong, ada beberapa perkara yang perlu kita lakukan agar mereka lebih mudah memahami cabaran yang sedang kita tempuhi.

  • Skor A 2008Pertama, belajar untuk meluahkan apa yang terbuku di hati kepada ibu bapa. Masalah biasa dikalangan pelajar dan ibu bapa ialah hilangnya kebolehan untuk mereka berkomunikasi dengan baik. Perkara ini selalu saya lihat dalam sesi kaunseling yang saya jalankan terutamanya apabila anak-anak meningkat dewasa (dari umur 12 hingga 17 tahun). Jika anda ada masalah atau kerisauan, cuba bincangkan dengan ibu bapa. Saya faham ini bukan perkara mudah. Namun setelah anda buka mulut dan berkongsi masalah dengan ibu bapa, fikiran mereka akan jadi lebih terbuka untuk menyokong kita. Contohnya, jika kita sedang risau dan tertekan, jangan hanya berdiam diri dan mula menunjukkan perangai-perangai yang tidak menyenangkan. Perasaan tertekan tidak akan hilang dengan cara begitu. Apa kata jumpa ibu bapa, beritahu mereka yang kita sedang rasa tertekan dan minta nasihat mereka untuk membantu diri kita. Saya percaya mereka akan bantu.
  • Kedua, ceritakan kepada ibu bapa tentang matlamat kita untuk mencapai kejayaan. Ceritakan kepada mereka mengapa kita mahu capai kejayaan.  Kemudian, berterus-terang dengan mereka yang kita perlukan sokongan dan restu mereka untuk merasa lebih bersemangat. Ibu bapa mana yang tidak akan gembira dan menyokong jika anak-anak mereka sudah bertekad untuk berjaya.
  • Ketiga, dalam masa yang sama, walaupun sedang berusaha untuk berjaya, jangan lupa untuk membantu ibu bapa di rumah.  Kerja-kerja rumah selalunya tidak terlalu membebankan untuk kita. Setelah kita bantu meringankan beban ibu bapa di rumah, hati kita akan jadi lebih tenang. Ibu bapa kita juga akan rasa tenang. Jadi, lebih mudahlah untuk mereka membantu kita nanti.

Selamat mencuba. :)

Petua 7.1

Skor A 2008Petua ketujuh untuk skor A 2008 ini ialah‘dapatkan sokongan daripada ibu bapa, guru dan rakan-rakan’. Semalam saya sudah terangkan bagaimana untuk mendapat sokongan ibu bapa. Kali ini, mari kita bincangkan bagaimana untuk mendapat sokongan guru dan rakan-rakan.

Para pembaca yang saya hormati sekalian, sokongan guru adalah antara perkara terpenting dalam mencapai matlamat kejayaan kita. Untuk skor A, saluran paling utama untuk mencapainya ialah melalui guru kita.

Apabila guru kita bersungguh-sungguh untuk membantu dan membawa kita ke arah kejayaan, lebih mudah untuk kita ke sana. Banyak ketikanya pelajar dan ibu bapa merungut mengatakan guru tidak bersungguh-sungguh dan tidak peduli dengan kejayaan muridnya.

Malah ada yang menuduh guru hanya menganggap sekolah sebagai tempat mencari duit dan tempat untuk mempunyai kerjaya sahaja. Saya percaya tanggapan ini salah.

Skor A 2008Mengapa? Sepanjang pengalaman saya berkenalan dengan guru sama ada di zaman persekolahan atau dewasa, saya lihat semua guru mahu anak muridnya berjaya. Satu sebabnya tentulah kerana itu tanggungjawab mereka.

Namun satu sebab yang boleh kita percayai ialah kejayaan anak murid melambangkan kejayaan guru itu juga. Guru yang hebat pasti boleh melahirkan anak murid yang hebat. Jadi, persoalan guru tidak serius atau tidak bersungguh-sungguh harus diketepikan.

Apa yang perlu kita fikirkan ialah mengapa guru lebih bersungguh-sungguh mengajar murid lain berbanding kita? Hmm… sekali lagi, jangan buruk sangka. Lihat semula kepada diri kita.

Adakah kita selalu melawan cakap cikgu, degil, tidak beri tumpuan dalam kelas, terlalu ‘loyar buruk’, tidak hormat, tidak pernah siapkan kerja sekolah dan mengutuk guru itu dibelakangnya? Jika kita pernah atau biasa lakukan ini semua, adakah guru akan serius untuk membantu kita?Tentu tidak bukan?

Jadi, mulai hari ini, cari jalan untuk mendekati dan mendapat sokongan guru kita. Saya ada tulis 7 petua untuk memikat hati guru di dalam blog ini. Untuk membaca kompilasinya, klik disini. Dengan 7 petua ini, saya percaya kita akan lebih mudah mendapat perhatian dan sokongan guru meskipun guru itu sibuk dengan tugas dan tanggungjawab hariannya.

Selamat mendapat sokongan guru dan selamat memikat hati mereka. :)

Petua 7.2

Skor AKita sudah sampai ke tips terakhir dalam 7 petua skor A 2008 ini. Dalam petua ketujuh yang lepas, saya sudah terangkan kepentingan menjaga hubungan baik dengan ibu bapa dan guru. Kali ini saya akan terangkan kepentingan dan juga teknik untuk menjaga hubungan baik dengan rakan sebaya.

Untuk pengetahuan kita semua, rakan sebaya adalah orang-orang yang paling hebat dalam membantu kita mencapai kejayaan akademik. Satu sebab utamanya ialah mereka ini mempunyai tahap fikiran yang sama dengan kita. Jadi jika mereka faham sesuatu, mereka boleh terangkan kepada kita dengan lebih mudah.

Rakan sebaya juga boleh menjadi sumber rujukan dan sistem sokongan kepada kita. Ada banyak ketikanya kita tidak dapat luahkan masalah atau kerisauan hati kita kepada guru atau ibu bapa tetapi rakan-rakan rapat kita akan sentiasa bersedia mendengar dan menyokong kita.

Namun kita perlu berhati-hati. Tidak semua rakan sebaya boleh membantu kita. Ada yang akan cuba menarik kita kearah kegagalan walaupun bukan itu niat mereka. Contohnya jika kita berkawan dengan pelajar yang malas, walaupun dia baik dan rapat dengan kita, dia akan membuat kita terikut-ikut dengan perangai malas atau nakalnya.

Skor AUntuk skor A 2008 ini, ada beberapa tips yang perlu kita praktikkan.

  • Pertama, dekati rakan-rakan berfikiran positif, rajin dan bersemangat untuk berjaya. Dalam masa yang sama, kurangkan masa yang kita luangkan dengan pelajar-pelajar yang malas, bermasalah disiplin dan suka merungut. Gabungan tindakan kita ini akan menaikkan semangat kita untuk belajar dengan lebih baik.
  • Belajar bagaimana mahu menambahkan jumlah kawan. Kemahiran berkawan adalah satu kemahiran yang sangat penting kerana tanpanya, tidak ramai pelajar yang mahu berkawan dengan kita. Jadi, baca tips kemahiran berkawan (Klik disini) dan 7 petua memikat hati rakan sebaya ( klik disini)

Selamat mencuba. :)

Petua 7.2

skor a 2008Alhamdulillah. Saya telah berjaya menulis 7 petua skor A untuk tahun 2008 ini. Petua-petua ini sebenarnya adalah hasil bacaan saya selama ini dan juga hasil pemerhatian saya terhadap pelajar-pelajar cemerlang yang saya kenali. Saya selalu percaya bahawa skor A dalam peperiksaan adalah umpama kita sedang belajar memasak daripada seorang Chef yang handal. Jika kita ikut satu-persatu apa yang dilakukan termasuk menggunakan sukatan yang 100% sama, kita pasti akan dapat hasil yang sama.

Seperti pelajar cemerlang yang mampu skor A juga, kita boleh jadi seperti mereka jika kita amalkan apa yang mereka amalkan. Antara apa yang mereka amalkan ialah 7 petua yang saya kongsikan di sini. Mari kita ulang semula ketujuh-tujuh petua ini.

  1. Tulis gred yang kita mahu capai.
  2. Kenal pasti kekuatan dan kelemahan.
  3. Uruskan masa berpandukan matlamat.
  4. Latih tubi.
  5. Tingkatkan kepantasan dan ketepatan.
  6. Jaga kesihatan fizikal dan mental.
  7. Dapatkan sokongan ibu bapa, guru dan rakan-rakan.

Saya ucapkan selamat mencuba petua-petua ini dan selamat berjaya!

 

6 Comments

Leave a Comment