Motivasi

Sehari bersama mahasiswa mahasiswi UITM Sabah

UITM Sabah 

Pada hari Jumaat (19 September) lalu saya berpeluang buat pertama kalinya menjejakkan kaki ke UITM Sabah. Program yang saya jalankan kali ini ialah program SmartStudy Learning Skills khusus untuk pelajar diperingkat universiti.
Alhamdulillah saya rasa semuanya berjalan dengan lancar. Lebih seratus pelajar yang menghadiri program ini. Masalah yang saya hadapi cumalah kesuntukan masa memandangkan program dijalankan pada hari Jumaat. Jadi lebih banyak masa perlu diberikan untuk memberi ruang kepada Sembahyang Jumaat. Namun saya percaya ini bukanlah satu masalah serius kerana saya telah berjaya menyampaikan beberapa mesej utama yang penting buat pelajar.

UITM Sabah

Di dalam program ini, antara mesej utama yang saya sampaikan kepada pelajar ialah mereka perlu ingat bahawa mereka mempunyai kebolehan intelektual berbanding orang lain. Itulah sebabnya mereka berjaya menjejakkan kaki ke universiti. Namun ramai pelajar yang sudah lupa atau tidak sedar tentang perkara ini. Akibatnya, mereka jadi lemah semangat, tidak bersungguh-sungguh semasa belajar dan tidak ada keyakinan diri. Mereka perlu juga ingat bahawa kegagalan mereka untuk mendapatkan keputusan yang baik di universiti bukanlah petunjuk kepada kebolehan sebenar mereka. Ia cuma menunjukkan bahawa strategi mereka di masa tidak berkesan.
Jadi, jika mereka ubah strategi mereka kepada strategi yang lebih berkesan, tentu mereka boleh ubah keputusan mereka kepada keputusan yang lebih memuaskan.

En Ardey & En Ajimin

Saya ucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada En Ajimin (gambar di atas, paling kanan) yang mula-mula sekali menghubungi Creative Questions Enterprise untuk menjalankan program ini. Saya sangka orangnya garang dan tegas. Bila sudah berjumpa, sangat peramah dan ‘friendly’ perwatakannya. Juga ucapan terima kasih kepada En Ardey (gambar diatas, paling kiri) yang sentiasa berhubung dengan staff saya En Arif bagi menjayakan program ini. En Ardey telah bersusah payah menjemput saya di lapangan terbang, menguruskan penginapan saya dan menghantar pula saya pulang pada hari terakhir saya di Sabah tempohari. En Ardey merupakan salah seorang kaunselor di UITM Sabah ini. Terima kasih En Ardey. 🙂

Pensyarah UITM

Tidak lupa kepada para pensyarah yang turut serta menjayakan program ini terutamanya kepada Cik Norhayat, kaunselor UITM Sabah dan Cik Rusalbiah, pengarah program daripada unit kecemerlangan akademik UITM Sabah. Kemudian, terima kasih kepada En Saiman yang menguruskan pengangkutan saya sepanjang program. Akhir sekali, terima kasih kepada semua pelajar yang begitu sporting dan bekerjasama sepanjang program dijalankan. Semoga berjumpa lagi. 🙂

read more
Osman AffanSehari bersama mahasiswa mahasiswi UITM Sabah

Brain Based Learning bersama Pusat Minda Terengganu

Pusat Minda 

Semalam (Sabtu, 2 Ogos) saya berada di kampung halaman Terengganu Darul Iman bagi menjayakan program yang bertajuk Brain Based Learning bersama lebih 100 guru daripada Sekolah Menengah Kebangsaan Ibrahim Fikri, Seberang Takir Terengganu. Program ini dijalankan di Dewan Konvensyen Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu.
Program ini dianjurkan oleh Pusat Minda Terengganu yang berperanan menganjurkan program-program dan usaha bagi memajukan tahap pemikiran dan intelektual rakyat negeri Terengganu. Usaha murni kali ini ialah untuk mendedahkan para guru kepada beberapa teknik menggunakan keupayaan otak dalam mempelajari sesuatu yang baru.
Semasa upacara pembukaan, CEO Pusat Minda, Datuk Hj Saidi telah memberi beberapa penjelasan yang sangat menarik. Kata beliau begitu banyak usaha yang dijalankan untuk memastikan guru-guru pandai mengajar. Hasilnya tidak dinafikan begitu ramai guru yang hebat mengajar. Namun sayangnya, kehebatan guru mengajar tidak cukup jika pelajar sendiri tidak tahu bagaimana teknik untuk belajar. Jadi penekanan perlu diberikan kepada usaha membekalkan pelajar dengan teknik belajar berkesan agar kehebatan guru mengajar tadi dapat disambut dengan kebolehan pelajar untuk belajar. Ini pasti boleh memberikan hasil yang dinginkan. Saya sangat bersetuju dengan kata-kata Dato’ Hj Saidi ini.

Guru SMK Ibrahim Fikri 

Program kali ini juga sangat istimewa kerana di dalam senarai guru yang hadir, turut hadir ialah 3 guru yang pernah mengajar di sekolah saya iaitu di SMKA Tok Jiring. Dua daripada guru ini pernah mengajar saya iaitu Cikgu Rahaida dan Ustazah Rahimah. Tidak dapat saya bayangkan betapa seronoknya saya dapat bertemu semula dengan guru-guru saya ini. Ustazah Rahimah terutamanya, beliau mengajar saya Bahasa Arab semasa saya berada di tingkatan 1. Saya masih ingat lagi cara beliau mengajar dan bagaimana beliau memberikan semangat kepada saya untuk menjadi seorang yang berjaya suatu hari nanti. Alhamdulillah, Ustazah Rahimah masih ingat pada saya sebagai muridnya walaupun kali terakhir saya belajar dengan beliau ialah 19 tahun lalu! Terima kasih ustazah! 🙂  (Bila berbual dengan beliau, saya rasa saya jadi budak tingkatan 1 semula)
Saya ucapkan terima kasih kepada pihak Pusat Minda terutamanya Dato’Hj Saidi dan Dr. Wan Shaari kerana telah menjemput saya bagi menjayakan program ini. Tidak lupa ucapan terima kasih dan tahniah kepada semua guru yang hadir meskipun mereka agak sibuk dengan aktiviti-aktiviti lain yang mungkin lebih penting. Semoga pertemuan semalam membuahkan hasil dan manfaat yang diinginkan. 🙂

read more
Osman AffanBrain Based Learning bersama Pusat Minda Terengganu

Universiti, cita-cita, masalah & rakan sebaya

Assalamualaikum….En.Osman
MasalahSaya merupakan salah seorang pelajar di upm….sebenarnya saya ingin berkongsi satu masalah dengan En..dan kalau boleh saya ingin sedikit pandangan daripada En. Semasa saya mula mendaftar sebagai mahasiswa di upm pada tahun lepas saya mempunyai 3 sahabat yg paling rapat,1 lelaki,2 perempuan..semua kerja kami lakukan bersama..mereka semua amat baik kepada saya..semasa kami berada di semester 1 kami banyak membuang masa & abaikan pelajaran akibatnya..lama kelamaan saya mulai lalai dan mengikut saja kehendak mereka..saya lupa untuk belajar& mengulangkaji pelajaran..
mungkin saya dah capai matlamat saya untuk jejakkan kaki di U sebab itulah saya banyak membuang masa..berbeza sangat semasa saya berada d sekolah dahulu belajar bagai nak rak sebab niat di hati nak masuk universiti…1 tahun saya berkawan dgn mreka telah menjadikan diri saya orang lain..saya rasa saya bukan lagi diri saya yang dahulu sebelum menjejakkan kaki di U…saya terpaksa menjadi orang lain untuk menjaga hati kawan2 saya..kalau saya tidak mengikut kehendak mereka, mereka akan pulaukan saya…
saya ikut jer kehendak mereka kerana saya takut kehilangan kawan…disebabkan kawan pointer saya untuk sem 2 jatuh…saya sedih sangat kerana saya telah mengecewakan harapan ma &abah saya…..sekarang saya berada di tahun 2…saya cuba mengelak daripada kawan saya….tapi mereka kata saya pentingkn diri…dalam masa yang sama saya tak tahu macam mana nak selesaikan masalah saya…kawan2 yang lain dah cop kami 4 orng ni adalah satu sahabat yg sejati tapi dalam masa yang sama mereka tidak tahu masalah saya..saya mula menjauhkan diri daripada mereka..kerana bagi saya tindakan ini amat memberi keselesaan kepada saya & saya mula kenal diri saya yang dahulu…
apabila kawan lain perasan yang saya tak join lagi dengan diorang..ramai la yang bertanya kenapa? Saya tak tahu nk jawab ape? Saya masih anggap diaorang kawan & saya masih bertegur sapa dengan mereka tapi mereka macam tak nak bercakap dengan saya….betulkah saya pentingkan diri?Patutkah saya menjauhkan diri dari mereka untuk menjadi diri saya yang sebenar? Apa  yg patut saya buat sekarang? ~NA~
Osman AffanWaalaikumsalam warahmatullah.
NA, nasihat utama saya seperti biasa ialah dapatkan khidmat kaunselor supaya NA dapat lihat jalan penyelesaian yang mungkin lebih baik dan jelas. Dalam masa yang sama, ada beberapa perkara yang ingin saya kongsikan.
Pertama, kawan adalah penting. Kawan yang baik boleh membantu seseorang mencapai kejayaan yang mungkin sukar diperolehi jika diusahakan seorang diri. Namun NA kena ingat, bukan semua kawan mempunyai ciri-ciri begitu. Saya selalu kongsikan bersama pelajar tentang kawan yang sifat mereka seperti sauh kapal. Mereka tenggelam semakin jauh ke dalam laut dan mahu kita turut tenggelam sama.
Tidak perlu risau jika hilang kawan seperti sauh ini. Seumur hidup, ada begitu banyak peluang untuk bertemu kawan baru. Ini bukan bermaksud perhubungan dengan sahabat tadi perlu diputuskan. Ia bermaksud, teruskan dengan usaha mencapai apa yang mahu dicapai dan jangan bimbang jika kawan-kawan itu tidak setuju. Satu hari nanti jika NA gagal dan kecewa kerana tidak dapat apa yang dihajatkan, kawan-kawan begini tidak dapat janjikan apa-apa.
Kedua, berhenti melihat menuding jari kepada kawan di atas kegagalan diri. Saya faham ada kawan-kawan yang mempengaruhi NA untuk malas belajar. Memang senang untuk salahkan mereka. Tetapi perlu ingat, kita perlu salahkan diri sendiri kerana jika kita tidak mahu malas, tidak ada sesiapa pun yang boleh mempengaruhi kita. Lagipun, selagi kita rasa ada orang yang menyebabkan kegagalan kita, kita akan sentiasa sakit hati dan marah. Perasaan itu langsung tidak akan membantu membawa kita ke arah kejayaan. Tambahan pula, perasaan itu akan menutup mata hati dan fikiran kita untuk melihat jalan penyelesaian.
Salahkan diri sendiri pula tidak bermaksud perlu bersedih, menangis atau menyendiri. Lebih baik jika kita menyalahkan diri sendiri dengan mengakui kesilapan diri dan cari jalan untuk mengubahnya sekarang juga!
Matlamat dan cita-citaAkhir sekali, jangan terlalu risau tentang apa orang kata. Orang memang suka berkata-kata. 🙂 Buat baik orang kata, buat jahat lagilah orang kata. Lebih baik fokus kepada apa yang nak dicapai. Tuliskan semula apa yang nak dicapai sebelum sesi pembelajaran di UPM berakhir. Bayangkan bagaimana rasanya kalau semua yang ditulis itu berjaya dicapai. Ini lebih mampu menaikkan semangat untuk terus berusaha.
Jika tidak keberatan, teruskan membaca apa yang saya kongsikan di blog ini. Mulai minggu depan saya akan tulis mengenai situasi pembelajaran pelajar-pelajar di universiti.
Selamat berjaya!

read more
Osman AffanUniversiti, cita-cita, masalah & rakan sebaya

Majlis ilmu bersama para penulis PTS

Semalam saya berada di Sekolah Al-Ikhlas Taman Permata bagi meluangkan masa bersama beberapa penulis hebat PTS. Perjumpaan ini merupakan satu majlis ilmu di mana kami berkongsi pengetahuan dan pengalaman mengenai banyak perkara terutamanya mengenai industri latihan. Ini juga merupakan salah satu aktiviti awal TAMRIN (Pertubuhan Perunding Latihan & Motivasi Muslim Malaysia).
Puan Ainon, Sifu Unika PTS mengetuai majlis ilmu ini dengan berkongsi begitu banyak sekali maklumat dan pengalaman. Turut hadir di majlis ilmu ini ialah Dr. Tengku Asmadi, Tuan Fauzul Naim, Tuan Fadzli Yusof, Tuan Shamsuddin Kadir, Tuan Zamri Mohamad, Puan Norlela Zubir, Tuan Sabtu dan anakanda beliau Tuan Azzam. (Gambar ihsan Tuan Sabtu. Tidak ada di dalam gambar, Tuan Zamri Mohamad & Puan Norlela Zubir)

Majlis Ilmu Tamrin

Satu perkara yang sangat menarik mengenai majlis ilmu ini bagi saya ialah majoritinya ialah ‘trainer’. Bayangkan bagaimana agaknya majlis ilmu kecil yang dihadiri oleh orang-orang yang mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing? Bagi saya, minda saya seperti meletup-letup dengan ilham dan cara pemikiran yang baru. Apa yang saya sedar, kepakaran seseorang adalah sangat berharga. Namun apabila digabungkan kepakaran-kepakaran itu, ia menjadi lebih hebat dan bernilai.
Ini mengingatkan saya kepada konsep ‘Master Mind Group’ yang banyak diperkatakan di barat. Master Mind Group ialah sekumpulan orang yang berkumpul dengan tujuan ingin berkongsi dan menambahkan ilmu pengetahuan sesama mereka. Mereka selalunya mempunyai kepakaran yang berbeza-beza. Mereka membuat perjumpaan atau berhubung melalui email untuk berkongsi maklumat-maklumat baru yang mereka perolehi. Dengan perkongsian begini, sesuatu maklumat dan pengetahuan baru itu lebih cepat dikuasai dan lebih mudah dipraktikkan dengan berkesan.
Saya lihat majlis ilmu bersama penulis ini sebagai Master Mind Group juga. Namun, lebih tepat kalau saya katakan ini adalah Islamic Master Mind Group. Banyak perbincangan kami berkisar di sekitar mengkaji semula sama ada latihan yang kami berikan kepada peserta selama ini menjurus ke arah pemikiran barat atau ke arah pemikiran Islam yang sejati.
Disebabkan kebanyakan buku popular mengenai kepimpinan, motivasi, perniagaan, keusahawanan dan sebagainya datang daripada barat, ada kecenderungan ‘trainer-trainer’ muda masa kini (termasuklah saya walaupun sudah tidak terlalu muda) mengikut model barat atau menggunakan contoh-contoh daripada barat (terima kasih Puan Ainon kerana menyedarkan saya tentang perkara ini). Ini menyebabkan orang barat semakin disanjungi padahal kejayaan orang-orang tempatan atau orang-orang Islam juga tidak pernah kurang hebatnya.
Ini membuka mata dan hati saya agar berusaha lebih keras untuk mengkaji dan menyebarkan kepada peserta tentang kehebatan orang-orang Islam kita sendiri tentang kehebatan dan kecemerlangan yang sudah lama wujud di dalam diri. Semoga pertemuan sebegini akan berterusan dan ilmu yang dikongsikan dapat disebarkan kepada lebih ramai orang agar ia dapat memberi manfaat kepada semua.

read more
Osman AffanMajlis ilmu bersama para penulis PTS

Strategi Pembelajaran Cemerlang bersama Pelajar UPM

 Universiti Putra Malaysia

Selepas selesai program bersama UDM di Terengganu, saya bergegas ke KL semula untuk menjayakan program bersama mahasiswa dan mahasiswi Universiti Putra Malaysia. Program ini bertajuk ‘Strategi Pembelajaran Cemerlang’. Sangat menarik dan cantik banner yang digunakan untuk program ini.
Program kali ini saya diminta menekankan tentang kepentingan menetapkan matlamat untuk pelajar. Saya kongsikan bersama pelajar beberapa langkah dalam menetapkan matlamat dan bagaimana mahu menaikkan semangat belajar dengan menulis matlamat yang benar-benar bertenaga dan hebat. Matlamat yang hebat selalunya adalah sesuatu yang agak mendebarkan untuk dicapai kerana kita ada rasa bimbang jika ia hanya menjadi angan-angan kosong. Namun ia mesti mampu membuat kita rasa bersemangat setiap kali kita membayangkan saat di mana ia tercapai.

Universiti Putra Malaysia 

Dalam masa yang sama, saya kongsikan tips ringkas bagaimana pelajar boleh menggunakan teknik belajar yang berkesan dalam menghafal apa yang mereka pelajari. Pesan saya kepada pelajar ialah tidak perlu menghafal semua yang mereka baca. Sebaliknya, cuma hafal kata kunci atau isi penting dan berlatih untuk mengembangkan idea daripada kata kunci tersebut.
Saya juga sempat berkongsi tips ringkas dalam pengurusan masa. Bagi saya, untuk pelajar di peringkat universiti, yang berjaya dan gagal selalunya ditentukan oleh kebolehan mereka membahagikan masa yang mengisi masa mereka dengan perkara yang membawa mereka ke arah matlamat mereka. Ada satu pesan saya yang paling penting di sini, “Jika pelajar mahu berjaya suatu hari nanti, berlatih untuk bangun tidur tepat pada waktu yang telah mereka sendiri tetapkan.” Maksud saya, jika mereka kata mahu bangun pukul 6.30 pagi dan bunyikan jam loceng, disiplinkan diri untuk benar-benar bangun pada waktu tersebut.

Universiti Putra Malaysia 

Jika mereka perlu bangun awal untuk pergi ke kelas, pastikan mereka benar-benar bangun tidak kira pukul berapa pun mereka tidur pada malam sebelumnya. Jika pelajar gagal amalkan ini, tahap disiplin diri mereka akan menurun dan mereka akan rasa tidak mampu menjamin kejayaan mereka dalam bidang akademik.
Terima kasih saya ucapkan kepada unit kaunseling UPM terutamanya Encik Zaliazam dan pihak urusetia program yang memberi layanan yang sangat baik dan istimewa kepada saya dan krew sepanjang program dijalankan. Semoga program ini dapat mencetuskan sedikit api di dalam diri pelajar untuk terus berusaha dan maju.

read more
Osman AffanStrategi Pembelajaran Cemerlang bersama Pelajar UPM

Kedegilan di zaman kanak-kanak

Satu perkara yang saya sedar sejak menceburkan diri dalam bidang ‘training’ ialah saya mula melihat kepada ‘apa yang boleh dipelajari’ dalam situasi yang saya hadapi. Contohnya, jika saya sedang berjalan dan terpijak lubang hingga hampir jatuh, saya mula terfikir bahawa pasti ada orang yang akan menyalahkan lubang tersebut kerana berada di tengah jalan atau pasti juga ada orang yang menyalahkan pihak berkuasa kerana tidak melakukan sesuatu untuk menutup lubang tersebut. Namun yang lebih penting, saya pasti saya perlu menyalahkan diri saya sendiri kerana terlalu leka berjalan hingga tidak sedar ada lubang di tengah jalan.
Sama seperti apabila saya melihat gelagat anak-anak saya. Setiap kali saya lihat anak-anak saya menunjukkan sifat degil, keras kepala atau terlalu manja, saya selalu cuba kaitkan dengan diri saya sendiri suatu masa dulu dan juga sekarang. Walaupun saya kurang selesa apabila anak saya menangis dengan kuat dan buat hal di depan orang ramai, saya terfikir tentu ibu bapa saya juga mengalami masalah yang sama suatu masa dulu. Selalu saya dengar cerita ibu saya tentang dalam 4 adik-beradik saya, sayalah yang paling banyak kerenah semasa kecil dahulu.
Ini membuat saya terfikir, adakah kedegilan saya di masa kecil dulu merupakan satu perkara yang baik atau sebaliknya? Sampai sekarang dalam beberapa perkara tentang hidup saya masih lagi sangat degil. Pelik juga kadangkala apabila saya terfikir bahawa kedegilan saya itu ada membawa kejayaan yang membanggakan buat saya. Adakah ini bermakna saya perlu kekal degil dan tidak pedulikan kata-kata orang lain? Setiap kali saya melihat kedegilan anak-anak saya, saya terfikir ‘adakah kedegilan mereka ini akan membantu mereka apabila mereka dewasa nanti?’.
Bagaimana dengan anda? Cuba imbas kembali zaman kanak-kanak anda. Adakah anda degil dan susah dikawal oleh ibu bapa? Adakah anda jenis kanak-kanak yang kalau mahukan sesuatu, anda tidak akan berhenti meminta sehinggalah anda dapat apa yang anda mahukan? Adakah anda degil dan keras kepala hingga tidak ada sesiapa pun yang boleh menukar fikiran anda? Fikirkan situasi di mana anda begitu degil tentang sesuatu dan ingat semula apa yang anda perolehi akibat kedegilan itu.

read more
Osman AffanKedegilan di zaman kanak-kanak

Mengimbas kembali zaman kanak-kanak

Jika anda seorang ibu atau bapa, tentu anda pernah lalui saat-saat di mana anda begitu asyik memerhatikan gelagat anak-anak anda semasa kecil. Bagi saya sendiri, saya rasa begitu seronok memerhatikan gelagat dan perkembangan minda anak-anak saya yang semakin hari semakin menjadi-jadi. Sesetengah orang akan mendefinisikan perkembangan minda anak-anak ini sebagai ‘semakin nakal’ atau ‘semakin buas’ tetapi realitinya, anak-anak ini sedang mempelajari sesuatu yang baru setiap hari berdasarkan interaksi dengan persekitaran mereka.
Saya sebenarnya mahu mengajak anda berfikir tentang satu perkara. Pernahkah anda melihat gelagat kanak-kanak kecil dan tiba-tiba terfikir, “Ish…. aku masa kecik dulu macam ni juga perangainya….”?
Lebih menarik lagi, pernahkah anda terfikir bahawa kadangkala perangai kita orang dewasa masih lagi terbawa-bawa perangai semasa kita di zaman kanak-kanak dahulu? Ada antara kita yang semasa kecil kecil suka menangis dan merajuk apabila tidak dapat apa yang kita inginkan. Apabila sudah dewasa, kita tidak lagi menangis tetapi masih lagi merajuk dan mengharapkan seseorang membantu kita untuk mendapatkan sesuatu yang kita mahu.
Ada antara kita semasa kecil mempunyai perangai yang sangat degil. Begitu degil hingga jika kita mahukan sesuatu, kita tidak akan berhenti meminta atau mencuba hingga kita mendapatkannya. Adakah kita masih mempunyai kedegilan sebegitu? Jika kita masih degil begitu, tentu sudah ada beberapa kejayaan besar yang sudah kita kecapi sekarang ini.

DarwishDarwish

Saya sering berkongsi cerita mengenai perangai anak sulung saya, Darwish kepada para peserta program. Anak sulung saya ini suka minum Vitagen. Kalau sekali minum, bukan sebotol, kadangkala sampai 3 botol dimintanya. Saya dan isteri selalu bimbang jika dia sakit perut kerana minum berlebihan.
Ada satu hari, ketika saya sedang menonton televisyen bersama isteri, Darwish meminta vitagennya seperti biasa. “Abah, nak Vitagen.” Kalau minta Vitagen memang lancar dan jelas pertuturannya walaupun baru berusia 2 tahun setengah.
Saya berikan. Cepat dia habiskan kemudian dia minta lagi. Saya berikan sebotol lagi. Apabila sudah habis botol kedua, Darwish datang lagi dan meminta yang ketiga. Saya mahu hentikan tabiat minum terlalu banyak ini jadi saya kata, “Cukup la ye, esok pulak.” Boleh anda teka apa reaksi Darwish? Ya, dia menangis dan meraung sambil berguling-guling di depan televisyen.
Saya dan isteri sudah masak dengan perangai itu jadi kami biarkan sahaja. Lebih 5-10 minit, setelah penat menangis, Darwish berhenti. Saya dan isteri rasa sedikit lega kerana mungkin dia sudah lupa tentang vitagennya. Kemudian Darwish datang kepada saya perlahan-lahan, peluk tengkuk saya, hadapkan mukanya ke depan muka saya, TERSENGIH sambil berkata, “Abah, Vitagen eh?”
Isteri saya sudah mula menutup mulut kerana menahan ketawa. Saya pula tidak tahu apa reaksi yang patut saya berikan. Apa saya lakukan….? Pergi ke peti ais dan berikan Darwish sebotol lagi Vitagen.
Hmm… rasa-rasanya, apakah yang telah saya pelajari daripada perangai dan gelagat anak saya ini?

read more
Osman AffanMengimbas kembali zaman kanak-kanak

Lapar Perut, Lapar Minda

 Lapar perut, lapar minda

Jika anda terdengar orang daripada Terengganu berkata, “Lapar perut ah.” ia cuma bermaksud yang dia sedang rasa lapar. Ketika mula-mula berpindah ke Terengganu semasa di sekolah rendah dulu, selalu juga saya tergelak apabila mendengar ungkapan-ungkapan yang jarang saya dengar dalam loghat Terengganu. Pahit lepang, Putih lepuk, masam gebang, masin gebing dan banyak lagi. Masih saya ingat ketika berada di dalam darjah dua, saya diketawakan kawan-kawan sekelas apabila bertanya, “Eh, samah tu seringgit eh?” (Samah bermaksud lima puluh sen).
Kini, semua loghat tu sudah menjadi sebati dengan diri saya. Malah anak sulung saya kalau mahu kata ‘tak nak’ dia akan kata ‘Tak emboh’ dan kalau dia kata ‘tidak’ dia akan kata ‘dok’. Kini anak saya ini pula yang sering menjadi sumber lawak jenaka apabila saya membawanya ke pusat tuisyen saya di Keramat Permai. Pelajar-pelajar saya suka mengusik dan mendengar loghatnya terutamanya apabila dia berkata, “Mama…nok makang aiskring eh…” 🙂
Sebenarnya, saya bukan hendak bercerita tentang loghat Terengganu  hari ini. Sekadar terlintas fikiran saya tentang rasa perut yang lapar. Kalau perut kita lapar, selalunya susah untuk buat sesuatu dengan rasa tenang kan? Asyik teringatkan makanan-makanan yang menyelerakan. Kalau berterusan rasa lapar, rasa begitu susah untuk laksanakan sesuatu hingga kadang-kadang kita rasa tanpa perut yang berisi, hampir semua perkara tidak menjadi.
Namun, pernahkah kita terfikir tentang minda kita yang lapar? Minda juga seperti perut, memerlukan makanan untuk sihat dan segar. Tanpa makanan, minda akan sentiasa kelaparan dan kesannya memang boleh kelihatan. Contohnya, minda yang lapar boleh menyebabkan seseorang berfikiran negatif. Apabila lihat kejayaan orang lain, mula rasa dengki dan syak wasangka. Mula rasa orang itu kuat bodek dan mengampu. Mula terasa hendak menuduh yang bukan-bukan.
Minda yang lapar juga boleh membuat seseorang itu berkhayal bahawa dia sudah tahu segalanya. Bila sudah tahu segalanya, mulalah dia rasa belajar sesuatu yang baru itu tidak perlu. Mulalah dia rasa dia lebih pandai daripada semua orang. Jadi, jika anda lihat seseorang yang rasa asyik dia sahaja yang betul dan semua orang lain salah, ada kemungkinannya mindanya sedang kelaparan.
Berita buruknya di sini ialah minda yang lapar jarang boleh membawa kepada kejayaan. Ini kerana minda yang lapar mampu menutup mata pemiliknya daripada melihat sesuatu di dalam pandangan yang lebih luas dan besar. Pelajar yang lapar mindanya tidak akan dapat lihat mengapa pentingnya dia fokus dan dengar kata-kata guru dan ibu bapanya. Pekerja yang lapar mindanya tidak mampu melihat mengapa dia perlu meningkatkan kualiti kerjanya. Ibu bapa yang lapar mindanya tidak mampu melihat mengapa anak-anak mereka dimarahi oleh guru-gurunya di sekolah. Pendek kata, minda yang lapar jarang boleh membawa kepada kejayaan yang diinginkan.
Jadi, bagaimanakah mahu mengelakkan diri kita daripada mengalami kelaparan minda? Ada beberapa cara sebenarnya. Salah satu cara yang sangat baik ialah dengan membaca buku. Bukan sebarangan buku tetapi buku yang boleh membawa kepada pembangunan diri. Bukan buku hiburan, bukan majalah berita dan bukan majalah gosip (saya selalu percaya majalah gosip akan membuat minda semakin kelaparan).

Lapar perut lapar minda

Apa kata mulakan hari ini dengan membaca satu muka surat buku-buku mengenai pembangunan diri. Jika anda boleh meminjam buku tersebut, bagus. Jika tidak boleh pinjam, apa kata keluarkan sedikit belanja untuk minda kita yang mungkin sedang kelaparan. Agak mengejutkan juga apabila saya sering diberitahu oleh staff saya yang ada individu dan organisasi yang meminta ‘naskhah percuma’ buku-buku saya. Mengapa naskhah percuma? Katanya mereka mahu membuat penilaian sama ada pelajar mereka memerlukan buku-buku tersebut. Staff saya bertanya kepada saya, “buku RM15 pun nak kena bagi percuma baru nak baca ke?”. Saya hanya tersenyum tanpa menjawab. 🙂
Selamat membaca.

read more
Osman AffanLapar Perut, Lapar Minda

Surat daripada Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan PutraJaya

Semalam saya menerima satu surat yang difakskan ke pejabat saya. Surat itu datangnya daripada Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan PutraJaya. Sebelum ini saya ada dimaklumkan oleh staff saya En Arif mengenai program yang bakal dijalankan bersama JPWP PutraJaya ini. Cuma selagi belum ada pengesahannya, saya jarang hendak memikirkannya.
Alhamdulillah, surat ini melantik saya sebagai pengendali atau penceramah untuk Seminar Kecemerlangan Dan Kemahiran Belajar Untuk Pelajar-Pelajar UPSR, PMR dan SPM Sekolah-Sekolah Wilayah Persekutuan PutraJaya. Saya sebenarnya agak gembira dengan perlantikan ini kerana bagi saya ini adalah satu kepercayaan yang telah diberikan kepada saya. Semoga seminar yang bakal saya jalankan akan memberi manfaat dan membuka mata pelajar ke arah kecemerlangan yang mereka idam-idamkan selama ini.
Berikut adalah maklumat lanjut mengenai seminar tersebut.
Seminar Kecemerlangan UPSR & PMR 2008
Tarikh: 3 Julai 2008 (Khamis)
Masa : 8 pagi hingga 5 petang
Tempat: Dewan SMK Putrajaya Presint 9(2)
Seminar Kecemerlangan SPM 2008
Tarikh: 7 Julai 2008 (Isnin)
Masa : 8 pagi hingga 12.30 tengahari
Tempat: Dewan Pavilion, Jabatan Perdana Menteri

read more
Osman AffanSurat daripada Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan PutraJaya

3 Sumber Keyakinan diri – Kesimpulan

Osman AffanAlhamdulillah. Saya telah kongsikan 3 sumber keyakinan diri untuk kita semua gunakan bagi meningkatkan tahap keyakinan diri kita. Bagi saya, tanpa keyakinan diri, kita sukar untuk melakukan sesuatu terutamanya sesuatu yang baru. Kita akan sukar untuk meletakkan matlamat kejayaan kerana kita bimbang dan tidak yakin bahawa kita boleh berjaya.
3 Sumber keyakinan diri yang telah saya kongsikan itu ialah

  1. Kejayaan dan kenangan manis di masa lalu’
  2. Sokongan daripada orang-orang yang mengenali diri kita.
  3. Cara kita berfikir dan fokus apabila sesuatu menggugat keyakinan diri kita. Untuk mudah mengingati sumber ketiga ini, ingat 2 perkara 
    1. Apabila kita rasa rendah diri dan tidak yakin, bandingkan diri kita kepada orang lain yang kurang berjaya dan yang selalu kalah dengan pencapaian diri kita.
    2. Apabila kita mahu meningkatkan semangat diri kita untuk terus berjaya, kita bandingkan diri kita dengan orang lain yang lebih hebat, lebih berjaya dan lebih bersemangat daripada kita.

Insyaallah saya akan letakkan hasil tulisan ini di dalam ruangan kompilasi tips dan petua dalam masa terdekat ini. Semoga perkongsian ini dapat memberi manfaat kepada kita yang membaca dan yang mencubanya. 🙂

read more
Osman Affan3 Sumber Keyakinan diri – Kesimpulan