Di rumah susah, di asrama pun susah.

Di rumah susah, di asrama pun susah.

Saya menerima email ini daripada A.I. mengenai cabaran yang dihadapinya. 
‘saya salah seorang calon yang akan menghadapi SPM tahun 2010. saya menghadapi masalah belajar di rumah mahupun di sekolah.saya berasa amat takut untuk menghadapi peperiksiaan yang kian hampir.hal ini amat mencabar saya kerana saya merupakan anak bongu dalam lapan beradik.hampir kesemua adik beradik saya berjaya melanjutkan pelajaran ke pengajian tinggi dan ada yang sudah menamat pengajian mereka.apa yang menghimpit saya ialah cabaran dari adik beradik untuk menjadi yang terbaik dalam kalangan mereka.
yang menjadi masalah bagi saya ialah saya kurang teknik belajar yang baik untuk saya.saya cuba mempraktikkan kesemua cara yang diberikan oleh adik beradik. namun saya masih tidak boleh memaksa diri saya untuk melakukan cara-cara sebegitu.apa yang patut saya buat?saya masih mengharapkan keputusan yang cemerlang kelak.selain itu, saya menhadapi masalah ketika saya berada di asrama harian.
yang menjadi masalah saya ialah rakan saya tidak suka saya belajar lebih dari mereka.jadi bagaimanakah harus saya tangani masalah ini.saya amat mengharapkan bantuan daripada anda.saya cukup rasa tertekan.’
yang amat berharap., A.I.
Osman AffanA.I., terima kasih kerana menghantar email kepada saya. Setelah saya baca email A.I. ini saya terfikir tentang beberapa perkara.
Pertama, cabaran boleh jadi sesuatu yang baik jika dipandang daripada sudut yang betul. Jika abang-abang dan kakak-kakak mencabar A.I. untuk jadi yang terbaik, apa kata sahut cabaran mereka? Buat sesungguh hati untuk jadi yang terbaik dan paling cemerlang. Paling teruk pun yang akan berlaku ialah A.I. tewas atau tidak dapat mengalahkan prestasi adik beradik lain. Paling teruk pun akan berlaku jika tewas ialah diejek dan dijadikan bahan gurauan oleh adik beradik yang menang. Itu semua tidak boleh menjejaskan kesihatan fizikal atau mental kita jika kita kekal ceria dan berusaha untuk menyahut cabaran lain pula.
Namun, apa akan jadi kalau A.I. berjaya jadi yang terbaik dan kalahkan prestasi mereka? Hebat bukan? Apa kata dalam masa cuti sekolah yang tinggal beberapa hari ini, fikirkan, “kalau aku berjaya kalahkan prestasi adik beradik aku, apa aku nak buat nanti ya?” Lihat apa yang akan berlaku kepada sikap dan keyakinan diri jika asyik fikirkan soalan positif tersebut.
Kedua, benar, teknik belajar amat penting. Cuma perlu diingat, ada banyak jenis dan versi teknik belajar dalam dunia ini. Jika teknik belajar yang diajarkan oleh adik beradik tidak menjadi, apa kata cari teknik belajar lain dalam versi lain pula. Tambahan lagi, teknik belajar versi adik beradik pasti akan menghasilkan keputusan yang lebih kurang sama seperti mereka. A.I. mahukan keputusan yang lebih baik bukan? Jadi cari teknik belajar lain sebanyak mungkin dalam mana-mana versi yang sesuai untuk A.I. Mana tahu mungkin teknik belajar versi Osman Affan lebih menarik dan sesuai? 🙂
Saya cadangkan A.I. dapatkan teknik belajar daripada 2 tempat iaitu daripada buku dan kursus dan seminar teknik belajar. Buku teknik belajar senang dicari sekarang ini. Seminar dan kursus teknik belajar juga selalu dianjurkan oleh pihak sekolah. Jadi belajar teknik tersebut sebaik mungkin. Teknik belajar adalah umpama pengasah kapak yang kita gunakan untuk menebang pokok. Kalau kapak tumpul, susahlah hendak menebang dengan cepat dan berkesan. Teknik belajar yang lebih hebat pula umpama gergaji automatik berkuasa tinggi. Lebih cepat menebang, lebih senang kerja dan lebih sedikit tenaga yang digunakan. Usahakan di awal tahun 2010 ini untuk mencari semua jenis teknik belajar yang ada terutamanya yang sesuai untuk A.I. amalkan.

SmartStudy

Akhir sekali, ada pepatah yang mengatakan bahawa jika kita mahu terbang di langit bersama sang helang, kita mesti berhenti mencakar bersama ayam di tanah. Di sekolah, kita kena buat keputusan tentang kawan kita. Kalau berkawan dengan kawan yang suka mengutuk dan melemahkan semangat kita untuk belajar, apakah faedahnya di masa akan datang? Satu hari nanti 20 tahun akan datang kita tidak boleh salahkan sesiapa jika kita gagal dalam peperiksaan atau gagal dalam mencapai matlamat hidup. Jadi, pilih kawan yang boleh membantu menaikkan semangat dan usaha kita untuk menjadi yang terbaik.
Dalam masa yang sama, saya tidak kata yang A.I. perlu tinggalkan atau putuskan tali persahabatan dengan kawan yang tidak memberikan sokongan ini. Apa yang perlu dilakukan ialah kurangkan masa dengan mereka dan pekakkan telinga terhadap apa yang mereka kata. Paling penting, jangan gunakan mereka sebagai alasan yang kita susah nak belajar. Kalau kita nak pergi kelas tetapi hari hujan, patutkah kita salahkan hujan jika kita tidak pergi ke kelas? Jika tidak boleh salahkan hujan, apakah yang perlu kita lakukan? Ya, pakai payung atau baju hujan. Kalau payung dan baju hujan tidak ada, saya cadangkan berlarilah di dalam hujan sambil bergelak ketawa kerana baju yang basah tidak boleh menggugat keceriaan yang ada di dalam hati kita ini.
Selamat berjaya A.I.
p/s Berhati-hati dengan cara menulis ayat. Email A.I. nampaknya tidak mengendahkan langsung tentang cara menulis seperti yang dipelajari di sekolah (huruf besar, huruf kecil dan tanda bacaan). Bimbang menjadi tabiat yang tidak boleh dilupakan hingga hari peperiksaan. Tulis dengan betul walaupun semasa menghantar sms. 🙂

Comments are closed.