Jangan berkawan dengan mereka!

Jangan berkawan dengan mereka!
.
Pernahkah anda dengar seseorang merungut tentang sesuatu? Sudah tentu pernah bukan? Cuba ingat semula, apa yang mereka selalu rungutkan? Maksud saya, mereka asyik-asyik merungut tentang apa? Kerja banyak? Sakit hati dengan orang itu dan ini? Dianiaya? Itu dan ini tidak adil? Semua orang penipu dan pembelit? Pilih kasih?Senarai rungutan tentu tidak putus-putus bukan?

Saya percaya anda (tidak kira pelajar atau orang dewasa) sudah biasa mendengar rungutan daripada seseorang. Namun, apa yang mungkin anda tidak perasan atau kurang sedar ialah, orang yang selalu merungut itu adalah orang yang memang sentiasa merungut dalam hidupnya.

Mereka pergi kerja, merungut tentang bos yang terlalu ‘tegas’ dan tidak bertolak ansur. Jika bos mereka bertolak-ansur dan tidak tegas, mereka akan merungut mengatakan bos tidak ada ciri-ciri kepimpinan.

Rungutan mereka ini membuat mata mereka tertutup yang di tempat kerja mereka terdapat 1001 perkara yang boleh membuat mereka bersyukur dan menarik nafas lega. (Percaya atau tidak, orang yang kuat merungut akan merungut tentang artikel saya ini dan mengatakan saya tidak lihat situasi sebenar di tempat kerja mereka. 🙂   )

Pelajar yang kuat merungut pula akan merungut tentang infrastruktur sekolah (kerusi senget, almari buruk dan dewan macam pondok nenek kebayan), cikgu tidak pandai mengajar dan boring, buku teks terlalu tebal dan kawan-kawan sekolah yang tidak ada ‘CLASS’.Satu contoh mudah, jika anda atau kawan anda ada akaun facebook, buka dan lihat secara umum status kawan-kawan anda. Setiap hari anda akan terjumpa tulisan-tulisan status yang berbunyi rungutan, sumpahan,  keluhan, tidak puas hati, marah dan bermacam-macam lagi luahan negatif.

Kadangkala saya terasa pelik, adakah dengan merungut dan mengeluh begitu akan buat hidup mereka berubah?Mesej yang ingin saya kongsikan kali ini adalah ringkas sahaja. Jika anda kenal sesiapa yang kuat merungut, mengeluh dan menyalahkan orang lain terhadap sesuatu yang berlaku kepada mereka, JANGAN BERKAWAN DENGAN MEREKA!!

Namun, satu peringatan, maksud jangan berkawan bukan bermakna saya minta anda putuskan hubungan persahabatan atau persaudaraan dengan mereka. Maksudnya ialah jauhkan sedikit diri kita daripada mereka. Kita tentu masih ingat apa yang Ustazah dan Ustaz kita ajar semasa di sekolah mengenai perumpamaan berkawan dengan tukang besi dan penjual minyak wangi. Saya berani katakan dengan yakin bahawa apa yang kita belajar itu adalah benar.Berkawan dengan orang kuat merungut membuat kita juga mudah merungut.

Kita mungkin tidak suka merungut tetapi disebabkan asyik mendengar orang merungut, kita turut rasa seronok merungut (aktiviti merungut seronok tetapi di dalam hati terasa panas dan bahu terasa beban yang amat berat).”Habis, kalau tidak merungut, saya hendak buat apa? Takkan nak biarkan begitu sahaja?”Seorang guru agama mengajar saya, altenatif kepada merungut ialah

  • Beristighfar. Mohon keampunan daripada Allah kerana manalah tahu rasa hendak merungut itu datang daripada kesilapan atau dosa yang baru kita lakukan.
  • Maafkan kesalahan orang yang menganiayai diri kita dan anggap itu satu ujian Allah buat diri kita.
  • Fikirkan apakah hidayah/petunjuk atau pengajaran yang mungkin Allah mahu kita perolehi daripada sesuatu situasi itu.

Apa yang saya pelajari daripada buku-buku psikologi mengenai alternatif kepada merungut ialah

  • Duduk, tarik nafas dalam-dalam dan kosongkan fikiran. (Kosongkan fikiran dengan hanya fokuskan minda kepada bunyi pernafasan kita. Dengar bunyi udara yang masuk dan keluar).
  • Bayangkan situasi yang membuat kita hendak merungut seperti melihatnya di televisyen dalam minda.
  • Jika nampak situasi itu di dalam minda, gelapkan gambarnya dan kecilkan gambar tersebut sehingga tidak kelihatan lagi.

Apa yang saya sendiri simpulkan daripada semua ajaran ini mengenai alternatif kepada merungut ialah

  • JANGAN BERKAWAN DENGAN ORANG YANG KUAT MERUNGUT!

🙂

Comments are closed.