Kemahiran & Teknik Menghafal

0

Minggu lepas saya ada ceritakan ‘gambar’ adalah bahasa memori anda. Maksudnya, memori anda lebih mudah memahami gambar berbanding tulisan. Saya juga ada berikan beberapa tips kepada anda untuk menukarkan nota anda kepada bentuk gambar dengan mencari kata kunci pada nota anda.


Hari ini, saya akan ceritakan bagaimana anda boleh menghafal atau mengingat semua kata kunci yang telah anda tukarkan kepada bentuk gambar tadi.


Katakan anda ada lima kata kunci dalam nota anda. Setelah anda tukarkan kepada gambar, apakah cara terbaik untuk anda mengingatinya? Cuba teknik yang saya namakan ‘cerita kreatif’ ini.
 

Katakan, 5 kata kunci saya ialah

  1. Kucing
  2. Karipap
  3. Selipar Jepun
  4. Besi buruk
  5. Masjid

Setelah anda tukarkan kepada bentuk gambar, anda patut membuat satu cerita ringkas supaya anda mudah untuk mengingatnya. Ada 3 syarat utama semasa anda membuat cerita tersebut.

  1. Cerita itu mesti ringkas dan pendek.
  2. Cerita itu mesti menggunakan kata kunci nota anda mengikut turutan.
  3. Cerita itu mesti mengaitkan semua kata kunci tadi.

Contohnya, anda boleh tulis cerita ringkas itu begini:
“Kucing saya sedang makan karipap sambil memakai selipar Jepun. Tiba-tiba sebatang besi buruk jatuh di depannya dan ia terus berlari sampai ke masjid di belakang rumah saya


Apabila anda tulis cerita ini, anda patut bayangkan bagaimana agaknya kalau kucing anda makan karipap sambil memakai selipar Jepun. Imaginasi anda atau apa yang anda bayangkan ini akan membantu daya kekuatan memori anda.
 

Dalam masa yang sama, saya cadangkan anda lukiskan cerita anda itu. Maksudnya, seperti contoh cerita saya tadi, saya akan lukiskan seekor kucing sedang makan karipap sambil memakai selipar Jepun. Gunakan imaginasi anda untuk melukis gambar tersebut. Gambar anda tidak semestinya gambar yang cantik seperti lukisan pelukis kartun professional. Cukup sekadar gambar itu dapat menggambarkan cerita anda tadi. Tetapi, harapnya, jangan anda lukis gambar kucing tapi jadi gambar lembu sudahlah. :)


Untuk membuat cerita anda lebih mudah diingati, ada 3 lagi tips tambahan.


1. Cerita anda tidak semestinya logik atau munasabah – Anda tidak perlu risau tentang tatabahasa, jalan cerita mengarut, tidak masuk akal dan sebagainya. Cerita yang menarik selalunya pelik daripada biasa. Lebih pelik cerita itu, lebih mudah anda ingat.


2. Masukkan aksi dalam cerita anda – Jika cerita anda cuma “Saya ada kucing. Saya pergi beli karipap di pasar. Saya pakai selipar Jepun semasa ke pasar. Kemudian saya nampak sebatang besi buruk di depan masjid di hadapan pasar tersebut.” Cerita yang begini agak membosankan dan anda akan mudah lupa pada cerita ini. Letakkan aksi yang menarik dan yang boleh membuat anda rasa berminat pada cerita tersebut.


3. Masukkan unsur-unsur komedi dalam cerita anda – Anda akan lebih mudah ingat cerita yang kelakar berbanding cerita yang serius. Cerita yang kelakar juga boleh meningkatkan tahap kreativiti anda. Jadi, buat cerita yang kelakar dan mencuit hati anda.


Gunakan teknik ini untuk menghafal nota-nota anda. Saya cadangkan anda bekerjasama dengan beberapa orang kawan anda untuk menghasilkan nota yang kreatif begini. Mungkin ada kawan anda yang pandai melukis dan mungkin kawan anda yang pandai membuat cerita-cerita kelakar menggunakan kata kunci dalam nota anda.


Jika anda bekerjasama seperti belajar berkumpulan contohnya, anda boleh hasilkan nota-nota begini dengan labih cepat dan menarik. Setelah anda ingat kata kunci dalam nota anda, anda akan rasa lebih yakin semasa menjawab soalan dalam dewan peperiksaan nanti. Anda perlu mula mencuba teknik ini kerana setelah anda cuba beberapa kali, anda kan jadi lebih biasa dan lebih cepat untuk menghasilkan nota dalam bentuk begini. Selamat mencuba.

Comments

  • lieya

    memang best kalau baca teknik2 ni..tp susah lah nk buat kalau xda smangat nk study..bnyk sangat masalah dlm otak ni!!!!…hmmmm….

  • sy sllu buat ayat yang klakar2 supaya mudah ingat…mmg best…bila exam je,senyum :) alhamdulillah

  • cik kak

    kalo teori ssh la nk buat kata kunci.

  • pelajar peninglalat

    sya rsa ini agak susahlh….sbb sya peljar agama jd yg kna d’hfl tu dlm bhasa arab…. Bahasa arab pun sya blm mahir lagi….