Kemahiran & Teknik Menghafal

0

smart studyMinggu lepas anda telah pelajari teknik untuk menghafal kata kunci dalam subjek anda dengan menjadikannya sebuah cerita yang kreatif. Anda perlu terus berlatih dan mencuba teknik tersebut kerana anda mungkin rasa janggal pada mulanya. Hari ini, saya mahu terangkan beberapa perkara yang boleh membantu anda untuk menghafal apa yang telah anda pelajari.


Minggu lepas, saya jalankan satu program bersama pelajar dalam bidang perundangan di Matrikulasi Universiti Islam Antarabangsa yang bertajuk “Study Skills Workshop” (anda boleh baca tentang program ini di laman web saya www.osmanaffan.com/program.htm). Di dalam program ini, saya terangkan jelaskan dua petua utama untuk menghafal dengan lebih mudah setelah mereka pelajari teknik membuat nota kreatif, teknik menukarkan kata kunci kepada gambar dan teknik membuat cerita kreatif (kita telah pelajari teknik ini semua dalam minggu-minggu yang lalu).


Petua pertama
Petua pertama saya ialah pelajar perlu faham apa yang dimaksudkan dengan pembelajaran input dan output. Apabila anda sedang belajar dan cuba menghafal sesuatu, itu adalah proses input di mana anda sedang cuba memasukkan maklumat ke dalam minda anda. Selalunya, ini yang paling kerap anda lakukan selama ini.


Apabila anda membuat nota, anda sebenarnya sedang menukarkan fakta-fakta yang anda pelajari ke dalam bentuk yang anda mudah ingat dan anda mudah simpan di dalam minda anda.


Apabila anda membaca buku dan mendengar penerangan guru anda di sekolah, anda sedang melakukan perkara yang sama. Tanpa proses input ini, tidak akan ada maklumat yang anda ingat dan sudah pasti tidak ada maklumat juga yang anda boleh tuliskan semasa peperiksaan nanti.


Namun, ada satu masalah yang mungkin timbul apabila anda terlalu banyak membuat proses input ini tanpa membuat proses seterusnya iaitu output. Apabila anda terlalu banyak menghafal, anda mungkin telah hafal banyak perkara, tetapi, apabila di dalam dewan peperiksaan, mampukah anda mengingatinya semula untuk menjawab soalan-soalan peperiksaan? Mungkin boleh tetapi jika anda berlatih menggunakan proses output ini, anda akan lebih mudah menjawab soalan peperiksaan.


Begini, setelah anda hafal sesuatu, anda perlu berlatih untuk menulis apa yang anda telah hafal di atas kertas. Contohnya katakan anda telah hafal rukun Islam dan rukun Iman. Ambil satu kertas, bayangkan anda sedang disoal dengan soalan ini,  “Nyatakan 5 rukun Islam dan 6 rukun Iman mengikut turutan.”  

 

Kemudian, anda jawab soalan tersebut dengan menulisnya di atas kertas tadi. Tulis jawapan tersebut seolah-olah anda benar-benar sedang menjawab soalan peperiksaan.


Lakukan proses ini untuk semua subjek atau fakta yang telah anda hafal. Proses output ini sebenarnya melatih anda untuk mencari maklumat yang telah anda simpan di dalam minda anda dengan cepat. Jika anda tidak berlatih dengan cara ini, mungkin anda boleh ingat apa yang anda telah hafal, tetapi mungkin ia memakan masa sedikit. Latihan begini akan membuat anda cekap untuk menjawab semasa peperiksaan.


Petua kedua
Petua kedua ialah untuk menghafal semasa minda anda sedang segar. Bilakah minda anda terasa segar? Ini adalah berbeza bagi setiap pelajar. Bagi saya sendiri, minda saya rasa segar selepas yang bangun tidur. Ini tidak semestinya pada waktu pagi. Sewaktu saya mewakili sekolah rendah saya (SK Tok Jiring) dalam pertandingan menghafaz Al-Quran dulu, saya akan tidur sekejap sebelum saya menghafal. Tidak perlu tidur lama, cukup dengan 20 hingga 30 minit sahaja. Apabila saya bangun, minda saya terasa segar sedikit dan saya akan rasa mudah untuk menghafal.


Anda juga boleh gunakan teknik ini. Cuma anda perlu ingat, jangan gunakan teknik ini sebagai alasan untuk tidur dengan banyak dan tidak membuat kerja.   Hasil tulisan ini semua pernah dipaparkan di akhbar Sinar Harian Terengganu. Saya harap ia dapat membantu anda mengenali potensi diri anda dalam menghafal. Saya juga harap anda semua dapat meningkatkan kebolehan diri anda dalam mengingati apa yang telah anda pelajari. Selamat berjaya. :)  

 

Comments

  • Alhamdulillah….terima kasih atas petua2 yang tlah diberikan.. InsyaAllah saya cuba praktikkan..

  • Terima kasih kembali Hidayah.

  • NasiDagang

    Salam..bagus apa yang dikongsikan tu, banyak beri manfaat.
    SK Tok Jiring tahun bila tu?Saya pernah di sana, peperiksaan penilaian tahun 1985 :)

  • Tuan/Puan Nasi Dagang. SK Tok Jiring UPSR tahun 1988. :)

  • bdak form 1

    insyaallah saya cuba buat….terima kasih atas mklumat ini…saya pernah mncuba mnghafal dan tulis balik apa yg sya baca…mmang berkesan…