Kemahiran Tidak Datang Sekelip Mata

Ijazah saya adalah dalam bidang perakaunan. Antara kerjaya pertama saya adalah dalam bidang perakaunan juga. Jadi bukan tugas saya untuk bercakap di hadapan khalayak ramai.
Lebih teruk lagi, selepas berhenti kerja dalam bidang perakaunan, saya hadapi masalah GUGUP DARAH GEMURUH yang agak KRONIK.

Kronik bagaimana? Kronik di tahap kalau saya rasa berdebar walaupun sedikit atau terfikir sahaja tentang sesuatu yang mendebarkan, tangan saya akan terus menggeletar dengan sangat kuat.
Hari ini, ramai yang selalu bertanya kepada saya, jadi trainer ni, zaman sekolah dulu biasa masuk debat atau pidato ke? Hihi.. jauh sekali.
Saya tidak ada bakat berdebat atau berpidato sebab saya ini jenis yang kelam kabut kalau bercakap dan selalu pula bercakap dengan sangat laju. Kena beri ucapan ringkas 2 minit di depan kelas pun boleh jadi kelam kabut.
Persoalannya, daripada mana TIBA-TIBA saya ada kebolehan untuk bercakap dihadapan khalayak ramai dan mampu pula menarik perhatian mereka agar mendengar celoteh saya daripada awal hingga akhir?
Jawapan saya, kebolehan itu TIDAK DATANG SECARA TIBA-TIBA. Maksud saya juga, kemahiran itu tidak datang sekelip mata. Gambar di bawah menunjukkan antara memori awal saya berlatih bercakap di hadapan khalayak ramai.
Gambar pertama di bawah diambil pada bulan Mac 2004. Jumlah pelajar sudah agak ramai. Lebih 30 orang saya rasa. Pada bulan Januari tahun yang sama, saya bermula dengan bercakap di hadapan 12 orang pelajar sahaja.
Kemahiran Tidak Datang Sekelip Mata
Kemahiran Tidak Datang Sekelip Mata 2
Saya bercakap selama 1 jam (sekali seminggu) di hadapan semua pelajar Pusat Tuisyen SmartStudy dalam kelas yang saya namakan KELAS KEMAHIRAN BELAJAR.
Saya masih ingat bagaimana tangan saya menggeletar dan bagaimana rasanya melihat pelajar ketawa kecil dan tersengih-sengih apabila mereka sedar tangan saya sedang menggeletar.
Melompat beberapa tahun ke depan, saya sudah selesa bercakap di hadapan khalayak ramai. Ratusan malah mungkin ribuan kali latihan saya berdiri di hadapan audiens membuat saya jadi semakin mahir dan faham bagaimana cara menarik perhatian mereka. Malah, masalah tangan menggeletar itu HILANG begitu sahaja.
Ini membuatkan saya rasa, semakin besar saiz audiens, semakin seronok rasanya usaha yang boleh dilakukan untuk menarik perhatian mereka. Hasilnya, berdiri di hadapan 3000 pelajar menjadi satu pengalaman yang paling menyeronokkan.
Jadi, sekali lagi, buat sahabat, adik-adik pelajar dan rakan trainer yang pernah bertanya saya bagaimana saya tiba-tiba ada kebolehan untuk bercakap di hadapan khalayak ramai, jawapan saya ialah kemahiran itu tidak datang sekelip mata. Ia juga bukan kerana BAKAT semulajadi saya.
Saya percaya, jika ada keinginan untuk mampu bercakap dengan baik di hadapan khalayak ramai, selain daripada belajar daripada guru atau mentor, perlu cari peluang sebanyak mungkin untuk berdiri dan bercakap di hadapan khalayak ramai. Biar ratusan, biar ribuan kali.
Selamat Menambahkan Kemahiran.

1 Comment

  • AINALMARDIYA BINTI MOHD HATTA says:

    Saya x yakin bila present kat dpn rmai org..huhu..dri dluu smpai skg bha…dah practice byk kli ttp jg nervous baa…

Leave a Comment