Kesian saya… Siapalah saya…

Kesian saya… Siapalah saya…

Pernahkah anda terdengar keluhan orang-orang yang bersimpati dengan dirinya sendiri? Orang-orang begini kelihatan seperti orang yang bertimbang rasa, baik hati dan mudah memahami orang lain. Jadi apabila ada sesuatu yang berlaku kepada mereka, mereka akan kata, ‘Tidak mengapalah, siapalah saya….”
Saya percaya bahawa orang-orang yang suka bersimpati dengan diri sendiri akan hadapi kesukaran  yang besar untuk mencapai kejayaan. Contoh-contoh orang begini

  • Apabila gagal perniagaan disebabkan pengurusan kewangan yang lemah, mereka kata, “aku ni memang tak ada bakat berniaga. Aku bukan macam usahawan jutawan tu..dia bolehlah…. belajar sampai universiti, aku belajar sampai tingkatan 3 je..Siapalah aku ni….”
  • Apabila dimarah bos kerana lewat datang kerja, mereka kata “Asyik aku je yang kena marah…mamat tu tak kena marah pun…ye lah….siapalah aku ni…kuli je….”
  • Apabila kena marah dengan guru kerana tidak siap kerja sekolah, mereka kata, “Kerja sekolah tak siap sikit pun nak marah-marah. Ye lah….siapalah aku…aku bukan anak emas dia….”
  • Apabila gagal menghubungi atau menelefon seseorang yang berilmu dan berjaya (untuk bertanyakan tentang ilmu tersebut), mereka kata, “Ye lah, siapalah aku…tak sama darjat, tak bolehlah nak jawab panggilan telefon aku….tak bolehlah nak berkawan dengan aku….”

Merendah diri itu bagus tetapi merendah diri dengan berkata begini cuma menunjukkan bahawa kita tidak mahu melihat situasi sebenar dan tidak mahu menyelesaikan masalah sebenar yang berlaku. Komen-komen contoh yang saya berikan di atas cuba menunjukkan bahawa kita ini adalah mangsa. Apabila kita rasa kita ini adalah mangsa, ia bermaksud kita rasa kita tidak bersalah. Kalau tidak bersalah, mengapa perlu ubah sesuatu? Mengapa perlu datang kerja awal bukan? Mengapa perlu siapkan kerja sekolah? Mengapa perlu mantapkan pengetahuan tentang pengurusan kewangan?
Tabiat terlalu simpati dengan diri sendiri ini sangat-sangat melemahkan keyakinan diri kita. Ia juga satu tabiat yang memalukan kerana kita sebenarnya tidak mahu mengaku kesilapan diri kita sendiri. Saya sering perhatikan yang orang-orang begini selalunya akan sentiasa mengulangi kesilapan yang mereka lakukan. Mengapa? Sebab mereka cepat menjadikan diri mangsa hingga langsung tidak berfikir tentang kesilapan yang mereka lakukan.
Sebaliknya, orang yang tidak mudah simpati dengan dirinya akan sentiasa mencari jalan untuk memperbaiki sesuatu. Apabila dimarahi oleh bos kerana lewat, dia akan mohon maaf dan segera sedar bahawa datang lewat itu adalah salah. Jadi selepas itu dia akan sentiasa datang awal. Hasilnya, dia mungkin mendapat pujian atau sekurang-kurangnya dapat membaiki prestasi kerjanya.
Apabila gagal perniagaan kerana kelemahan pengurusan kewangan, dia akan segera sedar dan fokuskan usaha untuk memperbaiki kelemahan ini. Jadi, tidak ada lagi kelemahan dan perniagaan yang akan datang pasti akan lebih berpotensi untuk berjaya.
Apa kata hari ini kita semua elakkan daripada menjadi orang-orang yang suka bersimpati dengan diri sendiri. Orang begini suka merajuk, sangat sensitif terhadap teguran malah sensitif terhadap gurauan daripada orang-orang disekeliling dan hanya mahu melihat sesuatu menurut perspektif dirinya sahaja. Bukan sahaja dia akan hadapi kesukaran untuk berjaya malah saya percaya dia akan hadapi kesukaran untuk mendapat kawan-kawan yang baik.
Selamat tidak bersimpati dengan diri sendiri. 🙂

No Comments

  • ooh…mcm tu ya..Abg Osman boleh tolong nasihat saya sikit?saya buat duit secara online..
    skg ni keluarga saya ni jenis tak minat berniaga dan tak suka dengan online biz..saya yakin dengan diri saya..
    saya pnah gak ckp pelah saya da kuarga mcm ni..tak mau tolong takpe ah tapi jgn pandang rendah…
    saya tak rasa pula nak stop bila parents saya ckp saya boleh buat ke…seoalah2 mrk pandang rendah…
    saya fikir nak buat mcm mana saya dah ditakdirkan lahir dalam kalangan ahli keluarga yg tak sehaluan dgn saya..
    saya terima tapi pda masa yg sama terus push diri saya untuk berusaha…membuahkan hasil dan saya tak kongsi pun kejayaan yg penah saya dapat sebab saya kecik ati sgt dengan mereka :P..

Leave a Comment