Kita, kanak-kanak dan Superheroes.

Kita, kanak-kanak dan Superheroes.

Pada satu malam, anak sulung saya, Darwish yang akan genap umur 4 tahun tidak berapa lama lagi tiba-tiba berkata kepada saya, ‘Abah, Darwish nak lampu tu.” sambil menunjukkan ke arah lampu bulat di siling rumah saya.
“Darwish nak buat apa?” Soal saya.
“Darwish nak letak kat dada.” Sambil memegang bahagian tengah dadanya. Isteri saya merasa hairan lalu bertanya, “kenapa nak letak lampu kat dada?”
Saya sudah tersenyum. Saya sudah tahu mengapa Darwish mahu buat begitu. “Darwish nak jadi Ironman.” Jawab Darwish tegas. Saya suami isteri ketawa mendengar jawapan yang sangat bersungguh-sungguh  ini.
Daripada gelagat anak saya ini, banyak sungguh perkara yang bermain di fikiran saya. Antara yang saya fikirkan ialah betapa kanak-kanak mudah mahu mencontohi apa sahaja yang mereka lihat. Apa yang menggembirakan saya ialah bagaimana anak saya boleh mengaitkan lampu siling itu seperti lampu di dada Ironman. Ini bermakna sekurang-kurangnya anak saya ini normal cara pemikirannya. 🙂
Namun apa yang lebih banyak saya fikirkan ialah bagaimana kanak-kanak selalu bercita-cita dan berangan-angan untuk menjadi sesuatu atau seseorang yang sangat hebat. Adakah anda masih ingat ketika zaman kanak-kanak dulu? Apakah hero atau watak-watak pujaan anda? Adakah ia Superman? Batman? Ultraman? Power Rangers? Gaban?
Pernahkah anda berlagak dan beraksi seperti watak-watak kegemaran anda ini? Pernahkah anda hampir percaya bahawa anda ada kuasa seperti Spiderman atau sekurang-kurangnya kuasa untuk terbang seperti Superman?
Adakah anda masih meminati watak-watak itu sekarang? Adakah watak-watak itu memberi kesan kepada personaliti anda dulu dan sekarang?
Sebahagian daripada kanak-kanak yang meminati watak-watak ini akan lupa dan hilang minat apabila mereka meningkat dewasa. Namun sebahagian daripada mereka kekal begitu dan masih begitu sayangkan watak-watak superheroes tadi. Persoalannya, mengapa kanak-kanak malah orang dewasa begitu minat dengan watak-watak superheroes ini?
Saya sendiri masih lagi minat cerita-cerita yang dibuat berdasarkan fantasi superheroes ini. Kadangkala, malu juga rasanya apabila berminat untuk menonton cerita seperti Spiderman, Batman atau X-Men. Watak yang paling saya minati daripada dulu hingga sekarang pula ialah Superman. Hmm… Nanti orang kata macam budak-budak pula.
Namun setelah saya fikir-fikirkan, saya faham mengapa saya sangat minat dengan watak-watak yang mempunyai kelebihan kuasa yang unik berbanding orang lain. Sejak dulu, saya ada keinginan untuk jadi berbeza (dalam erti kata yang baik) berbanding orang lain. Menurut kajian psikologi pula, keinginan ini didorong secara semulajadi oleh keinginan diri untuk dihargai dan dikagumi. Mana tidaknya, kuasa hebat luar biasa dan kebolehan menolong orang akan membuat diri disanjungi.
Sekarang, setelah memahami tentang dunia realiti, saya faham bahawa kelebihan dan keunikan tidak semestinya datang daripada kuasa luar biasa. Bukan hanya kuasa luar biasa sahaja yang mampu menolong orang lain. Tanpa kuasa luar biasa juga kita boleh jadi unik dan ada kelebihan berbanding orang lain.
Saya percaya, jika kita lihat disekeliling kita, pasti dapat kita lihat superheroes dalam bentuk yang berbeza. Mereka tidak memakai kostum berwarna-warni atau menutup muka dengan topeng hitam.
Antara mereka ini, ada yang datang dalam bentuk kebolehan, bakat dan ketabahan untuk mengajar seperti guru-guru disekolah. Ada yang datang dalam bentuk kebijaksanaan menjalankan perniagaan hingga mampu menderma beribu-ribu malah berjuta-juta ringgit kepada orang-orang yang memerlukan.
Jadi, kalau kita adalah seorang guru, kita mungkin juga seorang superhero kepada anak-anak  murid kita. Jika kita seorang ibu atau ayah,  kita adalah superhero kepada anak-anak kita. Jika kita sebagai ahli masyarakat, kita boleh jadi superhero yang sentiasa bersedia untuk menghulurkan bantuan apabila ada yang memerlukan.
Tidak kira jenis superhero yang mana kita ingin jadi sekalipun, semoga ia dapat menambahkan ketenangan dan kesejahteraan hidup, bukan sahaja untuk orang yang ditolong, tetapi untuk diri kita sendiri. Selamat menjadi superhero! 🙂

Leave a Comment