Kita mahu apa yang kita tidak ada….

Kita mahu apa yang kita tidak ada….

MenangisMari kita fikirkan sesuatu hari ini.
Beberapa bulan lalu, anak lelaki saya mula menunjukkan satu perangai baru. Anak kesayangan saya ini akan berusia 2 tahun pada pertengahan Disember nanti. Perangainya ialah, setiap kali dia bangun tidur, dia akan cari alasan untuk menangis. Bagaimana caranya? Mudah sahaja.
Apabila dia buka mata, dia akan lihat siapa yang berada di depan matanya. (Sama ada saya atau isteri saya sahajalah kerana kami setakat ini hanya tiga sekeluarga). :)? Jika dia dia buka mata dan lihat isteri saya, dia akan menangis dan memanggil-manggil nama saya. Selagi saya tidak datang, dia akan terus menangis sekuat hati.
Tetapi, kalau dia buka mata dan dia lihat saya, dia akan menangis juga sekuat hati sambil memanggil nama ibunya (isteri saya). Kalau saya pujuk bagaimana pun, mesti dia terus menangis hingga isteri saya sendiri datang memujuknya. Selalu saya fikirkan bagaimana hendak mengubah sikap ini. Nasib baiknya, perangai ini hilang begitu sahaja sebelum saya terfikir apa cara penyelesaiannya. 🙂
Apa yang saya hendak ceritakan hari ini ialah, perangai anak saya ini sebenarnya……kalau difikir-fikirkan…..ADA PADA KITA ORANG DEWASA! Walaupun pelik bunyinya tetapi kebenarannya tidak dapat dinafikan. Saya tidak bermaksud mengatakan kita semua bangun tidur sambil menangis. :)? Apa yang saya maksudkan ialah, kita selalu mahukan sesuatu yang kita tidak ada. Sama seperti anak saya tadi, dia asyik mencari siapa yang tidak ada dan gunakan alasan itu untuk menangis.
Adakah ini satu masalah? Hmmm…. ya, ia boleh jadi satu masalah….
SedihSedar atau tidak kita selalunya tidak gembira dengan apa yang kita ada? Apabila kita lihat kawan kita pandai, kita rasa bodoh sebab kita?tidak sepandai dia. Bila kita lihat orang ada handphone baru, kita mula lihat handphone kita buruk. Bila kita lihat orang dapat memakai pakaian berjenama, kita mula benci dengan pakaian-pakaian biasa yang kita ada. Akibatnya, kita mula rasa tertekan, resah, gelisah dan tidak gembira. Masalahnya, apabila kita mula rasa begini, perkara-perkara yang menggembirakan tidak akan datang lagi menghiasi hidup kita.
Mulai hari ini, apabila anda lihat sesuatu yang anda tidak ada, jangan bersedih atau bersusah hati. Anda boleh dapat apa sahaja yang anda mahukan jika kena caranya. Jika selama ini anda selalu menghadapi masalah murung, muram dan bersedih sepanjang masa, fikirkan sama ada ini sebabnya.
Jika benar ini sebabnya, alihkan tumpuan minda anda kepada sesuatu yang boleh membuat anda gembira. Mulai hari ini, fikirkan sebanyak mungkin perkara yang membuat anda bersyukur dan gembira. Anda ada makanan dan minuman mencukupi setiap hari, bersyukurlah….bergembiralah…… ada handphone yang sudah berusia lima tahun, bersyukurlah….bergembiralah kerana ramai lagi orang yang tidak mampu memiliki handphone di dunia ini.
Apa yang anda perlu ingat, jika anda asyik berfikir dan fokus kepada apa yang anda tidak ada, anda akan pasti sentiasa hidup dalam kesedihan dan kedukaan.

Comments are closed.