Kurang keyakinan diri di hadapan khalayak ramai.

0

assalamualaikum..en.osman..pertama sekali saya nak mengucapkan tahniah dgn kehadiran cahaya mata perempuan..saya doakan en osman sekeluarga bertambah ceria dgn kehadiran orang baru..sebelum tu saya nak memperkenalkan diri saya. nama saya SHN .saya merupakan bakal kaunselor..

Keyakinan dirisekarang ni saya sedang melakukan praktikal di kolej profesional mara bandar melaka(KPMBM).Saya selalu membaca tulisan en osman.tips-tips yang diberikan banyak membantu saya menaikkan motivasi diri. saya menghadapi masalah kurang keyakinan diri..sebagai seorang yang bakal menjadi kaunselor perasaan seperti itu tidak sepatutnya ada pada saya..saya telah melakukan pelbagai usaha untuk mengatasinya terutama apabila hendak bercakap dikhalayak ramai..saya betul2 takut sehingga kan tidak dapat memberikan ucapan..

suara saya juga kedengaran menggeletar..saya rasa malu dan sangat tertekan..saya malu pada pelajar-pelajar kerana mereka akan mengaggap saya sebagai kaunselor yang lemah..sedangkan saya perlu mengajar pelaja-pelajar itu suopaya mereka yakin pada diri mereka..saya betul2 tertekan..saya terfikir untuk menangguhkan praktikal ni tapi sampai bila?..saya harap en osman dapat membantu saya..tq

Osman AffanWaalaikumsalam warahmatullah. SHN, terima kasih atas ucapan dan doa buat anakanda saya Hana dan saya sekeluarga. Moga doa SHN dimakbulkan bukan sahaja untuk diri kami sekeluarga tetapi untuk SHN juga.

Entah kenapa saya rasa saya faham apa yang SHN alami sekarang ini. Mungkin kerana saya juga pernah alami masalah  yang sama. Untuk pengetahuan SHN rasa takut, gementar dan tidak yakin diri itu adalah perkara biasa yang dialami oleh semua orang yang NORMAL. Ini bermaksud, jika kita alami masalah itu, kita termasuk dalam kategori orang yang sihat dan normal. Jika tidak rasa takut dan gementar langsung, itu yang perlu dibimbangkan. :)

Saya ada beberapa cadangan untuk mengatasi masalah SHN sedang hadapi.

Pertama, teruskan membaca tips-tips yang ada di sini terutamanya yang telah saya kompilasikan di www.osmanaffan.com/kompilasi.htm. Apa yang selalu kita baca dan fikirkan boleh membentuk corak pemikiran kita. Semakin banyak membaca tentang teknik bercakap dengan penuh yakin, semakin kita cenderung ke arah bercakap dengan keyakinan yang tinggi.

Kedua, suara yang menggeletar selalunya disebabkan ia tidak dikeluarkan dengan kuat. Saya terangkan dan tunjukkan kepada pelajar peringkat universiti di dalam program saya yang suara perlahan akan lebih mudah bergetar. Ia membuat kita kelihatan seperti tidak yakin dan takut. Apabila pendengar mendengar ucapan yang bercampur rasa takut dan tidak yakin diri, mereka mudah hilang minat dan mungkin timbul rasa untuk menambahkan lagi rasa takut kita.

Keyakinan diriJadi, hari ini, apa kata cuba berlatih kuatkan suara. Keluarkan suara dengan kuat dan tegas. Hanya dengan bercakap lebih kuat sahaja akan membuat SHN kelihatan dan kedengaran seperti seorang yang sangat yakin. Namun ingat, kuat bukan bermaksud menjerit. Bayangkan kita hendak meninggikan suara untuk memanggil seseorang. Kita mahu panggil sekua hati tetapi kita tidak mahu menjerit. Bagaimanakah bunyinya? (tip, tarik nafas sebelum keluarkan suara).

Akhir sekali, ada dua cara umum untuk manusia mengatasi rasa takutnya. Pertama ialah dengan melarikan diri dan kedua berhadapan dan bersemuka dengan apa yang ditakuti. Rasa tidak yakin bercakap di hadapan khalayak ramai adalah satu ketakutan yang perlu dihadapi dengan cara berhadapan. Kita boleh belajar teori bercakap bertahun-tahun lamanya tetapi ia tidak berguna jika kita masih tidak mampu mencabar diri kita berhadapan dengan ketakutan tersebut.

Saya cadangkan SHN cari peluang sebanyak mungkin untuk berdepan dengan rasa takut ini. Jangan bimbang jika tidak berapa berjaya pada awalnya kerana semua orang berjaya (pada satu tahap)  pernah mengalami kegagalan. Percaya atau tidak saya juga pernah tergolong dalam kategori orang yang sangat takut untuk bercakap di hadapan khalayak ramai kerana masalah lupa apa yang hendak diperkatakan, panik, tidak dapat menyusun idea dengan baik dan sebagainya.

Sekarang, ramai yang tidak percaya bahawa saya masih lagi rasa berdebar dan takut setiap kali mahu memulakan ucapan. Namun apa yang bagusnya sekarang ialah saya sudah ada pengetahuan dan pengalaman untuk mengawal rasa takut itu dan menukarkannya kepada tenaga yang membuat saya kelihatan lebih yakin dan mampu meyakinkan semasa berucap. Saya percaya SHN akan sampai ke tahap ini juga nanti.

Selamat berjaya SHN. Semoga Allah memberi kemudahan dan ketenangan di dalam hati SHN dalam usaha meningkatkan keyakinan diri dan juga dalam usaha mencapai kejayaan dalam hidup.

p/s  SHN, penggunaan huruf besar dan kecil kelihatan remah tetapi perlu dijaga semasa menghantar mesej kepada orang lain terutamanya orang yang baru dikenali. Bimbang terbawa-bawa gaya mengeja begini hingga ke alam kerjaya.

Comments

  • chik

    rasa terharu,gembira membaca artikel ni…izinkan sy copy untuk menambahkan ilmu kerana sy juga menghadapi masalah yang sama…