Kurang minat belajar Bahasa Inggeris.

Assalamualaikum encik osman..
apa khabar?
diharap kehadiran emel saya ini tidak mengganggu kesibukan urusan en.Osman.
Straight to the point, saya adalah seorang guru di sebuah sekolah swasta di Pantai Timur Malaysia. Kebiasaannya di tempat kami, sekolah swasta adalah tempat pelajar-pelajar yang kandas SPM dan STPM mengambil peperiksaan ulangan (dan selebihnya adalah pelajar-pelajar yang dibuang sekolah kerana masalah disiplin, ataupun berhenti awal dan tiba-tiba sampai seru untuk belajar semula).
Jadi, seperti yg dapat di agak, mereka adalah golongan cicir dan tiada minat untuk belajar. Jika di sekolah kerajaan, mereka dilarang merokok dan ponteng, di sini mereka bebas merokok walaupun di dalam kawasan sekolah, dan kadang-kadang meninggalkan kelas semasa kami guru-guru sedang mengajar. soal lompat pagar tidak timbul kerana mereka bebas ponteng melalui pintu utama. kadang-kadang bengkek la jugak dgn perangai tak senonoh budak-budak tak makan saman ni.. soal hormat kepada guru bukan soal pokok kerana hanya 10-15% daripada mereka betul-betul hormatkan guru dan betul-betul insaf atas kegagalan lampau.
Sebagai seorang fresh grad, saya tiada pengalaman mengajar, dan tiada latihan mengajar. jadi semuanya saya lakukan berdasarkan try and error. saya banyak membaca buku-buku motivasi dan teknik belajar, supaya saya dapat menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran yang menarik dan berkesan.
Sebagai guru bahasa inggeris, cabaran agak besar buat saya kerana mereka sangat prejudis dan berminda negatif dengan bahasa inggeris itu sendiri. berbekalkan bimbingan buku, saya cuba adakan permainan kuiz di dalam kelas, wajibkan pelajar menghafal perkataan mudah (yg mana petuanya saya ambil dari blog en. Osman sendiri), banyakkan soal jawab, buat lawak dalam kelas, dan lebihkan perhatian secara individu. saya hafal nama setiap pelajar, dan setiap seorang tidak akan terlepas dari perhatian, leteran, gurauan malah pujian dari saya.
Masalahnya sekarang en. osman, mereka masih tidak minat untuk belajar! peperiksaan tinggal 4 bulan saja lagi, dan saya sudah habis daya dan mati kutu untuk membuatkan mereka minat, rajin dan akhirnya score kertas bahasa inggeris. sukatan pelajaran memang tak banyak yang saya sentuh, sebab setiap kali saya ajar mereka benda-benda yang sukar, mereka mula bising, buat lawak, berbual dan buat hal sendiri. tapi setiap kali saya menyoal makna perkataan, barulah mereka berminat.
En. Osman.. tolong saya..
NAF, Pantai Timur Malaysia
Waalaikumsalam Warahmatullah.
Osman AffanNAF, terima kasih kerana menghantar email kepada saya. Sangat menarik apa yang NAF ceritakan kerana saya rasa ini adalah pengalaman pertama saya dengar kisah daripada guru sekolah swasta. Berdasarkan cerita NAF, ada beberapa pandangan dan pendapat yang ingin saya kongsikan.
Pertama, tahniah kerana NAF ada gunakan bahan bacaan sebagai panduan untuk mengajar. Tidak perlu rasa rendah diri jika tidak ada latihan asas mengajar kerana itu bukan kunci utama untuk menjadi seorang guru hebat. Saya sendiri juga tidak ada latihan asas dan banyak gunakan teknik yang NAF gunakan juga iaitu trial and error. Namun teknik ini agak lambat untuk membuahkan hasil. Cara terbaik untuk cepat memajukan cara kita mengajar ialah dengan menggunakan pengalaman ataupun trial and error yang telah dilakukan oleh orang lain. Selalunya pengalaman ini kita boleh dapati daripada bahan bacaan, seperti yang NAF perolehi daripada membaca tulisan saya di blog.
Jika ada kesempatan, baca juga buku saya yang bertajuk Buat Duit Dengan Tuisyen kerana di dalamnya saya ada tulis beberapa prinsip, petua dan etika mengajar berkesan. Malah ada beberapa tips yang kalau diamalkan, kita akan jadi seorang guru yang hebat dan sangat menyerlah suatu hari nanti.
Kedua, ada satu pepatah Inggeris yang bermaksud, kita boleh bawa kuda kepada air tetapi kita tidak boleh memaksanya untuk minum. Ini bermaksud, di dalam konteks ini, kita boleh cuba seribu macam cara untuk membuat anak murid kita faham, ingat dan kuasai apa yang kita ajar. Namun hasil terakhir sama ada berjaya atau tidak terletak di tangan murid kita itu sendiri. Tambahan pula anak murid NAF semuanya sudah dewasa. Mereka sudah boleh dipertanggungjawabkan atas apa yang mereka lakukan.
Jadi mesej saya di sini, jika kita sudah cuba sedaya mungkin tetapi pelajar masih degil tidak mahu ikut, ingat dua perkara:

  1. Teruskan berusaha, jangan merungut dan sentiasa cari lagi pelbagai cara berlainan untuk menyampaikan apa yang hendak diajar. Hasilnya, kepakaran dan kemahiran diri kita akan meningkat.
  2. Jangan ambil hati jika pelajar tetap juga tidak mahu ikut. Apa yang mereka lakukan itu tidak ada kena mengena dengan diri kita. Its not about us. Jika guru paling pakar dalam dunia mengajar mereka sekalipun dan mereka tidak mahu terima, hasilnya pasti tetap sama. Jadi jangan sampai gelagat mereka ini melemahkan semangat NAF untuk memajukan diri sebagai seorang guru.

Ketiga, tahniah atas kelainan yang NAF lakukan di dalam kelas. Kelainan bukan sahaja boleh menarik minat pelajar malah boleh meningkatkan kebolehan kita untuk mengajar. Pada pendapat saya, sukatan pelajaran adalah sebagai panduan apa yang perlu dikuasai. Bagaimana caranya untuk ia disampaikan, banyak bergantung kepada guru itu sendiri. Jadi kalau NAF ada nampak beberapa cara yang pelajar timbul rasa minat, OLAH lagi cara tersebut agar sukatan pelajaran juga boleh disampaikan dengan cara yang sama.
Satu perkara lagi, situasi NAF ini agak rumit berbanding dengan situasi guru sekolah biasa kerana gelagat pelajar yang begitu. Tidak semua orang ada jalan penyelesaian terbaik untuk masalah NAF termasuk saya sendiri. Jadi, ini merupakan SATU PELUANG untuk NAF. Bayangkan jika NAF boleh cari jalan untuk meningkatkan minat pelajar sebegini untuk belajar Bahasa Inggeris, NAF satu hari nanti akan jadi rujukan oleh semua guru di seluruh Malaysia. Besar kemungkinan ketika itu NAF akan jadi salah seorang pakar di Malaysia yang akan sentiasa menjadi rujukan jika ada situasi mengajar begini muncul. Bukankah ini satu perkara yang sangat hebat?
Saya ucapkan selamat berjaya kepada NAF. Semoga satu hari nanti NAF pula yang akan menjadi pakar, sumber rujukan dan menjawab soalan melalui email-email begini.

Comments are closed.