Lapar Perut, Lapar Minda

0

 Lapar perut, lapar minda

Jika anda terdengar orang daripada Terengganu berkata, “Lapar perut ah.” ia cuma bermaksud yang dia sedang rasa lapar. Ketika mula-mula berpindah ke Terengganu semasa di sekolah rendah dulu, selalu juga saya tergelak apabila mendengar ungkapan-ungkapan yang jarang saya dengar dalam loghat Terengganu. Pahit lepang, Putih lepuk, masam gebang, masin gebing dan banyak lagi. Masih saya ingat ketika berada di dalam darjah dua, saya diketawakan kawan-kawan sekelas apabila bertanya, “Eh, samah tu seringgit eh?” (Samah bermaksud lima puluh sen).

Kini, semua loghat tu sudah menjadi sebati dengan diri saya. Malah anak sulung saya kalau mahu kata ‘tak nak’ dia akan kata ‘Tak emboh’ dan kalau dia kata ‘tidak’ dia akan kata ‘dok’. Kini anak saya ini pula yang sering menjadi sumber lawak jenaka apabila saya membawanya ke pusat tuisyen saya di Keramat Permai. Pelajar-pelajar saya suka mengusik dan mendengar loghatnya terutamanya apabila dia berkata, “Mama…nok makang aiskring eh…” :)

Sebenarnya, saya bukan hendak bercerita tentang loghat Terengganu  hari ini. Sekadar terlintas fikiran saya tentang rasa perut yang lapar. Kalau perut kita lapar, selalunya susah untuk buat sesuatu dengan rasa tenang kan? Asyik teringatkan makanan-makanan yang menyelerakan. Kalau berterusan rasa lapar, rasa begitu susah untuk laksanakan sesuatu hingga kadang-kadang kita rasa tanpa perut yang berisi, hampir semua perkara tidak menjadi.

Namun, pernahkah kita terfikir tentang minda kita yang lapar? Minda juga seperti perut, memerlukan makanan untuk sihat dan segar. Tanpa makanan, minda akan sentiasa kelaparan dan kesannya memang boleh kelihatan. Contohnya, minda yang lapar boleh menyebabkan seseorang berfikiran negatif. Apabila lihat kejayaan orang lain, mula rasa dengki dan syak wasangka. Mula rasa orang itu kuat bodek dan mengampu. Mula terasa hendak menuduh yang bukan-bukan.

Minda yang lapar juga boleh membuat seseorang itu berkhayal bahawa dia sudah tahu segalanya. Bila sudah tahu segalanya, mulalah dia rasa belajar sesuatu yang baru itu tidak perlu. Mulalah dia rasa dia lebih pandai daripada semua orang. Jadi, jika anda lihat seseorang yang rasa asyik dia sahaja yang betul dan semua orang lain salah, ada kemungkinannya mindanya sedang kelaparan.

Berita buruknya di sini ialah minda yang lapar jarang boleh membawa kepada kejayaan. Ini kerana minda yang lapar mampu menutup mata pemiliknya daripada melihat sesuatu di dalam pandangan yang lebih luas dan besar. Pelajar yang lapar mindanya tidak akan dapat lihat mengapa pentingnya dia fokus dan dengar kata-kata guru dan ibu bapanya. Pekerja yang lapar mindanya tidak mampu melihat mengapa dia perlu meningkatkan kualiti kerjanya. Ibu bapa yang lapar mindanya tidak mampu melihat mengapa anak-anak mereka dimarahi oleh guru-gurunya di sekolah. Pendek kata, minda yang lapar jarang boleh membawa kepada kejayaan yang diinginkan.

Jadi, bagaimanakah mahu mengelakkan diri kita daripada mengalami kelaparan minda? Ada beberapa cara sebenarnya. Salah satu cara yang sangat baik ialah dengan membaca buku. Bukan sebarangan buku tetapi buku yang boleh membawa kepada pembangunan diri. Bukan buku hiburan, bukan majalah berita dan bukan majalah gosip (saya selalu percaya majalah gosip akan membuat minda semakin kelaparan).

Lapar perut lapar minda

Apa kata mulakan hari ini dengan membaca satu muka surat buku-buku mengenai pembangunan diri. Jika anda boleh meminjam buku tersebut, bagus. Jika tidak boleh pinjam, apa kata keluarkan sedikit belanja untuk minda kita yang mungkin sedang kelaparan. Agak mengejutkan juga apabila saya sering diberitahu oleh staff saya yang ada individu dan organisasi yang meminta ‘naskhah percuma’ buku-buku saya. Mengapa naskhah percuma? Katanya mereka mahu membuat penilaian sama ada pelajar mereka memerlukan buku-buku tersebut. Staff saya bertanya kepada saya, “buku RM15 pun nak kena bagi percuma baru nak baca ke?”. Saya hanya tersenyum tanpa menjawab. :)

Selamat membaca.

Comments

  • minda yang lapar perlu diisikan dengan ilmu yang mengenyangkan :D

  • Dauz…saya setuju. :)

  • edd

    Minda yg lapar menyebabkan masalah sosial yang berlaku hari ini. Keperluan makanan jismi tak dilupakan malah berlebihan, keperluan makanan rohani jauh sekali, lebih2 lagi yang islami..