Matlamat suatu impian…

Matlamat suatu impian…

Tanpa halangan, matlamat bukanlah suatu impian” ~Osman Affan~

Ceria

Selepas program yang biasa saya jalankan bersama pelajar, biasanya akan ada pelajar yang datang meminta tandatangan dan kata-kata semangat. Disebabkan kesuntukan masa, saya pilih mutiara kata paling ringkas dan paling bermakna buat saya. Mutiara kata itu ialah apa yang tertera di atas.
Ada juga antara pelajar yang menerima mutiara kata ini bertanya kepada saya apakah sebenarnya maksud kata-kata ini. Jawapan saya ialah jika sesuatu yang kita hendak capai itu begitu sukar, banyak masalah dan penuh cabaran, ia  bermaksud perkara itu adalah satu matlamat yang sangat bermakna dan berharga buat kita. Seperti kata sifu saya Rizal Hassan, kalau kita main bola tanpa pihak lawan, tentu kita boleh menang 100-0 tanpa masalah tetapi itu tidak akan mendatangkan kepuasan kepada kita.
Ada yang keliru dan menyangka bahawa kalau kita ada sesuatu impian yang besar, tentu ia sukar untuk dicapai. Mudahlah lemah semangat dan hilang motivasi nanti. Bukan begitu cara untuk memikirkannya. Mutiara kata ini digunakan semasa kita terasa penat apabila menghadapi masalah dan cabaran semasa ingin mencapai matlamat. Sebagai contoh, katakan anda mahu mendapat ‘Straight A’s ‘ pada tahun 2009. Kemudian semasa belajar dan mengulangkaji, anda rasa ia begitu susah hingga anda tertekan dan benci kepada apa yang anda belajar. Ketika ini, bagus jika anda ingat mutiara kata ini. Kata kepada diri anda, “kalau susah macam ni, hasilnya pun mesti besar juga.”

Mengulangkaji

Jangan gunakan mutiara kata ini semasa anda hendak mula meletakkan matlamat. Sebagai contoh, anda mahu letak matlamat sebagai pelajar paling cemerlang di sekolah, kolej atau universiti anda. Ini merupakan satu IMPIAN yang sangat besar dan bermakna buat anda. Namun, anda terfikir, “kalau besar impian, besar jugalah halangannya nanti.” Jika berfikir begini, anda pasti mudah lemah semangat dan mengalah.
Anda perlu ingat, susah atau senang bergantung kepada apa yang minda anda sedang fokuskan. Apabila disuruh bangun awal pagi untuk ke sekolah atau kelas, anda mungkin merungut dengan perkataan ‘susah’ atau ‘mengantuk’. Ini kerana anda sedang fokus kepada beban bangun pagi dan perasaan mahu lawan rasa mengantuk. Namun jika perlu bangun pagi untuk pergi lawatan ke luar negeri atau ada pertandingan sukan yang anda minat, langsung anda tidak merungut. Malah anda bangun dengan perasaan sangat ceria. Ini kerana minda anda sedang fokus kepada keseronokan pergi melawat atau menyertai pertandingan sukan tadi.
Jadi, setiap kali anda hadapi kesukaran, masalah dan cabaran semasa mahu mencapai IMPIAN anda, fokuskan minda anda kepada keseronokan yang bakal anda kecapi tidak lama lagi.

Comments are closed.