Menanti lebih 20 tahun untuk muncul di radio

Menanti lebih 20 tahun untuk muncul di radio

Semalam saya berada di stesyen siaran radio 24 sebagai tetamu undangan bagi membicarakan topik motivasi diri dan isi kandungan laman web OsmanAffan.com. Pada mulanya saya mendapat maklumat bahawa undangan ini adalah untuk membincangkan tentang buku internet saya. Namun terdapat sedikit perubahan rancangan dan ada kemungkinan buku itu akan dibincangkan dalam masa yang akan datang. Maklumat mengenai radio24 boleh diperolehi di www.radio24.com.my
Tengku Amylia Radio24Pengacara malam semalam ialah Tengku Amylia. Selain menjadi DJ radio24 ini, beliau juga merupakan Eksekutif Kanan Unit Perhubungan Korporat dan Media Yayasan Pelajaran Mara. Jadi, bercakap mengenai motivasi dan teknik belajar bukanlah sesuatu yang sukar bagi beliau.
Sesi temuramah bermula dengan komen saya sendiri. Saya kongsikan keseronokan dan kegembiraan saya kerana saya ada cita-cita untuk muncul di siaran radio sejak lebih 20 tahun dulu. Hehe… begini ceritanya. Ketika saya berada di dalam darjah 3, saya menyertai pasukan koir sekolah ke pertandingan peringkat daerah Kuala Terengganu (ketika itu saya bersekolah di SK Gong Tok Nasek, KT). Setelah tamat pertandingan, ada wakil daripada siaran radio negeri datang ke setiap sekolah untuk menemuramah peserta dan temuramah itu akan disiarkan di dalam siaran radio negeri. Masalahnya, mereka cuma akan mencari temuramah seorang pelajar lelaki dan seorang pelajar perempuan sahaja bagi setiap sekolah untuk disiarkan.
Radio24 93.9 FMDipendekkan cerita, untuk sekolah saya, bukan saya yang terpilih. Seorang sahabat bernama Farhan yang terpilih. 🙂  Sebagai kanak-kanak ketika itu, saya rasa sangat terkilan. Jadi apabila mendapat peluang seperti semalam, ia adalah impian selama lebih 20 tahun menjadi kenyataan. Tidak hairanlah saya rasa ceria sepanjang temuramah dijalankan. Dalam masa yang sama, saya selalu percaya bahawa dalam hidup ini, kalau kita sentiasa mencari peluang untuk melihat sesuatu yang membuat kita ceria dan bersyukur, pasti kita akan temuinya.
Setelah tamat temuramah dan semasa saya melangkah keluar, ada seorang lelaki menegur dengan menyebut nama saya. Agak terkejut juga saya kerana beliau merupakan pengarah dan pengasas Radio24 ini, Sheikh Raffie Abdul Rahman. Lebih terkejut juga kerana saya sebenarnya telah mengenali beliau sejak awal tahun 2007 kerana pernah menghadiri beberapa kursus dan networking program bersama. Tidak tahu pula beliau yang mengasaskan radio24 yang sudah mula terkenal ini. Tahniah abang Raffie!  🙂
Akhir sekali, terima kasih sekali lagi saya ucapkan kepada Abang Syed Munawar yang menjemput saya dan kepada Tengku Amylia yang sabar mendengar celoteh saya sepanjang temuramah. 🙂  Terima kasih juga kerana stesen radio24 kerana sudi menjadikan saya sebagai tetamu undangan dan secara tidak langsung memenuhi impian saya selama lebih 20 tahun ini. 🙂

Comments are closed.