Osman Affan di Terengganu Darul Iman

Osman Affan di Terengganu Darul Iman

SK Durian BurungHari Rabu dan Khamis yang lepas, saya berada di Terengganu Darul Iman bagi menjalankan program SmartStudy Learning Skills untuk dua buah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan Kubang Ikan dan Sekolah Kebangsaan Durian Burung. Program ini adalah untuk pelajar tahun 6 yang bakal menduduki peperiksaan UPSR bulan September ini.
Di dalam program ini, saya kongsikan bersama pelajar pengalaman saya sendiri semasa mengambil peperiksaan tersebut. Saya ceritakan kepada pelajar bahawa saya adalah batch pertama yang mengambil peperiksaan UPSR pada tahun 1988. Ketika itu saya bersekolah di Sekolah Kebangsaan Tok Jiring, Kuala Terengganu.
Beberapa minggu sebelum peperiksaan dijalankan, sekumpulan pelajar di sekolah saya dipanggil oleh guru besar. Ada lebih kurang 20 orang pelajar yang dipanggil ketika itu. Pelajar-pelajar ini adalah pelajar yang disasarkan atau pelajar yang dijangka akan mendapat 5A dalam peperiksaan nanti. Ketika itu, saya tidak termasuk di dalam kumpulan pelajar itu. Maksudnya, berdasarkan prestasi saya, saya tidak dijangka akan mendapat 5A dalam peperiksaan UPSR yang akan datang tidak lama lagi itu.
SK Kubang IkanSetelah pelajar itu semua keluar daripada bilik guru besar, mereka kelihatan gembira dan bangga. Saya pergi kepada beberapa orang pelajar tersebut dan cuba bertanya apa yang guru besar kata di dalam bilik tadi. Seorang kawan saya menjawab..” Aduhhh.. kitorang kena rotan tadi tu…..”. Dia berkata begini dengan muka tersengih-sengih. Seorang lagi menyambung lawak kawan saya ini, “ye la… abis lebam badan aku kena rotan…” kemudian mereka ketawa dan tidak menjawab soalan saya tadi….
Saya terfikir di dalam hati, kenapa la susah sangat nak jawab soalan saya tadi…. rahsia sangatkah apa yang diceritakan di dalam bilik itu tadi….. sedikit sebanyak, sebagai seorang budak berumur 12 tahun ketika itu, saya merasa agak sedih kerana saya rasa saya tidak ada potensi untuk berjaya. Saya sedih kerana saya tidak dapat tergolong dalam kumpulan pelajar yang bakal jadi cemerlang itu. Saya seperti masih boleh ingat apa perasaan yang saya rasakan ketika itu.
Setelah peperiksaan berlalu dan apabila keputusan peperiksaan tiba, cuma 11 orang pelajar yang mendapat 5A di sekolah saya. Alhamdulillah, saya adalah salah seorang daripada pelajar tersebut. Saya berjaya mendapat 5A! Tuhan saja yang tahu betapa gembiranya saya ketika itu……lebih separuh pelajar yang dijangka mendapat 5A tadi gagal mendapatnya.
Mesej saya kepada pelajar melalui cerita ini ialah, kebolehan dan potensi anda untuk berjaya bukanlah ditetapkan oleh pandangan ataupun sasaran orang lain tidak kira orang itu adalah guru, guru besar, ibu bapa mahupun tok bomoh…. kebolehan dan potensi anda untuk berjaya terletak di tangan anda sendiri kerana anda sahaja yang boleh membuktikan kebolehan sebenar anda.
Jadi, jika anda tidak dijangka untuk mendapat kejayaan cemerlang, jika anda tidak berada di kelas paling pandai di sekolah anda dan jika anda tidak pernah mencapai kecemerlangan akademik sebelum ini, itu semua tidak sepatutnya mempengaruhi kebolehan sebenar anda. Anda patut belajar untuk merasa yakin dengan diri anda sendiri bahawa anda akan berjaya. Saya sendiri sentiasa cuba meyakinkan diri saya sendiri dengan mendapat sokongan daripada orang-orang yang mempercayai kebolehan saya iaitu ibu dan bapa saya. Dengan sokongan mereka, saya sentiasa rasa bersemangat dan yakin bahawa saya juga ada kebolehan yang hebat.
Saya ucapkan selamat berjaya kepada semua pelajar yang sedang bertungkus-lumus untuk menghadapi cabaran dalam membuktikan kebolehan sebenar masing-masing…. 🙂

Comments are closed.