Pengajaran berkesan dan mampu menarik minat

0

Ketika membuka laman Facebook saya (Osman Affan) hari ini, saya mendapat satu soalan daripada Puan Hamymuharniza berkenaan tips pengajaran berkesan. Sebenarnya saya sudah kerap kali mendapat soalan sebegini terutamanya daripada guru-guru yang bersungguh-sungguh untuk memajukan cara mereka mengajar dan guru-guru yang bersemangat untuk melihat anak didik mereka berjaya. Ini adalah soalan Puan Hamymuharniza: 

Assalamualaikum….sebagai motivator yang disukai ramai, tentunya tuan mempunyai tips bagaimana untuk menyampaikan sesuatu pengajaran dengan berkesan dan bagaimana untuk menarik minat pelajar untuk tekun belajar serta membantu mereka memahami apa yang tengah diajarkan kepada meraka yang boleh dikongsikan…..sekian, terima kasih ~Hamymuharniza, Facebook~

Waalaaikumsalam. Puan, jawapan untuk soalan ini agak panjang sebenarnya.  Di dalam soalan Puan (saya telah hitamkan di dalam soalan di atas)  ini ada 3 elemen utama yang perlu difikirkan:

  1. Teknik penyampaian guru.
  2. Menarik minat pelajar.
  3. Memudahkan pelajar faham.

Bagi saya ketiga-tiga elemen ini adalah sangat berbeza dan perlu dikuasai satu persatu. Apa yang jelas, jika pelajar langsung tidak berminat mendengar seseorang guru mengajar (sedangkan mereka boleh menunjukkan minat apabila guru lain mengajar), besar kemungkinan guru ini kurang mahir dalam ketiga-tiga elemen di atas.

Saya berikan satu contoh bagaimana seorang guru kurang mahir dalam ketiga-tiga elemen ini. Bayangkan seorang guru yang masuk ke kelas tanpa sebarang alat bantu mengajar. Dia hanya berlenggang masuk ke kelas dengan sebuah buku atau beberapa keping kertas nota. Semasa mengajar pula, tidak ada interaksi dengan pelajar. Suaranya tidak berapa jelas. Semasa mengajar, tidak ada contoh-contoh menarik atau cerita yang boleh dikongsikan bersama pelajar. Akibatnya pelajar menjadi mudah bosan dan mengantuk. (Saya masih ingat lagi beberapa orang guru yang memenuhi ciri-ciri ini di zaman persekolahan dulu).

Saya sendiri tidak dapat bayangkan diri saya pergi ke program motivasi dan teknik belajar hanya berbekalkan mikrofon sahaja. Jika saya diberi hanya mikrofon, sudah tentu saya hanya boleh menarik perhatian pelajar dalam masa yang sangat singkat. Tetapi apa yang saya bawa juga ialah slide powerpoint bersama beberapa gambar-gambar dan video-video yang mampu menarik minat pelajar. Disamping itu saya berikan soalan-soalan terbuka kepada pelajar agar mereka turut serta dalam program saya. Saya juga kongsikan beberapa cerita (daripada pengalaman sendiri atau orang lain) untuk menarik minat pelajar mendengar. Bagi saya, ini semua terbukti boleh mengekalkan minat dan konsentrasi pelajar sepanjang program (beberapa perkara lain juga perlu ada untuk ini berlaku seperti dewan tidak terlalu terbuka dan tidak terlalu panas).

 

Seperti yang saya katakan, soalan ini sangat panjang penjelasannya. Persoalan ini juga yang saya cuba jawab semasa saya menjalankan program untuk lebih kurang 300 orang guru seluruh Terengganu pada November 2008 ( Boleh rujuk mengenai program ini di http://www.motivasibelajar.com/cerita/mind-based-learning-bersama-guru-guru-sekolah-menengah-seluruh-terengganu.html) dan testimoninya di www.OsmanAffan.com/testimoni.htm . Program itu berjalan selama tiga hari dan saya sempat menyentuh ketiga-tiga elemen ini.

Walau apa pun, saya ucapkan tahniah kepada Puan Hamymmuharniza kerana mengajukan soalan ini. Ini menunjukkan Puan sangat berminat untuk meningkatkan kemahiran diri. Jika semua pendidik mempunyai minat seperti Puan, saya percaya tahap penguasaan ilmu di kalangan anak didik kita di seluruh Malaysia pasti akan meningkat. Buat masa ini, saya cuma mencadangkan agar sahabat saya semua para guru melihat kepada ketiga-tiga elemen tadi dan cari jalan bagaimana ia boleh ditingkatkan lagi.

Comments

  • pemikir

    motivator byk memberikan cadangan tentang kaedah untuk menarik minat pelajar, tapi tidak menyentuh tentang cara memudahkan pemahaman seperti yg diutarakan oleh soklan..

    “serta membantu mereka memahami apa yang tengah diajarkan”

    ada tak posting blog yg menjawab persoalan ini?

  • Tuan Pemikir,

    seperti yang saya kata dalam posting ini, soalan ini memerlukan jawapan yang agak panjang. Jadi ia tidak dapat dinyatakan dalam posting ini.

  • rahmat

    pendekkan