August 2006
Monthly Archive
Mon 21 Aug 2006
Posted by Osman Affan under
CeritaNo Comments
Saya dibesarkan di merata tempat di seluruh Malaysia. Namun, sejak berumur 8 tahun, selepas ayah saya bersara daripada menjadi askar, keluarga saya berpindah ke terengganu. Semasa di usia ini, saya amat penakut. Takut apa? Takut hantu.
Walaupun saya tidak pernah terjumpa hantu, saya rasa sangat takut terutama jika berada di tempat gelap atau pada waktu malam. Ayah saya sangat risaukan perkara ini. Beliau bimbang jika saya membesar sebagai seorang penakut. Jadi, ayah saya terangkan secara ringkas kepada saya bagaimana hantu itu selalunya cuma wujud di minda saya sendiri (saya ada ceritakan apa yang ayah saya katakan ini di dalam buku persediaan minda untuk menjadi pelajar cemerlang). Kemudian, ayah saya mencabar saya untuk pergi ke satu tempat di kampung saya yang saya rasa paling menakutkan. Ya, ada satu tempat menakutkan di kampung saya, di sebuah surau tua yang terletak lebih kurang 500 meter daripada rumah saya.
Ayah saya mencabar saya pergi ke surau itu seorang diri selepas tengah malam untuk menguji keberanian dan kecekalan hati saya. Malangnya, saya tidak berani menyahut cabaran itu. Mungkin kerana saya masih terlalu kanak-kanak. Namun, semasa saya berada di sekolah menengah, entah bagaimana, saya tergerak untuk menyahut cabaran ayah saya itu. Fikir saya, betul juga, saya tidak boleh terus hidup dengan rasa takut di waktu malam. baik saya cuba apa yang dicabar oleh ayah saya, dan lihat benarkah saya akan jadi berani. Jadi, pada satu malam, saya kunci jam loceng saya supaya berbunyi pada pukul 12 tengah malam. Mungkin saya terlalu lena tidur, saya tidak mendengar bunyi jam loceng itu. Saya terjaga pada pukul 3 pagi. Namun disebabkan semangat hendak menyahut cabaran, saya gagahkan diri untuk keluar dari rumah dan pergi ke surau itu. Pesan ayah saya sebelum ini, saya tidak boleh membawa lampu suluh. Saya perlu hadapi kegelapan malam. Saya cuma dibenarkan membawa sepotong ubat nyamuk kerana ketika itu kes denggi amat berleluasa (ayah saya lebih risau saya terkena denggi daripada terjumpa hantu
)
Tepat pukul 3.10 pagi, saya keluar daripada rumah. Ayah saya dan ahli keluarga sedang tidur. Mereka tidak tahu saya akan keluar hari ini. Tidak ada bulan malam ini. Suasana disekeliling benar-benar gelap, sunyi dan menyeramkan. Saya berjalan perlahan-lahan sambil memerhatikan rumah jiran-jiran di sekitar kawasan itu. Disebabkan suasana yang begitu sunyi, saya boleh mendengar dengan jelas bunyi tapak kaki saya dan bunyi kain yang saya pakai bergeser dengan tanah dan mengheret daun-daun kering. Sekali-sekala, saya rasa seperti saya boleh dengar bunyi jantung saya sendiri yang tengah berdegup kencang. Kurang 15 minit, saya sampai ke surau itu. Hati saya ada rasa berbelah bagi sama ada saya mahu masuk atau tidak.
Saya baca sedikit doa, kemudia saya melangkah dengan langkah kanan. Saya memijak tangga surau itu dengan perlahan-perlahan. Tiba-tiba….
Saya akan sambung cerita ini esok dan ceritakan apa kaitan kisah ini dengan kebolehan untuk menjadi seorang pelajar yang cemerlang.
Sun 20 Aug 2006
Posted by Osman Affan under
Persediaan MindaNo Comments
Jika anda sekarang berumur 15 tahun, apa yang ingin anda capai bila anda berusia 20 tahun dan apa yang mahu anda capai bila anda berusia 25 tahun? Begitu juga jika anda sekarang berusia 16,17,18,19,20………. apakah yang ingin anda capai dalam 5 ke 10 tahun akan datang?
Jika 10 tahun akan datang anda bercita-cita menjadi mekanik paling hebat di daerah anda, tentu anda tahu yang anda patut mula belajar sesuatu tentang kerja mekanik mulai sekarang. Jika anda mahu menjadi seorang tukang masak professional 10 tahun akan datang, tentu anda sedar bahawa anda perlu belajar kemahiran memasak itu bermula sekarang.
Tambahan lagi, bila anda mahu jadi mekanik atau tukang masak hebat, anda juga perlu pandai menggunakan bahasa selain bahasa melayu, terutamanya bahasa Inggeris. Bahasa ini akan membantu anda belajar dengan lebih banyak tentang bidang anda kerana banyak bahan bacaan dan bahan pendidikan tertulis dalam bahasa inggeris. Jadi, anda perlu tingkatkan penguasaan bahasa inggeris sekarang.
Ini adalah contoh kebaikan berfikir dan melihat kepada cita-cita anda di masa akan datang kerana ia akan memberitahu anda apa yang patut anda lakukan mulai daripada sekarang.
Sat 19 Aug 2006
Posted by Osman Affan under
Teknik BelajarNo Comments
Semasa anda belajar, ada beberapa tabiat buruk yang perlu anda elakkan. Mari kita kongsi bersama satu daripada tabiat buruk ini.
Tabiat buruk yang perlu kita elakkan ialah menyebut perkataan ‘ susah’, ‘pening’ dan ‘tak boleh’. Berdasarkan pengelaman saya, ini adalah perkataan yang sangat digemari oleh pelajar. Baru sahaja cikgu perkenalkan topik baru, mereka dah kata “susah la topik ni cikgu”. Baru sahaja cikgu terangkan tentang topik baru itu, mereka dah kata ” pening la kepala saya cikgu”. Baru sahaja cikgu suruh buat latihan, mereka dah kata “tak boleh buat la cikgu”.
Ini adalah satu tabiat yang sangat buruk. Kita perlu sedar satu perkara. Ada satu bahagian di dalam otak kita yang bergerak balas terhadap arahan kita. Ia akan memastikan reaksi tubuh badan kita selari dengan apa yang kita arahkan. Contohnya, bila anda kata susah, bahagian otak ini akan bergerak balas dengan membuat tubuh badan anda kelihatan seperti orang susah. Anda akan duduk macam orang susah dan muka anda juga kelihatan susah. Akibatnya, anda benar-benar merasa susah dan tidak mungkin dapat mempelajari topik baru itu.
Jadi, buat permulaan, hindari daripada menyebut perkataan negatif di atas. Walaupun anda merasa susah semasa mempelajari sesuatu topik baru, bersabar dan teruskan usaha. Tarik nafas dalam-dalam dan wujudkan keyakinan dalam diri bahawa anda boleh memahami topik baru itu.
Selamat mencuba.
Fri 18 Aug 2006
Posted by Osman Affan under
Mutiara KataNo Comments
Imaginasi adalah lebih penting daripada kebijaksanaan. ~Albert Einstein
Imaginasi adalah sesuatu yang amat berguna kepada pelajar. Ia boleh membuat pelajar merasa bahawa belajar itu susah, atau belajar itu senang. Maksudnya, jika di dalam imaginasi pelajar itu menunjukkan bahawa belajar itu adalah perkara susah, maka pelajar itu pasti merasa susah semasa hendak belajar.
Begitu juga sebaliknya jika imaginasi pelajar menunjukkan bahawa belajar itu mudah dan menyeronokkan, ia akan menjadi nyata.
Jadi, jika anda belajar itu susah, periksa semula apakah imaginasi anda terhadap pelajaran?
Thu 17 Aug 2006
Peperiksaan adalah sesuatu yang menakutkan dan menggerunkan bagi sesetengah pelajar. Perasaan sebegini akan menjadi lebih teruk lagi jika minda pelajar itu dipenuhi dengan imej-imej yang menunjukkan kegagalan, kesusahan, pening kepala dan kekecewaan. Imej-imej begini dalam fikiran pelajar akan menambahkan lagi debaran untuk menghadapi peperiksaan. Jadi, apa yang pelajar harus lakukan untuk mengurangkan rasa debaran dan kegelisahan ini?
Satu cara yang efektif ialah dengan membayangkan kesudahan yang menggembirakan. Sebelum hari peperiksaan menjelang, bayangkan hari peperiksaan tersebut di dalam minda anda. bayangkan, peperiksaan sudah berakhir, dan anda kelihatan gembira kerana telah menjawab dengan baik. Bayangkan dengan jelas bagaimana rupa anda ketika tersenyum selepas peperiksaan. Kemudian, rasakan perasaan gembira yang mengiringi senyuman itu. Ini yang dimaksudkan dengan membayangkan kesudahan yang menggembirakan.
Mengapa kita lakukan ini? Seperti yang saya katakan sebelum ini, kita adalah apa yang kita fikirkan. Jika kita asyik fikirkan tentang kesusahan peperiksaan, kita akan sentiasa risau dan tidak dapat menumpukan perhatian kepada pelajaran. Akhirnya, kesusahan itu menjadi kenyataan.
Jadi tukar imej susah dalam minda anda itu kepada kesudahan yang menggembirakan yang saya katakan tadi. Insyaallah, kita akan rasa lebih tenang dan kesudahan itu akan benar-benar menjadi kenyataan. Selamat mencuba.
Wed 16 Aug 2006
Posted by Osman Affan under
CeritaNo Comments
Ada beberapa perkara yang belajar daripada Budiyamin tentang matematik. Satu, kalau nak pandai matematik, kita kena suka matapelajaran tu. Habis, kalau kita dah memang tak suka macam mana? Caranya, mula-mula buat-buat macam kita sukakan matapelajaran tu. Kita macam berlakon sikit yang kita suka subjek tu. Kemudian, mula buat latihan sedikit demi sedikit. Tak perlu terus mula dengan 100 soalan. Bukan apa, takut terkejut nanti lepas tu terus makin benci.
Kedua, matematik adalah latihan dan latihan adalah matematik. Maksud saya, matematik adalah satu subjek yang anda perlu buat latihan untuk menguasainya, bukan membaca. (Ada pelajar yang belajar matematik dengan hanya membacanya). Saya berjaya menguasai matematik kerana saya ikut Budiyamin buat latihan. Semakin banyak latihan saya buat, saya jadi semakin cekap. Malah, ramai kawan sekelas akan tanya saya dan Budiyamin tentang cara menjawab soalan matematik.
Ketiga, matematik adalah matapelajaran yang memerlukan disiplin. Walaupun anda faham topik tertentu, anda tidak akan dapat menjawab dalam masa yang diberikan jika anda tidak mendisiplinkan diri untuk menjawab soalan matematik. Setiap kali anda berlatih menjawab soalan matematik, catat masa yang anda ambil. Selalunya anda ada masa kurang daripada 3 minit untuk menjawab satu soalan. Jadi, cuba kejar masa itu,
maksud saya, cuba latih menjawab dengan secepat mungkin.
Keempat, anda perlu HAFAL SIFIR! Saya tahu ramai pelajar yang merungut tentang perkara ini. Ada pelajar tingkatan lima yang saya uji dengan sifir 7 pun tidak lepas. Alasan mereka, mereka boleh guna mesin kira, mengapa perlu ingat sifir?
Persoalannya ialah, hafal sifir bukan sahaja untuk mengetahui berapa 5 x 5 dan berapa 12 x 7. Tetapi, menghafal sifir akan membuat otak anda lebih cepat dan cekap mengira. Kalau asyik bergantung kepada mesin kira, daya pemikiran anda akan semakin lemah kerana tidak ada usaha yang dilakukan oleh otak anda. Lihat mereka yang handal matematik, pasti mereka cekap juga dalam sifir.
Akhir sekali, anda perlu ada azam dan kemahuan untuk jadi hebat dalam subjek matematik. Jika anda kisah tidak kisah, sukar untuk anda kuasai subjek ini. Insyaallah saya akan kongsikan lagi di masa akan datang petua-petua untuk menguasai matapelajaran matematik ini.
Tue 15 Aug 2006
Posted by Osman Affan under
Cerita1 Comment
Semasa saya mula-mula memasuki kelas elit tahun 6, saya agak gementar. Ini adalah projek terbaru sekolah saya. Semua pelajar paling elit dikumpulkan dalam kelas ini. “Elit? Elit ke aku ni?” fikir saya setiap masa. “Dah la matematik pun tak reti, elit konon..” kata hati saya kadangkala.
Hendak dijadikan cerita, saya duduk disebelah pelajar bernama Budiyamin. (Dah 18 tahun saya tak jumpa Budiyamin ni). Budiyamin ni pendiam sikit orangnya tetapi pandai. Satu perkara saya perasan tentang Budiyamin ni. Saya selalu nampak dia tersenyum sorang-sorang, kadangkala bercakap sorang-sorang. Risau jugak saya tengok dia. tetapi bila saya lihat betul-betul, dia tersenyum atau bercakap sorang2 ketika membuat latihan matematik rupanya. Bila cikgu tidak ada dalam kelas, dia akan buka buku matematik. Dia nampak seronok buka buku matematik macam kanak-kanak lain membuka buku komik pula. Saya hairan.
Saya tanya dia, “apa yang seronok sangat ni Budi…?”. Budiyamin menjawab “Seronok la bila dapat gak akhirnya jawapan soalan ni. Berapa hari aku cuba tak dapat-dapat”. Bila dah hari-hari saya lihat dia begitu, saya rasa saya mula memahami kenapa perangainya begitu.
Yang peliknya, sikap dia tu seolah-olah berjangkit kat saya pulak. Saya mula ikut-ikut dia buat latihan. Saya pilih yang senang je mula-mula. Tapi lama kelamaan saya dah mula boleh kejar kepantasan Budiyamin buat latihan matematik. Lama-kelamaan juga kami seolah bertanding siapa lagi cepat boleh menyelesaikan masalah matematik daripada buku teks. Semakin lama semakin seronok.
Tanpa saya sedari, saya sebenarnya sudah mula menguasai matapelajaran matematik yang selama ini saya rasa sangat susah. Saya terfikir, ” kenapa tahun lepas rasa susah sangat eh?”. Saya dan Budi berjaya menghabiskan semua soalan matematik yang ada dalam buku teks matematik. Saya tidak ada buku tambahan matematik (tidak mampu beli ketika itu) jadi Budi yang sering membawa soalan daripada buku tambahan terutamanya daripada kelas tuisyennya. Dapat la saya tumpang belajar.
Dipendekkan cerita, saya mula mendapat A dalam matapelajaran matematik. Matematik sudah menjadi matapelajaran yang pasti dapat A setiap kali peperiksaan. Malah, semasa peperiksaan sebenar UPSR, setelah guru matematik memeriksa kertas peperiksaan saya, beliau senyum dan mengatakan jawapan saya betul semua.
Kesimpulannya, apa yang dapat dipelajari daripada cerita tentang teknik belajar matematik? Saya akan huraikan kesimpulannya esok.
Mon 14 Aug 2006
Posted by Osman Affan under
Cerita[2] Comments
Sepanjang pengalaman saya mengajar pelajar sekolah menengah atau rendah, matematik adalah matapelajaran yang dikira sebagai ‘top three’ paling susah disekolah. Tidak dinafikan, semasa saya di dalam darjah 5, saya juga menghadapi kesukaran untuk memahami subjek matematik. ia kelihatan terlalu sukar dan memeningkan.
Disebabkan saya tidak dapat menguasai matapelajaran itu, saya sering ponteng sekolah. Ini disebabkan, saya tidak dapat menyiapkan kerja sekolah saya. Kalau tidak siap, pasti saya akan dimarahi cikgu matematik saya (cikgu yang paling garang ketika itu). Saya rasa sungguh malu setiap kali kena marah.
Dirumah pula, keluarga saya tidak dapat membantu saya. Ibu dan bapa tidak sekolah tinggi. Kakak saya pula hanya setahun lebih tua daripada saya. Dikampung saya pula, sayalah sebenarnya yang paling menyerlah dalam bidang pelajaran. Jadi, tidak ada sesiapa yang saya dapat minta tolong ketika itu (sekarang saya rasa itu semua hanyalah alasan sebab banyak lagi perkara yang saya boleh buat untuk atasi masalah itu
)
Ketika itu, saya adalah ketua kelas dan guru matematik pula adalah guru kelas saya sendiri. Beliau amat marah dan kecewa kerana saya sering gagal menyiapkan kerja sekolah matematik dan mendapat markah rendah pula di dalam peperiksaan. Dia juga sering marah kerana saya sering tidak hadir ke sekolah. Apa beliau lakukan ialah, beliau turunkan pangkat saya daripada ketua kelas kepada menjadi penolong ketua kelas sahaja. Malu betul saya ketika itu. Saya tidak ceritakan pun perkara ini kepada ibu bapa saya.
Pada akhir tahun pula, saya tidak mendapat apa-apa hadiah dalam bidang pelajaran semasa hari penyampaian hadiah, cuma mendapat hadiah saguhati sebagai seorang penolong ketua kelas.
Walaubagaimanapun, saya masih bernasib baik kerana saya termasuk dalam 5 pelajar dalam kelas saya yang terpilih untuk memasuki kelas elit untuk tahun hadapan, iaitu tahun 6. Saya bersyukur. Namun, saya masih merasa takut kepada subjek matematik itu. Saya cuma lulus cukup makan di peperiksaan akhir tahun untuk subjek matematik. Bagaimana boleh saya majukan diri saya dalam subjek ini? Saya akan menduduki peperiksaan UPSR tidak lama lagi?
(Ikuti sambungan kisah ini esok dan saya akan ceritakan bagaimana saya berubah daripada lemah kepada menjadi salah seorang pakar matematik di dalam kelas elit tahun 6 di sekolah saya.)
Sun 13 Aug 2006
Posted by Osman Affan under
Teknik BelajarNo Comments
Selalunya, pelajar yang susah untuk memahami apa yang diajar oleh guru mereka ialah pelajar yang tidak boleh benar-benar menumpukan perhatian mereka terhadap apa yang sedang guru mereka ajarkan. Contohnya, ketika guru mengajar, pelajar sibuk mencari buku, mencari pen, mengasah pensel, makan atau minum dan bermacam-macam hal lagi.
Apabila habis guru menerangkan tentang sesuatu, mulalah pelajar ini merungut yang subjek itu sukar difahami. Ingat, yang sukar bukanlah subjek itu, tapi kebolehan anda untuk lupakan gangguan disekeliling dan tumpukan sepenuh perhatian kepada apa yang diajarkan.
JIka saya sedang mengajar, selalunya saya akan suruh pelajar saya bersedia. Ini bermaksud, berhenti mencari barang atau buat sesuatu, dan mula tumpukan kepada apa yang saya terangkan. Saya akui, agak sukar melakukan perkara ini terutama di dalam kelas yang besar. Tetapi, ia tidak mustahil.
Tumpukan perhatian sehingga anda seolah-olah tidak sedar perkara-perkara lain berlaku disekeliling anda. Ia umpama kucing yang sedang mengejar tikus, seratus peratus fokus kepada apa yang dikejarnya.
Latih diri anda untuk fokus seperti ini. Ia benar-benar memerlukan latihan. Mulanya anda akan rasa agak janggal dan sukar sedikit. Tetapi apabila anda sudah menguasai teknik ini, anda akan lebih mudah untuk mempelajari dan memahami sesuatu.
Sat 12 Aug 2006
Posted by Osman Affan under
Mutiara KataNo Comments
Bodoh adalah apabila anda merasa terlalu pandai dan tidak mahu mendengar nasihat orang lain. ~Osman Affan
Saya tidak suka bercakap tentang perkataan bodoh sebenarnya kerana ia amat sensitif dan kalau disalah guna akan mendatangkan akibat yang tidak baik dalam jangka masa panjang. Saya selalu ingatkan sahabat-sahabat saya agar jangan sekali-kali menggunakan perkataan ‘bodoh’ kepada pelajar kerana kesannya sangatlah tidak baik.
Apa yang kita perlu ingat ialah, bodoh ini bukan satu sifat. Maksudnya, kalau tak tau jawab soalan, itu bukan bodoh. Kalau gagal dalam peperiksaan itu bukan bodoh. Bodoh ini ialah satu sikap. Ia adalah satu sikap anda bila anda merasa terlalu pandai dan mula tidak mahu mendengar nasihat atau pendapat orang lain.
Disekolah, saya pernah bertemu dengan murid sebegini. mereka ini selalu mencari kesalahan guru dan mentertawakan guru jika guru ada membuat kesilapan. Elakkan sejauh-jauhnya daripada menjadi pelajar sebegini.
« Previous Page — Next Page »