September 2006


Menuntut ilmu perlu ada adab yang betul. Ini kerana, ilmu itu hanya akan diperolehi dengan kerelaan dan kesediaan daripada seseorang yang mempunyai ilmu itu. Tidak kira anda mahu belajar atau menuntut ilmu dari sesiapa pun, anda perlu menjaga adab anda. Walaupun anda mahu belajar daripada seseorang yang lebih muda, seseorang yang lebih miskin, seseorang yang kurang berjaya mahupun daripada seseorang yang anda tidak kenali. 

Berbalik kepada cerita tentang email semalam, saya selalunya malas hendak melayan email-email yang sebegitu. Satu sebabnya, saya sudah sedia ada sibuk dengan pekerjaan dan tanggungjawab saya. Satu lagi sebab yang paling utama, email-email begitu membuat saya rasa jika saya balas pun, pasti penulis tidak akan dapat memanfaatkan apa yang saya akan berikan. Jadi, apa saya buat, saya akan delete email itu atau saya balas dengan menceritakan tentang adab menuntut ilmu ini :)

osman affan

Apa yang perlu anda lakukan jika anda mahu menuntut ilmu melalui pertanyaan melalui email? Pertama, jangan lupa beri salam. Bayangkan kalau orang masuk rumah anda melulu tanpa ucapan salam atau pun senyuman, apa anda akan rasa? 

Kemudian, perkenalkan diri anda. Tidak perlu panjang. Pendek sahaja sudah mencukupi. Cukup juga dengan menerangkan nama anda dan dari mana anda menulis email. Kemudian, beritahu tujuan anda menulis email tersebut. Elakkan daripada mendesak seperti menyuruh seseorang itu membalas dengan segera. Jika anda memerlukan jawapan dengan segera, mohon maaf dahulu dan tanya jika ada kemungkinan untuk beliau membalas email anda dalam masa terdekat. Ini akan terpulang kepada budi bicara beliau. 

Selamat menuntut ilmu :)

 

Pernahkah anda menghantar surat atau email kepada seseorang untuk mengetahui sesuatu? Bagaimana cara anda memulakan surat atau email anda? Adakah anda akan tulis dengan bahasa yang sopan dan tidak mendesak atau sebaliknya?

osman affan

Hari ini saya ingin kongsikan pengalaman saya dalam menangani email daripada orang-orang yang tidak saya kenali.  Saya berikan beberapa contoh email yang pernah saya terima. Email-email ini sangat pendek. Saya tidak perlu memendekkan email itu kerana ia memang tidak panjang….. :)

Boleh cerita macam mana nak belajar dengan berkesan?…. 

Kenapa cikgu kat sekolah suka pilih kasih? Macam mana nak belajar teknik bacaan pantas dengan mudah? Sila balas dengan segera.(saya tidak balas email ini, selang beberapa hari penulisnya menghantar email lagi kepada saya) 

Saya serius tanya tentang cara bacaan pantas. Harap tuan serius juga juga menjawabnya dengan segera. Saya hanya menggeleng kepala apabila mendapat email begini. Jika anda mendapat email begini, apakah yang akan anda lakukan?

Di dalam buku saya “Persediaan Minda untuk Menjadi Pelajar Cemerlang”, saya ada ceritakan tentang gaya belajar bagi setiap pelajar. Secara ringkas, gaya belajar bermaksud cara utama seseorang pelajar memproses maklumat di dalam minda mereka.

Ada 3 jenis gaya belajar utama iaitu: Visual, Auditori dan Kinesthetik.

Jika anda pelajar Visual, anda suka memproses maklumat berdasarkan apa yang anda lihat. Jika anda bercerita tentang rumah, anda mungkin suka ceritakan tentang warna, bentuk, saiz dan apa-apa sahaja yang boleh anda lihat.

Jika anda seorang pelajar Auditori, anda suka memproses maklumat berdasarkan apa yang anda dengar. Jika anda bercerita tentang rumah, anda mungkin ceritakan bagaimana suasana sunyi di waktu malam, suasana ceria dan riuh rendah di waktu petang atau bagaimana bunyi burung begitu kuat di waktu pagi.

Jika anda seorang pelajar Kinesthetik, anda suka memproses maklumat berdasarkan apa yang anda rasa. Jika anda bercerita tentang rumah, anda mungkin ceritakan bagaimana kasarnya kayu rumah itu, betapa seronoknya bermain kejar-kejar di waktu petang atau betapa tenangnya anda rasa bila berada disekitar rumah itu.

(Dalam petua yang akan datang, saya akan kongsikan apakah kaitan gaya belajar ini dengan kebolehan untuk mempelajari sesuatu atau menghafal sesuatu dengan cepat.)

Sebagai seorang pelajar, imej apa yang ingin anda tonjolkan? Adakah anda mahu imej ulat buku? Imej seorang pemimpin? Imej pelajar bijak? Imej pelajar popular? Satu peringatan daripada saya, guru dan pelajar lain tidak tahu apa yang ada dalam hati anda. Mereka tidak tahu sama ada anda seorang yang jujur, bijak, berkarisma atau mempunyai bakat kepimpinan.

Namun, mereka hanya boleh meneka apa yang ada dalam hati anda atau apa personaliti anda berdasarkan imej yang anda tonjolkan. Jika anda sentiasa berpakaian kemas, ia menonjolkan imej yang bersih, teratur dan sopan di mata pelajar lain dan juga guru. Jika anda sentiasa bercakap dengan sopan dan bahasa yang baik, anda akan dilihat sebagai pelajar yang berhati mulia, mendapat didikan sempurna daripada ibu bapa dan mudah didekati. Sebaliknya, jika anda bersikap biadap, tidak menghormati pelajar lain dan berpakaian tidak kemas (kemas tidak semestinya memakai pakaian mahal), anda akan menonjolkan imej yang anda tidak patut didekati.

osman affan

Apa kaitan penampilan diri dengan kemahiran belajar? Satu, penampilan diri akan membuat anda disenangi rakan pelajar dan guru. Jadi, anda mudah mendapat kerjasama mereka dan mereka akan sedia membantu anda dalam pelajaran.

Kedua, penampilan diri yang baik akan meningkatkan keyakinan anda untuk lebih berjaya. Jika penampilan anda seperti pelajar cemerlang, anda akan rasa yakin seperti pelajar cemerlang. Jadi, pilih satu imej yang ingin anda tonjolkan dan pastikan imej itu akan membantu anda mencapai apa yang anda inginkan.

Ada pelajar yang suka belajar di waktu pagi, ada yang suka belajar di waktu malam dan ada pelajar yang suka belajar di waktu petang. Walau apa pun pilihan anda, pastikan masa itu adalah masa yang paling sesuai untuk minda anda mempelajari sesuatu.

Selalunya pelajar suka mendengar nasihat yang terlalu umum seperti masa yang terbaik untuk belajar adalah pada waktu awal pagi atau lewat malam. Sebenarnya, ini semua bergantung kepada masa aktif anda.

Apa yang saya maksudkan dengan masa aktif ialah satu masa di mana anda merasa mudah untuk belajar sesuatu. Masa aktif saya adalah selepas bangun tidur, tidak kira tidur waktu malam atau siang. Jika semasa saya belajar dan mula rasa tidak dapat menyerap apa yang saya pelajari, saya akan berhenti untuk tidur sebentar. Apabila saya bangun, minda saya akan segar semula dan saya akan dapat belajar dengan lebih aktif. Ini adalah cara saya menggunakan masa aktif saya, bagaimana pula dengan anda?

Matlamat tanpa usaha adalah angan-angan. Usaha tanpa matlamat umpama berjalan tanpa tujuan. Matlamat beserta usaha pasti menghasilkan kejayaan. ~Osman Affan

Saya percaya anda ada matlamat, sebab itulah anda membaca petua harian ini untuk membantu usaha anda. Tips-tips motivasi diri menjelang peperiksaan sepanjang minggu ini  menekankan tentang usaha anda untuk mencapai kejayaan. Walaupun ia mungkin kelihatan mudah, ia tidak begitu mudah untuk dipraktikkan. Saya sendiri juga sentiasa perlu mengingatkan diri saya supaya sentiasa mengamalkan tips-tips yang saya kongsikan bersama anda di sini.

Saya percaya anda tidak semestinya perlu baca 1000 petua untuk mencapai kejayaan. Selalunya, hanya dengan satu petua sahaja yang benar-benar dipraktikkan dan diamalkan, apa yang anda ingin kecapi selama ini akan tercapai. Persoalannya, sanggupkah anda anda berubah daripada tabiat lama kepada tabiat yang boleh membawa anda ke arah kejayaan?

Anda tentu sudah tahu langkah satu dan langkah dua teknik berdoa kan? Bagaimana pula dengan langkah seterusnya?

Langkah Tiga - bayangkan anda sudah mendapat apa yang anda minta dan hajatkan. Semasa anda melafazkan doa anda, bayangkan dalam minda anda sejelas-jelasnya akan apa yang anda minta. Jika anda berdoa untuk dapat 5A, bayangkan hari anda mengambil keputusan peperiksaan dan apabila anda melihat kertas itu, anda lihat 5A dalam di dalamnya seperti yang anda mahukan. Bayangkan situasi itu dengan jelas. Siapa yang ada bersama anda ketika itu? Adakah guru anda ada bersama? Adakah ibu bapa anda ada bersama?

osman affan

Langkah 4 - masukkan emosi ke dalam imaginasi anda tadi. Semasa anda membayangkan anda mendapat 5A tadi, apakah agakanya anda akan rasa ketika itu? Adakah anda akan sekadar tersenyum? Tentu tidak bukan? Ada pelajar yang berkata bahawa mereka akan melompat-lompat jika mereka mendapat keputusan yang mereka inginkan. Itulah emosi yang patut anda rasa. Imaginasi tanpa emosi tidak mencetuskan apa-apa semangat yang boleh membantu. Jadi, masukkan emosi yang sesuai.

Langkah 5 - Insyaallah apa yang anda doakan akan termakbul. Hebatnya manusia ciptaan Allah, jika kita percaya dan yakin kita boleh berjaya, kita akan berjaya. Jika kita ragu-ragu semasa berdoa, kesannya juga tidak akan begitu baik. Jadi, berusaha dengan gigih selepas berdoa dan kemudian serahkan segalanya kepada Allah…….

Setelah anda tahu 5 asas dalam melafazkan doa, anda perlu tahu bagaimana cara melaksanakan doa supaya anda kekal bersemangat dan mula menuju ke arah matlamat anda. Kebanyakan pelajar tidak tahu 5 asas yang saya berikan semalam. Bagi pelajar yang tahu 5 asas doa itu pula tidak tahu bagaimana cara yang betul untuk melaksanakannya.

Ada 5 langkah lagi untuk melaksanakan doa (Fuhh!! banyak betul langkah ni. Harapnya anda belum penat lagi  :)   )

Langkah satu - Kenal pasti apa yang anda mahukan sejelas-jelasnya. Saya sedar kebanyakan pelajar berdoa dengan doa yang sudah dihafal. Doa-doa yang ada dalam buku semuanya bagus jika anda baca. Namun saya percaya adalah bagus juga jika anda membaca doa anda sendiri, iaitu apa yang anda inginkan dalam ayat anda sendiri. Apabila anda guna ayat sendiri, anda lebih faham apa yang anda minta, anda rasa lebih selesa dan lebih jelas tentang apa yang anda mahu. Jadi, mula tulis doa menggunakan ayat anda sendiri.

Langkah kedua - Lafazkan doa anda. Anda boleh lafaz dalam hati tetapi bagus lagi jika anda lafazkan dengan suara. Tidak perlu suara yang kuat. Cukup untuk telinga anda mendengar suara anda sendiri sahaja. Ingat, lafazkan doa dalam bentuk positif. Jangan doa “Aku tidak mahu gagal lagi”. jika anda doa begini, perkataan gagal akan memenuhi minda anda dan itulah selalunya yang akan muncul dalam hidup anda. Lafaz “aku berjaya dalam peperiksaan UPSR/PMR/SPM/STPM dengan 5A/6A/7A….”

(Saya akan kongsikan langkah seterusnya esok)

Motivasi terakhir untuk motivasi diri menjelang peperiksaan yang ingin saya kongsikan hari ini adalah tips yang paling penting dan meliputi semua tips-tips yang telah saya berikan. Tips hari ini ialah doa yang khusus.

Sepanjang pengalaman saya dan rakan-rakan saya sebagai pelajar dulu, kami percaya doa adalah satu senjata paling hebat yang dimiliki oleh seorang pelajar. Jika anda tidak bersemangat, mungkin ia kerana anda kurang berdoa. Jika anda selalu berdoa tetapi tidak masih kurang bersemangat, mungkin ia kerana doa anda tidak memenuhi ciri-ciri yang diperlukan.

Hari ini, saya berikan lima perkara asas dalam melafazkan doa. Asas ini saya pelajari daripada ustaz saya semasa saya berada di Tingkatan 1 dulu. (Lama dah tu :)   )Perkara asas ini seperti lima jari anda.

doa

Esok saya akan terangkan beberapa aspek lain tentang teknik berdoa.

Tingkatkan tahap Motivasi!

Motivasi diri menjelang peperiksaan hari ini ialah dengan mulakan dengan nyalaan api yang kecil. Satu cara yang saya kongsikan untuk menyalakan api yang kecil itu ialah dengan menguasai satu bahagian kecil dalam pelajaran anda dan biarkan ia merebak ke bahagian lain matapelajaran itu.

Tips hari ini ialah untuk anda menyalakan api kecil itu, bukan dengan menguasai subjek, tetapi dengan mencari apakah perkara yang boleh menyalakan api kecil dalam diri anda itu. Maksudnya begini. Pernahkah anda sedang buat sesuatu seperti menonton televisyen, bermain bolasepak, berjalan-jalan, membeli belah atau berehat, tiba-tiba sahaja anda rasa semangat anda untuk belajar meningkat. Anda jadi bersemangat dengan tiba-tiba. Apabila itu berlaku, anda terus rasa rajin untuk belajar dan mengulangkaji. Apa yang berlaku ini ialah api semangat yang kecil itu telah menyala. Ia tidak menyala dengan sendiri, tetapi sesuatu yang anda lakukan telah menyalakannya.

osman affan

Tugas anda hari ini ialah untuk mencari apakah aktiviti yang anda lakukan yang boleh menyalakan api semangat dalam diri anda ini. Ia tidak semestinya anda mesti baca buku. Jika anda tanya saya, api semangat dalam diri saya selalunya menyala jika saya menonton movie yang berkisahkan kehebatan manusia seperti kisah Ejen rahsia yang hebat seperti ‘The Bourne Identity & The Bourne Supremacy’ dan beberapa cerita fantasi lain. (Malu pula saya hendak nyatakan filem-filem fantasi berasaskan komik yang saya minati :)   ) Apabila saya menonton cerita begini, saya rasa bersemangat dan bermotivasi apabila melihat kehebatan watak-watak dalam cerita itu. Ini secara langsung menyalakan api kecil dalam diri saya. Jadi, setiap kali saya hilang semangat dan memerlukan api kecil itu, saya akan pasang vcd movie yang saya minat tadi.

Bagaimana dengan anda? Apakah aktiviti begini untuk anda? Saya perlu ingatkan bahawa pada mulanya agak sukar untuk mencari aktiviti ini tetapi jika anda teruskan usaha dan membuka mata dan minda anda, insyaallah anda akan jumpa.

Selamat Mencari dan selamat meningkatkan tahap Motivasi!

 

« Previous PageNext Page »