January 2007
Monthly Archive
Thu 11 Jan 2007
Satu tip paling mudah untuk mewujudkan komunikasi dua hala antara anda dan pendengar anda ialah dengan bertanyakan soalan. Soalan membuka minda pendengar anda. Jika anda bertanya soalan, minda pendengar akan mula berfikir dan cuba mencari jawapan kepada persoalan anda.
Tetapi, mengajukan soalan bukan bermaksud anda asyik bertanya kepada pendengar semasa anda berucap. Secara ringkas, ada dua jenis soalan yang anda boleh ajukan semasa anda berucap.
- Soalan yang mengharapkan jawapan daripada pendengar. Jika anda berucap di depan terlalu ramai orang, teknik ini tidak sesuai. Ia sesuai jika anda berucap di dalam kumpulan yang agak kecil seperti di dalam seminar atau bengkel. Anda boleh tanya peserta anda soalan dan tunggu jawapan mereka. Apabila mereka memberi jawapan, berlakulah komunikasi dua hala.
- Soalan yang tidak mengharapkan jawapan. Banyak ketikanya, anda perlu menyoal soalan tetapi anda tidak harap pendengar memberi jawapan. Sebaliknya, anda sendiri yang memberi jawapan. Dengan memberikan soalan, minda pendengar anda akan terbuka dan mereka pula yang mengharapkan jawapan daripada anda. Apabila and memberi jawapan, mereka rasa seronok dan mula menumpukan perhatian kepada anda apabila anda sedang bercakap.
Contoh bentuk soalan yang anda boleh berikan semasa berucap (katakan anda sedang berucap di depan sekumpulan pelajar sekolah dan anda sedang bercerita tentang teknik belajar), “tahu tak kenapa lepas makan, kita mudah rasa mengantuk…?” atau “kenapa agaknya hantu cuma muncul pada waktu malam dan di tempat yang sunyi sahaja…?”
Wed 10 Jan 2007
Anda dah cuba aktiviti semalam? Sebenarnya, kalau anda tak boleh cari pokok yang berdekatan, guna dinding pun boleh…..
Kesannya sama juga.
Apa perasaan anda ketika lakukan aktiviti tersebut? (Kalau anda tak lakukan tips ini tidak akan memberi kesan baik kepada anda. Jadi anda perlu cuba). Ada antara anda yang mungkin kata anda tak rasa berdebar sangat bila bercakap dengan pokok. Ada yang mungkin kata anda rasa kurang malu sebab pokok takkan ketawakan anda. Cuma anda mungkin rasa malu sebab aktiviti tu macam aktiviti orang gila.
Soalan utama saya untuk tips semalam…… apakah perasaan anda bila bercakap dengan sesuatu yang tidak memberi reaksi atau maklum balas kepada anda?
Walau sehebat mana pun ucapan anda, anda pasti rasa bosan dan tidak selesa jika bercakap dengan sesuatu yang tidak memberi reaksi kan?
Mesej saya disini ialah, walaupun anda mungkin tidak akan bercakap dengan pokok, anda mungkin bercakap dikhalayak ramai seperti anda anda sedang bercakap dengan pokok! Bagaimana pula?
Apabila anda bercakap dikhalayak ramai, jika anda seorang sahaja yang bercakap tanpa maklum balas dan reaksi daripada penonton, anda umpama bercakap dengan pokok. ia juga dinamakan bercakap satu hala.
Apa yang anda perlu sedar ialah, jika orang rasa bosan bila anda bercakap dikhalayak ramai, anda mungkin bercakap satu hala sahaja. Anda seolah-olah bercakap dengan pokok. Apabila anda bercakap begitu, anda akan lihat penonton anda mula menunjukkan muka bosan, menguap, bercakap sesama sendiri atau buat sesuatu perkara lain dan tidak beri tumpuan kepada anda.
Soalan yang patut anda ajukan kepada saya selepas membaca tips ini ialah, bagaimana caranya untuk mewujudkan perhubungan atau komunikasi 2 hala? Bagaimana caranya supaya anda tidak bercakap umpama bercakap dengan pokok?
Bagus….. kita bincangkan perkara tersebut esok…..
Tue 9 Jan 2007
Tips hari ini saya nak suruh anda buat sesuatu yang pelik sedikit. Saya mahu anda cari sebatang pokok (yang hidup atau mati, yang besar atau kecil.)
Berdiri mengadap pokok tersebut…. dan…. cuba bercakap dengan pokok tersebut……
Cuba bercakap dengan nada yang menarik, naik dan turun….. cuba buat memek muka yang menarik…. adakah anda rasa malu jika anda lakukan perkara tersebut.
(Tips: jangan lakukan perkara ini apabila ada orang disekeliling anda. Nanti orang ingat anda gila…
)
Setelah anda cuba bercakap dengan pokok tersebut dengan cara terbaik anda, apa yang anda rasa….? Cuba perkara ini dan kita sambung perbincangan ini esok.
Selamat mencuba.
Mon 8 Jan 2007
Satu tips yang anda telah pelajari, anda perlu keluarkan suara anda atau anda perlu kuatkan sedikit suara semasa anda berucap. Suara yang lebih kuat akan mengurangkan debaran anda dan juga boleh kedengaran seperti suara yang lebih tegas.
Cuma ada bezanya suara yang kuat dan menjerit. Saya tidak suruh anda menjerit kerana bunyinya menyakitkan dan anda akan hilang suara anda dengan cepat. Untuk bezakan kuatkan suara atau menjerit, lihat contoh dibawah.
Bayangkan anda berada di dalam satu dewan kecil yang mengadakan majlis makan-makan. Anda berada di pintu masuk dan kawan baik anda ada di hujung bilik tersebut. Diantara anda dan kawan anda (ditengah-tengah dewan itu) ada ramai orang yang berbual-bual, berjalan, makan dan membuat bising. Bilik itu agak bising dengan bunyi suara orang ramai dan bunyi pinggan mangkuk yang berlaga sesama sendiri.
Dalam suasana bising itu, anda mahu beritahu sesuatu kepada kawan baik anda tanpa anda pergi kepadanya. Maksudnya, anda perlu bercakap dari tempat anda berdiri sekarang. Anda perlu bercakap dengan kuat bukan? Cuba bercakap dengan kuat sambil membayangkan situasi tadi.
Ingat…. jangan menjerit…. kuatkan suara tetapi jangan menjerit… (tentu anda boleh bayangkan bagaimana rupa orang menjerit bukan…)
Selamat mencuba.
Tue 2 Jan 2007
Tips yang seterusnya ialah, keluarkan suara anda ketika anda sedang bercakap dikhalayak ramai.
Hmmm… pelik tak agaknya bunyi tips ni. Kalau tak keluarkan suara, takkan boleh bercakap di depan khalayak ramai kan?
Sebenarnya, jika anda rasa berdebar dan gementar sewaktu berada di khalayak ramai, anda mungkin tidak akan mengeluarkan suara anda dengan betul. Maksudnya, anda akan bercakap dengan suara yang perlahan. Ini disebabkan anda merasa kurang yakin dengan diri anda dan anda risau jika anda membuat kesilapan semasa anda sedang bercakap.
Jika anda bercakap dengan suara yang perlahan, ada dua perkara yang akan berlaku.
- Orang ramai tidak akan dapat mendengar dengan jelas apa yang anda katakan. Lama-kelamaan, mereka akan jadi bosan lalu tidak memberikan perhatian kepada anda. Apabila anda melihat reaksi bosan mereka, anda jadi semakin berdebar, lalu percakapan anda sama ada semakin laju atau suara anda akan jadi semakin perlahan. Anda tidak mahu ini berlaku.
- Jika anda keluarkan suara dengan perlahan, orang ramai akan mudah dapat mengesan bahawa anda sedang merasa gementar. Ini kerana, suara yang keluar dengan perlahan akan membuat getaran suara anda (yang disebabkan oleh rasa berdebar) mudah didengar orang ramai. Anda akan bercakap seperti orang sedang menggeletar.
Jadi, anda perlu benar-benar keluarkan suara anda ketika anda berada di khalayak ramai. Suara yang keluar dengan lantang akan berbunyi tegas dan penuh keyakinan.
Namun, mengeluarkan suara ini tidak bermaksud saya menyuruh anda menjerit bila bercakap di khalayak ramai. Ada bezanya bercakap dengan suara yang kuat atau menjerit. Kita bincangkan tentang perkara ini esok.
Mon 1 Jan 2007
Posted by Osman Affan under
KhasNo Comments
Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru 2007 kepada semua sahabat saya terutama sekali pembaca setia blog kemahiran belajar ini.
Baik saya rasa kalau kita mulakan tahun baru ini dengan doa untuk kesejahteraan kita semua. Baik juga untuk kita merenung semula matlamat yang telah kita tetapkan pada tahun 2006 sama ada ia telah tercapai atau tidak. Jika tercapai, Alhamdulillah, dan fikirkan mengapa ia boleh tercapai dan bagaimana cara mahu mengulanginya.
Jika tidak tercapai, Alhamdulillah juga kerana sekurang-kurangnya kita telah mencuba. Sambil itu, fikirkan mengapa ia tidak berjaya dicapai dan bagaimana cara mahu mengubah cara kita supaya ia dapat dicapai.
Sekali lagi, Selamat menyambut Tahun Baru 2007!
« Previous Page —