April 2007
Monthly Archive
Fri 20 Apr 2007

Hari ini, kita lihat lebih lanjut mengenai custom animation. Untuk memulakan tip hari ini, buka slide baru, dan taipkan perkataan ‘Custom animation’. Biarkan kotak tulisan itu aktif. Apabila ia aktif, ia kelihatan seperti imej disebelah. Saya akan gunakan contoh custom animation Entrance hari ini. Ini bermaksud, perkataan di sebelah hanya akan keluar apabila saya mahu ia keluar. Apa yang perlu anda lakukan, klik Add Effect –> Entrance –> Fly in. Secara automatik anda akan lihat bagaimana effect fly in ini untuk tulisan ‘custom animation’ anda. Anda lihat ia terbang dari bawah bukan?
Perkara utama yang ingin saya terangkan hari ini ialah mengenai 3 fungsi ini; Start, Direction dan Speed. Dalam custom animation, 3 fungsi ini sangat penting kerana ia adalah penentu kepada bagaimana anda mahu mengolah pergerakan isi penting presentation anda. JIka anda tidak pernah menggunakannya, anda mungkin tertanya-tanya apa yang dimaksudkan dengan ‘on click’, From bottom’ dan ‘very fast’. Saya akan terangkan satu persatu.
Start - ia bermaksud bagaimana anda mahu ia bermula. Start terbahagi kepada 3 pilihan iaitu on click, with previous dan after previous. Jika anda pilih ‘on click’, perkataan custom animation anda hanya akan muncul apabila anda klik mouse anda (atau tekan down arrow button). Anda boleh mencuba effect ini. Setelah anda klik ‘on click’, tekan button ‘view show’(klik slide show –> View Show, atau anda boleh tekan butang F5). Anda akan lihat slide show anda tidak ada perkataan ‘custom animation’ tadi. Tetapi, apabila anda klik down button arrow atau klik mouse anda, perkataan itu akan muncul daripada bawah dengan sangat laju.
Jika anda klik ‘With previous’ ,perkataan ‘custom animation’ tadi akan keluar bersama effect sebelumnya. Tetapi disebabkan hanya ada satu effect dalam slide ini, ia akan keluar sebaik sahaja slide bertukar. Cuba anda klik with previous dan tekan button view show. Lihat apa yang berlaku.
Jika anda klik ‘after previous’ ia akan keluar selepas effect sebelumnya. Katakan anda ada tiga effect untuk tiga tulisan anda. Jika tulisan yang kedua anda klik ‘after previous’ ia akan keluar dengan automatik selepas effect tulisan pertama. Jika anda klik ‘after previous’ untuk tulisan ketiga, ia akan keluar secara automatik selepas effect kesan kedua. Untuk lebih mudah faham, anda perlu mencubanya. Cuba buat tiga kotak tulisan dan letakkan effect untuk setiap satu tulisan. Cuba olah fungsi ‘Start’ ini dan lihat sendiri apa kesannya.
Anda boleh beri saya soalan jika anda kurang fahama bahagian ini supaya saya dapat terangkan dalam bentuk lain pula.
Kita sambung esok.
Thu 19 Apr 2007
Tip ke 11 ini ialah tip kegemaran saya. Kebanyakan peserta program atau pelajar selalu bertanya tentang tip ke 11 ini. Tip ke 11 ini ialah berkenaan ‘Custom Animation’. Custom animation ialah fungsi-fungsi yang anda boleh gunakan untuk mempelbagaikan cara mempersembahkan isi kandungan presentation anda.
Jika dulu presentation hanya dibuat menggunakan OHP Projector atau lebih lama lagi,menggunakan kad manila atau kertas mahjong. Cara ini, penonton anda akan terus dapat melihat kesemua isi-isi presentation anda sekaligus. Dengan menggunakan custom animation, anda boleh mengeluarkan isi kandungan presentation anda satu persatu dan dengan pelbagai cara.
Sebagai permulaan, cuba buka custom animation. Caranya, klik Slide Show –> Custom Animation. Kemudian, anda akan lihat beberapa ikon custom animation di sebelah kanan power point anda.
Anda dapat lihat ikon ‘Add effect’ dalam imej sebelah. Add effect ini cuma akan aktif jika anda klik sesuatu yang hendak anda animasikan di dalam slide anda.
Contohnya, jika anda klik pada mana-mana kotak tulisan dalam slide anda, ikon add effect ini akan kelihatan aktif (ada warna, tidak berwarna kelabu pudar). Apabila anda lihat ikon ini aktif, cuba klik pada ikon tersebut. Anda akan lihat 4 jenis custom animation yang anda boleh gunakan iaitu Entrance, Emphasis, Exit dan Motion Path. hari ini, saya akan terangkan fungsi keempat-empat perkara ini satu persatu.
Entrance - Apabila anda gunakan effect entrance pada tulisan, tulisan itu tidak akan muncul semasa slide show. Tetapi setelah anda klik mouse anda atau klik down arrow button, tulisan itu akan keluar. Jadi, gunakan effect ini untuk mengeluarkan isi presentation anda satu persatu.
Emphasis - Ini digunakan untuk menguatkan presentation anda untuk sesuatu isi. Contohnya anda sudah keluarkan tiga isi penting. Kemudian, anda mahu menekankan kepentingan isi ketiga. Jadi, anda gunakan Emphasis untuk membesarkan tulisan itu, menukar warnanya atau apa saja jenis emphasis yang anda suka.
Exit - Katakan anda sudah senaraikan 10 isi penting di dalam slide anda. Kemudian anda mahu terangkan tentang isi yang ke sepuluh. Jadi, anda boleh gunakan Exit ini untuk mengeluarkan 9 lagi isi tadi. Kesannya, isi itu akan hilang dengan cara yang anda mahukan.
Motion Path - Anda boleh gunakan ini untuk membuat sedikit animasi di dalam presentation anda. Contohnya, anda ada gambar orang sedang berjalan. Gambar itu tidak bergerak. Tetapi anda boleh gunakan motion path ini dengan membuat gambar itu bergerak ke mana-mana sahaja yang anda mahu.
Jangan risau jika anda masih kurang faham. Insyaallah saya akan terangkan dengan panjang lebar tentang tip ke 11 ini. Saya jika anda boleh kuasai tip ke 11 ini, anda kelihatan lebih professional semasa menggunakan power point.
Wed 18 Apr 2007
Tip yang ke-10 ialah mengenai penggunaan ’slide transition’. Slide transition ialah bagaimana cara anda mahu anda slide anda bertukar dari satu slide ke slide yang lain. Contohnya, dari slide satu ke slide 2, anda mungkin mahu slide 1 pudar sedikit demi sedikit dan terus hilang, kemudian slide kedua terus muncul. Anda boleh pilih jenis slide transition yang anda mahu dengan klik slide show –> Slide transition. Anda akan lihat jenis-jenis slide transition di sebelah kanan power point anda seperti imej di bawah.
Anda perlu mencuba jenis transition mana yang anda perlukan. Lihat pada ‘modify transition’, ada dua perkara yang anda perlu pelajari di sini. Pertama, ’speed’. Ini adalah berapa laju anda mahu sldie anda bertukar. Jika anda pilih slide transition ‘box in’, dan anda klik speed fast, slide anda akan bertukar dengan sangat laju. Jadi, anda boleh pilih kelajuan yang sesuai untuk presentation anda.
Kedua, ’sound’. Jika anda mahu slide anda bertukar sambil mengeluarkan bunyi tertentu, anda boleh klik di sini. Anda boleh pilih bunyi bagaimana yang anda mahu.
Di bahagian advance pula, anda boleh pilih sama ada mahu slide itu bertukar secara automatik selepas beberapa ketika atau anda mahu klik sendiri untuk menukarkannya. Contohnya, katakan anda klik pada ‘automatically after’ dan letakkan 1 minit. Selepas slide itu terbuka selama 1 minit, ia akan bertukar sendiri ke slide seterusnya tanpa anda menekan apa-apa butang.
Tips daripada saya:
- Jika anda menggunakan bunyi, jangan gunakan terlalu kerap. Ia akan mengganggu presentation anda dan ia boleh membuat presentation anda kelihatan tidak professional.
- Gunakan jenis slide transition yang boleh membantu memudahkan penonton anda memahami presentation anda. Jangan pilih kerana anda suka dan seronok melihat animasi perubahan slide itu.
- Elakkan menggunakan terlalu banyak jenis slide transition. Slide transition yang elok ialah yang seragam sepanjang presentation anda. Perbezaan jenis transition hanya dilakukan jika ia perlu dan dapat membantu presentation anda.
- Anda boleh pilih satu jenis slide transition dan ‘apply to all slides’. Ini akan membuat presentation anda seragam dan menarik.
Selamat mencuba.
Tue 17 Apr 2007
Hari ini, kita akan pelajari bagaimana hendak memasukkan klip video ke dalam power point presentation anda. Selalunya, di dalam program yang saya jalankan, saya selalu tunjukkan klip-klip video yang menarik dan kelakar. Satu tujuannya ialah, peserta akan dapat menumpukan perhatian mereka kepada mesej yang cuba saya sampaikan. Disamping itu, klip-klip video yang menarik dan kelakar boleh menarik perhatian peserta saya untuk mendengar apa yang saya cuba sampaikan. Apa yang menarik ialah, saya tahu apa reaksi peserta saya setiap kali melihat beberapa klip video yang saya tunjukkan. Contohnya ada satu klip video ini, kalau saya tunjukkan, pasti semua peserta program saya akan ketawa terbahak-bahak. Jadi, apabila saya mahukan reaksi tertentu dalam program saya, saya akan tunjukkan klip video.
Ramai yang bertanya kepada saya daripada mana saya dapat klip-klip video itu semua. Jawapannya mudah sahaja. Anda masuk ke mana-mana search engine, dan taip funny videos. Anda akan lihat beratus-ratus malah beribu-ribu laman web yang menunjukkan klip video menarik dan kelakar. Namun, anda perlu pilih klip video yang sesuai. Tidak semua klip video berkenaan dan sesuai untuk ditunjukkan. Berhati-hati jika anda terambil klip-klip yang bersifat perkauman, iklan arak atau menunjukkan gambar-gambar yang tidak sopan. Klip video begini perlu dielakkan. Setelah anda jumpa klip video yang sesuai, selalunya ada panduan bagaimana mahu menyimpannya (download) ke dalam komputer anda. Selalunya juga, anda perlu ‘right click’ pada video tersebut dan ’save target as’ ke dalam komputer anda.
Setelah anda ada klip video di dalam folder powerpoint anda, klik insert –> Movies and Sounds –> Movie from file. Sama seperti tips memasukkan muzik semalam, anda akan ditanya sama ada mahu klip video itu terpasang secara automatik atau anda mahu klik sendiri untuk memasangnya. Selalunya saya biarkan ia terpasang dengan sendiri apabila slide itu terbuka. Ia kelihatan lebih lancar. Tetapi ia terpulang kepada anda.
Setelah klip video itu ada pada slide, anda boleh klik pada video itu dan besarkannya hingga memenuhi keseluruhan slide. Anda perlu berlatih untuk memainkan video ini secara lancar. Setelah anda masukkan klip video itu, cuba gunakannya berulang-ulang kali. Setiap kali saya membuat slide saya akan cuba berulang-ulang kali daripada slide pertama hingga ke slide terakhir. Itulah cara saya dapat lihat sama susunan slide saya itu lancar atau tidak.
Selamat mencuba.
Mon 16 Apr 2007
Beberapa minggu lalu saya ada terangkan tip ke 9 iaitu tip untuk memasukkan gambar. Hari ini saya akan terangkan bagaimana mahu memasukkan bunyi atau muzik ke dalam powerpoint presentation anda. Mula-mula, klik insert –> Movies and Sound –> Sound from file. Kemudian muzik atau file bunyi mana yang anda ingin masukkan. Satu tip untuk anda, anda patut save file muzik ini ke dalam folder yang sama dengan file powerpoint anda. Ini akan memudahkan anda terutamanya jika anda terpaksa memindahkan file powerpoint ini ke komputer lain.
Setelah anda insert muzik seperti langkah diatas, anda akan ditanya, “How do you want the sound to start in the slide show? [Automatically] [When Clicked]”
Jika anda klik ‘automatically’, bunyi itu akan terpasang dengan sendiri apabila anda membuka slide tersebut. Jika anda klik ‘when clicked’, bunyi itu akan terpasang apabila anda klik pada icon speaker yang keluar pada slide itu.
Kalau bunyi muzik anda itu pendek dan anda mahu ia berbunyi berulang-ulang kali, anda boleh ‘right click’ pada ikon speaker, dan klik ‘edit sound object’. Kemudian klik pada ‘loop until stopped’. Ini bermaksud, bunyi atau muzik anda akan sentiasa berbunyi berulang-ulang kali hingga anda menukar slide atau menghentikannya dengan sengaja.
Anda juga boleh klik pada ‘hide sound icon during slide show’. Ini akan menyembunyikan icon berupa speaker itu ketika muzik dimainkan. Nampak lebih professional.
Selamat mencuba.
Sun 15 Apr 2007
Baru sebentar tadi saya mengendalikan satu program khas, teknik dan kemahiran menyelesaikan masalah bersama pelajar SMK Seri Bintang Utara Kuala Lumpur. Pelajar-pelajar ini ialah pelajar yang tinggal di asrama sekolah tersebut.
Secara peribadi, saya sangat suka program-program begini. Program kemahiran menyelesaikan masalah boleh membantu meningkatkan daya kreativiti pelajar. Pelajar juga diajar beberapa teknik khas dalam usaha menyelesaikan masalah. Saya telah kongsikan 3 langkah mudah dalam menyelesaikan masalah iaitu The minda (minda), The Body (fizikal) dan The Action (aksi menyelesaikan masalah).
Melalui 3 langkah ini, pelajar boleh praktikkannya dalam kehidupan seharian mereka. Mereka boleh selesaikan masalah harian mereka sama ada ia masalah pencapaian akademik, masalah hubungan keluarga atau rakan sebaya dan juga masalah dan cabaran-cabaran lain.
Apa yang paling penting ialah, setiap kali pelajar menghadapi masalah, mereka perlu elakkan daripada berfikir tentang perkataan ’susah’, ‘pening’ atau ‘tidak boleh selesaikan’. Ini adalah kerana anda adalah apa yang anda fikirkan. JIka anda fikir tidak boleh, seluruh tubuh dan minda anda akan memberi gerak balas yang menunjukkan bahawa anda benar-benar tidak boleh melakukannya. Merugikan bukan?
Mulai sekarang, setiap kali berhadapan dengan masalah, pupuk rasa yakin bahawa ia pasti boleh diselesaikan dan anda akan rasa gembira menyelesaikannya.
Sun 15 Apr 2007
Hari Sabtu lalu saya berada di SK Datuk Keramat 2, mengendalikan satu sesi teknik belajar bersama pelajar tahun 6. Pelajar ini semua bermalam di sekolah pada malam sebelumnya kerana mengikuti program perkhemahan motivasi sekolah. Satu perkara yang beritahu pelajar di sekolah ini ialah, saya pernah bersekolah di situ semasa saya di dalam darjah satu. Ketika itu ayah saya masih bertugas sebagai tentera dan bertugas di KL selama beberapa bulan. Saya bersekolah di SK Datuk Keramat 2 selama dua penggal sahaja seingat-ingat saya. Tahun berapa ye… tahun 1983… Uishh… dah lama tu….
Dalam sesi yang saya kendalikan, saya ceritakan kisah-kisah di mana pelajar yang pada mulanya
kelihatan tidak cemerlang akhirnya berakhir dengan kejayaan yang sangat cemerlang. Pelajar-pelajar di SK Datuk Keramat 2 ini kelihatan sangat bersemangat untuk berjaya dengan cemerlang. Mereka telah berikan sepenuh perhatian kepada apa yang saya terangkan kepada mereka.
Hasilnya, apabila saya uji mereka dengan menyuruh mereka menghafal 10 perkara, mereka dapat lakukan dengan mudah. Tahniah kepada semua pelajar Tahun 6 SK Datuk Keramat.
Sat 14 Apr 2007
Pada hari Selasa dan Rabu lalu, saya berada di Shah’s Village hotel mengendalikan program pengurusan Stress bersama staff daripada Universiti Malaya. Program dua hari ini saya kendalikan seorang diri menggunakan modul yang telah saya tulis dan majukan berdasarkan pengalaman daripada program-program yang lepas. Ada lebih kurang 30 peserta yang menyertai program ini yang terdiri daripada pegawai pentadbiran, ketua jabatan dan juga pensyarah.
Apa yang dapat saya perhatikan, setiap orang mempunyai objektif yang berbeza jika mereka mahu belajar tentang stress. Kumpulan kali ini sangat berminat untuk mengetahui apakah simptom-simptom stress. ia bermaksud, mereka sangat ingin tahu apakah tanda-tanda jika anda sedang mengalami stress. Adakah anda tahu apakah tanda-tandanya?
Saya huraikan 4 simptom utama jika anda sedang mengalami stress atau tekanan perasaan.
- Simptom Intelektual - contoh: Masalah memori, sukar membuat keputusan, kurang fokus dan selalu merasa keliru.
- Simptom Emosi - contoh: Cepat marah, hilang mood, hilang keyakinan diri dan murung.
- Simptom Fizikal - contoh: Sakit kepala, masalah pencernaan, gangguan tidur dan masalah kulit.
- Simptom Kelakuan - contoh: Lebih atau kurang makan, lebih atau kurang tidur, mengasingkan diri dan panas baran.
Sebenarnya, semua orang ada mengalami stress setiap hari cuma kadarnya berbeza bagi setiap orang. Jika anda memandu ke tempat kerja setiap hari, anda mungkin rasa stress kerana jalan sesak atau sukar mendapat parking kereta. Jika anda pelajar, anda mungkin rasa stress kerana banyak subjek yang perlu dipelajari dan banyak kerja sekolah yang perlu disiapkan. Apa yang berbeza ialah cara anda menangani dan menguruskan stress tersebut.
Satu nasihat utama daripada saya berkenaan stress ialah, jika anda boleh mengawal kadar stress anda dengan bijak, anda akan jadi lebih bijak dan matang. Saya ada terangkan konsep ini dalam topik mengawal tekanan perasaan menjelang peperiksaan dulu. Bagaimana mahu mengawal dan menguruskannya? Perlu baca dan belajar lebih lanjut. Boleh juga baca ebook saya yang bertajuk 7 teknik motivasi diri menjelang peperiksaan.
Kepada peserta program Pengurusan Stress daripada Universiti Malaya, saya ucapkan ribuan terima kasih di atas kerjasama dan semangat ingin belajar yang ditunjukkan sepanjang dua hari program tersebut. Walaupun program ini bertajuk ‘Stress’, tetapi saya ia antara program yang paling seronok saya kendalikan…..
Fri 13 Apr 2007
Isnin lalu, saya berada di Hotel Seri Malaysia Bagan lalang untuk mengendalikan satu sesi membina keyakinan diri bersama pelajar antarabangsa Univerisiti Islam Antarabangsa. Program ini sebenarnya bertujuan untuk membantu para pelajar mengatasi rasa takut mereka untuk bercakap di dalam kelas, bersemuka dengan pensyarah dan juga bercakap di khalayak ramai.
Pada pandangan saya, berdasarkan program-program yang saya jalankan ini, pelajar antarabangsa selalunya tidak mempunyai masalah takut untuk menyuarakan pendapat mereka di dalam kelas atau di depan pensyarah. Malah mereka seronok jika diberi peluang berbicara. Masalah takut dan gementar hanya banyak dapat dilihat dikalangan pelajar tempatan. Jadi, di dalam sesi bersama pelajar antarabangsa ini, saya kongsikan tips dan teknik bagaimana mahu meluahkan pendapat dan pandangan tanpa menimbulkan salah sangka mahupun menyakiti hati sesiapa.
Kadangkala, anda mungkin mahu menyatakan sesuatu yang baik. Tetapi, cara anda bercakap, nada suara anda, gerak geri tubuh badan anda boleh menimbulkan salah faham. Salah faham ini selalunya membuat pensyarah terasa seperti anda sedang berkelakuan biadab dan tidak menghormati mereka. Jadi, saya terangkan beberapa perkara yang perlu dilakukan supaya salah faham ini tidka berlaku dan supaya hubungan baik antara pelajar dan pensyarah dapat dijalinkan.
Ada satu tips untuk anda jika mahu bercakap dengan seseorang yang perlu anda hormati. Cara paling selamat dan pasti untuk tidak menimbulkan salah faham semasa berbicara ialah dengan menjaga nada suara anda. Perhatikan nada dan cara anda bercakap. Anda boleh minta pendapat kawan-kawan anda mengenai cara anda bercakap. Latih supaya anda boleh bercakap dengan nada yang lembut. Untuk lakukan ini dengan mudah, cuba bercakap sambil tersenyum. Apabila anda senyum, anda akan mewujudkan satu suasana yang ceria dan gaya percakapan anda juga akan jadi lebih menarik. (Cuma berhati-hati, saya kata senyum, bukan sengih…. kalau cakap sambil tersengih, nanti nampak macam kerang busuk pula….
)
Thu 12 Apr 2007
Sabtu lalu, saya berpeluang menjalankan program SmartStudy di Negeri Pahang Darul Makmur. Program akan dijalankan di SMK Benta. Pada pagi hari tersebut, setelah melihat peta sekolah tersebut sepintas lalu malam sebelumnya, saya pun keluar daripada rumah tepat pukul 6 pagi. Saya bawa dengan agak tenang kerana saya jangka saya pasti boleh sampai ke tempat tersebut dalam pukul 7.15 atau 7.30 pagi. Program hanya akan bermula pada pukul 8.30 pagi, pasti saya banyak masa untuk berehat seketika.
Entah kenapa, jangkaan saya agak meleset. Tempat yang saya hendak pergi itu rupa-rupanya agak jauh dari yang saya jangkakan. Rupa-rupanya saya tersalah anggap. Saya sangka benta tu sangat dekat dengan bentong, tetapi agak jauh juga rupanya. Saya mula memandu dengan lebih laju. Apabila dah mula rasa cemas bimbang lewat, mulalah macam-macam perkara yang tak diingini berlaku. Saya tersalah jalan sebanyak 4 kali. nasib baik juga saya sedar saya dah salah jaan dan sempat berpatah semula.
Apabila saya rasa dah tersesat dan mula mengejar masa, saya mula rasa panik, berdebar dan sedikit tertekan. Saya asyik melihat jam saya. Kemudian, saya teringat apa yang pernah saya ajarkan kepada para peserta saya. Kalau kita fokuskan perhatian kita kepada keadaan yang tidak elok, keadaan tidak elok itu akan semakin menjadi-jadi. Jika saya fokuskan kepada rasa gelisah, gelisah saya akan menjadi-jadi. Dan jika saya fokuskan kepada perkataan ‘lewat’ saya akan benar-benar lewat nanti. Akhirnya, saya tenangkan semula perasaan saya dan fokuskan minda saya kepada imej bahawa saya akan sampai pada masa yang sesuai.
Alhamdulillah, apa yang saya fokuskan benar menjadi. Saya sampai pada pukul 8.15 pagi, 15 minit sebelum program bermula. Para pelajar pula ketika itu sedang sibuk membuat persiapan untuk program ini dan program hanya bermula pada pukul 8.40 pagi.
Di SMK Benta ini, saya kongsikan bersama pelajar teknik-teknik belajar yang berkesan. Teknik utama yang saya kongsikan ialah teknik menghafal dan teknik membuat nota kreatif. Setelah saya ajarkan teknik tersebut, pelajar masuk ke kumpulan masing-masing dan mula menulis nota kreatif mereka sendiri. Mereka diberi beberapa jam untuk proses ini dan mereka perlu bentangkan hasil kerja mereka selepas makan tengahari.
Sementara menunggu pelajar menyiapkan kerja mereka, saya dan para guru bergerak ke bilik gerakan guru untuk sesi ‘SmartStudy for teachers’. Saya berpeluang berkongsi konsep SmartStudy saya bersama guru dan juga berbincang tentang teknik-teknik dalam meingkatkan kadar motivasi guru dan pelajar. Satu harapan yang saya kongsikan bersama guru ialah agar guru-guru mempunyai matlamat yang sama iaitu untukmenaikkan tahap prestasi sekolah dan meningkatkan tahap kerjasama dan keakraban sesama guru. Insyaallah, perkara ini pasti akan tercapai.
Program ini berakhir pada pukul 5 petang. Setelah bersalaman dengan beberapa pelajar dan guru, saya pun bertolak semula ke Kuala Lumpur dengan perasaan yang puas dan hati yang tenang kerana program ini berjalan lancar, sama seperti yang telah saya bayangkan……… Sekalung ucapan tahniah kepada semua pelajar yang turut serta dalam program ini….ribuan ucapan terima kasih kepada para guru yang sungguh bersemangat dan berdedikasi….ucapan terima kasih khas buat Cikgu Hassan Basri yang membuat program ini menjadi kenyataan…..
« Previous Page — Next Page »