June 2007


TelekomMinggu lalu saya berpeluang mengendalikan sesi program saya bersama para pelajar yang ditaja oleh Yayasan Telekom. Program ini dijalankan di satu satu tempat di Daerah Sepang.

Di dalam program ini, seperti biasa, saya tekankan kepentingan mengetahui potensi sebenar yang terpendam dalam diri pelajar. Saya selalu ceritakan tentang kepentingan mempunyai matlamat yang jelas dalam hidup kerana kebanyakan pelajar hanya mengetahui tentang matlamat setelah mereka memasuki alam pekerjaan.

Apabila anda pelajari tentang teknik menetapkan matlamat, anda akan mula sedar akan Telekomhalangan-halangan yang berada di hadapan anda. Jika halangan itu semua kekal di situ, peluang untuk mencapai matlamat anda akan menjadi nipis. Jadi, anda akan mula memikirkan bagaimana caranya untuk menghapuskan halangan itu semua mulai sekarang.

TelekomSaya ucapkan terima kasih kepada semua pelajar yang mengikuti program ini kerana telah memberi saya kerjasama sepenuhnya untuk menjayakan program ini. Saya percaya semua peserta program ini mempunyai potensi kejayaan yang hampir tidak terbatas…… :) Selamat berjaya!

gosipPetua yang keempat ialah bercakap hanya tentang perkara yang baik mengenai kawan-kawan anda. Anda tentu pernah berada dalam satu kumpulan kawan-kawan di mana mereka bercakap tentang sesuatu yang tidak baik mengenai kawan-kawan lain. Kita panggil ini sebagai sesi mengumpat. :)

Ada banyak perkara yang tidak baik jika anda bercakap atau menyertai sesi mengumpat ini.

  • Perkara terbesar ialah ini boleh jadi satu dosa. Apabila anda bercakap tentang sesuatu yang buruk mengenai kawan anda, anda menjatuhkan maruah kawan anda itu dan mungkin anda akan berkata sesuatu yang tidak benar.
  • Apabila anda mengutuk atau mengumpat kawan anda, jelas hubungan anda dan kawan itu akan renggang atau putus terutama apabila kawan anda itu tahu mengenai apa yang anda katakan.
  • Anda sendiri akan merasa janggal apabila berada di samping kawan-kawan yang anda kutuk tadi. Ini kerana, anda sedar bahawa anda kutuk mereka dan kini anda berada disamping mereka pula.
  • Apabila anda mengutuk, anda menjatuhkan reputasi anda sendiri dikalangan kawan-kawan anda sendiri. Kawan-kawan anda akan mula berhati-hati dengan anda kerana bimbang anda akan mengutuk tentang diri mereka pula.
  • Akhirnya anda akan dipulaukan.

gosipAda dua nasihat yang pernah saya pelajari yang boleh anda amalkan.

  • Pertama, amalkan cara berfikir yang positif. Maksud saya, lihat kepada perkara yang baik dalam sesuatu kejadian. Apabila anda selalu mencari, melihat dan berfikir tentang perkara yang baik, anda akan mula bercakap tentang perkara-perkara yang baik. Jika anda ternampak sesuatu yang baik di dalam diri kawan-kawan anda, puji mereka. Dalam waktu yang sama, tanamkan azam dalam diri anda untuk mempunyai sifat yang baik itu juga.
  • Jika anda berada di dalam kumpulan yang sedang mengumpat dan mengutuk, cadangkan topik lain untuk dibincangkan jika anda mampu. Jika anda tidak mampu mengubah topik negatif yang sedang dibincangkan, minta diri dan tinggalkan kumpulan itu hingga mereka mengubah topik yang lebih baik. Anda perlu ingat, anda adalah apa yang anda fikirkan. Jika anda selalu bercampur dalam perbualan bersifat negatif, anda akan selalu terfikir tentang perkara negatif. Akibatnya, anda juga jadi seorang yang berfikiran dan bersifat negatif.

Tambahan pula, dengan bercakap tentang sesuatu yang baik tentang kawan-kawan anda, anda akan merapatkan lagi hubungan anda dengan kawan itu. kawan-kawan lain yang melihat sifat anda itu akan mahu mendekati anda kerana mereka tahu anda hanya akan bercerita tentang perkara yang baik mengenai mereka.

Selamat mencuba. :)

senyumPetua yang ketiga ini adalah petua termudah tetapi selalunya paling susah diamalkan. Petua ketiga berbunyi, “SENYUM”. Mudah bukan?

Senyuman yang manis dan mesra mempunyai satu keajaiban. Ia boleh menyampaikan mesej kemesraan dan keceriaan. Sebagai contoh, jika anda selalu tersenyum, anda akan menarik kawan-kawan yang ceria disekeliling anda. Ini adalah kerana, kawan-kawan yang ceria selalu tertarik dengan kawan-kawan yang kelihatan ceria juga. Sebaliknya, jika anda selalu bermasam muka, anda akan dijauhi kawan-kawan anda.

Persoalannya, bagaimana mahu senyum jika anda selalu ada masalah? Ya, saya faham, bila anda ada masalah, anda akan mudah bermasam muka. Apabila anda bermasam muka, anda akan rasa sedih dan marah. Ini akan membuat lebih ramai lagi kawan-kawan menjauhi anda. Jalan penyelesaian yang mudah ada sebenarnya. Begini:

  • Jika anda sedang dilanda masalah dan mula merasa sedih, cuba anda senyum. Senyum betul-betul seperti anda sedang merasa gembira.
  • Sambil anda senyum, wujudkan rasa gembira di dalam diri anda. Bayangkan satu situasi di mana anda merasa gembira dan seronok. Kekalkan imaginasi yang menggembirakan itu sepanjang anda tersenyum tadi.
  • Bergerak seperti orang yang sedang gembira. Mulai hari ini, lihat di sekeliling anda. Lihat bagaimana orang yang sedih bergerak dan bagaimana pula orang yang sedang gembira bergerak. Tiru pergerakan orang yang sedang gembira dan anda akan rasa perasaan yang sama.

senyumApabila anda mula amalkan sikap yang mudah tersenyum, anda akan kelihatan mesra dan mudah didekati. Saya selalu perhatikan kawan-kawan saya yang mudah tersenyum. Walaupun mereka kadangkala ada masalah tersendiri, mereka pandai mengasingkan masalah mereka daripada kehidupan seharian mereka. Mereka sentiasa tersenyum dan mudah pula ketawa. Mereka ini mempunyai kawan yang ramai.

Apa yang boleh anda lakukan ialah berlatih untuk mudah tersenyum. Jika selama ini anda memang susah hendak tersenyum, latih diri anda setiap pagi untuk senyum di depan cermin. Wujudkan rasa seronok di dalam diri anda apabila anda senyum. Insyaallah, anda akan dapati semakin ramai kawan-kawan rapat kepada anda. :)

hargaiPetua kedua ialah, anda perlu menghargai apa-apa sahaja pertolongan atau pemberian kawan-kawan anda. Pernahkah anda mengalami situasi di mana anda memberikan kawan anda sesuatu dan dia kelihatan seperti tidak kisah dan tidak kelihatan gembira dengan pemberian anda? Apa yang anda rasakan ketika itu?

Ada banyak ketikanya, anda mungkin rasa apa yang kawan anda berikan kepada anda adalah sesuatu yang tidak istimewa. Contohnya, kawan anda mengambil inisiatif membuat salinan kertas peperiksaan lepas dan berikan kepada anda secara percuma. Bagi anda, soalan lepas adalah sesuatu yang tidak berharga jadi anda buat endah tak endah sahaja. Muka anda tidak menunjukkan anda gembira menerima salinan kertas peperiksaan tersebut. Lebih teruk lagi, anda langsung tidak berkata terima kasih. Apabila kawan anda kata,”Mat, nah aku fotostat kertas peperiksaan ni untuk awak.” Anda membalas dengan berkata, “Hmm… awak letak la atas meja saya tu, nanti saya ambil”.

hargaiApabila anda menunjukkan tanda-tanda bahawa sesuatu yang anda terima itu tidak penting, anda akan melukakan hati kawan anda itu.. Apabila ini berlaku, anda mungkin tidak akan menerima apa-apa lagi daripada dia atau hubungan anda dengannya akan menjadi renggang.

Apakah yang perlu anda lakukan untuk menunjukkan bahawa anda menghargai apa yang diberi?

  • Pertama, apabila kawan-kawan anda beri anda sesuatu, berhenti daripada melakukan apa yang sedang anda lakukan dan lihat kepada apa yang kawan anda berikan.
  • Kedua, belek sedikit apa yang kawan anda beri, senyum dan kata terima kasih kepada kawan anda tadi. Kata sekurang-kurangnya, “Terima kasih banyak-banyak Man….. menyusahkan awak je fotostat kertas ni untuk saya”.
  • Jangan berhenti di situ sahaja. Katakan sesuatu yang menunjukkan bagaimana apa yang diberi itu boleh membantu anda. Contohnya, “Saya pun memang tengah cari sangat contoh kertas peperiksaan ni. Alhamdulillah awak dan fotostat untuk saya. Senang saya nak buat ulangkaji nanti”. (jangan lupa senyum). :)
  • Jika anda mahu buat sahabat anda lebih merasa dihargai, tanya lebih lanjut mengenai sesuatu yang telah diberikannya tadi. Contohnya, “Baguslah kertas ni. Kat mana awak jumpa model kertas peperiksaan ni?”

Dialog yang saya berikan itu adalah contoh sahaja. Saya harap anda dapat memahami konsep dan idea yang saya cuba sampaikan disitu. Anda perlu ingat, manusia sangat suka jika mereka dihargai. Bukan sahaja mereka akan rasa gembira apabila dihargai, mereka akan rasa hubungan mereka semakin rapat dengan anda.

 

lovePetua pertama berbunyi, “Timbulkan rasa minat dalam diri anda untuk mengetahui tentang cerita dan kisah kawan-kawan anda.” Bayangkan anda ada dua orang kawan rapat. Kawan pertama ini suka benar mendengar cerita-cerita anda. Apabila anda pergi ke mana-mana atau lakukan sesuatu, kawan anda ini suka mendengarnya. Dia kelihatan khusyuk mendengar setiap kali anda bercerita atau berbual dengannya tentang diri anda.

Kawan yang kedua pula sebaliknya. Setiap kali anda bercerita tentang sesuatu, dia pasti akan buka ceritanya pula. Apabila anda bercerita, dia tidak sabar untuk menyampuk dan bercerita tentang ceritanya pula. Malah, dia menunjukkan muka yang tidak berminat apabila anda bercerita tentang kisah anda.

Jika anda mahu pergi ke sesuatu tempat yang menyeronokkan dan anda boleh boleh bawa seorang kawan, kawan yang manakah satukah antara dua kawan ini akan anda pilih???

Saya percaya jawapannya tentu mudah bukan? Anda akan pilih kawan yang suka mendengar cerita anda.

loveMaksud petua ini begini. Jika anda ada rasa minat dan menunjukkan rasa minat anda mengenai apa yang kawan-kawan anda ceritakan, anda akan disukai oleh kawan-kawan anda. Kawan-kawan akan mencari anda apabila mereka ada sesuatu yang hendak diceritakan. Apabila mereka pergi ke mana-mana tempat yang istimewa, mereka akan teringat kepada anda. Malah, mungkin mereka akan dapatkan sesuatu untuk anda sebagai cenderahati.

Apa yang perlu anda lakukan?

  • Wujudkan rasa minat yang ikhlas dalam hati anda mengenai kawan-kawan anda. Jika anda mahu orang lain berminat dengan apa yang anda mahu katakan, anda juga mesti berminat dengan apa yang orang mahu ceritakan. Ada satu pepatah dalam dunia perniagaan yang berbunyi, “Unless you love everybody, you cannot sell to anybody.” Maksudnya lebih kurang, anda tidak akan dapat menjual kepada sesiapa yang anda tidak suka/tidak berminat.
  • Apabila kawan-kawan anda bercerita, tahan diri anda daripada membuka cerita anda yang mungkin lebih hebat daripada cerita mereka. Anda boleh buka cerita anda pada masa yang lain. Biarkan kawan anda menyerlah.
  • Tanya dengan lebih lanjut mengenai cerita kawan anda tadi. Jika dia bercerita tentang lawatan ke zoo negara, tanya dengan lebih lanjut tentang pengalamannya di sana, tentang haiwan yang dilihat dan tentang aktiviti yang dilakukannya. Ini akan menaikkan lagi semangat kawan anda untuk bercerita kepada anda.
  • Senyum dan angguk. Jangan dengar cerita kawan anda seperti patung yang tidak bergerak. Ini menampakkan seolah-olah anda merasa sangat bosan. Senyum atau ketawa apabila ada pengalaman yang mencuit hati. Angguk kepala anda sekali sekala untuk menunjukkan anda faham apa yang kawan anda ceritakan.
  • Duduk atau berdiri dalam keadaan seseorang yang sedang minat mendengar sesuatu. Jika anda sedang menonton satu cerita yang anda sangat suka, bagaimana cara anda duduk atau berdiri? Ya, gunakan cara duduk atau berdiri itu apabila anda mendengar cerita kawan-kawan anda.

Anda mungkin bimbang jika anda jadi bosan apabila kawan anda ini semakin bersemangat untuk bercerita dan semakin panjang pula cerita mereka. Jika anda sudah berjaya menanam sifat yang minat untuk mengetahui tentang kawan anda, anda akan kurang hadapi masalah begini. Tambahan lagi, sebenarnya cerita kawan anda itu tidaklah akan jadi sampai berminggu-minggu. Jadi, tunjukkan minat anda kepada cerita mereka. :)

loveAssalamualaikum w.b.t…….. hmmm… hari ni kita mulakan dengan nada yang berbeza…. apabila saya tulis perkataan memikat, apakah yang bermain di fikiran anda? Saya percaya ramai antara anda yang akan terfikir tentang lelaki memikat wanita atau sebaliknya. Bukan itu yang saya maksudkan sebenarnya…namun, ia boleh juga jadi begitu jika teknik-teknik ini digunakan. :)

Apa yang mahu saya kongsikan disini ialah 7 petua bagaimana mahu membuat rakan sebaya anda mesra dan suka kepada anda (dalam erti kata yang baik). Rakan sebaya tidak semestinya sama umur dengan anda. Saya percaya rakan anda disekolah sama ada junior atau senior boleh kita kategorikan sebagai rakan sebaya juga.

Jika anda lihat disekolah, kolej atau universiti anda, pasti ada segelintir pelajar yang agak janggal apabila kita bergaul dengan mereka. Apabila kita berada bersama mereka, kita rasa tidak selesa, bosan, menyampah atau benci dengan apa yang pelajar itu kata atau lakukan. Pernahkah anda melihat pelajar begini? Sudah tentu ada bukan?

loveSepanjang pengalaman saya belajar di merata-rata tempat di Malaysia, pasti ada saya jumpa pelajar yang saya gambarkan ini. Apa yang saya sedar ialah, pelajar ini tidak bermaksud untuk menyakitkan hati sesiapa atau membuat orang disekelilingnya memandang serong kepadanya.

Contohnya, ada pelajar yang sentiasa mahu kelihatan lebih hebat daripada orang lain. Kalau anda cerita kepadanya, “Eh, semalam aku berenang seberang sungai tu tak sampai 20 minit tau!”. Dia kemudian akan menjawab, “Alah, aku hari seberang tak sampai 10 minit pun!”. Pelajar yang suka bercakap begini selalu tidak tahu bahawa ada masanya kita perlu membiarkan kawan kita bersinar lebih terang. (Maksud bersinar lebih terang ialah, biar kawan kita lebih menyerlah). Apabila anda selalu mahu menyerlah setiap kali anda berada dikalangan kawan-kawan anda, anda akan dipulaukan suatu hari nanti. Bukan itu sahaja, anda juga akan jadi bahan ejekan dan gurauan kawan-kawan anda.

Seperkara lagi, sebenarnya ada lebih daripada 7 petua untuk tujuan ini. Tetapi, kita mulakan dengan 7 petua ini dulu supaya anda lebih mudah ingat dan lebih mudah untuk mengamalkannya. Kita akan mulakan dengan petua yang pertama esok. :) Selamat membaca.

jamHmmm… adakah anda dapat meneka jawapan bagi soalan semalam? Jika anda masih belum tahu, jawapannya ialah (sepertimana yang saya diberitahu semasa zaman sekolah dulu), pukul 10.10 kelihatan seperti orang sedang tersenyum. Kalau tak percaya, cuba lihat betul-betul. :)

Hmmm…. kadang-kadang kelakar juga bila diingatkan tentang teka-teki cikgu saya ni. Namun, selepas memberi teka-teki ini, ada satu nasihat yang cikgu saya berikan tentang masa. Kata beliau,

“Masa ni macam air sungai yang mengalir. Memang seronok kita tengok air sungai mengalir. Tetapi, ramai yang tak sedar, air yang dah mengalir tu tak boleh berpatah balik.”

Apa yang saya dan kawan-kawan saya faham ketika itu, masa yang dah berlalu, tak boleh diganti semula. Masa yang dah terbuang disebabkan leka bermain dan tidak belajar, tidak akan berpatah balik bila kita gagal dalam peperiksaan. Masa yang sudah terbuang kerana kita tidak menumpukan perhatian sepenuhnya semasa guru sedang mengajar, tidak akan datang semula apabila kita tidak dapat jawab soalan dalam dewan peperiksaan.Masalahnya, kebanyakan pelajar (termasuk saya sendiri dulu) tidak sedar apa yang telah mereka sia-siakan hingga masa yang berharga itu meninggalkan mereka.

 

jamApabila bercerita tentang pengurusan masa, saya teringat satu soalan yang ditanya kepada saya oleh cikgu saya di zaman persekolahan dulu. SOalan cikgu saya,

Kenapa iklan jam dalam tv, surat khabar atau majalah selalu menunjukkan jam tepat pukul 10.10? (Seperti gambar jam di sebelah?)

 

 

Jenuh saya fikirkan ketika tu. Saya tak banyak pengetahuan ketika tu dan tak banyak pula membaca. Jadi tak tau apa jawapan kepada soalan ini. Adakah anda tahu apa jawapan bagi soalan ini?……….

Kalau anda tidak tahu, anda perlu tunggu hingga esok. Saya akan berikan jawapannya. Sementara itu….selamat berfikir…. :)

Semalam saya ada terangkan beberapa langkah untuk menguruskan masa dengan berkesan. Hari ini, saya akan terangkan bagaimana anda boleh menggunakan kefahaman tentang fisiologi untuk menguruskan masa dengan baik. 

Fisiologi secara ringkasnya adalah kajian mengenai tubuh badan manusia dan bagaimana ia boleh mempengaruhi apa yang kita fikirkan. Contohnya, cuba anda jawab soalan ini: 

“Kita tersenyum kerana kita gembira, atau kita gembira kerana kita sedang senyum? 

Saya percaya ramai anda akan jawab kita senyum kerana kita gembira bukan? Namun dalam kajian fisiologi, satu perkara anda boleh faham, kita boleh rasa gembira apabila kita mula senyum. Maksudnya begini, cuba anda senyum selebar mungkin. Senyum sampai senyuman anda itu boleh mencecah telinga. Apabila anda senyum begini, apa yang anda rasakan? Tentu ada rasa sedikit gembira bukan? 

Cuba anda tundukkan kepala dan buat muka seperti orang sedang bersedih. Apa yang anda rasakan? Tentu rasa seperti orang yang sedang benar-benar bersedih bukan? 

Apa yang dapat anda faham di sini ialah, pergerakan tubuh badan kita boleh mempengaruhi apa yang kita rasakan. Jika anda tidak percaya lagi, cuba anda berjalan seperti orang yang sangat malas. Jalan dengan kaki yang berat dan muka yang lemah seperti orang yang betul-betul sedang malas. Semasa berjalan dengan malas begitu, cuba pergi ambil buku dan baca buku itu. Baca buku itu pun dengan rupa orang malas. Apa yang anda rasakan? Ya, saya percaya anda akan rasa seperti orang malas. 

Sekarang, mari kita tukar. Cuba senyum, tegakkan tubuh anda dan mula berjalan seperti seorang pelajar yang rajin dan bijak. Jalan dengan bersemangat dan wajah yang ceria. Ambil buku tadi dan cuba baca. Baca buku itu seperti seorang yang sedang bersemangat, rajin dan bijak. Apa yang adik rasa? Ya, sama seperti cubaan pertama tadi, kini anda pasti merasa rajin dan bersemangat. 

Apa yang saya mahu anda faham ialah, jika anda rasa malas dan mengantuk semasa belajar, ada kemungkinan ia kerana anda suka duduk dan belajar seperti orang yang malas. Anda mungkin suka membuat muka seperti orang mengantuk dan malas tanpa anda sedari. 

Apa yang perlu dilakukan? Mulai hari ini, saya mahu anda perhatikan cara anda melakukan sesuatu. Perhatikan cara anda belajar di dalam kelas. Adakah anda belajar dalam kedudukan orang yang malas atau rajin, bijak atau tidak? Jika anda sedar bahawa anda tidak duduk, berjalan dan membaca dengan cara yang betul, mula ubahnya dari sekarang. 

Satu perkara lagi yang anda boleh lakukan, mula lihat dan perhatikan pelajar-pelajar yang rajin dan pandai di kelas atau di sekolah anda. Perhatikan gerak geri mereka semasa belajar. Adakah mereka kelihatan seronok dan bersemangat ketika belajar? Saya percaya mereka memang seronok dan bersemangat ketika belajar. Jadi, tiru apa yang mereka lakukan. Tiru gaya pergerakan mereka dan anda juga akan merasa bijak dan bersemangat seperti mereka. 

Perkara ini perlu dilatih sebenarnya. Jika adik lakukan perkara ini, pada mulanya anda mungkin rasa sedikit janggal kerana anda tidak biasa melakukannya. Tetapi setelah anda biasa melakukannya, anda akan rasa selesa dan boleh belajar dengan rasa bijak dan rajin. Ia sama seperti belajar menunggang basikal. Pada mulanya, anda perlu mengayuh dengan berhati-hati dan perlahan-lahan. Tetapi setelah cekap, anda boleh mengayuhnya tanpa berfikir mengenainya langsung. 

Selamat mencuba. :)

Semalam saya ada terangkan tentang pengurusan masa dan bagaimana anda boleh menguruskan masa dengan lebih baik jika anda boleh mencari masa yang terluang. Berjayakah anda mencari masa anda yang terluang untuk belajar dengan lebih tekun? Hari ini, saya ingin ceritakan tentang langkah ketiga dalam menguruskan masa dengan berkesan. 

Langkah ketiga – kurangkan gangguan 

Gangguan merupakan sesuatu yang boleh menggangu dan mengalihkan tumpuan anda kepada apa yang sedang anda lakukan. Contohnya, ketika anda sedang bersemangat untuk belajar di rumah, tiba-tiba ada seseorang (adik-beradik atau ibu bapa) memasang televisyen dengan sangat kuat. Bunyi daripada televisyen itu mungkin mengganggu tumpuan anda terhadap apa yang anda lakukan hingga tidak boleh fokus kepada pelajaran dengan sepenuhnya. Ini mungkin membuat anda hilang semangat untuk meneruskan pembelajaran. Lebih buruk lagi, anda terus menyertai aktiviti menonton televisyen tadi. Bukankah ini sangat merugikan? 

Saya tidak nafikan bahawa gangguan yang berlaku amat sukar untuk dielakkan. Secara umumnya, ada dua jenis gangguan yang boleh mengganggu konsentrasi dan fokus anda kepada pelajaran. Gangguan-gangguan itu ialah gangguan luaran dan dalaman. Hari ini saya ceritakan tentang gangguan-gangguan luaran. Gangguan luaran merupakan gangguan yang datang daripada luar diri anda sendiri. Bunyi televisyen dan radio yang kuat, aktiviti adik-beradik yang lain dan tugasan harian di rumah boleh jadi beberapa faktor yang menyebabkan gangguan luaran ini.

Jika anda ada adik-beradik yang masih kecil di rumah, mungkin mereka kadang-kadang menggangu ketika anda sedang belajar. Gangguan luaran juga boleh disebabkan oleh faktor cuaca seperti suhu yang terlalu panas di tempat anda sedang belajar. Selalunya, suhu yang terlalu panas boleh menggangu konsentrasi anda semasa belajar. 

Langkah mengurangkan gangguan luaran  Ada beberapa perkara yang anda boleh lakukan untuk mengurangkan gangguan-gangguan ini. Pertama, jika gangguan itu datang daripada adik-beradik di rumah, anda perlu mendapatkan kerjasama daripada ibu bapa di rumah. Anda perlu bercakap dengan ibu bapa dan beritahu mereka bahawa anda perlu sedikit masa untuk fokus kepada pelajaran adik-adik.

Mungkin ibu bapa anda boleh menghalang adik-beradik lain daripada mengganggu proses pembelajaran anda. Ini tidak bermaksud anda terlepas daripada tanggungjawab untuk menjaga adik-beradik yang lain terutamanya jika ada adik-beradik yang masih kecil. Mereka perlu juga dijaga supaya dapat mengurangkan beban ibu bapa di rumah. Apa yang saya nasihatkan ialah, dapatkan sedikit masa untuk diri anda sendiri supaya dapat fokus sepenuhnya kepada usaha-usaha belajar dan mengulangkaji. 

Kedua, anda perlu berusaha mencari tempat yang sesuai untuk anda belajar. Mungkin kawan anda ada tempat belajar yang sesuai. Cari tempat yang yang tidak bising dan tempat di mana anda tidak akan diganggu. Ia tidak semestinya tempat yang tersorok atau sunyi. Cukup jika suasana tempat itu tenang dan bersih. Di sini, anda boleh belajar secara berkumpulan. Cuma anda perlu ingat, apabila sudah bersama kawan-kawan, jangan sampai lalai dan leka berborak hingga lupa tujuan utama untuk belajar. Ketiga, jika tidak ada tempat yang sesuai di rumah atau di rumah kawan, saya cadangkan anda luangkan banyak masa di sekolah atau di perpustakaan.

Saya percaya perpustakaan adalah antara tempat yang paling sempurna untuk anda belajar. Ini kerana perpustakaan menyediakan tempat yang selesa untuk anda duduk belajar, suasananya tidak bising dan anda mudah pula untuk mendapatkan buku rujukan. Jadi, luangkan masa anda untuk belajar di perpustakaan. 

Setelah anda kurangkan gangguan luaran ini, anda akan dapat menggunakan masa anda dengan lebih berkesan. Mungkin dengan duduk belajar selama 40 minit sahaja, hasilnya sama dengan masa 2 jam belajar dalam keadaan penuh gangguan luaran. Saya ucapkan selamat berjaya.   

 

Next Page »