June 2007


Semalam saya ada ceritakan tentang memori jangka masa pendek dan memori jangka masa panjang. Adakah anda masih ingat apa yang saya bincangkan semalam?


Jika anda telah baca artikel saya semalam dan tidak ingat apa yang saya telah katakan, ia bermakna bacaan anda hanya singgah di memori jangka masa pendek sahaja. Setelah anda baca, anda cuma ingat selama 2 hingga tiga hari sahaja dan kemudian anda lupa semuanya.


Kajian ada mengatakan bahawa anda akan lupa 90% daripada apa yang anda baca atau pelajari selepas 48 jam. Sebab itulah, apabila guru anda mengajar di dalam kelas hari ini, anda boleh lupa hampir kesemuanya dalam masa 2 hari sahaja. Ini semua disebabkan apa yang anda belajar itu cuma berada di memori jangka masa pendek. Jadi, anda perlu belajar teknik untuk memindahkan fakta daripada memori jangka masa pendek ini ke memori jangka masa panjang.


Teknik pertama untuk memindahkan fakta daripada memori jangka masa pendek ke memori jangka masa panjang yang ingin saya kongsikan dengan anda ialah teknik pengulangan (Repetition). Ada satu pepatah Bahasa Inggeris yang mengatakan ‘Repetition is the mother of all skills’ yang bermaksud bahawa pengulangan adalah ibu kepada segala kemahiran.


Masalah daripada kajian yang mengatakan anda akan lupa 90% daripada apa yang anda pelajari tadi dapat diatasi dengan membuat pengulangan. Begini, setelah guru anda mengajar di dalam kelas dan setelah anda memahaminya, anda perlu membacanya semula sebelum 48 jam berakhir. Contohnya, katakan guru anda mengajar subjek sejarah pada pagi hari Selasa, anda perlu membaca semula nota-nota yang anda tulis dalam kelas itu sebelum pagi hari Khamis.


Jika anda tidak baca semula, anda akan lupa lebih 90% daripada apa yang anda telah pelajari itu. Jika anda menunggu hingga guru anda masuk ke kelas dan mengajar semula pada minggu hadapan, anda mungkin sudah lupa kesemuanya dan terpaksa bekerja keras untuk memahaminya semula dari peringkat awal. Bukankah itu merugikan?
 

Jadi, untuk memudahkan anda mengingat apa yang guru anda ajarkan, ikuti 4 langkah ini.

  1. Fokus kepada guru anda ketika beliau mengajar di dalam kelas. Tumpukan perhatian anda kepada apa yang diajarkan. Salin nota yang guru anda berikan dan buat catatan anda sendiri tentang apa yang anda telah faham. Ini bermaksud, anda perlu berfikir tentang apa yang guru anda ajarkan.
  2. Sebaik-baiknya, pada waktu malam hari yang sama, anda buka semula buku nota yang anda salin tadi dan baca dari awal hingga akhir. Jika anda tidak sempat membuka nota itu semula pada hari yang sama, selewat-lewatnya lakukan pada keesokan harinya. Lebih lewat daripada itu anda akan lupa lebih banyak lagi.
  3. Semasa anda membaca nota tersebut, bayangkan semula bagaimana cara guru anda mengajar di dalam kelas tadi. Bayangkan apa yang terjadi di dalam kelas tadi. Semasa anda baca semula nota yang anda salin, anda seolah-olah dapat melihat semula keadaan di dalam kelas anda siang tadi. Ini menguatkan lagi ingatan anda kepada apa yang anda baru pelajari.
  4. Jika boleh, baca nota itu berulang-ulang kali. Kali pertama mungkin anda baca dengan perlahan tetapi setelah dibaca berulang-ulang kali, anda akan baca dengan lebih laju lagi. Ini akan menjimatkan masa anda.

Ini adalah langkah pertama dalam teknik pengulangan. Jika anda lihat sahabat-sahabat anda yang berjaya dalam bidang akademik, selalunya mereka banyak kali membaca nota-nota mereka berbanding dengan pelajar yang kurang membaca. Apabila sahabat anda yang cemerlang ini membaca nota-nota mereka berulang-ulang kali, mereka jadi lebih mudah ingat dan dapat menjawab soalan dengan baik di dalam peperiksaan.

Hari ini saya ingin kongsikan bersama anda tentang memori. Secara umumnya, memori atau ingatan anda terbahagi kepada dua iaitu memori jangka masa pendek dan memori jangka masa panjang.


Memori jangka masa pendek adalah sesuatu yang anda ingat dalam jangka masa yang singkat. Contohnya, jika anda berkenalan dengan seorang kawan baru, setelah beliau memperkenalkan nama beliau, belum sampai beberapa jam pun anda sudah lupa nama tersebut. Sama juga seperti semasa anda belajar di dalam kelas.


Katakan cikgu anda mengajar subjek sejarah hari ini. Anda rasa anda faham apa yang cikgu anda ajarkan. Tetapi, esok atau 2 hari selepas itu, anda sudah lupa apa yang cikgu ajarkan tadi. Kadang-kadang, anda rasa macam anda tidak pernah dengar tentang apa yang diajarkan itu. Pelik bukan?


Tidak pelik sebenarnya. Itu menunjukkan bahawa apa yang anda pelajari itu cuma singgah di memori jangka masa pendek anda sahaja.


Memori jangka masa panjang pula ialah sesuatu yang anda boleh ingat dalam jangka masa yang lama. Contohnya, anda ingat nama kawan baik anda bukan? Pernahkah anda satu hari datang ke sekolah dan lupa apa nama kawan baik anda itu? Sudah tentu tidak pernah (melainkan anda menghidap penyakit lupa).


Jika anda mahu mengingat apa yang anda pelajari supaya anda boleh jawab soalan peperiksaan dengan baik, anda perlu tahu bagaimana caranya untuk memindahkan maklumat dalam memori jangka masa pendek anda ke memori jangka masa panjang. Jika selama ini anda rasa anda mudah lupa apa yang anda pelajari, ia tidak bermaksud daya ingatan anda lemah. Ia tidak bermaksud otak anda lembab atau anda seorang yang bodoh. Ia cuma bermaksud anda belum mahir dalam teknik untuk memindahkan maklumat daripada memori jangka masa pendek ke memori jangka masa panjang. Setelah anda kuasai teknik-teknik ini nanti, anda akan rasa lebih mudah mengingat atau menghafal apa yang telah anda pelajari.
 

Mengapa fakta yang anda pelajari cuma singgah di memori jangka masa pendek sahaja?


Satu sebab utamanya ialah anda tidak melakukan usaha memindahkan fakta ke memori jangka masa panjang dengan sengaja. Apa yang saya ingin katakan di sini ialah, jika anda pelajari sesuatu yang baru, fakta itu tidak akan masuk ke memori jangka masa panjang dengan sendirinya. Anda perlu lakukan sesuatu dengan sengaja untuk memindahkannya. Contohnya, katakan Ustaz anda baru mengajar lima rukun Islam. Dengan sekali mendengarnya sahaja, fakta itu cuma akan berada di memori jangka masa pendek anda. Anda mungkin akan lupa kesemuanya pada keesokan harinya.
Satu cara yang anda boleh lakukan untuk memindahkannya ke memori jangka masa panjang ialah dengan membaca dengan kuat kelima-lima rukun Islam itu berulang-ulang kali. Pengulangan adalah salah satu teknik berkesan untuk memindahkan fakta ke memori jangka masa panjang.


Jadi anda perlu ingat, tanpa membaca semula apa yang anda pelajari, anda tidak akan dapat ingat dalam apa yang anda pelajari hingga ke hari peperiksaan.


Namun, berkenaan perkara ini, ada satu soalan popular yang sering diajukan kepada saya. Soalannya ialah, kenapa ada sesetengah pelajar boleh ingat dengan mudah apa yang dipelajari walaupun mereka hanya mendengar sekali sahaja?
Jawapannya ialah, cara pelajar ini mendengar tidak sama dengan cara pelajar biasa mendengar. Maksudnya, pelajar ini mempunyai teknik mereka sendiri semasa mendengar apa yang diajarkan oleh guru di depan kelas.


Contohnya, apabila mereka mendengar cikgu bercerita tentang pencemaran sungai, fikiran mereka akan aktif menukarkan apa yang mereka dengar kepada bentuk gambar. Mereka seolah-olah dapat melihat  rupa sungai-sungai yang tercemar dan apa yang menyebabkannya. Seperti yang saya jelaskan minggu lepas, kita lebih mudah ingat gambar, jadi pelajar ini terus dapat mengingat apa yang diterangkan oleh guru mereka tentang pencemaran sungai tadi.

Apabila ditanya tentang cara menghafal, pelajar akan terbayangkan nota-nota yang dipenuhi tulisan yang perlu dihafal. Memang susah hendak menghafal, terutamanya jika tulisan-tulisan itu semua sukar untuk dibaca. Ini membuatkan pelajar rasa tidak bersemangat untuk menghafal.


Adakah memang sukar untuk menghafal? Mungkin…. mungkin sukar jika anda tidak tahu caranya yang betul.
Dulu, saya selalu terfikir bahawa, orang yang mudah untuk menghafal sesuatu adalah seseorang yang sangat bijak berbanding dengan orang lain. Beliau pasti mempunyai ibu bapa yang berpendidikan tinggi dan juga sudah sedia ada bijak sejak beliau dilahirkan. Jadi, saya sentiasa merasa rendah diri apabila saya membandingkan diri saya dengan seseorang yang mudah menghafal ini.

Namun, setelah saya menghadiri beberapa kursus dan membaca beberapa buku tentang teknik menghafal, saya dapati, semua orang mempunyai kebolehan untuk menghafal.


Jadi, sebagai permulaan, anda perlu tahu, manusia tidak mempunyai memori yang lemah. Mungkin selama ini anda sering menghadapi kesukaran untuk menghafal lalu anda fikir anda mempunyai memori yang lemah. Malah ada juga orang disekeliling anda yang melabelkan anda sebagai lemah ingatan. Mereka itu mungkin masih belum terdedah kepada fakta-fakta tentang kehebatan manusia ciptaan tuhan. Tetapi, kalau daya ingatan kita tidak lemah, mengapa terlalu sukar untuk kita menghafal sesuatu?

Pakar Memori Amerika Syarikat

Lihat dan cuba fahami kata-kata Mr. Kevin Trudeau, “I didn’t have learning disability, I just had an untrained memory” (Saya bukan lemah dalam belajar/menghafal, saya cuma mempunyai daya ingatan yang tidak dilatih).
Kevin adalah pengasas bagi American Memory Insitute di Amerika Syarikat. Institut ini mengajar pelajarnya cara-cara menggunakan sepenuh kebolehan daya ingatan manusia bukan sahaja untuk keperluan belajar atau pekerjaan, malah untuk kegunaan harian. Namun Kevin pada zaman kanak-kanaknya adalah dianggap sebagai seorang pelajar yang sangat lemah, hinggakan beliau hampir-hampir dilabelkan sebagai pelajar yang mempunyai IQ di bawah paras normal. Beliau bekerja keras untuk mencari jalan bagaimana beliau boleh menggunakan potensi sebenar beliau. Akhirnya, beliau menemui rahsia menggunakan sepenuh potensi daya ingatan dan kini, beliau terkenal di serata United States sebagai ‘Pakar’ dalam bidang daya ingatan.


Satu contoh betapa hebatnya Kevin ini, beliau pernah menghadiri satu majlis yang dihadiri oleh lebih dari 50  orang. Apabila Kevin berkenalan dengan orang baru, Kevin akan bertanyakan nama penuh orang-orang tersebut. Di akhir majlis tersebut, Kevin mampu bersalam dengan semua orang yang berkenalan dengannya tadi dan menyebut nama penuh masing-masing.
Untuk menghafal, anda perlu tahu satu perkara asas. Apakah bahasa memori kita? Bahasa Melayu? Bahasa Inggeris? Bahasa Cina? Atau bahasa India? Untuk mengetahuinya, jawab soalan ini.

Jika saya sebut perkataan kucing, apakah yang terbayang difikiran anda? Adakah perkataan K.U.C.I.N.G. ? Atau gambar seekor kucing?


Tentu gambar seekor kucing bukan?

Maksudnya, bahasa otak kita adalah ‘gambar’. Disebabkan itu, kita lebih mudah mengingat gambar dari perkara lain seperti tulisan. Jadi, jika anda merasa sukar untuk menghafal, jangan risau. Bukan anda memiliki daya pemikiran yang lemah, tetapi, anda mungkin selama ini cuba menghafal tulisan, bukan gambar.

power pointKebetulan pula, sebaik sahaja saya habis bercerita tentang 21 tips Microsoft Power Point, saya dijemput mengendalikan satu sesi mengajar teknik presentation menggunakan perisian ini oleh UIA, Gombak. Di dalam program ini, saya juga terangkan asas-asas dalam membuat presentation (untuk assignment dan course subject) supaya mahasiswa dan mahasiswi mendapat perhatian dan mendapat markah yang tinggi daripada pensyarah.

Jika anda tanya saya, apa yang perlu dilakukan untuk membuat presentation anda menjadi menarik dan boleh mendapat markah yang tinggi, saya akan katakan…… “Ceritakan tentang sesuatu yang berkait dengan penonton (audience) anda”. Contoh yang saya berikan ialah, jika presentation anda adalah mengenai air mineral, tentu presentation anda akan jadi membosankan jika anda hanya bercerita tentang kandungan air, kebaikan air mineral dan bagaimana air mineral dihasilkan.

Kebanyakan pendengar anda tentu tidak begitu berminat hendak tahu bagaimana air mineral dihasilkan kerana perkara itu tidak ada kena mengena dengan mereka (melainkan mereka bercita-cita nak bekerja di kilang yang memproses air mineral :)   ). Cari fakta atau perkara tentang air mineral yang boleh menarik perhatian penonton anda. Cari sesuatu yang berkait dengan mereka. Contohnya, jika anda ceritakan tentang kebaikan air mineral, tanya penonton anda air apa yang mereka minum setiap hari. Ceritakan kepada mereka apa akibat jika meminum air yang mereka minum itu.

Ini juga bermaksud, anda perlu lakukan kajian anda. Saya faham, tugas nak buat kajian ni memang kelihatan sukar sedikit. Tetapi jika anda boleh bayangkan presentation anda yang disukai dan diberi sepenuh perhatian oleh penonton anda, pasti anda rasa lebih bersemangat untuk membuat kajian. Jadi, teruskan usaha anda untuk membuat presentation yang terbaik. :)

« Previous Page