July 2007
Monthly Archive
Wed 18 Jul 2007
Posted by Osman Affan under
Motivasi ,
Soft SkillsNo Comments
Petua kedua untuk memikat hati guru anda ialah, tawarkan bantuan anda apabila mereka memerlukannya. Sebagai contoh, disekolah selalunya anda dapat lihat guru terpaksa bawa banyak buku ke bilik mereka. Ada ketikanya, guru akan meminta pertolongan pelajar. Ada ketikanya, guru tidak meminta dan cuba membawa sendiri.
Peranan anda disini ialah menawarkan bantuan tanpa disuruh. Kebanyakan pelajar akan menolong guru mereka tetapi mereka menunggu hingga disuruh. Jika guru mereka tidak berkata apa-apa, mereka juga akan mendiamkan diri dan melihat sahaja guru mereka bersusah payah membawa buku-buku tersebut.
Apabila anda tawarkan pertolongan kepada guru anda, hati mereka akan jadi lembut kepada anda. Bayangkan, ketika anda dalam kesusahan dan seseorang menawarkan pertolongan tanpa diminta, apakah yang akan anda rasa?
Budaya dan cara pemikiran kita di Malaysia terutamanya, kita mudah rasa rapat kepada seseorang yang suka menolong kita. Tentu anda pernah mendengar ungkapan ini, ‘Orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa’.
Mulai hari ini, jangan menunggu disuruh untuk membantu. Bantuan anda ini adalah satu cara yang sangat berkesan untuk memikat hati guru anda.
Tue 17 Jul 2007
Posted by Osman Affan under
Motivasi ,
Soft Skills[5] Comments
Petua pertama adalah petua yang paling penting. Untuk memikat hati guru anda, anda perlu belajar dalam keadaan ‘Gelas yang kosong‘. Apakah maksud saya ini?
Belajar dalam keadaan gelas yang kosong ialah anda perlu rasa rendah diri dan buka minda anda untuk menerima apa yang diajarkan oleh guru anda. Banyak ketikanya saya lihat pelajar datang ke sekolah, kolej, universiti, seminar atau bengkel dalam keadaan gelas yang penuh. Ini bermaksud, mereka rasa mereka tahu banyak perkara berbanding kawan-kawan sebaya mereka malah mereka juga rasa mereka lebih tahu daripada guru mereka.
Apa akan jadi jika air dituangkan ke dalam gelas yang penuh? Ya….. air yang dituang itu akan tumpah. Malah, air yang ada di dalam gelas yang penuh itu juga akan turut mengalir keluar. Jika anda tidak percaya, cuba isikan air sirap kedalam sebiji gelas hingga penuh. Tuangkan air masak ke dalam gelas itu. Biarkan air yang melimpah keluar. Lama-kelamaan, anda akan lihat gelas yang berwarna merah disebabkan air sirap itu akan lama kelamaan menjadi putih.
Apa yang ingin saya katakan ialah jika anda datang ke majlis ilmu dengan perasaan anda lebih mengetahui, anda tidak akan pelajari sesuatu yang baru. Malah ilmu yang ada pada anda juga akan jadi semakin susut dan tidak bernilai. Apa kena-mengena petua ini dengan memikat hati guru?
Guru sangat mudah mengesan jika anda datang kepada mereka dengan gelas yang penuh. Orang yang datang dengan gelas yang penuh boleh dikesan melalui percakapannya, soalannya dan juga cara mereka duduk dalam sesuatu majlis ilmu itu. Apabila seorang guru dapat mengesan orang-orang begini, selalunya guru akan cuba mengalihkan perhatian kepada anak murid yang lain. Ini adalah supaya guru dapat mengekalkan semangat mereka untuk mengajar dan emosi mereka tidak terganggu dengan pelajar gelas penuh ini. (Jika anda rasa kurang yakin bahawa seorang guru boleh mengesan pelajar gelas penuh ini, cuba tanya kepada mana-mana guru atau trainer yang anda kenal.
)
Sebaliknya, jika anda datang dengan gelas yang kosong, guru akan dapat mengesan bahawa anda datang dengan niat mahu belajar. Saya sendiri, saya sangat suka melayan pelajar yang ada niat mahu belajar. Mereka ini selalunya bersedia untuk mendengar nasihat bagaimana mahu memajukan pelajaran mereka. Untuk pelajar begini, seorang guru sanggup berkorban masa dan tenaga untuk membantu.
Apa yang perlu anda lakukan sekarang? Ada beberapa perkara:
- Betulkan niat anda untuk betul-betul belajar. Anda perlu ingat, orang yang bijak adalah orang yang mempunyai kebolehan untuk mempelajari sesuatu dengan baik, bukan orang yang suka menunjukkan kepandaian mereka.
- Elakkan daripada memalukan guru anda dengan menunjukkan kepandaian anda. Contohnya, ada kalanya guru membuat kesilapan seperti membuat kiraan yang salah di depan kelas. Jika anda mahu betulkan kesalahan itu, betulkan dengan cara yang sopan agar tidak menjatuhkan air muka guru tersebut.
- Dengar nasihat dan cadangan guru anda tentang bagaimana cara untuk memajukan diri anda.
Selamat mencuba.
Mon 16 Jul 2007
Posted by Osman Affan under
Motivasi ,
Soft Skills[2] Comments
Pernahkah anda dengar pelajar merungut, “Cikgu tu tah apa-apa tah….. pilih kasih…. kalau si Leman tu, apa dia buat semua ok…. kalau aku ni, ada je benda tak kena….. pilih kasih betul…….”
Rungutan begini selalunya datang daripada pelajar yang iri hati melihat sesetengah pelajar lain rapat hubungan dengan guru mereka. Adakah anda juga begini?
Katakan memang ada guru yang pilih kasih dan melebih-lebihkan sesetengah pelajar, adakah anda akan merungut jika anda yang menjadi anak murid kesayangan guru itu? Tentu tidak bukan? Apa yang ingin saya katakan ialah, guru pilih kasih adalah perkara biasa. Ia tidak bermaksud guru itu pilih kasih pada sesetengah pelajar hingga menganiaya pelajar lain. Saya percaya semua guru sayangkan anak muridnya. Cuma, disebabkan guru juga adalah manusia biasa, mereka akan lebih menyayangi beberapa anak murid yang memenuhi beberapa kriteria pilihan mereka.
Pentingkah anda memikat hati guru anda? Apa untungnya jika guru anda mengasihi anda? Saya beri satu contoh mudah. Katakan anda diminta mengajar dua anak saudara anda yang beberapa tahun lebih muda. Anak saudara yang pertama suka mendengar kata anda. Dia membuat apa yang anda suruh semasa sesi pembelajaran dan memberi sepenuh perhatian kepada anda semasa anda mengajar.
Anak saudara yang kedua pula tidak boleh duduk diam semasa sesi pembelajaran. Semasa anda sibuk mengajar, dia sibuk mengasah pensel, mencari buku, melukis kartun dan sebagainya. Apabila anda suruh buat latihan, dia merungut dengan mengatakan bahawa dia tidak faham apa yang anda ajarkan.
Soalan saya, anak saudara mana yang anda akan lebih suka? Mudah bukan? Soalan saya lagi, jika anda rasa anak saudara anda suka mendengar apa yang anda ajar, apakah anda akan semakin bersemangat untuk mengajarnya? Sudah tentu bukan?
Jadi, anda perlu tau serba sedikit bagaimana mahu mengambil hati atau memikat hati seorang guru. Ini tidak bermaksud anda mahu mempermainkan mereka. Memikat hati guru bertujuan agar ilmu anda lebih diberkati dan anda akan lebih mudah faham apa yang diajarkan. Inilah objektif utama mengapa anda perlu tahu beberapa petua untuk memikat hati seorang guru. Kita akan mulakan dengan petua yang pertama esok.
Sat 14 Jul 2007
Posted by Osman Affan under
Khas ,
Cerita[5] Comments
Minggu ini saya habiskan masa saya di Langkawi kerana menjalankan kursus bertajuk ‘Pembangunan Organisasi dan Pemantapan Modal Insan’ bersama para pegawai dan pensyarah daripada Institut Kemahiran Mara Besut. Kursus ini dijalankan atas usaha Institut Latihan Mara (Ilham).
Kali terakhir saya menjejakkan kaki ke Langkawi ialah ketika saya berumur 18 tahun. Ketika tu saya sedang menunggu keputusan peperiksaan SPM. Lama juga tu rasanya, lebih kurang 13 tahun. Ini juga kali pertama saya menjalankan program di mana saya tidak dapat memandu kereta saya terus ke tempat latihan. Halangan pertama saya untuk ke kursus ini ialah saya perlu
rancang bagaimana mahu membawa peralatan kursus yang mencukupi tanpa menyusahkan saya untuk memikulnya semua semasa menaiki feri. Alhamdulillah saya ada bawa pembantu jurulatih, Elyas yang membantu saya menjalankan kursus ini dengan jayanya.
Kursus ini bermula dengan beberapa halangan lagi. Ketika saya sampai ke hotel tempat kursus ini, bilik untuk kami belum lagi siap. Jadi kami terpaksa menunggu. Ini menyebabkan rancangan kami untuk memulakan program awal tergendala. program kami tergendala beberapa jam namun saya berjaya membuat beberapa perubahan agar perjalanan kursus masih lancar.
Apabila kursus bermula, saya dapati bilik kursus itu terlalu kecil untuk peserta seramai 45 orang. Saya tidak dapat bergerak dengan selesa dan saya tidak dapat melihat kesemua peserta saya kerana mereka agak jauh kebelakang dan ada juga yangterlindung dibelakang tiang. Ini menyebabkan saya rasa janggal dan tidak dapat berkomunikasi dengan lancar. Namun, saya paksa juga diri saya untuk buat program ini seperti biasa dengan memulakannya dengan sesi ‘ice-breaking’. Sesi ini jadi masalah apabila peserta tidak dapat bergerak dengan bebas disebabkan ruang yang ada terlalu sempit. Masa tu saya makin risau.
Apabila saya mahu memulakan komen saya terhadap sesi ice-breaking, tiba-tiba suis elektirik di bilik latihan itu meletup. Kuat juga, hingga mengeluarkan api. Kecoh sekejap kami di bilik yang menjadi gelap dengan tiba-tiba itu. Sudahlah sempit, lambat bermula, sekarang ia meletup pula.
Setelah kekecohan reda, kami dipindahkan ke satu bilik lain. Bilik ini lebih besar sedikit. Di sinilah saya dapat memulakan sesi saya dengan satu soalan kepada semua peserta.
“Tuan-tuan dan Puan-puan, kursus kita ini bermula dengan bermacam-macam halangan. Lambat dapat masuk, bilik sempit, tidak selesa….meletup pula lepas tu….” (Peserta tergelak mendengar komen saya ini).
“Tetapi, dalam setiap perkara, kita sentiasa ada pilihan dua pilihan…. kita boleh pilih sama ada kita mahu terus merungut dan merasa tertekan disebabkan semua halangan ini…atau kita pilih untuk melihat perkara yang baik dan teruskan program ini dengan jayanya…..Yang mana Tuan-tuan dan Puan-puan pilih” (Peserta mula tersenyum).
Dipendekkan cerita, program ini berjalan dengan lancar dan saya berjaya berkongsi maklumat melalui semua modul yang telah saya sediakan. Saya rasa sangat gembira kerana melihat kesungguhan dan semangat peserta untuk belajar dan mencuba sesuatu yang baru. Saya lihat ada peserta yang tidak pernah bercakap di depan khalayak ramai tetapi menggagahkan dirinya untuk berdiri di hadapan semua peserta dan mula bercakap.
Saya lihat ada peserta yang kelihatan malu dan tidak yakin tetapi berusaha bersungguh-sungguh apabila mereka dilantik menjadi ketua atau diberikan peranan penting dalam mana-mana aktiviti.
Bagi saya, ini semua adalah petanda yang sangat baik bahawa semua peserta ini mempunyai potensi dan kebolehan untuk mencapai matlamat mereka. Saya ucapkan selamat berjaya!
Terima kasih saya ucapkan kepada semua peserta terutamanya pihak pengurusan yang menjayakan kursus ini. Insyaallah, jika dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki, kita akan bertemu lagi.
Klik disini untuk membaca beberapa testimoni daripada para peserta ini.
Fri 13 Jul 2007
Posted by Osman Affan under
Cerita ,
MotivasiNo Comments
Hari Rabu minggu lalu saya berkesempatan menjalankan program bertajuk ‘Guru Cemerlang’ di Sekolah Kebangsaan Brickfields 2. Sekolah ini agak kecil dari segi saiz kerana kalau tidak silap saya cuma ada lebih kurang 2 ratus lebih pelajar sahaja di sekolah ini. Pada 19 Jun yang lepas pula saya telah jalankan program SmartStudy bersama pelajar tahun 6 di sekolah ini.
Saya sebenarnya seronok bila ada program bersama guru. Bagi saya, guru-guru adalah kawan-kawan seperjuangan saya dalam menyampaikan mesej kepentingan pendidikan kepada para pelajar. Pada usia pelajar yang masih muda, mereka selalunya tidak dapat melihat kepentingan belajar. Apabila mereka sudah boleh melihat kepentingan itu sendiri satu hari nanti, ia mungkin sudah terlambat.
Saya ada bercerita kepada para sahabat saya guru-guru di SK Brickfileds 2 ini bahawa keupayaan generasi akan datang untuk bersaing dalam ekonomi dan dalam hidup adalah terletak di tangan para guru. Ini juga mesej penting yang Tuan Guru Besar sekolah ini mahu saya sampaikan. Bayangkan pelajar disekolah rendah sekarang apabila mereka berumur 30 - 40 tahun nanti. Bolehkah mereka bersaing untuk mendapatkan pekerjaan atau menjalankan perniagaan apabila terdapat kebanjiran tenaga buruh dan tenaga pakar daripada luar negara? Malah, bolehkah mereka bersaing sesama mereka sendiri di negara sendiri?
Jika guru berputus-asa, murid-murid akan rasai kesannya. Jika semangat guru 100%, semangat murid mungkin 80%. Apa akan jadi semangat guru hanya 50%? Anak murid tentu rendah lagi bukan?
Walau bagaimana pun, sesi bersama guru-guru ini sangat menyeronokkan. Saya ketika itu sebenarnya agak kurang sihat disebabkan kesibukan memenuhi jadual latihan saya. Namun saya jadi bersemangat apabila dapat bersua dengan sahabat seperjuangan begini. Tambah lagi, satu komen daripada seorang cikgu yang saya hormati ketika itu sebelum saya meninggalkan sekolah,
“En Osman, terima kasihlah. Inilah kali pertama saya tak tertidur semasa mendengar ceramah…”
Thu 12 Jul 2007
Posted by Osman Affan under
Khas ,
CeritaNo Comments
Setelah beberapa hari berlalu, hati saya sebenarnya masih runsing disebabkan pengalaman pahit daripada pengalaman pertama saya mengajar home tuition. Adakalanya saya rasa menyesal kerana buat keputusan untuk bersara terus daripada mengajar home tuition. Ini adalah kerana, home tuition mungkin boleh jadi sumber pendapatan yang sangat besar buat saya. Apakah yang telah saya pelajari melalui pengalaman ini rasanya?
- Pertama, jika saya mahu buat sesuatu untuk pelanggan saya, saya perlu selidik apa yang pelanggan saya mahu, bukan apa yang saya rasa pelanggan saya mahu. Sebagai contoh saya ini, saya rasa saya sudah berikan apa yang terbaik untuk pelanggan saya tetapi oleh kerana bukan itu yang dia mahu, usaha saya itu tidak bermakna. Ini bukan salah pelanggan, tetapi salah saya yang tidak menyelidik dahulu.
- Kedua, melalui pengalaman ini, saya sentiasa bertanya kepada pelanggan saya apa yang mereka mahukan. Sebagai contoh, ketika saya diberi peluang membuat program untuk pegawai di jabatan tanah beberapa bulan dulu, saya mengambil peluang bertemu dengan ketua jabatan dahulu untuk mengetahui apa yang beliau ingin saya sampaikan kepada para pegawai beliau. Hasilnya, saya dapat menyampaikan maklumat yang diperlukan dengan baik.
Namun, satu perkara yang paling besar saya pelajari ketika itu ialah, semasa saya sedang susah hati mengenangkan keputusan saya untuk tidak menceburi bidang home tuition itu, tunang saya ketika itu ada berkata kepada saya bahawa mungkin bukan itu sumber rezeki saya nanti. Mana tau ada sesuatu yang lebih besar menanti. Hmmm… inilah idea yang menenangkan saya ketika itu.
Tambahan pula, saya ketika itu ada membeli satu buku bertajuk “Dugaan hidup” hasil tulisan Wan Aznan Hj. Wan Abdullah. Ada sepotong ayat Al–quran di dalam buku itu yang membuat saya semakin tenang dan bersemangat untuk menempuh cabaran dalan usaha mencapai kejayaan dalam hidup saya. Ayat itu berbunyi:
“…Dan boleh jadi kamu benci akan sesuatu, sedang ia lebih baik bagimu; dan boleh jadi kamu kasihi sesuatu, sedang ia melarat kepadamu. Dan Allah mengetahui, tetapi kamu tidak mengetahui.” (Al-Baqarah: Ayat 216)
Saya percaya, jika anda gagal mendapat apa yang anda idam-idamkan, jangan terlalu bersedih. teruskan usaha anda kerana anda tidak tahu bahawa sesuatu yang lebih hebat telah disediakan untuk anda……..
Wed 11 Jul 2007
Posted by Osman Affan under
Khas ,
CeritaNo Comments
“Cikgu….macam ni cikgu……” Kata ibu pelajar tu.
”Saya panggil cikgu ni nak suruh cikgu ajar anak saya sampai habis semua silibus sekolah tu. Saya tak suka bila cikgu bagi latihan-latihan macam ni. Kalau nak bagi latihan, kat luar waktu kelas pun boleh. Saya bayar ikut jam….” Sambungnya lagi.
Badan saya dah panas sejuk. Saya tahu saya takkan suka apa yang akan saya dengar. Pelajar tadi hanya menundukkan kepala sambil terus membuat latihan seperti dia tidak mendengar apa yang ibunya katakan.
“Saya bayar cikgu mahal, 40 sejam tau. Dua jam dah 80 ringgit. Tu gaji saya sehari tu.” kata ibu pelajar itu lagi.
Badan saya yang panas sejuk tadi dah makin lembik. Kalau ada pilihan, mau je saya lari keluar daripada rumah tu.
“Saya nak cikgu ajar semua topik biar habis. Latihan tak payah buat. Kalau buat latihan macam ni, rugi la saya bayar.”
Pening kepala saya mendengar perkataan bayar, rugi, mahal ni….. dalam hati saya terfikir, ibu pelajar ni tahu ke apa yang saya buat? Dia tahu ke saya sibuk mencari kelemahan pelajar tu yang boleh saya perbaiki? Dia tahu ke, apa gunanya mengajar sesuatu yang pelajar tu dah tahu sebab itu takkan membantu menaikkan prestasinya. Saya terus mendengar…..
Saya rasa saya dah lupa apa lagi katanya. Tapi apa yang selalu bermain di ingatan saya ialah bagaimana air muka saya jatuh di depan anak murid baru saya. Setelah ibu pelajar itu habis bercakap, saya ingat saya ada kata, “Takpe lah kak, sesi ni kakak nak bayar separuh je pun takpe. Tak pun tak payah bayar, biar saya yang tanggung sesi ni.”
Saya rasa tidak ada situasi yang tidak baik ketika itu. Saya pun bukan jenis yang panas baran atau mudah berkasar. Tetapi, saya melangkah keluar dengan perasaan yang sangat kecewa.
Saya pulang ke pusat tuisyen saya. Tunang saya ketika itu (Sekarang isteri saya
) boleh lihat air muka saya yang tidak ceria. Bermula petang itu hingga lebih kurang pukul 10 malam, kepala saya tidak henti berfikir. Adakah saya mahu teruskan mengajar home tuition ini? Adakah patut saya katakan sesuatu untuk menjelaskan apa yang saya telah lakukan sebenarnya? Akhirnya, saya telefon salah seorang cikgu saya yang aktif membuat home tuition. Saya minta dia menggantikan saya mengajar pelajar itu. Saya minta cikgu tu meninggalkan pesan saya kepada ibu pelajar bahawa dia tidak perlu membayar apa-apa sesi 2 jam petang tadi. Saya buat keputusan ketika itu juga bahawa, “Saya bersara daripada membuat home tuition!“…….
Tue 10 Jul 2007
Posted by Osman Affan under
Khas ,
CeritaNo Comments
“Assalamualaikum……” Kata saya sambil menekan loceng rumah……
“Waaliakumsalam.” Saya disambut oleh ibu pelajar tersebut. Saya dijemput masuk dan duduk di meja makan berhampiran ruang tamu.
Pelajar itu sedang bersedia. Jadi ibu pelajar ini berbual seketika dengan saya dan bercerita tentang pencapaian pelajar ini. Saya hanya mendengar dengan teliti. Ibu pelajar in bekerja dengan sektor kerajaan rupanya. Pangkatnya sudah agak tinggi.
Apabila pelajar itu sudah bersedia, saya pun mulakan sesi mengajar. Perkara pertama yang saya lakukan ialah saya berikana beberapa soalan matematik ringkas untuk melihat tahap prestasinya. Memang benar, dia pelajar yang cemerlang. Dia dapat siapkan soalan dengan agak cepat. Tetapi dia hanya betul 8 daripada 10 soalan yang saya berikan.
Saya catat masa bagi setiap soalan yang dia lakukan. Saya dapati kepantasannya menjawab soalan sudah bagus tetapi belum cukup pantas untuk memastikan dia mendapat A setiap kali peperiksaan. Kemudian, saya berikan dia soal jawab mengenai gaya belajar (seperti yang terdapat dalam buku Persediaan Minda untuk Menjadi Pelajar Cemerlang). Saya dapati dia adalah pelajar visual. Jadi saya berikan beberapa nasihat tentang bagaimana dia boleh memajukan lagi prestasi akademiknya. Saya beritahu di mana kelemahannya dan bagaimana dia boleh berhati-hati agar tidak membuat kesilapan yang remeh-temeh. Saya juga beritahu topik mana yang patut ditekankan untuk peperiksaan nanti.
Semasa saya memberi pelajar itu soalan matematik untuk dijawab, ibu pelajar kerap kali juga datang melihat apa yang saya lakukan. Ada juga dia bertanya latihan apa yang saya berikan. Saya dapat rasakan seperti ibu pelajar ini tidak selesa dengan apa yang saya lakukan. Tetapi, saya tidak tahu mengapa.
Selepas dua jam sesi berlangsung, saya bersedia untuk pulang. Kemudian, ibu pelajar itu datang kepada saya. Ketika itu,pelajar tadi masih lagi berada di depan saya cuba menyelesaikan beberapa soalan yang saya berikan.
“Cikgu……..macam ni cikgu……..” kata ibu pelajar itu. Kata-kata yang bakal keluar daripada mulut ibu pelajar ini masih meninggalkan kesan ke dalam diri saya dan pandangan saya terhadap home tuition……………
Mon 9 Jul 2007
Posted by Osman Affan under
Khas ,
Cerita[3] Comments
Beberapa tahun lalu, semasa saya baru sahaja memulakan perniagaan pusat tuisyen, saya dapat tahu tentang satu potensi pendapatan dengan membuat home tuition. Saya ada seorang guru yang mengajar di Pusat Tuisyen saya memberitahu bahawa dia mendapat pendapatan bersih antara rm4,500 hingga rm6,000 sebulan hanya dengan membuat home tuition.
Ketika itu saya pun terfikir untuk turut sama membuat home tuition. Mana tau, kalau betul saya boleh lakukan dengan baik, mudah lah saya hendak mengumpul duit. Lagipun, saya dah biasa mengajar. Di pusat tuisyen saya sendiri, saya ada mengajar subjek sains, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains. Jadi, mengapa tidak mencuba bukan?
Nak dijadikan cerita, saya mendapat tawaran untuk mengajar seorang pelajar tingkatan 3. Bayaran yang ditawarkan ialah RM40 sejam. Saya punjadi bersemangat. Saya pun bersedialah untuk pelanggan pertama saya ni. Walaupun saya ni ketika itu merupakan seorang guru, otak saya sudah mula berfikir seperti seorang juru runding.
Apa yang saya buat, saya telefon ibu pelajar itu (yang menawarkan saya kerja mengajar dirumahnya itu) dan bertanyakan tentang prestasi akademik pelajar tersebut. Pelajar tersebut adalah pelajar perempuan. Apa yang saya dapat tahu, dia adalah seorang pelajar yang sangat cemerlang disekolahnya.
Di dalam peperiksaan dia selalu mendapat sekurang-kurangnya 6A. Dia cuma sedang berusaha untuk mendapatkan semua A dalam peperiksaan. Saya pun terfikir, “Kalau dah pelajar ni selalu dapat A, matematik pula selalu dapat markah 86 ke atas, apa yang perlu saya ajar?”
Dua tiga hari juga saya berfikir apa yang saya boleh bantu pelajar ni. Akhirnya saya mendapat ilham. Saya fikir, saya mahu cari di mana kelemahan pelajar ini yang menghalang dia mendapat markah penuh. Kalau selalu dia dapat markah 86%, di mana letaknya kesilapan yang 14% lagi tu. Saya sediakan beberapa latihan matematik yang saya buat sendiri dan saya sediakan satu soal jawab untuk mengetahui apakah gaya belajar yang sesuai baginya.
Tiba harinya, saya pun bertolak ke rumah pelajar tersebut. Rumahnya tidak jauh daripada pusat tuisyen saya. Saya pergi dengan rasa agak berdebar. Maklumlah, nak pergi ke rumah orang yang saya tidak kenali. Saya tidak tahu bagaimana sambutan mereka dan bagaimana mereka akan melayan saya nanti sebagai seorang guru home tuition. Apakah saya akan berjaya membantu pelajar ini memajukan pelajarannya? Adakah saya akan dilayan dengan teruk seperti pengalaman-pengalaman pahit guru home tuition yang saya pernah dengar? Saya rasa berdebar macam seorang pelajar sekolah rendah yang perlu bertemu dengan guru besar…….
“Assalamualaikum…” kata saya sambil menekan loceng rumah tersebut…………………….
Fri 6 Jul 2007
Posted by Osman Affan under
Motivasi ,
Soft Skills[2] Comments
Alhamdulillah, saya telah kongsikan 7 petua untuk memikat hati rakan sebaya anda. Tidak kira anda sedang berada di bangku sekolah, kolej, universiti atau sudah bekerja, anda perlu tahu bagaimana mahu memikat hati rakan sebaya anda. Kawan-kawan adalah penting dalam hidup kita. Tanpa mereka, kita mungkin jadi makhluk asing di tempat kita sendiri.
Jadi, walaupun 7 petua ini kelihatan mudah, anda akan terkejut dengan kesannya. Saya ucapkan selamat berjaya dan selamat mencuba untuk memikat hati rakan sebaya anda.
« Previous Page — Next Page »