September 2007


Semalam saya berada hampir sehari di Universiti Putra Malaysia bagi menjayakan program persediaan menjelang peperiksaan akhir anjuran kelab Rakan Siswa (KRS) UPM di bawah naungan unit bimbingan dan kaunseling. Seperti program yang saya jalankan bersama MEDCY UIA awal Ramadhan lalu, saya sangat berbangga dengan usaha urusetia yang terdiri daripada para mahasiswa dan mahasiswi sendiri dalam menjayakan program ini.

Saya ingin mengucapkan tahniah kepada urusetia program ini terutamanya kepada Presiden Kelab dan juga Pengarah projek kecemerlangan pelajar ini. Saya dulu juga terlibat dalam aktiviti pelajar di peringkat sekolah dan universiti jadi saya tahu betapa sukarnya untuk menganjurkan dan menjayakan program sebegini. Tanpa usaha dan semangat daripada pihak kepimpinan pelajar, pasti program ini sukar untuk dijayakan.

Tahniah juga kepada mahasiswa dan mahasiwi yang terlibat sebagai urusetia program ini. Saya agak seronok melihat kesungguhan dan keceriaan mereka semasa mengendalikan program ini. Ia membuat saya merasa tenang dan selesa sepanjang program dijalankan.

Tidak dilupakan tahniah kepada semua mahasiswa dan mahasiswi yang menghadiri program ini. Seperti kata saya pada awal program, semua mahasiswa dan mahasiswi mempunyai pilihan untuk datang atau tidak. Namun mereka tetap memilih untuk datang. Ini menunjukkan mereka mempunyai semangat, minat dan kehendak untuk berjaya.

Saya juga mengucapkan terima kasih khas kepada Wani, mahasiswi yang berurusan dengan saya sebelum program ini berlangsung. Beliau banyak membantu dari segi memberi maklumat yang saya perlukan. Juga kepada pengacara majlis yang begitu professional semasa menjalankan tugas mereka. Saya percaya anda berdua mempunyai bakat untuk menjadi pengacara majlis professional suatu hari nanti. :)

Satu mesej saya untuk semua pelajar yang hadir ke program tersebut dan semua pelajar yang membaca mesej ini….. anda semua mempunyai potensi dan kebolehan yang sama untuk berjaya. Apa yang membezakan pelajar yang berjaya atau tidak ialah tindakan yang anda ambil. Pelajar biasa mungkin ada matlamat dan ada strategi untuk berjaya. Namun pelajar cemerlang mengambil satu langkah lagi ke depan dengan mengambil tindakan ke atas matlamat dan strategi mereka. Mereka tidak hanya berpeluk tubuh dan mengharapkan kejayaan datang bergolek.

Selamat berjaya! :)

 

 

Seperti yang saya nyatakan semalam, orang-orang berjaya mempunyai satu sifat yang mampu menangguhkan keseronokan mereka supaya kejayaan mereka jadi lebih bermakna. Apa kaitannya dengan bulan Ramadhan?

Di dalam bulan Ramadhan, rasa lapar dan dahaga adalah perkara biasa. Namun ada ketikanya anda rasa terlalu lapar atau dahaga hingga anda rasa seperti tidak mahu meneruskan puasa anda. Ketika itu, fikiran anda akan berperang dengan persoalan, nak berbuka atau tidak? Jika anda terus berbuka, anda akan nikmati keseronokan makan dan minum serta-merta tetapi anda akan hilang pahala dan amalan puasa. Jika anda mahu teruskan puasa, anda terpaksa menahan diri dari menikmati keseronokan segera dan merasa sedikit terseksa hingga tiba waktu berbuka. Apa yang akan anda lakukan?

Sebenarnya, jika anda mengalami situasi di atas di bulan Ramadhan, itu tandanya anda mempunyai peluang untuk mendidik dan memupuk kebolehan menangguhkan keseronokan yang kita bincangkan ini. Jika anda lihat orang-orang yang berjaya puasa sepanjang bulan Ramadhan sebenarnya merasa dugaan lapar dan dahaga yang amat sangat. Namun, mereka sabar dan latih diri mereka agar dapat menikmati keseronokan yang lebih bermakna iaitu berbuka pada waktunya. Apabila mereka berbuka pada waktunya, mereka rasa seronok kerana berjaya melepasi dugaan. Dugaan itu juga membuktikan bahawa mereka mampu melepasi apa jua rintangan. Jika lapar dan dahaga dapat diatasi, cabaran-cabaran lain seperti untuk mencapai kejayaan hidup sudah pasti jga boleh diatasi.

Allah S.W.T telah menjanjikan kegembiraan yang pasti buat orang-orang yang berpuasa iaitu kegembiraan semasa berbuka dan kegembiraan semasa bertemu dengan Allah nanti. Sama seperti semasa kita menempuh cabaran dalam hidup, kita akan pasti kecapi kegembiraan dan kebahagiaan disebabkan kita sabar dan sanggup menangguhkan keseronokan kita.

Jadi, jika anda seorang pelajar, tangguhkan keseronokan untuk banyak bermain, melepak dengan kawan, ponteng sekolah atau buat sesuatu yang dilarang. Anda perlu sedar bahawa keseronokan segera jarang membawa kepada keseronokan yang berpanjangan.

Latih diri anda untuk berpuasa dalam erti kata yang betul. Kuatkan semangat dan ketahanan diri anda dalam menghadapi cabaran puasa nescaya anda akan jadi kuat juga dalam menempuhi cabaran hidup. Hasilnya, kejayaan pasti menjadi milik anda. Selamat berjaya!

Setelah saya fikirkan buat satu jangka masa yang sangat lama, akhirnya saya buat keputusan untuk meletakkan cbox (seperti yang anda lihat di sebelah) di dalam blog saya ini. Selama ini saya ada terfikir untuk meletakkan cbox ini cuma ada rasa bimbang jika saya tidak berkesempatan untuk mengemaskininya.

Namun, saya percaya saya ada masa untuk ini. Tambahan pula, ini akan lebih memudahkan pengunjung blog ini untuk meninggalkan mesej, memberi pendapat atau berkongsi sesuatu.

Jika anda ada apa-apa yang ingin dikatakan, sila tinggalkan mesej anda di ruangan sebelah. :)

Apakah lagi sifat dan ciri-ciri yang anda pelajari dan amalkan di dalam bulan Ramadhan, yang membantu anda menuju ke arah kejayaan? Mari kita bincangkan.

Menurut pendapat pakar-pakar psikologi barat, antara satu sifat paling utama individu yang berjaya dan kaya-raya ialah”having the ability to delay gratification” (mempunyai kebolehan untuk menangguhkan keseronokan). Ia bermaksud, orang-orang yang berjaya selalunya sanggup bekerja keras dalam satu jangka masa yang lama tanpa mengharapkan pulangan yang segera. Mengapa? Kerana mereka tahu, pulangan yang akan datang nanti sangat besar dan mereka akan nikmatinya dengan penuh kepuasan.

Contohnya, pelajar cemerlang sanggup bekerja keras belajar dan mendisiplinkan diri dalam jangka masa lama. Walaupun aktiviti belajar boleh jadi memenatkan, memeningkan, dan tidak menyeronokkan, mereka masih boleh teruskan kerana mereka ada kebolehan untuk menangguhkan keseronokan yang mereka ingin kecapi. Pelajar tidak cemerlang pula asyik mahu seronok dengan cepat. Mereka rasa belajar itu memenatkan, lalu mereka bermain kerana bermain mendatangkan keseronokan segera. Mereka bosan belajar di sekolah lalu mereka ponteng kerana ponteng mendatangkan keseronokan segera.

Cuba tanya diri anda, adakah anda selalu membuat sesuatu yang mendatangkan keseronokan segera? Jika jawapan anda ya, anda perlu berhati-hati kerana itu adalah sifat yang jarang membawa kearah kejayaan atau kebahagiaan.

Satu contoh lagi orang-orang yang boleh menangguhkan keseronokan ialah para petani dan pekebun. Jika anda lihat, petani dan pekebun sanggup bekerja keras menanam pokok buah-buahan, sayur-sayuran dan sebagainya tanpa mendapat pulangan yang segera. Sebab itulah jika anda mahu belajar bagaimana mahu bersabar dan berusaha untuk mencapai kejayaan, para petani dan pekebun selalu menjadi contoh yang baik. Orang yang tidak sabar tidak boleh jadi petani kerana jika mereka tanam pokok hari ini, esok atau minggu depan mereka sudah mahu lihat hasilnya. Jika tidak ada hasil, mereka akan putus asa.

Sama seperti pelajar, pelajar yang tidak sabar apabila mereka belajar hari ini, mereka mahu terus mendapat A hari esoknya. Apabila mereka tahu mereka perlu bekerja keras belajar sepanjang tahun untuk berjaya, mereka lemah semangat dan mula putus asa. Pernahkah anda rasa begitu?

Jadi, bagaimanakah anda boleh pupuk dan bina kebolehan untuk menangguhkan keseronokan ini? Apa pula kaitannya dengan bulan Ramadhan? Saya akan terangkan esok. :)

Setelah anda ada niat, tahu bila ia mahu dicapai dan tahu mengapa dia perlu dicapai, semangat anda akan jadi semakin kuat untuk berusaha mencapainya. Jika anda sudah berniat untuk berpuasa dan mahu melakukannya bersungguh-sungguh, adakah iman anda akan mudah tergugat dengan burger yang dimakan oleh adik-adik anda? Saya percaya tentu tidak bukan. Jika iman anda tergugat lalu makan burger tersebut, ia bermakna niat anda tadi tidak bersungguh-sungguh dan anda tidak benar-benar maksudkan apa yang anda niatkan.

Saya ada kenal seorang sahabat yang sangat kuat semangatnya untuk mengotakan apa yang dia kata mahu lakukan. Jika dia kata mahu belajar, tidak akan ada sesiapa pun yang boleh memujuknya untuk keluar bermain atau membuat perkara lain. Semangat ini benar-benar kelihatan semasa beliau berpuasa. Ada satu ketika saya lihat sahabat saya ini berniat untuk berpuasa sunat pada hari Isnin. Kami tinggal di asrama ketika itu. Selepas solat subuh dan tadarus al-quran, lebih kurang pukul 7.30 pagi, sahabat saya ini dapat tahu bahawa ada latihan bolasepak untuk pemilihan wakil sekolah.

Tanpa berfikir panjang, sahabat saya ini menyertai latihan dan pemilihan itu. Anda boleh bayangkan betapa letihnya bermain bolasepak di waktu pagi selama lebih kurang 2 jam. Apa yang mengejutkan saya ialah sahabat saya ini masih meneruskan puasanya walaupun itu cuma puasa sunat. Dia kelihatan sangat letih menjelang tengahari tetapi masih dengan niat berpuasanya tadi.

Selepas habis sekolah (kami bersekolah sesi petang ketika itu), saya lihat sahabat saya ini tertidur keletihan di atas katilnya. Dia seolah-olah tak mampu nak bergerak langsung. Namun, saya sangat kagum dengan semangatnya. Sahabat saya ini menjadi pelajar terbaik sekolah saya ketika peperiksaan PMR. Dia terus menjadi pelajar terbaik ke mana-mana sekolah dia berada.

Cuba anda fikirkan, adakah anda melatih iman dan semangat anda menjadi kuat di bulan Ramadhan? Adakah anda merungut kerana cuaca panas atau merungut kerana terlepas makan sahur? Bulan Ramadhan adalah masa yang sangat sempurna untuk melatih kekuatan diri anda secara fizikal dan mental. Saya percaya, dalam bulan ini anda perlahan-lahan boleh menguatkan diri anda berpuasa dengan tenang dan kekuatan ini pasti boleh anda gunakan untuk mencapai kejayaan nanti.

Inilah satu kelebihan bulan Ramadhan yang dapat anda pelajari melalui posting kali ini. :)

Satu perkara yang saya selalu tanya kepada para pelajar mengenai puasa ialah, jika esok puasa, apakah yang mereka lakukan malam ini. Kebanyakannya akan menjawab ‘membaca niat’ (tapi ramai juga yang jawab “makan sahur” :)    ). Niat merupakan satu matlamat yang hendak dicapai. Jika anda hendak mencapai sesuatu, cara terbaiknya ialah anda berniat dahulu. Niat anda mestilah jelas supaya anda dapat capai apa yang anda benar-benar hendak. Lihat pada niat puasa.

“Sahaja aku puasa esok hari di bulan Ramadhan kerana Allah Taala”. Ia jelas dan tepat. Jika saya tanya, “Nak buat apa?”, jawapannya nak puasa. Jika saya tanya “Bila nak puasa tu?”, jawapannya “esok”. “Esok tu bila?”, dalam bulan Ramadhan. “Kenapa nak puasa?”, Nak puasa kerana Allah Taala.

Hmm… bukankah ini satu latihan awal untuk kita umat Islam menetapkan matlamat? Rasulullah S.A.W. juga ada bersabda bahawa setiap amal itu bermula dengan niat. Niat akan membantu anda mencapai apa yang anda inginkan.

Orang-orang berjaya memahami konsep ini. Mereka memasang niat tentang apa yang mereka mahu capai. Jika mereka mahu beli kereta baru, niat mereka ialah “Aku nak beli kereta baru Proton Pesona, warna merah metallic, tayar Goodyear, aksesori penuh, downpayment RM10,000 dan mesti dapat sebelum Jun 2008. Bila dapat kereta ni, aku nak bawa keluarga aku berkelah di Port dickson dan aku nak hantar anak-anak aku ke sekolah tiap-tiap hari.”

Itu cuma contoh sahaja. Memasang niat untuk berjaya mungkin tidak sama seperti niat ita berpuasa, tetapi intipatinya adalah serupa. Jika anda mahu capai sesuatu, tuliskan dan sebutkan dengan jelas apa yang hendak dicapai, bila hendak dicapai dan mengapa anda hendak mencapai perkara tersebut. Kajian-kajian lepas dan sejarah sentiasa membuktikan bahawa orang yang tahu niat/matlamat mereka pasti akan dapat mencapainya.

Itulah satu perkara yang kita sudah pelajari di bulan Ramadhan dalam posting kali ini. :)

Sama ada anda sedar atau tidak, Ramadhan membawa pelbagai rahmat bukan sahaja dari segi pahala berbuat amalan yang digalakkan dan amalan kebajikan, tetapi dari segi membentuk sifat dan keperibadian untuk menuju kejayaan. Apakah yang saya maksudkan?

Cuba anda lihat orang-orang yang berjaya di sekeliling anda atau orang berjaya yang anda kenal. Tentu mereka mempunyai sifat-sifat unik tertentu yang tidak banyak terdapat di dalam diri orang-orang yang kurang berjaya. Contohnya, orang yang berjaya mempunyai matlamat yang jelas tentang apa yang mereka mahu capai. Orang yang berjaya juga tidak kenal erti berputus-asa. Lebih hebat lagi, orang berjaya boleh bersabar dan terus berusaha walaupun apa yang mereka kerjakan belum membuahkan hasil.

Percayakah anda jika saya katakan ciri-ciri dan sifat-sifat ini semua boleh dibentuk semasa anda menjalani ibadah puasa? Hmm… jika anda mahu berjaya seperti mereka juga suatu hari nanti, mari kita bincangkan dan fikirkan bersama mengenai apa yang anda perolehi sepanjang bulan Ramadhan ini………….. :)

Rabu lalu, 19 Spetember, saya berpeluang untuk bercerita secara ringkas mengenai buku terbaru saya “Menjual Perkhidmatan di Internet” di rakaman rancangan Selamat Pagi Malaysia, Slot Resensi. Slot ini dikendalikan oleh Syed Munawar yang sudah tidak asing lagi kepada saya kerana sendiri telah bertemu beliau beberapa kali.

Di dalam sesi rakaman ini, saya diberi peluang untuk menceritakan serba sedikit mengenai siapa yang perlu membacanya, apa isi kandungannya dan apakah tiga langkah untuk membina perniagaan internet bagi sesiapa yang tidak mempunya latar belakang dalam bidang IT.

Seperti saya sendiri, latar belakang pendidikan saya ialah perakaunan dan kemudian dalam bidang kaunseling & Psikologi. Dari mana datangnya pengetahuan mengenai IT dan internet? Sebenarnya, bagi saya, pengetahuan IT atau internet adalah sejenis ilmu. Ilmu boleh dikuasai oleh sesiapa sahaja tidak mengira latar belakang. Jika kena caranya, anda boleh belajar dan kuasai apa sahaja yang anda mahu. Ini jugalah yang selalu saya kongsikan bersama pelajar setiap kali saya kendalikan program-program motivasi dan kemahiran belajar.

Satu mesej utama yang saya kongsikan melalui buku saya ini ialah jika anda seorang usahawan atau bercadang mahu memasuki dunia keusahawanan, internet merupakan satu alat yang sangat berkesan untuk membantu memajukan perniagaan anda. Melalui internet, anda mudah dicari, dihubungi dan dipercayai. Lalu, perniagaan anda akan semakin meningkat maju. Saya juga tekankan bahawa anda tidak perlu risau jika anda tidak mempunyai kemahiran IT kerana itu bukanlah kelayakan utama untuk berjaya memasarkan perniagaan anda di internet.

Semasa rakaman dijalankan, saya juga berpeluang bertemu dengan beberapa usahawan internet lain yang juga merupakan penulis di bawah naungan syarikat True Wealth Sdn Bhd. Pertemuan ini sangat menyeronokkan kerana kami rasanya sudah mengenali antara satu sama lain di alam siber tetapi tidak pernah berpeluang untuk berjumpa.

Sayang pula rasanya kerana kami tidak sempat untuk berbual lama memandangkan masing-masing mempunyai agenda tersendiri pada hari tersebut. namun insyaallah kami akan bertemu lagi dalam program yang bakal di anjurkan oleh Azizi Ali tidak lama lagi.

(Dari kiri: Shuth, Osman Affan, Zamri Nanyan, Eruwan Gerry Norsen & Irwan Dahnil)

Untuk maklumat lanjut mengenai buku “Menjual Perkhidmatan di Internet” ini, sila klik disini.

 

 

Pernahkah anda terfikir, mengapa, di bulan ramadhan, semua makanan yang selama ini nampak tidak menarik, tidak sedap, membosankan dan tidak menyelerakan kelihatan sebaliknya? Maksud saya, di bulan ramadhan, air mineral dan roti kosong pun nampak sangat menyelerakan. Bahkan, goreng pisang dan keropok goreng yang dijual di tepi jalan yang selama ini kita tak pandang pun kelihatan sangat menyelerakan. (yang kelakarnya, kadang-kadang sayur pun kelihatan amat menyelerakan :) ? )

puasa

Saya percaya anda pasti jawab sebabnya ialah dalam bulan ramadhan kita sedang lapar. Sebab itulah semua makanan nampak menyelerakan. Betul!! Saya setuju dengan anda. Tetapi apa yang boleh kita pelajari daripada perkara ini?

Banyak perkara yang boleh anda pelajari sebenarnya. Satu perkara yang boleh anda pelajari sekarang ialah anda perlu menggunakan segala?peluang yang ada sebelum anda terlepas akan peluang itu. Manusia selalunya menghargai sesuatu apabila mereka telah kehilangan sesuatu itu. Dalam tajuk ini, saya minta anda hargai peluang yang anda ada sebagai seorang pelajar.

Sekarang anda masih ada peluang untuk belajar bersungguh-sungguh dan meningkatkan kecemerlangan anda. Selepas peluang ini hilang dan sekiranya anda gagal mencapai apa yang anda inginkan dalam pelajaran, anda akan melihat kepada peluang-peluang itu seperti anda melihat makanan di waktu siang, terliur, tetapi anda tidak boleh dapatkannya.

Di atas adalah hasil tulisan saya pada Ramadhan tahun lepas. Apa kaitannya dengan anda yang sedang bersedia untuk menghadapi peperiksaan PMR? Peluang yang ada kini tidak akan kembali. Walau apa pun cabaran yang anda rasa, kesukaran yang anda tempuhi semasa membuat persediaan di dalam bulan Ramadhan ini, anda harus cekal. Teruskan usaha anda untuk mencapai cita-cita menjadi pelajar cemerlang di dalam peperiksaan PMR ini.

Selamat Berusaha!! :)

 

Seperti yang saya telah katakan sebelum ini, cabaran menghadapi peperiksaan dalam bulan Ramadhan ialah anda mungkin tidak biasa menjawab soalan peperiksaan dalam keadaan lapar dan dahaga. Bagi pelajar yang biasa mengamalkan puasa sunat, Insyaallah tidak ada masalah untuk menghadapi situasi ini.

Ada beberapa nasihat yang pernah saya pelajari mengenai menjawab soalan peperiksaan di dalam bulan Ramadhan atau menajwab soalan semasa berpuasa. Saya ingin kongsikan nasihat-nasihat yang saya pelajari ini bersama anda.

  • Pertama, anda perlu mula berlatih menjawab soalan pada waktu siang (semasa anda berpuasa) mulai sekarang. Lebih baik lagi, jika anda sudah ada jadual peperiksaan sebenar, cuba buat latihan dan jawab soalan peperiksaan lepas pada waktu ini. Ini akan melatih otak anda untuk menjadi cergas walaupun anda sedang berpuasa.
  • Jika anda merasa letih semasa menjawab soalan semasa berpuasa ini, anda perlu bersabar dan rasa yakin bahawa rasa letih ini hanyalah sementara. Setelah anda cuba beberapa hari, anda akan rasa kurang letih. Malah, jika anda betul-betul berpuasa dengan erti kata yang betul (sederhana semasa makan, fikir dan bercakap perkara-perkara yang baik dan mengaji Al-Quran dan sebagainya), anda akan rasa lebih bertenaga berbanding hari-hari anda tidak berpuasa.
  • Kedua, jawab soalan peperiksaan seperti anda benar-benar berada di dalam dewan peperiksaan. Tetapkan berapa masa yang anda ada untuk menjawab soalan dan jawab soalan tersebut dalam masa yang telah ditetapkan. Dalam masa yang sama, jika ada soalan yang anda tidak pasti jawapannya, jawab juga sebaik mungkin, jangan rujuk kepada buku dahulu. Ini akan menguatkan lagi kebolehan anda untuk berfikir. Setelah masa tamat, periksa jawapan anda dan periksa juga apa jawapan yang anda tidak tahu tadi.

Kita sambung esok. :)

Next Page »