September 2007


Jika anda merasa bimbang kerana peperiksaan PMR akan dijalankan pada bulan Ramadhan, ada berita baik untuk anda. Minggu ini saya akan kongsikan beberapa tips untuk anda membuat persediaan untuk menghadapi peperiksaan tersebut. Hari ini, kita akan bincangkan mengenai persediaan yang anda perlu buat di saat akhir ini.

Merasa penat, mengantuk dan tidak bermaya dalam bulan Ramadhan adalah perkara biasa buat pelajar. Namun anda tidak perlu risau, keadaan ini selalunya hanya berlaku pada awal puasa iaitu antara hari pertama hingga hari ketiga atau ketujuh bergantung kepada keadaan kesihatan anda. Saya percaya dalam masa 3 hari puasa, anda akan rasa bertenaga semula. Apa yang penting ialah:

  • Jangan terlalu manjakan diri anda. Ini bermaksud, jangan asyik merungut mengatakan anda rasa letih dan tidak larat. Dengan kerap kali merungut begitu, anda akan rasa benar-benar letih dan benar-benar tidak bermaya. Kuatkan semangat anda. Katakan kepada diri anda bahawa rasa letih itu hanya sementara sahaja. bergerak dan berjalan seperti orang yang sudah terlatih untuk berpuasa. Anda akan rasa lebih bertenaga.
  • Ikut Sunnah Rasulullah. Makan sahur dan berbuka pada waktunya. Dalam masa yang sama, elakkan makan terlalu banyak ketika berbuka kerana sistem penghadaman anda akan terkejut dengan kehadiran makanan itu semua dalam satu masa. Ia juga akan membuat anda rasa begitu letih selepas berbuka kerana seluruh tenaga anda perlu ditumpukan kepada sistem penghadaman anda. berbuka dengan ala kadar. Kunyah dengan perlahan kerana jika jika anda menguyah dengan laju, otak anda akan lambat mendapat isyarat yang mengatakan anda sudah kenyang.

Kita sambung lagi esok. :)

Tahun ini, pelajar PMR akan menghadapi peperiksaan utama mereka dalam bulan Ramadhan. Saya percaya, bagi kebanyakan pelajar, ini adalah perkara biasa sahaja. Namun bagi sesetengah pelajar, ini boleh jadi satu perkara yang sangat mencabar. Mengapa?

Apabila saya mengendalikan program untuk pelajar di waktu pagi, ada pelajar yang merungut kerana mereka belum bersarapan. Ini membuat mereka rasa lapar dan tidak selesa untuk belajar. Bayangkan apa yang pelajar ini semua akan rasa jika mereka perlu menjawab soalan peperiksaan terpenting dalam bulan Ramadhan?

Satu perkara yang jelas ialah jika anda bakal mengambil peperiksaan PMR tahun ini, kehadiran bulan Ramadhan sudah pasti bakal membawa rahmat kepada anda. Di dalam bulan ini, anda mempunyai peluang untuk menambahkan pahala dan menambahkan ketenangan hati dan jiwa anda. Namun, dalam masa yang sama, anda perlu tahu, menjawab soalan peperiksaan dalam bulan Ramadhan mempunyai cabarannya yang tersendiri.

  • Cabaran pertama ialah selama ini anda sudah biasa dengan belajar dalam keadaan perut berisi dan tekak yang basah. Apabila perkara ini bertukar, cara anda berfikir dan kelancaran otak anda berfikir juga pasti akan bertukar. Apa yang membimbangkan ialah jika cara anda berfikir menjadi tidak lancar apabila perut kosong dan tekak kering nanti.
  • Cabaran kedua ialah dari segi persiapan. Selalunya pelajar sukar untuk belajar apabila berada dalam keadaaan lapar dan dahaga. Jadi, mereka memberi alasan untuk belajar pada waktu malam. Malangnya, mereka mudah pula merasa letih pada waktu malam kerana kekenyangan. Jadi, belajar dan mengulangkaji ditangguhkan.

Apakah cara penyelesaian untuk perkara yang saya bincangkan ini? Maksud saya, bagaimanakah anda perlu siapkan diri anda untuk menjawab soalan peperiksaan PMR nanti? Adakah anda perlu berbuka dan tinggalkan puasa? (Hmm…harapnya anda tidak terfikir untuk berbuat begini kerana meninggalkan puasa ternyata bukanlah satu jalan penyelesaian :)   )

Insyaallah saya akan bincangkan mengenai perkara ini minggu ini. :)

Sabtu 15 September bersamaan 3 Ramadhan, saya telah diundang oleh ahlijawatankuasa MEDCY, sebuah persatuan jurusan perubatan Matrkulasi Universiti Islam Antarabangsa, untuk menjalankan program Bengkel Kemahiran Belajar SmartStudy. Ini kali pertama saya menjalankan program untuk persatuan ini. Pendapat pertama saya ialah, persatuan ini sangat hebat kerana dapat menjalankan dan menganjurkan program walaupun dalam bulan Ramadhan. lebih mengejutkan lagi, ini adalah program berbentuk bengkel kemahiran belajar pertama anjuran mereka. Tahniah saya ucapkan terutama sekali kepada Ain, Anas dan Farouk yang banyak berurusan dengan saya semasa program dijalankan.

Program sehari ini menyentuh beberapa kemahiran utama untuk menjadi pelajar cemerlang di universiti. Dalam ucapan pembukaan saya, saya ucapkan tahniah kepada peserta yang menyertai program ini. Mengapa? Dahlah program ini dijalankan pada hari Sabtu (hari di mana pelajar boleh pilih untuk pulang kerumah, peserta pula perlu membayar yuran penyertaan.

Dengan membuat pilihan untuk datang belajar, ia menunjukkan peserta sudah mempunyai satu semangat dan ciri-ciri pelajar cemerlang. ramai lagi pelajar lain yang membuat pilihan untuk tidur di bilik pada pagi sabtu atau pulang ke rumah. Tambahan pula hari tersebut adalah hari puasa, tentu lebih banyak alasan boleh diberikan untuk tidak hadir.

Ditambah pula ada yuran penyertaan,semakin banyak alasan pelajar beri untuk tidak hadir. Seperti yang pernah saya tulis sebelum ini, pelajar lebih rela membelanjakan duit mereka untuk bahan hiburan atau prepaid handphone daripada membelanjakan ke arah pendidikan. Sebab itulah terlalu kecil jumlah pelajar (walaupun di peringkat universiti) yang berbelanja dengan membeli buku-buku yang berbentuk pembangunan diri.

Jadi, sekali lagi tahniah kepada ahli jawatankuasa MEDCY dan semua peserta yang berjaya menjadikan bengkel kemahiran belajar SmartStudy ini satu kenyataan.

Saya sendiri merasa sangat gembira melihat kesungguhan anak bangsa saya sendiri berusaha bersungguh-sungguh untuk berjaya. Ini adalah kerana pada zaman ini, kita tidak lagi boleh bergantung atas bantuan orang lain untuk berjaya. Untuk memastikan kita berjaya, kita sendiri yang mesti usahakannya. Itu juga nasihat saya kepada semua peserta program ini. Untuk berjaya, berhenti merungut dan menyalahkan orang lain. Merungut dan menyalahkan orang lain tidak mungkin dapat menyelesaikan masalah yang kita hadapi.

Selamat berjaya!

 

 

Saya mengambil peluang ini untuk mengucapkan kepada seluruh umat Islam umunya dan pembaca blog saya khususnya, Selamat menyambut Ramadhan Al-Mubarak. Semoga Ramadhan tahun ini membawa lebih keberkatan, kedamaian, dan kesejahteraan ke dalam hati kita semua.

Selamat Berpuasa. :)

 

 

 

 

 

 

upsrKepada semua pelajar tahun 6, hari ini merupakan hari yang sangat penting buat mereka. Hari peperiksaan UPSR bermula. Ini bermakna, segala persiapan yang telah dibuat selama ini akan teruji hari ini. Segala penat dan lelah semasa belajar akan dapat dilihat hasilnya tidak lama lagi.

Saya percaya, jika anda berusaha, kejayaan pasti akan menjadi milik anda. Dalam masa peperiksaan ini, lupakan seketika hasil yang anda inginkan. Tumpukan perhatian anda kepada soalan yang anda perlu jawab. Ini akan mengurangkan rasa tertekan yang anda rasa selama ini. Sama seperti mendaki gunung, anda perlu lihat puncak gunung yang ingin anda tawan. Namun, dalam masa yang sama, jangan lupa lihat kepada apa yang anda lalui di depan anda. Jika anda upsrasyik lihat puncak gunun, anda mungkin akan langgar semua batu kecil di hadapan anda yang mungkin menyebabkan anda gagal sampai ke puncak.

Sekali lagi, saya dan team SmartStudy mengucapkan selamat menduduki peperiksaan untuk semua pelajar tahun 6 di seluruh Malaysia. Selamat Berjaya! :)

 

 

« Previous Page