October 2007


Apa kaitannya Ramadhan dan kesihatan dan kekuatan akal fikiran? Begini.

Di dalam bulan Ramadhan, kita sepatutnya makan kurang daripada apa yang kita makan daripada hari-hari biasa. Ini kerana, kita tidak makan pagi, tengahari atau petang. Tambahan lagi kita tidak minum air. Jika anda berpuasa dibulan Ramadhan tetapi makan sama banyak seperti bulan-bulan biasa (balas dendam semasa berbuka dan sepanjang malam :) ), anda mungkin masih dapat kesan baik bulan Ramadhan walaupun tidak sepenuhnya.

Apabila anda berpuasa di siang hari, tubuh badan anda tidak perlu bekerja keras untuk menghadamkan apa yang anda makan sepanjang hari. Ini bermaksud, tubuh badan anda ada tenaga lebihan untuk membuat perkara yang lain. Apa yang akan dilakukan dengan tenaga lebihan ini? Ia akan digunakan untuk membuang sisa-sisa makanan dan toksik (beracun) di dalam tubuh anda terutamanya yang berada di dalam usus besar anda. Bagaimana ini boleh berlaku?

Biar saya berikan satu contoh. Contoh ini diberikan oleh Harvey Diamond dalam bukunya Fit for life. Katakan anda bekerja di sebuah pejabat. Tugas anda ialah untuk melupuskan / menghapuskan kertas-kertas terpakai yang telah dibuang ke dalam beberapa kotak khas. Katakan juga, sehari, anda hanya mampu melupuskan 5 kotak kertas sahaja. Tetapi, setiap hari, ada 8 kotak kertas terpakai yang terhasil.

Jadi, pada hari pertama, anda lupuskan 5 kotak, ada 3 kotak baki. Esok, datang lagi 8 kotak, tetapi anda boleh lupuskan hanya 5 kotak, jadi bakinya berapa? 6 kotak bukan? (3 dari hari pertama, 3 lagi hari kedua). Esoknya lagi datang lagi 8 kotak dan anda lupuskan 5 kotak. Berapa bakinya? Ya, 9 kotak (3 dari hari pertama, 3 lagi hari kedua dan 3 lagi hari ketiga). Jika ini berterusan, bukankah kotak-kotak itu akan memenuhi ruang pejabat anda kerana belum dilupuskan? Bukankah pejabat itu akan jadi semakin sempit dan tidak selesa? Katakan proses ini berterusan selama 10 hari, sudah tentu ada 30 kotak kertas terpakai yang belum dilupuskan.

Entah bagaimana, disebabkan polisi baru kitar semula syarikat, kertas terpakai yang terhasil setiap hari menurun daripada 8 kotak kepada hanya 3 kotak sehari. Anda pula kekal boleh melupuskan 5 kotak sehari. Jadi, pada hari ke 11, hanya 3 kotak kertas terpakai dihasilkan. Setelah anda lupuskan 3 kotak, anda masih boleh lupuskan 2 lagi bukan? Apa anda buat? Anda lupuskan kertas yang tidak mampu anda lupuskan selama ini. Jadi, daripada 30 baki kotak tadi, anda lupuskan 2. Lama kelamaan, baki kertas terpakai sebanyak 30 kotak tadi pasti akan habis dilupuskan.

Begitu juga dengan tubuh badan anda. Tenaga anda cuma cukup untuk menghadamkan makanan dalam kadar tertentu. Disebabkan anda makan terlalu banyak pada hari-hari biasa, tenaga itu tidak cukup lalu banyak sisa-sisa atau hampas yang tinggal. Namun, pada bulan Ramadhan, oleh kerana kurang makanan yang anda makanan, tubuh badan anda mempunyai tenaga yang cukup untuk menghadamkan makanan dan cukup untuk membuang sisa-sisa makanan yang selama ini terkumpul.

Inilah sebabnya mengapa selalunya pada hari pertama hingga ke tiga Ramdhan anda rasa agak lemah dan tidak bermaya. Ini bukan sahaja kerana anda kurang makan, tetapi kerana tubuh anda sudah mula mengeluarkan sisa-sisa toksik (beracun) daripada tubuh anda. Hasilnya, anda jadi lebih gagah dan bertenaga selepas beberapa hari berpuasa.

Apabila sistem perncernaan anda berfungsi dengan baik, tubuh anda akan jadi lebih sihat. Apabila tubuh jadi lebih sihat, otak dan minda anda juga jadi lebih sihat dan cergas. Bukankah ini satu kelebihan yang anda perolehi di dalam bulan Ramadhan?

Selamat berpuasa dan selamat menyihatkan tubuh badan. :)

Ada satu pepatah Arab yang bermaksud, “akal yang sihat berada di dalam tubuh yang sihat”.( Ini adalah pepatah Arab pertama saya belajar semasa belajar bahasa Arab di tingkatan 1 dulu :) ) Sebagai seorang pelajar, pekerja mahupun seorang usahawan, akal adalah satu kelebihan yang anda ada dan tidak mungkin boleh diganti.

Dalam program saya selalu saya tanya pelajar apakah alat utama yang mereka bawa ke sekolah untuk belajar. Mereka akan jawab buku dan alat tulis. Namun saya kata alat utama yang paling penting ialah akal fikiran mereka. Akal merupakan satu alat untuk anda mempelajari sesuatu dengan mudah. Seperti yang disebut dalam pepatah arab tadi pula, akal yang baik dan sihat datangnya daripada tubuh badan yang sihat. 

Pernahkah anda demam atau tidak sihat semasa belajar atau bekerja? Apakah yang anda rasa? Bolehkah anda belajar atau bekerja dengan berkesan? Tentu tidak bukan? Seperti saya sendiri, jika saya tidak sihat, hendak berfikir tentang perkara-perkara mudah pun saya tidak mampu. Bagaimanakah cara anda menjaga kesihatan diri anda? Tentu anda akan jawab dengan makan makanan yang berkhasiat dan membuat senaman beberapa seminggu. Ya, itu adalah antara cara yang sangat berkesan untuk menjaga kesihatan. Namun, tahukah anda bahawa puasa di bulan Ramdhan adalah satu cara yang sangat baik untuk menjaga kesihatan? 

Begini. Setiap hari apabila kita makan, tubuh kita bekerja keras untuk memproses makanan itu untuk dihadamkan dan ditukarkan kepada tenaga yang kita perlukan. Anda perlu tahu bahawa tidak semua yang kita makan akan menjadi tenaga. Seperti semasa kita melihat ibu kita memerah santan, setelah santan habis diperah, yang tinggal ialah hampas kelapa. Sama seperti makanan yang kita makan, setelah zatnya habis diserap, hampasnya akan dihantar ke usus besar untuk disingkirkan daripada tubuh badan kita.  Apa akan jadi jika hampas makanan kita tidak dibuang dengan sempurna? Bayangkan rumah anda. Bayangkan satu hari ada dua plastik sampah di dapur rumah anda. Apa akan jadi jika anda tidak membuang sampah itu selama seminggu? Tentu dapur anda akan jadi busuk bukan? Malah, seluruh rumah anda juga akan berbau nanti. Akibatnya, anda sekeluarga akan jatuh sakit. Sama seperti hampas makanan tadi, jika ia tidak dibuang dengan betul, ia akan memenuhi usus besar anda. Hampas-hampas ini adalah beracun untuk tubuh anda dan ia perlu dibuang. Masalahnya ialah, disebabkan cara pemprosesan makanan di zaman kita ini, tubuh badan kita menghadapi kesukaran untuk memproses makanan yang kita makan dan sukar untuk menghapuskannya.

Menurut Harvey & Marilyn Diamond dalam buku mereka Fit For Life I & II, kebanyakan orang di zaman kini menghadapi masalah pencernaan disebabkan makanan yang terlalu banyak diproses hingga menghilangkan semua zat yang ada dalam makanan tersebut. Akibatnya, banyak kejadian perut meragam, pedih ulu hati, sembelit dan masalah alahan kulit.  Adakah anda juga mengalami masalah sebegini?  Bagaimanakah puasa di bulan Ramadhan boleh menyelesaikan masalah ini? Kita akan sambung perbincangan ini esok. :)   

Apa kaitan Ramadhan dan disiplin diri? Hmm… saya percaya anda sudah boleh menekanya. Di dalam bulan Ramadhan, anda sentiasa berperang dan berlawan dengan nafsu anda untuk makan, minum dan membuat sesuatu yang dilarang. Dalam bulan Ramadhan, bukan sahaja anda menahan diri dari makan dan minum, malah melarang diri daripada berkata atau melihat sesuatu yang tidak baik. Kadangkala ia agak sukar bukan?

Kesukaran inilah yang menguji dan melatih disiplin diri dalam umat Islam. Contohnya anda sedang berjalan pulang ke rumah di bawah sinar matahari yang terik. Tekak anda kering. Tubuh anda terasa lemah. Apabila anda sampai di rumah, anda terlihat adik bongsu anda sedang seronok minum air tin berkabonat yang sejuk (baru dikeluarkan daripada peti ais). Secara lojiknya, fikiran anda pasti akan mahu minum air tersebut. Namun, anda tahu ia salah. Jadi, fikiran anda seperti sedang bermain tarik tali antara mahu memuaskan kehendak fizikal anda atau memenuhi tuntutan agama.

Alhamdulillah, disebabkan didikan agama yang baik daripada ibu bapa anda, anda memilih untuk tidak minum atau berbuka. Anda teruskan juga berpuasa walaupun anda tidak terasa hendak berpuasa. Bukankah ini satu contoh disiplin diri yang sangat baik?

Seperti contoh yang saya beri semalam, pelajar di universiti tidak akan dimarahi sesiapa kalau mereka tidak bangun pagi. Jadi, pada waktu pagi, pelajar ini ada dua pilihan, hendak bangun, sembahyang dan pergi ke kelas awal atau mahu sambung tidur. Lojiknya, tentulah memilih tidur lebih seronok bukan? Namun pelajar yang berdisiplin tinggi tetap memilih untuk bangun dan pergi ke kelas. Ini kerana mereka tahu, walaupun mereka tidak terasa hendak bangun dan pergi ke kelas, ia perlu dilakukan demi kebaikan pada masa hadapan.

Bagaimana dengan anda? Adakah Ramadhan tahun ini menambahkan lagi disiplin diri anda? Adakah ia lebih melemahkan disiplin diri anda?

Harapan saya, Ramadhan tahun ini akan membawa lebih berkat dan melatih diri kita semua agar lebih berdisiplin dan bergerak menuju kejayaan, di dunia dan akhirat. Selamat berpuasa. Selamat mendisiplin diri. :)

Menurut Stephen Covey, penulis buku 7 Habits of highly effective people, disiplin bermaksud kebolehan untuk membuat janji dan mengotakannya. Contohnya, disiplin diri yang mudah ialah mengemaskan tempat tidur sebaik sahaja bangun daripada tidur. Banyak ketikanya, apabila anda sudah berniat atau berazam untuk mengemas tempat tidur setiap pagi, anda tidak terasa hendak melakukannya kerana mengantuk, hendak cepat atau tidak ada mood untuk mengemas. Namun, seseorang yang berdisiplin untuk mengemas, dia pasti akan mengemas tempat tidurnya walau apa jua keadaaan sekalipun. Ini bermaksud, dia sentiasa berusaha untuk mengotakan janjinya.

Adakah anda seorang yang berdisiplin? Kekurangan disiplin adalah salah satu sebab utama mengapa pelajar gagal menjadi cemerlang. Contohnya, saya banyak lihat contoh kawan-kawan saya sendiri yang sangat cemerlang di zaman persekolahan namun gagal di universiti. Mengapa? Di universiti tidak ada orang yang akan kejutkan anda dari tidur. Di universiti tidak ada orang yang akan marah anda jika anda ponteng kelas. Di universiti tidak akan ada orang akan marah jika anda malas membuat assignment. Disebabkan tidak ada disiplin, pelajar-pelajar ini memilih untuk merasa selesa dan menikmati keseronokan cepat dengan tidur lewat dan bangun lewat, buat kerja saat akhir dan sebagainya.

Sama seperti disekolah. Menurut pemerhatian dan pengalaman saya mengendalikan kaunseling untuk ibu bapa, saya lihat banyak pelajar sekolah rendah yang cemerlang bermula darjah 1 hingga darjah 3. Namun yang pelik, prestasi mereka semakin menurun apabila mereka memasuki darjah 4 dan seterusnya. Mengapa agaknya?

Satu penjelasan yang dapat saya fikirkan ialah, jika anda cemerlang di peringkat bawahan, anda mempunyai potensi dan kebolehan secara intellektual. Dalam erti kata lain, anda ada bakat dalam bidang pelajaran. Namun jika prestasi semakin jatuh apabila usia meningkat, ia menunjukkan anda mempunyai tahap disiplin diri yang rendah.

Begini, pada tahap bawahan, banyak pelajar yang boleh mengingat dan menjawab dengan baik dalam dewan peperiksaan hanya dengan mendengar penjelasan guru di dalam kelas sahaja. Sekali dengar, terus boleh ingat dan boleh jawab dalam dewan peperiksaan. Namun, bermula darjah 4, sukatan pelajaran menjadi lebih sukar. Anda tidak akan berjaya hanya dengan bergantung kepada apa yang anda dengar dan lihat dalam kelas sahaja. Anda perlu latihan tambahan di luar waktu kelas. Dalam kata lain, anda perlu buat banyak latihan dan kerja rumah. Bila sudah banyak kerja rumah dan latihan, barulah anda boleh praktikkan dan menjawab dengan baik dalam dewan peperiksaan.

Bagaimana dengan anda? Saya percaya anda ada berazam dan memasang niat untuk berjaya dalam bidang yang anda lakukan. Adakah anda mendisiplinkan diri anda membuat latihan yang diperlukan untuk berjaya dalam bidang anda? Jika anda tidak cemerlang atau tidak hebat kerana tidak berdisiplin, ini bermaksud anda masih boleh lakukan sesuatu untuk mengubahnya. Bagaimana? Latih diri untuk menguatkan disiplin diri. (saya akan terangkan tentang teknik ini dalam posting akan datang).

Apa kaitannya disiplin dengan bulan Ramadhan pula? Saya akan terangkan esok. :)

Saya mengambil peluang ini untuk mengucapkan selamat berjaya kepada semua pelajar yang mula menduduki peperiksaan PMR hari ini. Semoga semua persiapan yang telah dijalankan akan membuahkan hasil dan kejayaan yang sangat cemerlang.

Saya juga doakan agar hati semua pelajar mendapat ketenangan dan keselesaan semasa menjawab soalan nanti. Insyaallah, usaha tanpa putus asa pasti akan membuahkan hasil yang diidam-idamkan.

Selamat berjaya!

 

 

 

 

« Previous Page