Cerita


SMK BentaSabtu lalu, saya berpeluang menjalankan program SmartStudy di Negeri Pahang Darul Makmur. Program akan dijalankan di SMK Benta. Pada pagi hari tersebut, setelah melihat peta sekolah tersebut sepintas lalu malam sebelumnya, saya pun keluar daripada rumah tepat pukul 6 pagi. Saya bawa dengan agak tenang kerana saya jangka saya pasti boleh sampai ke tempat tersebut dalam pukul 7.15 atau 7.30 pagi. Program hanya akan bermula pada pukul 8.30 pagi, pasti saya banyak masa untuk berehat seketika.

Entah kenapa, jangkaan saya agak meleset. Tempat yang saya hendak pergi itu rupa-rupanya agak jauh dari yang saya jangkakan. Rupa-rupanya saya tersalah anggap. Saya sangka benta tu sangat dekat dengan bentong, tetapi agak jauh juga rupanya. Saya mula memandu dengan lebih laju. Apabila dah mula rasa cemas bimbang lewat, mulalah macam-macam perkara yang tak diingini berlaku. Saya tersalah jalan sebanyak 4 kali. nasib baik juga saya sedar saya dah salah jaan dan sempat berpatah semula.

SMK BentaApabila saya rasa dah tersesat dan mula mengejar masa, saya mula rasa panik, berdebar dan sedikit tertekan. Saya asyik melihat jam saya. Kemudian, saya teringat apa yang pernah saya ajarkan kepada para peserta saya. Kalau kita fokuskan perhatian kita kepada keadaan yang tidak elok, keadaan tidak elok itu akan semakin menjadi-jadi. Jika saya fokuskan kepada rasa gelisah, gelisah saya akan menjadi-jadi. Dan jika saya fokuskan kepada perkataan ‘lewat’ saya akan benar-benar lewat nanti. Akhirnya, saya tenangkan semula perasaan saya dan fokuskan minda saya kepada imej bahawa saya akan sampai pada masa yang sesuai.

Alhamdulillah, apa yang saya fokuskan benar menjadi. Saya sampai pada pukul 8.15 pagi, 15 minit sebelum program bermula. Para pelajar pula ketika itu sedang sibuk membuat persiapan untuk program ini dan program hanya bermula pada pukul 8.40 pagi.

Di SMK Benta ini, saya kongsikan bersama pelajar teknik-teknik belajar yang berkesan. Teknik utama yang saya kongsikan ialah teknik menghafal dan teknik membuat nota kreatif. Setelah saya ajarkan teknik tersebut, pelajar masuk ke kumpulan masing-masing dan mula menulis nota kreatif mereka sendiri. Mereka diberi beberapa jam untuk proses ini dan mereka perlu bentangkan hasil kerja mereka selepas makan tengahari.

Sementara menunggu pelajar menyiapkan kerja mereka, saya dan para guru bergerak ke bilik gerakan guru untuk sesi ‘SmartStudy for teachers’. Saya berpeluang berkongsi konsep SmartStudy saya bersama guru dan juga berbincang tentang teknik-teknik dalam meingkatkan kadar motivasi guru dan pelajar. Satu harapan yang saya kongsikan bersama guru ialah agar guru-guru mempunyai matlamat yang sama iaitu untukmenaikkan tahap prestasi sekolah dan meningkatkan tahap kerjasama dan keakraban sesama guru. Insyaallah, perkara ini pasti akan tercapai.

Program ini berakhir pada pukul 5 petang. Setelah bersalaman dengan beberapa pelajar dan guru, saya pun bertolak semula ke Kuala Lumpur dengan perasaan yang puas dan hati yang tenang kerana program ini berjalan lancar, sama seperti yang telah saya bayangkan……… Sekalung ucapan tahniah kepada semua pelajar yang turut serta dalam program ini….ribuan ucapan terima kasih kepada para guru yang sungguh bersemangat dan berdedikasi….ucapan terima kasih khas buat Cikgu Hassan Basri yang membuat program ini menjadi kenyataan….. :)

TNB DistributionPada 29 Mac, saya berada di Residence Hotel, Bangi menjalankan program bersama para pegawai TNB Distribution. Program ini bertajuk ‘Successful Habits’.

Di dalam program ini, saya kongsikan 3 tips penting mengenai ‘habit’. Habit atau tabiat ialah sesuatu yang kita biasa lakukan dan kita lakukannya tanpa berfikir. Contohnya jika anda terkejut dan anda menyumpah-nyumpah, itu adalah satu tabiat buruk anda. Tabiat ini sukar untuk dikawal bukan? Sebenarnya, inilah persoalan utama yang ingin dijawab di dalam program ini, bagaimana hendak mengawal tabiat yang buruk begini dan bagaimana hendak menghentikannya kerana ia dilakukan tanpa kita sedari.

Di dalam program ini, saya ceritakan 3 topik utama:

  1. Bagaimana tabiat terbentuk
  2. Bagaimana menghentikan tabiat yang tidak diingini
  3. Bagaimana mahu mencipta tabiat baru yang diingini

Saya akui, tabiat buruk sukar dihentikan bak kata pepatah, “Old habits die hard”. Saya sendiri juga hadapi kesukaran untuk menghentikan beberapa tabiat buruk yang sudah sebati dengan diri saya sendiri. Namun, dengan tiga tips yang saya kongsikan dengan para peserta ini, menghentikan tabiat buruk adalah lebih mudah dan berkesan. :)

 

Pada 26 hingga 28 Mac lalu, saya berada di Agrotek Resort, Ulu Langat. Saya bersama sahabat-sahabat saya daripada syarikat Reliance Standard menjalankan program teambuiding untuk para pensyarah dan eksekutif Kolej Komuniti Bentong.

Program ini bertujuan membentuk dan memupuk semangat bekerjasama di antara para peserta. Sudah menjadi lumrah, walaupun kita bekerja di tempat yang sama setiap hari selama beberapa tahun, semangat untuk bekerjasama agak sukar dipupuk kerana setiap orang mempunyai matlamat atau agenda mereka yang tersendiri. Namun, jika semua pekerja dapat disatukan dalam satu program dan didedahkan kepada satu matlamat yang ingin dicapai bersama, insyaallah semangat kerjasama akan wujud.

kolej komuniti bentongIni adalah kerana, satu matlamat bersama yang ingin dicapai akan menguntungkan semua pihak. Di dalam program ini, peserta juga dapat memahami konsep anjakan paradigma atau lebih mudah difahami dengan konsep persepsi. Dengan persepsi yang betul, setiap orang akan dapat memahami apa yang berlaku disekeliling mereka dan mereka akan kurang bersikap mementingkan diri sendiri.

Saya ucapkan tahniah kepada semua peserta kerana berjaya meluahkan pendapat mereka di akhir program ini. Tahniah juga kerana berjaya mengharungi cabaran luar program ini seperti aktiviti jungle trekking dan solo drop. :)

Pada 24 Mac lalu, saya ke Ipoh Perak untuk satu program SmartStudy bersama mahasiswa dan mahasiswi di UITM Seri Iskandar Perak. Saya menginap di Ipoh pada hari Jumaat dan bercadang keluar awal pagi ke UITM Perak kerana saya tidak pernah ke sana. Pada waktu malam hari Jumaat itu, saya telah bertemu kawan baik saya semasa belajar di UK. Beliau telah memberikan peta ringkas tetapi lengkap untuk pergi ke UITM Perak. Jadi saya rasa agak yakin untuk ke sana.

Tepat 6.30 pagi, Sabtu, 24 Mac 2007, saya keluar daripada hotel saya menginap dan memandu ke Bandar Seri Iskandar. Saya jangka saya boleh sampai dalam pukul 7.30. Lebih selesa kalau sampai awal kerana program itu akan bermula pada pukul 8.30 pagi. Setelah lebih 30 jam memandu, saya rasa tenang kerana jalan yang sahabat saya tunjukkan semalam sangat mudah diikuti.

uitm perakKemudian, entah bagaimana, saya nampak satu papan tanda ke UITM. Yang peliknya, mengikut papan tanda itu, saya harus membelok kekiri. Dalam peta sahabat saya semalam tidak ada pula menunjukkan saya perlu ke kiri. Saya pun ikut sahaja ke kiri dan jumpa beberapa lagi papan tanda ke UITM. Jadi saya yakin saya ikut jalan yang betul. Malangnya, semakin lama saya ikut, semakin jauh pula rasanya. Sampai satu tempat, papan tanda itu sudah tidak ada lagi. Saya rasa pelik dan sedikit risau kerana sudah hampir pukul 8 pagi. Saya hubungi sahabat saya semula dan rupa-rupanya, papan tanda itu adalah untuk ke UITM Kota, bukan ke UITM Seri Iskandar. Dah salah.

uitm perakKelam kabut saya patah balik semula. Semasa berpatah balik, saya ternampak satu papan tanda ” Seri Iskandar, 30 KM”. Hehe, saya tersenyum sorang-sorang. Punya la jauh saya tersesat. Masa dah dekat 8.10 pagi. Saya teruskan juga ke Seri Iskandar. Saya anggap ini cuma satu dugaan dan cabaran yang nak menguji kesungguhan saya. Alhamdulillah, saya sampai ke UITM Seri Iskandar, tepat 8.40 pagi, terlambat juga. Pelajar dan pensyarah juga sudah tiba menunggu saya. Malu juga sampai lambat ni tetapi saya tidak boleh asyik terfikir tentang perkara tersebut kerana ia akan mengganggu konsentrasi saya terhdapa program tersebut.

 

uitm perakAlhamdulillah sekali lagi, program SmartStudy Learning Skills berjalan dengan lancar. Saya dapat habiskan tajuk-tajuk yang saya sediakan dalam masa yang diberikan. Saya percaya sedikit sebanyak, peserta program ini berjaya mendapat ilham dan cara untuk memajukan diri mereka.

Saya ucapkan terima kasih kepada urusetia program ini terutamanya Ms. Asniza dan Ms. Noraini yang banyak membantu. Saya ucapkan terima kasih juga kepada para pensyarah yang turut hadir menceriakan program tersebut. Kepada para peserta program tersebut (terutamanya Wan dan Qayyum yang paling banyak kena usik) saya ucapkan selamat berjaya dan semoga satu hari kita akn berjumpa lagi dalam satu suasana kejayaan, keceriaan dan kegembiraan. :)

buku smartstudyInsyaallah, akhir bulan April, buku kedua hasil tulisan saya akan keluar di pasaran. Dah hampir 6 bulan buku ni berada dalam proses penerbitan dan semalam saya telah lihat rupa akhir buku tersebut.

Asalnya, saya hanya menulis modul untuk program kemahiran belajar di Pusat Tuisyen saya di Kuala Lumpur. Hampir setiap minggu saya jalankan program ini selama setahun dan kemudian timbul idea untuk mengumpulkan hasil idea program saya dalam bentuk buku. Pada November 2004 saya mula menulis. Jika tidak silap saya ketika itu bulan puasa. Saya menulis setiap hari selama 20 hari. Ketika itu juga, tunang saya sedang belajar memandu kereta (sekarang ini isteri saya). Saya bawa semua bahan-bahan saya untuk menulis semasa menemani isteri saya ini belajar memandu. Kira bersemangat juga la nak menulis masa tu.

Hasilnya, setelah 20 hari berlalu, buku pertama saya telah siap. Namun, setelah saya berbincang dengan seorang rakan, saya dapati buku itu terlalu panjang. Jadi, saya buat keputusan untuk membahagikan buku itu kepada tiga bahagian iaitu yang pertama: Persediaan minda untuk menjadi pelajar cemerlang. Buku ini adalah langkah pertama pelajar untuk menjadi cemerlang kerana, tanpa persediaan minda, pelajar sama ada tidak akan terfikir pun untuk menjadi cemerlang atau mereka mereka tidak ada kebolehan untuk menjadi pelajar cemerlang.

buku smartstudyBuku kedua pula bertajuk Kemahiran Belajar. Di dalam buku ini, saya terangkan beberapa teknik belajar yang utama seperti teknik menghafal, teknik membuat nota kreatif, teknik pengurusan masa, teknik bacaan pantas dan juga beberapa tips dan petua untuk pelajar belajar dengan lebih berkesan.

Saya percaya buku ini sangat penting kerana majoriti pelajar yang saya temui tidak pernah belajar secara langsung bagaimana mahu belajar sesuatu dengan cepat dan ingat apa yang dipelajari itu dalam jangka masa yang panjang. Ini adalah kemahiran yang pelajar sangat perlukan.

Buku ketiga saya yang akan terbit sebelum akhir tahun nanti pula bertajuk Psikologi Menghadapi Peperiksaan. Buku ini saya ceritakan bagaimana mahu membuat persediaan akhir dan bagaimana mahu mengawal emosi dan tekanan perasaan akibat peperiksaan ini. Saya berikan banyak tips dan teknik untuk bersedia menghadapi peperiksaan yang sebenar.

Jika tidak silap saya, akhir bulan April nanti ada satu pesta buku di PWTC Kuala Lumpur. Saya akan berada di sana pada 1 mei untuk sesi pelancaran dan promosi kedua-dua buku saya ini. Jika anda berada di sana ketika itu, singgah-singgah di tempat promosi saya…. :)

SK Durian BurungHari Rabu dan Khamis yang lepas, saya berada di Terengganu Darul Iman bagi menjalankan program SmartStudy Learning Skills untuk dua buah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan Kubang Ikan dan Sekolah Kebangsaan Durian Burung. Program ini adalah untuk pelajar tahun 6 yang bakal menduduki peperiksaan UPSR bulan September ini.

Di dalam program ini, saya kongsikan bersama pelajar pengalaman saya sendiri semasa mengambil peperiksaan tersebut. Saya ceritakan kepada pelajar bahawa saya adalah batch pertama yang mengambil peperiksaan UPSR pada tahun 1988. Ketika itu saya bersekolah di Sekolah Kebangsaan Tok Jiring, Kuala Terengganu.

Beberapa minggu sebelum peperiksaan dijalankan, sekumpulan pelajar di sekolah saya dipanggil oleh guru besar. Ada lebih kurang 20 orang pelajar yang dipanggil ketika itu. Pelajar-pelajar ini adalah pelajar yang disasarkan atau pelajar yang dijangka akan mendapat 5A dalam peperiksaan nanti. Ketika itu, saya tidak termasuk di dalam kumpulan pelajar itu. Maksudnya, berdasarkan prestasi saya, saya tidak dijangka akan mendapat 5A dalam peperiksaan UPSR yang akan datang tidak lama lagi itu.

SK Kubang IkanSetelah pelajar itu semua keluar daripada bilik guru besar, mereka kelihatan gembira dan bangga. Saya pergi kepada beberapa orang pelajar tersebut dan cuba bertanya apa yang guru besar kata di dalam bilik tadi. Seorang kawan saya menjawab..” Aduhhh.. kitorang kena rotan tadi tu…..”. Dia berkata begini dengan muka tersengih-sengih. Seorang lagi menyambung lawak kawan saya ini, “ye la… abis lebam badan aku kena rotan…” kemudian mereka ketawa dan tidak menjawab soalan saya tadi….

Saya terfikir di dalam hati, kenapa la susah sangat nak jawab soalan saya tadi…. rahsia sangatkah apa yang diceritakan di dalam bilik itu tadi….. sedikit sebanyak, sebagai seorang budak berumur 12 tahun ketika itu, saya merasa agak sedih kerana saya rasa saya tidak ada potensi untuk berjaya. Saya sedih kerana saya tidak dapat tergolong dalam kumpulan pelajar yang bakal jadi cemerlang itu. Saya seperti masih boleh ingat apa perasaan yang saya rasakan ketika itu.

Setelah peperiksaan berlalu dan apabila keputusan peperiksaan tiba, cuma 11 orang pelajar yang mendapat 5A di sekolah saya. Alhamdulillah, saya adalah salah seorang daripada pelajar tersebut. Saya berjaya mendapat 5A! Tuhan saja yang tahu betapa gembiranya saya ketika itu……lebih separuh pelajar yang dijangka mendapat 5A tadi gagal mendapatnya.

Mesej saya kepada pelajar melalui cerita ini ialah, kebolehan dan potensi anda untuk berjaya bukanlah ditetapkan oleh pandangan ataupun sasaran orang lain tidak kira orang itu adalah guru, guru besar, ibu bapa mahupun tok bomoh…. kebolehan dan potensi anda untuk berjaya terletak di tangan anda sendiri kerana anda sahaja yang boleh membuktikan kebolehan sebenar anda.

Jadi, jika anda tidak dijangka untuk mendapat kejayaan cemerlang, jika anda tidak berada di kelas paling pandai di sekolah anda dan jika anda tidak pernah mencapai kecemerlangan akademik sebelum ini, itu semua tidak sepatutnya mempengaruhi kebolehan sebenar anda. Anda patut belajar untuk merasa yakin dengan diri anda sendiri bahawa anda akan berjaya. Saya sendiri sentiasa cuba meyakinkan diri saya sendiri dengan mendapat sokongan daripada orang-orang yang mempercayai kebolehan saya iaitu ibu dan bapa saya. Dengan sokongan mereka, saya sentiasa rasa bersemangat dan yakin bahawa saya juga ada kebolehan yang hebat.

Saya ucapkan selamat berjaya kepada semua pelajar yang sedang bertungkus-lumus untuk menghadapi cabaran dalam membuktikan kebolehan sebenar masing-masing…. :)

Saya sambung cerita semalam. Jika dulu saya bekerja satu malam dengan penat lelah dan dibayar RM15, berapa agaknya saya dibayar kalau saya bekerja sekarang? Untuk pengetahuan anda, jika anda ada kelayakan akademik dan boleh mengajar, anda boleh dibayar RM30 sejam untuk mengajar pelajar sekolah (mengajar di pusat tuisyen contohnya). Bayangkan, seseorang yang boleh mengajar dibayar RM30 sejam, tidak penat dan bekerja dalam keadaan selesa….. berbanding RM15 bekerja dengan penat sepanjang malam?

JIka anda tingkatkan lagi kelayakan anda, anda boleh dbayar hingga RM100 hingga RM300 sejam hanya dengan hanya bercakap, berbincang dan berfikir……. Apabila anda tingkatkan lagi kelayakan anda dan kebolehan anda, anda boleh dibayar lebih tinggi lagi seperti RM1500 hingga RM2500 sejam. Bayangkan berapa banyak bezanya…..?

Agak sukar untuk saya sampaikan mesej saya ini sebenarnya kerana jika anda berfikiran negatif, tentu anda sangka saya sedang memandang rendah kepada seseorang yang tidak mempunyai kelayakan akademik atau seseorang yang bekerja sebagai buruh. Tidak begitu kerana saya sendiri pernah bekerja dalam kategori buruh. Tidak ada apa-apa yang negatif mengenainya.

Mesej saya ialah, dalam dunia era informasi ini, anda tidak akan mendapat lebih dengan bekerja keras secara fizikal. Maksudnya, jika anda mahu lebih maju, anda mesti gunakan tenaga fikiran anda. Contohnya, katakan cita-cita anda adalah untuk menjadi mekanik. Anda perlukan banyak tenaga fizikal kan? Benar, tetapi, hasil daripada tenaga fizikal anda akan terbatas suatu hari nanti. Anda masih memerlukan tenaga fikiran untuk memajukan hasil pendapatan bengkel anda dan juga supaya satu hari nanti anda tidak perlu membuat kerja-kerja yang berat lagi.

Persoalannya… bagaimana anda boleh tingkatkan kebolehan dan keupayaan tenaga fikiran anda……? Hmmm… itu yang cuba saya bincangkan sebenarnya….. saya suka topik ini kerana pengetahuan ini akan membantu diri saya juga…..

2 minggu lepas, saya kendalikan sesi kemahiran belajar di Pusat Tuisyen saya di Keramat Permai. Dah beberapa bulan saya tidak kendalikan program begini kerana agak sibuk dengan program diluar. Hanya cikgu yang saya latih mengendalikan program ini sejak beberapa bulan lalu.

Kerana dah lama tak buat sendiri, saya agak mati akal bila memikirkan apa yang hendak saya ceritakan kepada para pelajar saya. Kemudian, saya terlintas kisah semasa saya bekerja di sebuah restoran di Terengganu sebelum saya melanjutkan pelajaran ke United Kingdom dulu. Jadi, tajuk saya pada kemahiran belajar tersebut ialah, tenaga fikiran atau tenaga fizikal.

Sebelum saya ceritakan, ada satu peringatan daripada saya. Anda perlu gunakan pemikiran positif di sini. Maksud saya cuba lihat daripada sudut yang baik dalam apa yang saya mahu ceritakan. Ini kerana, saya pernah hadapi pendengar yang memandang cerita ini daripada sudut negatif…..

Cerita saya pada sesi tersebut ringkas dan pendek sahaja. Pada tahun 1996, semasa cuti sebelum saya memasuki tahun pertama belajar di universiti, saya bekerja sebagai pembantu kedai di sebuah kedai tomyam di Kuala Terengganu. Saya mula bekerja pada pukul 5 petang dan berakhir pada pukul 1 pagi. Setelah habis bekerja dan mengemas, saya pulang menaiki basikal dalam kegelapan malam kampung saya. Biasanya saya sampai ke rumah dalam pukul 1.30 hingga 2 pagi.

Soalan saya kepada pelajar saya, dengan kerja saya yang berat itu (secara fizikal) di mana saya perlu ambil pesanan, hantar makanan, kemas meja, bersihkan meja dan bermacam-macam lagi, berapakah agaknya bayaran yang saya terima? Berapakah agaknya bayaran yang saya terima untuk satu malam?

Ada pelajar meneka RM50, RM45, RM70, RM30 dan sebagainya. Anda rasa berapa agaknya bayarannya untuk satu malam? Hmm…. saya masih ingat… bayarannya ialah RM15 untuk satu malam. Kerja keras secara fizikal begitu cuma dapat RM15 selepas lebih 8 jam bekerja? Ya…. betul…..

Apakah mesej saya disini…….? Saya akan sambung esok……

osman affanHari Rabu yang lepas, rakaman Get Set Go mengenai teknik Belajar SmartStudy dijalankan semula. Ia masih dirakamkan di Taman Tasik Titiwangsa. Hari tersebut bermula dengan baik. Saya keluar rumah lebih awal untuk mengelakkan kesesakan jalan raya. Nak awal punya pasal, bila saya sampai di Titiwangsa, jam baru menunjukkan pukul 7.30 pagi…. krew akan hanya sampai pukul 8.30 dan rakaman dijadualkan dalam pukul 9 - 9.30. Tergelak saya sorang-sorang kat situ sebab awal sangat. Tapi saya tak kisah, lebih baik awal daripada susah hati bila lambat. :)

osman affanSaya rasa hari ni agak ceria. Mungkin sebab saya tak rasa berdebar sangat macam hari pertama isnin lepas. Sama seperti yang saya ceritakan tentang zon selesa, apabila kita buat sesuatu yang kita tak biasa buat, kita akan rasa tak selesa, resah dan mungkin berdebar. Tetapi jika bersabar dan hadapi cabaran dengan fikiran positif, satu zon selesa baru akan terbentuk. Ini lah yang saya rasa ketika itu. Saya rasa sudah agak selesa berada di depan kamera dan diperhatikan oleh krew-krew dan juga orang yang lalu-lalang.

osman affanAlhamdulillah, semuanya berjalan lancar seperti yang dirancangkan. tepat pukul 1 tengahari, kami berjaya merakamkan dua baki episod yang tidak dapat dihabiskan isnin lepas disebabkan hujan.

Seronok betul rasanya bila dah selesai buat kerja. Saya benar-benar berterima kasih kepada krew-krew Wayang Tinggi Production terutamanya Kak Azita (yang membantu menjaga skrip dan Bahasa Inggeris saya), Liza (Production Manager), Abg Azmi (yang menjaga masa saya bercakap), Oyah (pakar mekap), Abg Musa (Director), Hafiz Sinclair (yang menjaga cue card dan sibuk menulis ringkasan apa yang perlu saya cakapkan. Kami juga asyik mengusik Hafiz ni dengan nama ‘Sinclair’….. kononnya dia ni adik beradik Ashraf Sinclair… :)   ), Awie (ke Ah Wee eh?) dan production crew….. Terima kasih atas tunjuk ajar kepada orang baru yang tak tau apa-apa macam saya ni. :)

osman affanPada waktu malam pula, krew-krew Wayang Tinggi Production ini singgah di Pusat Tuisyen saya di Taman Keramat Permai. Mereka perlu merakamkan beberapa visual untuk ditunjukkan semasa penerangan saya dalam rancangan Get Set Go nanti. Kali ini, anak-anak murid saya dan cikgu saya pula yang menjadi bintang filem.

osman affanBeberapa orang anak murid saya terutamanya yang perempuan datang ke tuisyen macam nak pergi majlis perkahwinan….cantik sungguh…. maklum la, nak masuk tv….. seronok tengok semangat dan kerjasama yang ditunjukkan oleh anak-anak murid saya dan juga seorang cikgu saya yang terpaksa berlakon untuk menunjukkan beberapa teknik belajar yang betul dan salah….. Ada beberapa orang anak murid saya tergelak besar apabila mereka perlu di mekap. Kelakar kata mereka…..

Kesimpulannya, Alhamdulillah semuanya berjalan lancar. Ikhlas daripada saya dan team SmartStudy, mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam pembikinan rancangan ini…… :)

 

 

 

osman affanKetika saya bekerja di PriceWaterHouseCoopers, saya selalu habiskan waktu lapang saya di MPH bookstore di Midvalley megamall. Kadang-kadang saya berada disana dari pagi hingga ke petang. Seronok baca buku kegemaran saya terutama tentang psikologi dan potensi manusia. Semakin banyak saya membaca, saya sedar satu perkara. Saya mula sedar kenapa saya selalu rasa ada konflik dalam diri saya setiap kali saya lakukan kerja saya sebagai Audit Associate di syarikat tadi.

Saya mula sedar rupa-rupanya minat saya sangat bercanggah dengan pekerjaan tersebut. Sebab itulah saya rasa agak tertekan walaupun saya boleh lakukan kerja tersebut. Apa yang saya rasa satu ancaman buat saya ketika itu ialah, jika saya kekal bekerja di sana, bakat dan kebolehan sebenar saya tidak akan menyerlah. Saya mungkin akan hanya jadi pekerja sederhana. Saya tidak suka hakikat ini.

Jadi pada pertengahan tahun 2002, dengan tangan yang menggeletar, saya taip surat perletakan jawatan saya. Keputusan saya ini mendapat tentangan hebat daripada keluarga dan orang-orang yang mengenali saya. Mungkin saya ni degil, saya tetap dengan pendirian saya. Jadi, saya berhenti kerja, balik ke Terengganu dan mula berniaga.

Macam-macam benda saya buat ketika itu termasuklah menjadi guru sandaran ( di dua buah sekolah di Terengganu dan guru tuisyen. Di situlah bermulanya kerjaya saya dalam motivasi dan kemahiran belajar ini……

Apa yang sebenarnya yang ingin saya ceritakan ialah, anda tidak akan dapat menjangka apa yang akan berlaku di masa hadapan. Keadaan akan jadi lebih mencabar jika anda tidak bersedia dengan kemahiran yang diperlukan. Saya percaya cabaran yang saya hadapi sebelum ini adalah kerana saya tidak cukup bersedia sewaktu zaman saya sebagai pelajar. Walaupun saya telah sertai persatuan, aktiviti kelab, sukan dan sebagainya, ia masih tidak mencukupi kerana saya tidak tahu apa yang akan saya hadapi selepas tamat belajar.

Jadi, dalam beberapa minggu ini, saya akan kongsikan bersama anda beberapa perkara yang perlu anda sediakan sebelum anda memasuki dunia selepas belajar ini. Saya akan cuba dapatkan beberapa pertolongan juga daripada sahabat-sahabat saya yang lain terutamanya pelatih-pelatih pakar dalam bidang ’soft skills’. Semoga perkongsian ini semua akan memberi manfaat kepada anda dan juga kepada pengetahuan saya sendiri. :)

« Previous PageNext Page »