Teknik Belajar


Beberapa bulan lalu, saya kendalikan satu program yang bertajuk ‘Exam! Manage your time’ di Universiti Islam Antarabangsa. Di dalam program ini, pelajar ingin belajar bagaimana cara menguruskan masa mereka kerana peperiksaan semester akan bermula lebih kurang 4 minggu lagi. 

 

Semasa saya kendalikan program ini, saya terangkan kepada mahasiswa dan mahasiswi bahawa pengurusan masa bukanlah hanya berkenaan membuat jadual harian dan senarai perkara yang perlu dilakukan apabila peperiksaan menjelang. Dalam dunia sebenar, anda mungkin anda jadual yang padat tentang apa yang patut dilakukan setiap hari. Namun masalah utamanya ialah dapatkah anda mengikuti jadual yang telah ditetapkan itu. 

 

Satu masalah yang ketara dalam menguruskan masa ialah apabila tiba waktu belajar, anda tidak terasa hendak belajar langsung. Dalam kata lain, anda tidak ada ‘mood’ untuk belajar. Bila ini berlaku, bolehkah anda mengikut jadual anda dan menguruskan masa anda? Tentu tidak bukan. 

 

Jadi, saya kongsikan beberapa langkah dalam menguruskan masa apabila peperiksaan menjelang. 

 

Langkah pertama – Subjek yang perlu diutamakan 

 

Apabila peperiksaan menjelang, jika anda mahu menguruskan masa yang baik, pertama sekali anda perlu tahu apa matlamat anda untuk peperiksaan tersebut. Maksudnya, jika anda ambil 8 subjek, apakah gred yang anda mahu capai? 

 

Setelah anda tahu apa gred yang anda ingin capai, bayangkan, jika anda mengambil peperiksaan tersebut hari ini, apakah gred yang anda akan dapat? Adakah anda akan dapat A jika anda ambil peperiksaan itu hari ini? 

 

Katakan matlamat peperiksaan anda dalam subjek Sains ialah gred A tetapi jika anda ambil peperiksaan itu hari ini, anda mungkin hanya boleh mendapat gred C. Perbezaan antara gred A dan gred C itu boleh memberi gambaran sebanyak mana masa yang anda perlu luangkan untuk subjek Sains ini. 

 

Hari ini, senaraikan semua subjek yang anda ambil dalam peperiksaan yang akan datang ini. Tetapkan matlamat anda tentang gred apa yang anda ingin capai. Kemudian, fikirkan jika anda ambil peperiksaan itu sekarang, apakah gred yang anda akan dapat. 

 

Setelah anda senaraikan semua itu, anda boleh lihat subjek mana yang anda perlu beri lebih perhatian. Lihat pada mana-mana subjek yang mempunyai jarak yang besar. Contohnya, jarak yang paling besar mungkin jika gred matlamat ialah A tetapi gred jika ambil peperiksaan sekarang ialah E. Apabila anda lihat subjek begini, anda perlu luangkan lebih banyak masa pada subjek ini. 

 

Apa yang dimaksudkan anda perlu luangkan lebih masa untuk subjek ini? Ia bermaksud, anda jika subjek-subjek lain anda buat ulangkaji 3 jam seminggu, subjek yang anda lemah ini anda perlu luangkan dua kali ganda masa yang anda ada contohnya anda luangkan 6 jam masa mengulangkaji seminggu. Lebih baik lagi, anda tambahkan lagi masa jika anda rasa ia masih tidak mencukupi. 

 

Bukan sahaja masa mengulangkaji, anda perlu banyak gunakan masa semasa berada disekolah untuk bertanya kepada guru anda. Minta guru anda ajar mana-mana bahagian yang anda tidak faham. Jika ada guru lambat masuk ke kelas, luangkan masa itu untuk belajar subjek tadi. Selalunya, anda pasti ada kawan-kawan yang pandai dalam subjek tadi. Anda boleh bertanya kepada kawan-kawan anda juga kerana selalunya, pelajar lebih mudah faham apabila mendengar penerangan kawan-kawan mereka sendiri. 

 

Kesimpulan untuk hari ini, mula fikirkan bagaimana anda boleh luangkan lebih masa untuk subjek yang anda lemah. Anda ada banyak masa sebenarnya tetapi anda mungkin tidak sedar selama ini di mana anda hilang kebanyakan daripada masa anda itu. Masa yang anda banyak hilang selama ini amat berharga kepada anda kerana anda perlu gunakannya untuk subjek-subjek yang anda lemah. 

Semalam saya telah ceritakan pengenalan kepada tekni pengurusan masa. Saya telah minta anda senaraikan semua masalah anda tentang pengurusan masa. Sudahkah anda senaraikan semua masalah anda tentang pengurusan masa? Jika sudah, bagus. Kita boleh teruskan belajar teknik ini. 

Hari ini saya mahu ceritakan sedikit tentang pengurusan masa seorang pelajar cemerlang. Semasa saya di sekolah dulu, saya ada beberapa orang kawan yang sangat cemerlang dalam prestasi akademik mereka. Mereka selalu mendapat markah yang tinggi dalam peperiksaan. Bukan itu sahaja, mereka ini juga sangat aktif dalam aktiviti sukan dengan mewakili sekolah dalam beberapa aktiviti sukan. Tidak cukup dengan itu, mereka juga aktif dalam kegiatan persatuan dan kelab. Mereka kerap terlibat dalam aktiviti persatuan seperti menganjurkan lawatan, pesta sekolah dan aktiviti-aktiviti kecil yang lain. Lebih menghairankan lagi, mereka ini selalunya ada memegang jawatan penting di sekolah seperti pengawas, ketua kelas atau pengawas perpustakaan. 

Persoalannya, bagaimanakah kawan-kawan saya ini boleh menguruskan masa mereka hingga dapat melakukan banyak perkara itu? Bilakah masa mereka mahu belajar jika asyik sibuk dengan aktiviti sukan, persatuan dan jawatan mereka di sekolah? Bagaimana mereka boleh belajar dengan baik walaupun masa mereka cuma sedikit sahaja untuk belajar? 

Inilah yang perlu anda juga fikirkan. Ada kemungkinan, anda tidak begitu sibuk di sekolah tetapi anda rasa tidak cukup masa untuk melakukan semua kerja sekolah bukan? 

Satu teknik utama yang saya mahu kongsikan hari ini berkenaan masa yang digunakan oleh kawan-kawan saya tadi ialah teknik ‘fokus’. Teknik fokus bermaksud, setiap kali anda lakukan sesuatu, anda perlu benar-benar fokus kepada apa yang anda lakukan itu. Contohnya, jika anda sedang belajar subjek Bahasa Inggeris, anda perlu fokus seratus-peratus kepada subjek itu dan tidak memikirkan tentang perkara lain. Lupakan tentang semua perkara lain buat sementara. Ia seolah-olah, ketika anda belajar subjek itu, di dalam dunia ini cuma ada anda dan subjek itu sahaja. Semua perkara lain tidak wujud. 

Apabila anda fokus begini, anda akan lebih mudah faham apa yang anda pelajari. Selalunya, pelajar yang tidak fokus akan selalu terganggu dengan perkara-perkara seperti bunyi televisyen, radio, bunyi telefon dan juga gangguan-gangguan minda lain seperti berangan-angan mahu bermain di waktu petang dan sebagainya. 

Jika anda tidak fokus dan cuba berfikir tentang banyak perkara dalam satu masa, keberkesanan anda dalam melakukan sesuatu akan hilang. Ini bermaksud, katakan anda belajar dalam masa satu jam, anda mungkin sebenarnya hanya betul-betul belajar selama 20 minit sahaja. Bukankah anda sudah rugi masa selama 40 minit di situ? Adakah 40 minit itu sedikit bagi anda? Banyak sebenarnya. Mari kita cuba fikirkan apa akan jadi kalau anda rugi 40 minit sehari. 

Jika anda rugi 40 minit sehari, anda akan rugi 280 minit seminggu, 1,120 minit sebulan dan 14,560 minit setahun. Jika anda rugi 14,560 minit setahun, ia adalah sama jika anda hilang lebih kurang 10 hari dalam hidup anda. Bukankah itu satu kerugian masa yang besar? 

Jadi, mulai hari ini, fokus seratus-peratus kepada apa sahaja yang anda lakukan. Jika anda sedang bermain, fokus seratus-peratus kepada permainan anda dan lupakan pelajaran buat seketika. Jika anda sedang berpesatuan, fokus seratus-peratus kepada aktiviti yang anda lakukan dan lupakan semua perkara lain buat seketikan. 

Jika anda mampu fokus sepenuhnya begini, anda pasti dapat menggunakan waktu anda dengan lebih baik. Anda pasti akan rasa bahawa masa anda telah menjadi semakin banyak dan anda boleh lakukan semakin banyak perkara dalam hidup anda. Mulakan teknik ini hari ini dan insyaallah saya percaya anda pasti akan berjaya! 

Hari ini, saya ingin ceritakan tentang teknik pengurusan masa. Saya percaya anda sudah tahu, pengurusan masa adalah satu perkara yang sangat penting buat pelajar. Ini kerana, pelajar selalunya sibuk dengan aktiviti-aktiviti sekolah dan juga aktiviti-aktiviti luar sekolah. Pelajar juga perlu kuasai banyak subjek dalam masa yang agak singkat. Jadi, tanpa pengurusan masa yang betul, pelajar tidak akan mampu menyiapkan semua tugasan mereka dan tidak mampu belajar sesuatu dengan baik dalam masa yang telah ditetapkan.


Persoalannya, adakah anda tahu apa itu pengurusan masa? Setiap kali saya menjalankan program-program motivasi dan teknik belajar, saya selalu ceritakan tentang asas pengurusan masa. Apabila saya mahu mula bercerita tentang pengurusan masa pula, para pelajar selalu sangka yang saya akan ceritakan bagaimana caranya untuk membuat jadual. Adakah itu yang anda fikirkan setiap kali anda dengar perkataan pengurusan masa? Jadual?


Benar, membuat jadual harian, mingguan dan bulanan adalah sebahagian dalam teknik pengurusan masa. Namun, jadual bukanlah perkara utama dalam pengurusan masa. Saya mahu tanya anda, pernahkah anda membuat jadual sebelum ini? Saya percaya anda pernah membuat jadual anda sendiri. Namun soalan saya lagi, adakah anda benar-benar mengikut jadual anda itu sepenuhnya?


Jarang saya mendengar pelajar berkata bahawa mereka berjaya mengikuti sepenuhnya jadual yang mereka buat. Mengapa? Sukar kata mereka untuk melakukan aktiviti mengikut jadual. Selalunya pasti ada perubahan yang tidak dijangka. Kadangkala, apabila sampai waktu mengulangkaji, pelajar rasa tidak ada semangat untuk belajar. Jadi jadual itu tidak diikuti.


Sebenarnya, jika anda ada jadual harian, tidak semestinya jadual itu diikuti sepenuhnya. Jadual harian sebenarnya hanyalah bertindak sebagai panduan tentang apa yang patut dilakukan. Anda akan lebih fokus tentang apa yang patut anda lakukan jika anda ada jadual anda sendiri.


Baiklah, sebelum saya meneruskan topik pengurusan masa ini, saya mahu tahu dahulu, apakah masalah-masalah yang anda hadapi berkenaan dengan pengurusan masa?


Adakah anda rasa masa tidak cukup untuk anda? Adakah anda rasa kerja anda terlalu banyak hingga mustahil untuk menyiapkan semua kerja tersebut? Atau, masalah anda ialah anda ada terlalu banyak masa hingga anda tidak tahu apa yang patut anda lakukan dalam masa yang terluang itu? J Senaraikan semua masalah tersebut.


Lihat pada senarai anda. Pada pendapat anda, adakah masalah itu semua disebabkan masa 24 jam sehari itu tidak mencukupi atau andalah sebenarnya yang tidak menggunakan masa yang ada sebaiknya? Kebiasaannya, anda akan dapat lihat bahawa masalah itu semua muncul akibat sikap anda sendiri. Melalui senarai itu, anda patut sedar bahawa masalah pengurusan masa boleh diselesaikan.
Sebenarnya, setelah anda senaraikan semua masalah anda berkenaan pengurusan masa, anda akan lebih mudah untuk belajar teknik pengurusan masa. Ini adalah kerana melalui masalah itu, anda tahu apa yang patut anda perbaiki. Anda boleh lihat apa jenis masalah berkenaan masa yang perlu anda selesaikan.

Sudah lebih seminggu saya letakkan maklumat mengenai teknik asas menghafal. Teknik menghafal adalah sebahagian daripada teknik-teknik kemahiran belajar yang saya tulis di dalam buku kedua saya “Kemahiran Belajar” yang akan tiba di pasaran tidak lama lagi. Anda perlu ingat, tanpa kemahiran belajar, anda akan hadapi kesukaran untuk memahami dan mengingati apa yang telah anda pelajari.

Di dalam akhbar Sinar Harian juga, saya sempat menulis beberapa maklumat asas mengenai teknik pengurusan masa. Jadi, dalama beberapa hari ini, saya akan paparkan di sini teknik asas mengenai pengurusan masa. Selamat membaca. :)

smart studyMinggu lepas anda telah pelajari teknik untuk menghafal kata kunci dalam subjek anda dengan menjadikannya sebuah cerita yang kreatif. Anda perlu terus berlatih dan mencuba teknik tersebut kerana anda mungkin rasa janggal pada mulanya. Hari ini, saya mahu terangkan beberapa perkara yang boleh membantu anda untuk menghafal apa yang telah anda pelajari.


Minggu lepas, saya jalankan satu program bersama pelajar dalam bidang perundangan di Matrikulasi Universiti Islam Antarabangsa yang bertajuk “Study Skills Workshop” (anda boleh baca tentang program ini di laman web saya www.osmanaffan.com/program.htm). Di dalam program ini, saya terangkan jelaskan dua petua utama untuk menghafal dengan lebih mudah setelah mereka pelajari teknik membuat nota kreatif, teknik menukarkan kata kunci kepada gambar dan teknik membuat cerita kreatif (kita telah pelajari teknik ini semua dalam minggu-minggu yang lalu).


Petua pertama
Petua pertama saya ialah pelajar perlu faham apa yang dimaksudkan dengan pembelajaran input dan output. Apabila anda sedang belajar dan cuba menghafal sesuatu, itu adalah proses input di mana anda sedang cuba memasukkan maklumat ke dalam minda anda. Selalunya, ini yang paling kerap anda lakukan selama ini.


Apabila anda membuat nota, anda sebenarnya sedang menukarkan fakta-fakta yang anda pelajari ke dalam bentuk yang anda mudah ingat dan anda mudah simpan di dalam minda anda.


Apabila anda membaca buku dan mendengar penerangan guru anda di sekolah, anda sedang melakukan perkara yang sama. Tanpa proses input ini, tidak akan ada maklumat yang anda ingat dan sudah pasti tidak ada maklumat juga yang anda boleh tuliskan semasa peperiksaan nanti.


Namun, ada satu masalah yang mungkin timbul apabila anda terlalu banyak membuat proses input ini tanpa membuat proses seterusnya iaitu output. Apabila anda terlalu banyak menghafal, anda mungkin telah hafal banyak perkara, tetapi, apabila di dalam dewan peperiksaan, mampukah anda mengingatinya semula untuk menjawab soalan-soalan peperiksaan? Mungkin boleh tetapi jika anda berlatih menggunakan proses output ini, anda akan lebih mudah menjawab soalan peperiksaan.


Begini, setelah anda hafal sesuatu, anda perlu berlatih untuk menulis apa yang anda telah hafal di atas kertas. Contohnya katakan anda telah hafal rukun Islam dan rukun Iman. Ambil satu kertas, bayangkan anda sedang disoal dengan soalan ini,  “Nyatakan 5 rukun Islam dan 6 rukun Iman mengikut turutan.”  

 

Kemudian, anda jawab soalan tersebut dengan menulisnya di atas kertas tadi. Tulis jawapan tersebut seolah-olah anda benar-benar sedang menjawab soalan peperiksaan.


Lakukan proses ini untuk semua subjek atau fakta yang telah anda hafal. Proses output ini sebenarnya melatih anda untuk mencari maklumat yang telah anda simpan di dalam minda anda dengan cepat. Jika anda tidak berlatih dengan cara ini, mungkin anda boleh ingat apa yang anda telah hafal, tetapi mungkin ia memakan masa sedikit. Latihan begini akan membuat anda cekap untuk menjawab semasa peperiksaan.


Petua kedua
Petua kedua ialah untuk menghafal semasa minda anda sedang segar. Bilakah minda anda terasa segar? Ini adalah berbeza bagi setiap pelajar. Bagi saya sendiri, minda saya rasa segar selepas yang bangun tidur. Ini tidak semestinya pada waktu pagi. Sewaktu saya mewakili sekolah rendah saya (SK Tok Jiring) dalam pertandingan menghafaz Al-Quran dulu, saya akan tidur sekejap sebelum saya menghafal. Tidak perlu tidur lama, cukup dengan 20 hingga 30 minit sahaja. Apabila saya bangun, minda saya terasa segar sedikit dan saya akan rasa mudah untuk menghafal.


Anda juga boleh gunakan teknik ini. Cuma anda perlu ingat, jangan gunakan teknik ini sebagai alasan untuk tidur dengan banyak dan tidak membuat kerja.   Hasil tulisan ini semua pernah dipaparkan di akhbar Sinar Harian Terengganu. Saya harap ia dapat membantu anda mengenali potensi diri anda dalam menghafal. Saya juga harap anda semua dapat meningkatkan kebolehan diri anda dalam mengingati apa yang telah anda pelajari. Selamat berjaya. :)  

 

Anda mungkin telah baca tips-tips power point yang saya tuliskan di blog ini beberapa minggu lalu. Saya baru sahaja mengemaskinikan ruangan kompilasi di laman web saya. Jadi anda boleh baca kompilasi ketujuh ’21 tips power point’ di http://www.osmanaffan.com/kompilasi.htm

Selamat membaca.:)

Minggu lepas saya ada ceritakan ‘gambar’ adalah bahasa memori anda. Maksudnya, memori anda lebih mudah memahami gambar berbanding tulisan. Saya juga ada berikan beberapa tips kepada anda untuk menukarkan nota anda kepada bentuk gambar dengan mencari kata kunci pada nota anda.


Hari ini, saya akan ceritakan bagaimana anda boleh menghafal atau mengingat semua kata kunci yang telah anda tukarkan kepada bentuk gambar tadi.


Katakan anda ada lima kata kunci dalam nota anda. Setelah anda tukarkan kepada gambar, apakah cara terbaik untuk anda mengingatinya? Cuba teknik yang saya namakan ‘cerita kreatif’ ini.
 

Katakan, 5 kata kunci saya ialah

  1. Kucing
  2. Karipap
  3. Selipar Jepun
  4. Besi buruk
  5. Masjid

Setelah anda tukarkan kepada bentuk gambar, anda patut membuat satu cerita ringkas supaya anda mudah untuk mengingatnya. Ada 3 syarat utama semasa anda membuat cerita tersebut.

  1. Cerita itu mesti ringkas dan pendek.
  2. Cerita itu mesti menggunakan kata kunci nota anda mengikut turutan.
  3. Cerita itu mesti mengaitkan semua kata kunci tadi.

Contohnya, anda boleh tulis cerita ringkas itu begini:
Kucing saya sedang makan karipap sambil memakai selipar Jepun. Tiba-tiba sebatang besi buruk jatuh di depannya dan ia terus berlari sampai ke masjid di belakang rumah saya.”


Apabila anda tulis cerita ini, anda patut bayangkan bagaimana agaknya kalau kucing anda makan karipap sambil memakai selipar Jepun. Imaginasi anda atau apa yang anda bayangkan ini akan membantu daya kekuatan memori anda.
 

Dalam masa yang sama, saya cadangkan anda lukiskan cerita anda itu. Maksudnya, seperti contoh cerita saya tadi, saya akan lukiskan seekor kucing sedang makan karipap sambil memakai selipar Jepun. Gunakan imaginasi anda untuk melukis gambar tersebut. Gambar anda tidak semestinya gambar yang cantik seperti lukisan pelukis kartun professional. Cukup sekadar gambar itu dapat menggambarkan cerita anda tadi. Tetapi, harapnya, jangan anda lukis gambar kucing tapi jadi gambar lembu sudahlah. :)


Untuk membuat cerita anda lebih mudah diingati, ada 3 lagi tips tambahan.


1. Cerita anda tidak semestinya logik atau munasabah – Anda tidak perlu risau tentang tatabahasa, jalan cerita mengarut, tidak masuk akal dan sebagainya. Cerita yang menarik selalunya pelik daripada biasa. Lebih pelik cerita itu, lebih mudah anda ingat.


2. Masukkan aksi dalam cerita anda – Jika cerita anda cuma “Saya ada kucing. Saya pergi beli karipap di pasar. Saya pakai selipar Jepun semasa ke pasar. Kemudian saya nampak sebatang besi buruk di depan masjid di hadapan pasar tersebut.” Cerita yang begini agak membosankan dan anda akan mudah lupa pada cerita ini. Letakkan aksi yang menarik dan yang boleh membuat anda rasa berminat pada cerita tersebut.


3. Masukkan unsur-unsur komedi dalam cerita anda – Anda akan lebih mudah ingat cerita yang kelakar berbanding cerita yang serius. Cerita yang kelakar juga boleh meningkatkan tahap kreativiti anda. Jadi, buat cerita yang kelakar dan mencuit hati anda.


Gunakan teknik ini untuk menghafal nota-nota anda. Saya cadangkan anda bekerjasama dengan beberapa orang kawan anda untuk menghasilkan nota yang kreatif begini. Mungkin ada kawan anda yang pandai melukis dan mungkin kawan anda yang pandai membuat cerita-cerita kelakar menggunakan kata kunci dalam nota anda.


Jika anda bekerjasama seperti belajar berkumpulan contohnya, anda boleh hasilkan nota-nota begini dengan labih cepat dan menarik. Setelah anda ingat kata kunci dalam nota anda, anda akan rasa lebih yakin semasa menjawab soalan dalam dewan peperiksaan nanti. Anda perlu mula mencuba teknik ini kerana setelah anda cuba beberapa kali, anda kan jadi lebih biasa dan lebih cepat untuk menghasilkan nota dalam bentuk begini. Selamat mencuba.

Beberapa hari lepas saya ada ceritakan teknik asas menghafal sesuatu. Adakah anda masih ingat apa yang saya bincangkan beberapa hari lepas? Jika anda sudah baca tetapi tidak ingat, apakah sebabnya?


Ya, anda mungkin lupa jika anda tidak baca semula artikel beberapa hari lepas sebelum 48 jam berlalu. Jika anda telah baca tetapi hanya sekali, anda mungkin akan lupa juga. Jadi, praktikkan teknik yang saya kongsikan beberapa hari lepas dan gunakan teknik yang akan saya kongsikan hari ini untuk membantu kebolehan anda untuk menghafal.


Dalam posting kedua, saya ada perkenalkan konsep bahasa memori anda. Kita ulang sedikit apa yang telah dibincangkan supaya anda lebih ingat.


Cuba ingat kembali, apakah bahasa memori anda? Adakah bahasa memori anda Bahasa Melayu, Inggeris, India atau Cina? Jawab soalan dibawah untuk fahami apa sebenarnya bahasa memori anda.


Jika saya sebut perkataan kucing, apakah yang terbayang difikiran anda? Adakah perkataan K.U.C.I.N.G. ? Atau gambar seekor kucing?


Tentu gambar seekor kucing bukan?


Maksudnya, bahasa otak kita adalah ‘gambar’. Disebabkan itu, kita lebih mudah mengingat gambar dari perkara lain seperti tulisan. Jadi, jika anda merasa sukar untuk menghafal, jangan risau. Bukan anda memiliki daya pemikiran yang lemah, tetapi, anda mungkin selama ini cuba menghafal tulisan, bukan gambar.


Berdasarkan bahasa memori anda ini, anda boleh faham kenapa selama ini anda rasa begitu sukar untuk menghafal nota yang anda tulis sepanjang tahun. Lihat kembali nota-nota yang anda ada, adakah ia ditulis dalam bentuk ‘tulisan’ atau ‘gambar’? Tentu dalam bentuk tulisan bukan?


Memori anda sukar untuk mengingat sesuatu dalam bentuk tulisan. Nota sejarah contohnya selalu penuh dengan tulisan berwarna-warni. Walaupun warna boleh membantu daya ingatan, memori anda masih hadapi kesukaran kerana tulisan yang berwarna-warni kadangkala boleh membuatnya berserabut dan tidak teratur.


Jadi, mulai hari ini, anda perlu fikirkan bagaimana caranya untuk menukarkan nota-nota anda dalam bentuk gambar. Bayangkan, jika anda baca buku sejarah, selalunya anda mudah lupa apa yang anda baca. Namun, jika anda baca komik (yang dipenuhi dengan gambar-gambar), anda boleh ingat apa yang anda baca. Malah, anda boleh ceritakan semula kepada kawan-kawan apa yang telah anda baca itu.


Gunakan langkah-langkah ini untuk menukarkan nota anda kepada bentuk gambar.


1.       Pertama, katakan nota anda di tulis dalam satu muka surat penuh, cari kata kunci di dalam nota tersebut. Kata kunci adalah perkataan atau ayat yang boleh menggambarkan keseluruhan nota tersebut. Contohnya, katakan nota anda adalah berkenaan simbol-simbol yang boleh ditemui di dalam makmal Sains sekolah. Jika ia dibaca dalam bentuk ayat, penjelasan untuk satu simbol mungkin agak panjang. Jadi ia sukar untuk diingat. Apa yang anda boleh buat ialah mencari hanya satu kata kunci bagi simbol tersebut


Contohnya, jika anda lihat simbol bahan berasid, anda boleh guna kata kunci ‘menghakis’. Lihat simbol, terus ingat kata kunci ‘menghakis’. Anda tidak perlu hafal kesemua penjelasan mengenai simbol tersebut kerana setelah anda faham kata kuncinya, anda boleh jelaskan maksudnya dengan ayat anda sendiri.


2.       Kedua, lukiskan kata kunci anda itu. Nota anda sekarang patut dipenuhi dengan gambar-gambar kata kunci anda. Jika anda ada 5 kata kunci dalam satu nota, jadi anda ada 5 gambar. Kadangkala, 1 gambar boleh menerangkan lebih daripada 1 kata kunci. Contohnya, kata kunci anda ialah mangsa dan pemangsa. Mungkin anda boleh lukiskan gambar seekor helang sedang menyambar seekor tikus. Apabila anda ingat gambar tersebut, anda boleh ingat bahawa helang adalah pemangsa dan tikus adalah mangsa. Anda akan sedar bahawa gambar dan kata kunci ini jauh lebih mudah untuk anda ingati.


Ada masanya, anda mempunyai banyak kata kunci yang perlu diingat dan kata kunci itu semua langsung tidak berkait. Sukar juga kalau terlalu banyak gambar yang anda perlu ingat.

Semalam saya ada ceritakan tentang memori jangka masa pendek dan memori jangka masa panjang. Adakah anda masih ingat apa yang saya bincangkan semalam?


Jika anda telah baca artikel saya semalam dan tidak ingat apa yang saya telah katakan, ia bermakna bacaan anda hanya singgah di memori jangka masa pendek sahaja. Setelah anda baca, anda cuma ingat selama 2 hingga tiga hari sahaja dan kemudian anda lupa semuanya.


Kajian ada mengatakan bahawa anda akan lupa 90% daripada apa yang anda baca atau pelajari selepas 48 jam. Sebab itulah, apabila guru anda mengajar di dalam kelas hari ini, anda boleh lupa hampir kesemuanya dalam masa 2 hari sahaja. Ini semua disebabkan apa yang anda belajar itu cuma berada di memori jangka masa pendek. Jadi, anda perlu belajar teknik untuk memindahkan fakta daripada memori jangka masa pendek ini ke memori jangka masa panjang.


Teknik pertama untuk memindahkan fakta daripada memori jangka masa pendek ke memori jangka masa panjang yang ingin saya kongsikan dengan anda ialah teknik pengulangan (Repetition). Ada satu pepatah Bahasa Inggeris yang mengatakan ‘Repetition is the mother of all skills’ yang bermaksud bahawa pengulangan adalah ibu kepada segala kemahiran.


Masalah daripada kajian yang mengatakan anda akan lupa 90% daripada apa yang anda pelajari tadi dapat diatasi dengan membuat pengulangan. Begini, setelah guru anda mengajar di dalam kelas dan setelah anda memahaminya, anda perlu membacanya semula sebelum 48 jam berakhir. Contohnya, katakan guru anda mengajar subjek sejarah pada pagi hari Selasa, anda perlu membaca semula nota-nota yang anda tulis dalam kelas itu sebelum pagi hari Khamis.


Jika anda tidak baca semula, anda akan lupa lebih 90% daripada apa yang anda telah pelajari itu. Jika anda menunggu hingga guru anda masuk ke kelas dan mengajar semula pada minggu hadapan, anda mungkin sudah lupa kesemuanya dan terpaksa bekerja keras untuk memahaminya semula dari peringkat awal. Bukankah itu merugikan?
 

Jadi, untuk memudahkan anda mengingat apa yang guru anda ajarkan, ikuti 4 langkah ini.

  1. Fokus kepada guru anda ketika beliau mengajar di dalam kelas. Tumpukan perhatian anda kepada apa yang diajarkan. Salin nota yang guru anda berikan dan buat catatan anda sendiri tentang apa yang anda telah faham. Ini bermaksud, anda perlu berfikir tentang apa yang guru anda ajarkan.
  2. Sebaik-baiknya, pada waktu malam hari yang sama, anda buka semula buku nota yang anda salin tadi dan baca dari awal hingga akhir. Jika anda tidak sempat membuka nota itu semula pada hari yang sama, selewat-lewatnya lakukan pada keesokan harinya. Lebih lewat daripada itu anda akan lupa lebih banyak lagi.
  3. Semasa anda membaca nota tersebut, bayangkan semula bagaimana cara guru anda mengajar di dalam kelas tadi. Bayangkan apa yang terjadi di dalam kelas tadi. Semasa anda baca semula nota yang anda salin, anda seolah-olah dapat melihat semula keadaan di dalam kelas anda siang tadi. Ini menguatkan lagi ingatan anda kepada apa yang anda baru pelajari.
  4. Jika boleh, baca nota itu berulang-ulang kali. Kali pertama mungkin anda baca dengan perlahan tetapi setelah dibaca berulang-ulang kali, anda akan baca dengan lebih laju lagi. Ini akan menjimatkan masa anda.

Ini adalah langkah pertama dalam teknik pengulangan. Jika anda lihat sahabat-sahabat anda yang berjaya dalam bidang akademik, selalunya mereka banyak kali membaca nota-nota mereka berbanding dengan pelajar yang kurang membaca. Apabila sahabat anda yang cemerlang ini membaca nota-nota mereka berulang-ulang kali, mereka jadi lebih mudah ingat dan dapat menjawab soalan dengan baik di dalam peperiksaan.

Hari ini saya ingin kongsikan bersama anda tentang memori. Secara umumnya, memori atau ingatan anda terbahagi kepada dua iaitu memori jangka masa pendek dan memori jangka masa panjang.


Memori jangka masa pendek adalah sesuatu yang anda ingat dalam jangka masa yang singkat. Contohnya, jika anda berkenalan dengan seorang kawan baru, setelah beliau memperkenalkan nama beliau, belum sampai beberapa jam pun anda sudah lupa nama tersebut. Sama juga seperti semasa anda belajar di dalam kelas.


Katakan cikgu anda mengajar subjek sejarah hari ini. Anda rasa anda faham apa yang cikgu anda ajarkan. Tetapi, esok atau 2 hari selepas itu, anda sudah lupa apa yang cikgu ajarkan tadi. Kadang-kadang, anda rasa macam anda tidak pernah dengar tentang apa yang diajarkan itu. Pelik bukan?


Tidak pelik sebenarnya. Itu menunjukkan bahawa apa yang anda pelajari itu cuma singgah di memori jangka masa pendek anda sahaja.


Memori jangka masa panjang pula ialah sesuatu yang anda boleh ingat dalam jangka masa yang lama. Contohnya, anda ingat nama kawan baik anda bukan? Pernahkah anda satu hari datang ke sekolah dan lupa apa nama kawan baik anda itu? Sudah tentu tidak pernah (melainkan anda menghidap penyakit lupa).


Jika anda mahu mengingat apa yang anda pelajari supaya anda boleh jawab soalan peperiksaan dengan baik, anda perlu tahu bagaimana caranya untuk memindahkan maklumat dalam memori jangka masa pendek anda ke memori jangka masa panjang. Jika selama ini anda rasa anda mudah lupa apa yang anda pelajari, ia tidak bermaksud daya ingatan anda lemah. Ia tidak bermaksud otak anda lembab atau anda seorang yang bodoh. Ia cuma bermaksud anda belum mahir dalam teknik untuk memindahkan maklumat daripada memori jangka masa pendek ke memori jangka masa panjang. Setelah anda kuasai teknik-teknik ini nanti, anda akan rasa lebih mudah mengingat atau menghafal apa yang telah anda pelajari.
 

Mengapa fakta yang anda pelajari cuma singgah di memori jangka masa pendek sahaja?


Satu sebab utamanya ialah anda tidak melakukan usaha memindahkan fakta ke memori jangka masa panjang dengan sengaja. Apa yang saya ingin katakan di sini ialah, jika anda pelajari sesuatu yang baru, fakta itu tidak akan masuk ke memori jangka masa panjang dengan sendirinya. Anda perlu lakukan sesuatu dengan sengaja untuk memindahkannya. Contohnya, katakan Ustaz anda baru mengajar lima rukun Islam. Dengan sekali mendengarnya sahaja, fakta itu cuma akan berada di memori jangka masa pendek anda. Anda mungkin akan lupa kesemuanya pada keesokan harinya.
Satu cara yang anda boleh lakukan untuk memindahkannya ke memori jangka masa panjang ialah dengan membaca dengan kuat kelima-lima rukun Islam itu berulang-ulang kali. Pengulangan adalah salah satu teknik berkesan untuk memindahkan fakta ke memori jangka masa panjang.


Jadi anda perlu ingat, tanpa membaca semula apa yang anda pelajari, anda tidak akan dapat ingat dalam apa yang anda pelajari hingga ke hari peperiksaan.


Namun, berkenaan perkara ini, ada satu soalan popular yang sering diajukan kepada saya. Soalannya ialah, kenapa ada sesetengah pelajar boleh ingat dengan mudah apa yang dipelajari walaupun mereka hanya mendengar sekali sahaja?
Jawapannya ialah, cara pelajar ini mendengar tidak sama dengan cara pelajar biasa mendengar. Maksudnya, pelajar ini mempunyai teknik mereka sendiri semasa mendengar apa yang diajarkan oleh guru di depan kelas.


Contohnya, apabila mereka mendengar cikgu bercerita tentang pencemaran sungai, fikiran mereka akan aktif menukarkan apa yang mereka dengar kepada bentuk gambar. Mereka seolah-olah dapat melihat  rupa sungai-sungai yang tercemar dan apa yang menyebabkannya. Seperti yang saya jelaskan minggu lepas, kita lebih mudah ingat gambar, jadi pelajar ini terus dapat mengingat apa yang diterangkan oleh guru mereka tentang pencemaran sungai tadi.

« Previous PageNext Page »