Tue 10 Jul 2007
“Assalamualaikum……” Kata saya sambil menekan loceng rumah……
“Waaliakumsalam.” Saya disambut oleh ibu pelajar tersebut. Saya dijemput masuk dan duduk di meja makan berhampiran ruang tamu.
Pelajar itu sedang bersedia. Jadi ibu pelajar ini berbual seketika dengan saya dan bercerita tentang pencapaian pelajar ini. Saya hanya mendengar dengan teliti. Ibu pelajar in bekerja dengan sektor kerajaan rupanya. Pangkatnya sudah agak tinggi.
Apabila pelajar itu sudah bersedia, saya pun mulakan sesi mengajar. Perkara pertama yang saya lakukan ialah saya berikana beberapa soalan matematik ringkas untuk melihat tahap prestasinya. Memang benar, dia pelajar yang cemerlang. Dia dapat siapkan soalan dengan agak cepat. Tetapi dia hanya betul 8 daripada 10 soalan yang saya berikan.
Saya catat masa bagi setiap soalan yang dia lakukan. Saya dapati kepantasannya menjawab soalan sudah bagus tetapi belum cukup pantas untuk memastikan dia mendapat A setiap kali peperiksaan. Kemudian, saya berikan dia soal jawab mengenai gaya belajar (seperti yang terdapat dalam buku Persediaan Minda untuk Menjadi Pelajar Cemerlang). Saya dapati dia adalah pelajar visual. Jadi saya berikan beberapa nasihat tentang bagaimana dia boleh memajukan lagi prestasi akademiknya. Saya beritahu di mana kelemahannya dan bagaimana dia boleh berhati-hati agar tidak membuat kesilapan yang remeh-temeh. Saya juga beritahu topik mana yang patut ditekankan untuk peperiksaan nanti.
Semasa saya memberi pelajar itu soalan matematik untuk dijawab, ibu pelajar kerap kali juga datang melihat apa yang saya lakukan. Ada juga dia bertanya latihan apa yang saya berikan. Saya dapat rasakan seperti ibu pelajar ini tidak selesa dengan apa yang saya lakukan. Tetapi, saya tidak tahu mengapa.
Selepas dua jam sesi berlangsung, saya bersedia untuk pulang. Kemudian, ibu pelajar itu datang kepada saya. Ketika itu,pelajar tadi masih lagi berada di depan saya cuba menyelesaikan beberapa soalan yang saya berikan.
“Cikgu……..macam ni cikgu……..” kata ibu pelajar itu. Kata-kata yang bakal keluar daripada mulut ibu pelajar ini masih meninggalkan kesan ke dalam diri saya dan pandangan saya terhadap home tuition……………