Fri 26 Jan 2007
Hari Rabu yang lepas, rakaman Get Set Go mengenai teknik Belajar SmartStudy dijalankan semula. Ia masih dirakamkan di Taman Tasik Titiwangsa. Hari tersebut bermula dengan baik. Saya keluar rumah lebih awal untuk mengelakkan kesesakan jalan raya. Nak awal punya pasal, bila saya sampai di Titiwangsa, jam baru menunjukkan pukul 7.30 pagi…. krew akan hanya sampai pukul 8.30 dan rakaman dijadualkan dalam pukul 9 - 9.30. Tergelak saya sorang-sorang kat situ sebab awal sangat. Tapi saya tak kisah, lebih baik awal daripada susah hati bila lambat.
Saya rasa hari ni agak ceria. Mungkin sebab saya tak rasa berdebar sangat macam hari pertama isnin lepas. Sama seperti yang saya ceritakan tentang zon selesa, apabila kita buat sesuatu yang kita tak biasa buat, kita akan rasa tak selesa, resah dan mungkin berdebar. Tetapi jika bersabar dan hadapi cabaran dengan fikiran positif, satu zon selesa baru akan terbentuk. Ini lah yang saya rasa ketika itu. Saya rasa sudah agak selesa berada di depan kamera dan diperhatikan oleh krew-krew dan juga orang yang lalu-lalang.
Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar seperti yang dirancangkan. tepat pukul 1 tengahari, kami berjaya merakamkan dua baki episod yang tidak dapat dihabiskan isnin lepas disebabkan hujan.
Seronok betul rasanya bila dah selesai buat kerja. Saya benar-benar berterima kasih kepada krew-krew Wayang Tinggi Production terutamanya Kak Azita (yang membantu menjaga skrip dan Bahasa Inggeris saya), Liza (Production Manager), Abg Azmi (yang menjaga masa saya bercakap), Oyah (pakar mekap), Abg Musa (Director), Hafiz Sinclair (yang menjaga cue card dan sibuk menulis ringkasan apa yang perlu saya cakapkan. Kami juga asyik mengusik Hafiz ni dengan nama ‘Sinclair’….. kononnya dia ni adik beradik Ashraf Sinclair…
), Awie (ke Ah Wee eh?) dan production crew….. Terima kasih atas tunjuk ajar kepada orang baru yang tak tau apa-apa macam saya ni.
Pada waktu malam pula, krew-krew Wayang Tinggi Production ini singgah di Pusat Tuisyen saya di Taman Keramat Permai. Mereka perlu merakamkan beberapa visual untuk ditunjukkan semasa penerangan saya dalam rancangan Get Set Go nanti. Kali ini, anak-anak murid saya dan cikgu saya pula yang menjadi bintang filem.
Beberapa orang anak murid saya terutamanya yang perempuan datang ke tuisyen macam nak pergi majlis perkahwinan….cantik sungguh…. maklum la, nak masuk tv….. seronok tengok semangat dan kerjasama yang ditunjukkan oleh anak-anak murid saya dan juga seorang cikgu saya yang terpaksa berlakon untuk menunjukkan beberapa teknik belajar yang betul dan salah….. Ada beberapa orang anak murid saya tergelak besar apabila mereka perlu di mekap. Kelakar kata mereka…..
Kesimpulannya, Alhamdulillah semuanya berjalan lancar. Ikhlas daripada saya dan team SmartStudy, mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam pembikinan rancangan ini……