Mon 16 Jul 2007
Pernahkah anda dengar pelajar merungut, “Cikgu tu tah apa-apa tah….. pilih kasih…. kalau si Leman tu, apa dia buat semua ok…. kalau aku ni, ada je benda tak kena….. pilih kasih betul…….”
Rungutan begini selalunya datang daripada pelajar yang iri hati melihat sesetengah pelajar lain rapat hubungan dengan guru mereka. Adakah anda juga begini?
Katakan memang ada guru yang pilih kasih dan melebih-lebihkan sesetengah pelajar, adakah anda akan merungut jika anda yang menjadi anak murid kesayangan guru itu? Tentu tidak bukan? Apa yang ingin saya katakan ialah, guru pilih kasih adalah perkara biasa. Ia tidak bermaksud guru itu pilih kasih pada sesetengah pelajar hingga menganiaya pelajar lain. Saya percaya semua guru sayangkan anak muridnya. Cuma, disebabkan guru juga adalah manusia biasa, mereka akan lebih menyayangi beberapa anak murid yang memenuhi beberapa kriteria pilihan mereka.
Pentingkah anda memikat hati guru anda? Apa untungnya jika guru anda mengasihi anda? Saya beri satu contoh mudah. Katakan anda diminta mengajar dua anak saudara anda yang beberapa tahun lebih muda. Anak saudara yang pertama suka mendengar kata anda. Dia membuat apa yang anda suruh semasa sesi pembelajaran dan memberi sepenuh perhatian kepada anda semasa anda mengajar.
Anak saudara yang kedua pula tidak boleh duduk diam semasa sesi pembelajaran. Semasa anda sibuk mengajar, dia sibuk mengasah pensel, mencari buku, melukis kartun dan sebagainya. Apabila anda suruh buat latihan, dia merungut dengan mengatakan bahawa dia tidak faham apa yang anda ajarkan.
Soalan saya, anak saudara mana yang anda akan lebih suka? Mudah bukan? Soalan saya lagi, jika anda rasa anak saudara anda suka mendengar apa yang anda ajar, apakah anda akan semakin bersemangat untuk mengajarnya? Sudah tentu bukan?
Jadi, anda perlu tau serba sedikit bagaimana mahu mengambil hati atau memikat hati seorang guru. Ini tidak bermaksud anda mahu mempermainkan mereka. Memikat hati guru bertujuan agar ilmu anda lebih diberkati dan anda akan lebih mudah faham apa yang diajarkan. Inilah objektif utama mengapa anda perlu tahu beberapa petua untuk memikat hati seorang guru. Kita akan mulakan dengan petua yang pertama esok.
August 19th, 2007 at 5:35 pm
macam mana plak guru hendak memikat hati pelajar agar pelajar suka matapelajaran yang diajar
August 21st, 2007 at 7:24 pm
Cik Rosmawati,
terima kasih atas soalan tersebut. Memang menarik soalan tu. Kebiasaannya blog in ditujukan untuk pelajar namun saya terfikir apa salahnya kalau saya kongsikan juga cara guru pula untuk memikat hati pelajar.
Insyaallah, saya akan buat sedikit lagi kajian dan jadikan soalan Cik ini sebagai ‘7 petua’ yang seterusnya.