Wed 27 Jun 2007
Petua kedua ialah, anda perlu menghargai apa-apa sahaja pertolongan atau pemberian kawan-kawan anda. Pernahkah anda mengalami situasi di mana anda memberikan kawan anda sesuatu dan dia kelihatan seperti tidak kisah dan tidak kelihatan gembira dengan pemberian anda? Apa yang anda rasakan ketika itu?
Ada banyak ketikanya, anda mungkin rasa apa yang kawan anda berikan kepada anda adalah sesuatu yang tidak istimewa. Contohnya, kawan anda mengambil inisiatif membuat salinan kertas peperiksaan lepas dan berikan kepada anda secara percuma. Bagi anda, soalan lepas adalah sesuatu yang tidak berharga jadi anda buat endah tak endah sahaja. Muka anda tidak menunjukkan anda gembira menerima salinan kertas peperiksaan tersebut. Lebih teruk lagi, anda langsung tidak berkata terima kasih. Apabila kawan anda kata,”Mat, nah aku fotostat kertas peperiksaan ni untuk awak.” Anda membalas dengan berkata, “Hmm… awak letak la atas meja saya tu, nanti saya ambil”.
Apabila anda menunjukkan tanda-tanda bahawa sesuatu yang anda terima itu tidak penting, anda akan melukakan hati kawan anda itu.. Apabila ini berlaku, anda mungkin tidak akan menerima apa-apa lagi daripada dia atau hubungan anda dengannya akan menjadi renggang.
Apakah yang perlu anda lakukan untuk menunjukkan bahawa anda menghargai apa yang diberi?
- Pertama, apabila kawan-kawan anda beri anda sesuatu, berhenti daripada melakukan apa yang sedang anda lakukan dan lihat kepada apa yang kawan anda berikan.
- Kedua, belek sedikit apa yang kawan anda beri, senyum dan kata terima kasih kepada kawan anda tadi. Kata sekurang-kurangnya, “Terima kasih banyak-banyak Man….. menyusahkan awak je fotostat kertas ni untuk saya”.
- Jangan berhenti di situ sahaja. Katakan sesuatu yang menunjukkan bagaimana apa yang diberi itu boleh membantu anda. Contohnya, “Saya pun memang tengah cari sangat contoh kertas peperiksaan ni. Alhamdulillah awak dan fotostat untuk saya. Senang saya nak buat ulangkaji nanti”. (jangan lupa senyum).
- Jika anda mahu buat sahabat anda lebih merasa dihargai, tanya lebih lanjut mengenai sesuatu yang telah diberikannya tadi. Contohnya, “Baguslah kertas ni. Kat mana awak jumpa model kertas peperiksaan ni?”
Dialog yang saya berikan itu adalah contoh sahaja. Saya harap anda dapat memahami konsep dan idea yang saya cuba sampaikan disitu. Anda perlu ingat, manusia sangat suka jika mereka dihargai. Bukan sahaja mereka akan rasa gembira apabila dihargai, mereka akan rasa hubungan mereka semakin rapat dengan anda.