Fri 29 Jun 2007
Petua yang keempat ialah bercakap hanya tentang perkara yang baik mengenai kawan-kawan anda. Anda tentu pernah berada dalam satu kumpulan kawan-kawan di mana mereka bercakap tentang sesuatu yang tidak baik mengenai kawan-kawan lain. Kita panggil ini sebagai sesi mengumpat.
Ada banyak perkara yang tidak baik jika anda bercakap atau menyertai sesi mengumpat ini.
- Perkara terbesar ialah ini boleh jadi satu dosa. Apabila anda bercakap tentang sesuatu yang buruk mengenai kawan anda, anda menjatuhkan maruah kawan anda itu dan mungkin anda akan berkata sesuatu yang tidak benar.
- Apabila anda mengutuk atau mengumpat kawan anda, jelas hubungan anda dan kawan itu akan renggang atau putus terutama apabila kawan anda itu tahu mengenai apa yang anda katakan.
- Anda sendiri akan merasa janggal apabila berada di samping kawan-kawan yang anda kutuk tadi. Ini kerana, anda sedar bahawa anda kutuk mereka dan kini anda berada disamping mereka pula.
- Apabila anda mengutuk, anda menjatuhkan reputasi anda sendiri dikalangan kawan-kawan anda sendiri. Kawan-kawan anda akan mula berhati-hati dengan anda kerana bimbang anda akan mengutuk tentang diri mereka pula.
- Akhirnya anda akan dipulaukan.
Ada dua nasihat yang pernah saya pelajari yang boleh anda amalkan.
- Pertama, amalkan cara berfikir yang positif. Maksud saya, lihat kepada perkara yang baik dalam sesuatu kejadian. Apabila anda selalu mencari, melihat dan berfikir tentang perkara yang baik, anda akan mula bercakap tentang perkara-perkara yang baik. Jika anda ternampak sesuatu yang baik di dalam diri kawan-kawan anda, puji mereka. Dalam waktu yang sama, tanamkan azam dalam diri anda untuk mempunyai sifat yang baik itu juga.
- Jika anda berada di dalam kumpulan yang sedang mengumpat dan mengutuk, cadangkan topik lain untuk dibincangkan jika anda mampu. Jika anda tidak mampu mengubah topik negatif yang sedang dibincangkan, minta diri dan tinggalkan kumpulan itu hingga mereka mengubah topik yang lebih baik. Anda perlu ingat, anda adalah apa yang anda fikirkan. Jika anda selalu bercampur dalam perbualan bersifat negatif, anda akan selalu terfikir tentang perkara negatif. Akibatnya, anda juga jadi seorang yang berfikiran dan bersifat negatif.
Tambahan pula, dengan bercakap tentang sesuatu yang baik tentang kawan-kawan anda, anda akan merapatkan lagi hubungan anda dengan kawan itu. kawan-kawan lain yang melihat sifat anda itu akan mahu mendekati anda kerana mereka tahu anda hanya akan bercerita tentang perkara yang baik mengenai mereka.
Selamat mencuba.
July 2nd, 2007 at 4:58 pm
Assalammualaikum En Osman, apa khabar?seomoga sentiasa ceria
saya nak sikit, bagaimana cara terbaik untuk membantu kawan yang suka meniru tugasan yang diberikan oleh pensyarah, dimana beliau selalu memberi alasan terlalu sibuk..kalau nak dikirakan saya lagi sibuk sebagai isteri, ibu, pekerja dan pelajar sedangkan dia masih belum berumah tangga..,,bukan apa adakala untuk menyelesaikan sesuatu tugasan tersangatlah penat otak dibuatnya..lepas tu sesenang kawan saya nak meniru…adakah patut ia dibiarkan agar tak putus persahabatan.
July 2nd, 2007 at 8:16 pm
Waalaikumsalam…
Puan Mimie, hmmmm….. susah jugak nak jawab ni
Kalau saya dulu, mesti saya biarkan je sebab saya tak tau macam mana nak buat. Macam Puan kata, bimbang kalau putus sahabat.
Tapi kalau sekarang….nasihat saya, kena beritahu dia cara baik yang Puan tak sepatutnya beri dia tiru. Kedekut bukan masalahnya. Masalahnya ialah, satu, dia tidak tunaikan tanggungjawabnya sendiri. Satu hari nanti, dia yang akan tanggung rasa susahnya bila kena buat sendiri.
Kedua, dia sendiri tidak hormat Puan sebagai kawan dengan mengambil mudah sahaja penat lelah Puan.
Katakan selepas Puan beritahu dia tentang perkara ini dan dia buat keputusan untuk memutuskan tali persahabatan, tak perlu rasa menyesal. Saya percaya, seseorang yang sanggup memutuskan tali persahabatan disebabkan kesalahannya sendiri, tidak layak dijadikan kawan. Lebih baik kita bergaul dengan kawan-kawan lain yang memenuhi erti kata sebenar seorang kawan.
Harap dapat membantu.