cita citaPetua memikat hati rakan sebaya yang keenam ialah “sokong cita-cita kawan-kawan anda”. Maksudnya, jika kawan-kawan anda bercerita kepada anda tentang cita-cita mereka, dengar dengan teliti dan beri sepenuh sokongan anda kepada mereka. Namun, ini ada syaratnya. Syaratnya ialah cita-cita kawan-kawan anda itu adalah cita-cita yang baik. Jika mereka kata mahu jadi perompak professional atau membuka pusat perjudian antarabangsa, jangan sekali-kali anda sokong mereka! :)   Sebaliknya, beri mereka nasihat dan tunjuk sebab mengapa mereka tidak sepatutnya ada cita-cita sebegitu.

Di zaman kanak-kanak dan remaja tentu anda mempunyai banyak cita-cita dan impian yang ingin anda capai dalam hidup anda. Saya ada dengar cita-cita kawan saya yang mahu mengembara ke seluruh dunia, ada yang mahu menjadi rakan kongsi di syarikat antarabangsa yang besar, ada yang mahu menjadi tokoh yang dikenali dan sebagainya.

cita citaNamun, sewaktu anda mendengar cita-cita itu, bunyinya mungkin agak tidak munasabah dan terlalu sukar untuk dicapai. Peranan anda dalam memikat hati kawan-kawan anda ialah anda perlu beri sokongan kepada mereka walau apa pun cita-cita mereka. Ini bukan bermakna anda berlakon memberikan semangat kepada mereka semata-mata mahu memikat hati mereka. Sokongan anda mestilah ikhlas di mana anda perlu yakin dan percaya bahawa kawan anda tadi boleh mencapai cita-cita mereka.

Sokongan anda ini akan menyebabkan dua perkara terjadi:

  1. Kawan anda tadi akan menghargai anda kerana menyokong cita-citanya. Anda akan menjadi sumber tenaga dan semangatnya untuk berusaha. Saya percaya selepas ini jika dia ada sesuatu yang baru dalam usaha mencapai cita-citanya, dia akan mencari anda. Dia akan ceritakan kepada anda. Lebih baik lagi, dia pula akan menyokong cita-cita anda. Anda juga akan jadi semakin bersemangat. Akhirnya, hubungan anda berdua menjadi semakin rapat dan akrab.
  2. Apabila anda menyokong kawan-kawan anda, semangat dan kayakinan diri mereka akan bertambah. Mereka akan mula yakin dengan kebolehan diri mereka sendiri lalu mereka berusaha dengan lebih kuat lagi. Anda akan jadi orang yang bertangungjawab di atas kejayaan kawan anda tadi. Bukankah itu sesuatu yang baik untuk dicapai dalam hidup?

Mulai hari ini, dengar dengan teliti cerita kawan-kawan anda mengenai cita-cita dan impian mereka. Beri sepenuh tumpuan dan sokong mereka dengan merasa yakin bahawa mereka akan berjaya. Insyaallah, jika anda bantu kawan anda untuk mencapai kejayaan, kejayaan akan menjadi milik anda juga nanti. :)