berita gembiraTips untuk menjadi pembawa berita gembira semalam ialah dengan mengelakkan diri anda daripada menyampaikan berita-berita buruk atau cerita tidak baik kepada kawan-kawan anda. Tips untuk hari ini ialah sampaikan berita gembira kepada kawan-kawan anda secepat mungkin.

Katakan anda mendengar berita  baik seperti kawan anda mendapat markah penuh dalam peperiksaan Matematik, sampaikan kepada beliau secepat mungkin. Tetapi pastikan berita itu betul kerana jika ia tidak betul kesan sebaliknya akan berlaku. Namun, satu perkara yang saya minta anda sampaikan kepada kawan anda secepat mungkin ialah berita berkenaan pujian kepada mereka.

Maksudnya begini. Katakan anda sedang bercakap dengan sahabat A dan sahabat A memuji sahabat B (sahabat B tidak ada disitu). Setelah anda mendengar pujian itu, anda perlu seberapa segera menyampaikan pujian itu kepada sahabat B. Tetapi jangan terlalu segera hingga anda terus tinggalkan sahabat A yang sedang bercakap tadi…. :)

Dua perkara akan berlaku bila anda lakukan perkara ini. Pertama, anda akan jadi pembawa berita gembira. Sahabat B akan kaitkan anda dengan rasa gembira. Kedua, hubungan antara sahabat A dan B akan jadi bertambah akrab. Pujian yang disampaikan secara tidak berdepan begitu selalu membawa kesan yang positif. Sahabat B akan rasa bahawa pujian sahabat A itu adalah ikhlas dan boleh dipercayai. Jadi, hubungan mereka akan jadi lebih baik.

Suatu hari nanti ditempat kerja anda, lakukan perkara sebegini juga. Sampaikan pujian yang anda dengar kepada tuan punya diri. Anda akan disenangi oleh kawan-kawan sekerja anda nanti.

Bila ini berlaku, anda telah melakukan sesuatu yang baik dalam hidup anda… :)