Wed 28 Feb 2007
Ada beberapa alasan popular yang digunakan oleh pelajar bermulut laser mengapa mereka lebih suka bermulut laser daripada tidak. Antara alasan mereka ialah, “Saya tidak suka bercakap bohong. Saya cakap perkara yang benar sahaja walaupun benda itu menyakitkan orang yang mendengarnya”, atau “Saya bukan nak sakitkan hati sesiapa, saya cakap benda yang betul. Kalau ada orang terasa, nasib la…”, atau “La… cakap sikit pun nak sakit hati ke…. masuk dalam hutan la kalau tak nak sakit hati….”
Pada pendapat peribadi saya, memang tidak salah kalau kita bercakap benar, memang itu yang patut kita lakukan. Namun, saya percaya, pelajar yang bermulut laser selalunya tidak tahu alternatif kepada cara untuk menuturkan apa yang mereka mahu katakan.
Contohnya, bila anda melihat seorang kawan memakai baju yang kelihatan agak kotor, pelajar bermulut laser akan kata, “kau tak basuh baju kau ke? Nampak kotor sangat ni…”. Alternatif kepada soalan itu ialah, “Baju kau kena apa?” atau lebih mudah, “kenapa baju kau kotor?”.
Apa yang saya hendak tunjukkan di sini ialah, pelajar bermulut laser selalunya terus membuat andaian negatif kepada apa yang mereka lihat. Jadi, tips hari ini ialah, jika anda lihat sesuatu, elakkan daripada menyoal soalan yang diikuti dengan andaian yang negatif. Jika anda lihat kawan anda lambat ke sekolah dan mahu tanya sebabnya, anda cuma perlu tanya “kenapa kau lambat tadi?”, jangan tanya begini, “Kenapa kau lambat, bangun lambat eh…? Ni mesti tak sembahyang subuh pagi-pagi ni….”. Hmmmm… ana boleh bayangkan apa perasaan kawan anda apabila anda bertanya dengan soalan berbentuk laser itu.
Soalan yang tidak laser selalunya lebih pendek dan tidak menyakitkan hati. Anda perlu ingat, apabila anda tamat belajar nanti, anda mungkin jumpa orang-orang yang bermulut laser. Anda akan dapat lihat bahawa orang-orang begini selalunya dijauhi oleh kawan-kawan yang lain. Apa yang menyedihkan, orang yang bermulut laser ini tidak sedar yang dia sedang dipulaukan. Jadi, dia terus seronok dengan tabiat mulut lasernya. Bukankah ini sangat menyedihkan?