Wed 22 Aug 2007
Beberapa minggu kebelakangan ini saya sangat banyak menjalankan program pelajar dari usia 8 tahun hinggalah ke pelajar di peringkat universiti. Malah, terdapat juga beberapa aktiviti yang saya jalankan untuk orang dewasa dari usia 25 tahun hinggalah yang sudah bersara.
Melalui program-program ini, ada satu mesej yang sama yang sentiasa saya cuba sampaikan. Mesej itu ialah penggunaan tenaga fikiran. Soalan saya kepada anda, sejauh mana anda gunakan fikiran anda untuk memajukan hidup anda, pencapaian akademik anda dan juga pencapaian peribadi anda? Lebih penting lagi, tahukah anda apa yang dimaksudkan dengan tenaga fikiran?
Bagi saya, tenaga fikiran adalah tenaga yang anda hasilkan melalui kebolehan anda berfikir. Pelajar datang ke sekolah bukan untuk menguatkan tenaga fizikal mereka. Jika pelajar mahu menguatkan tenaga fizikal mereka di sekolah, sudah pasti guru-guru akan menyuruh mereka mengangkat meja, kerusi atau apa-apa yang berat setiap hari supaya tubuh badan pelajar menjadi gagah perkasa.
Namun, pelajar ke sekolah adalah untuk menguatkan tenaga fikiran mereka. Bagaimana? Apabila pelajar belajar, mereka sedang mengasah kebolehan mereka berfikir. Apabila pelajar merasa pening dan tidak selesa semasa belajar, itu petanda menunjukkan mereka benar-benar sedang menggunakan akal fikiran mereka (pelajar yang tidak gunakan akal fikiran semasa belajar selalunya kelihatan tidak kisah dan tidak peduli lalu tidak merasa pening dan tidak selesa
).
Dengan meningkatkan kebolehan anda untuk berfikir, anda boleh berjaya dalam bidang apa sahaja. Insyaallah dalam minggu ini, saya akan kongsikan mengenai kelebihan menggunakan tenaga fikiran dalam mencapai apa sahaja yang anda inginkan.