Hari ini, saya ingin ceritakan tentang teknik pengurusan masa. Saya percaya anda sudah tahu, pengurusan masa adalah satu perkara yang sangat penting buat pelajar. Ini kerana, pelajar selalunya sibuk dengan aktiviti-aktiviti sekolah dan juga aktiviti-aktiviti luar sekolah. Pelajar juga perlu kuasai banyak subjek dalam masa yang agak singkat. Jadi, tanpa pengurusan masa yang betul, pelajar tidak akan mampu menyiapkan semua tugasan mereka dan tidak mampu belajar sesuatu dengan baik dalam masa yang telah ditetapkan.


Persoalannya, adakah anda tahu apa itu pengurusan masa? Setiap kali saya menjalankan program-program motivasi dan teknik belajar, saya selalu ceritakan tentang asas pengurusan masa. Apabila saya mahu mula bercerita tentang pengurusan masa pula, para pelajar selalu sangka yang saya akan ceritakan bagaimana caranya untuk membuat jadual. Adakah itu yang anda fikirkan setiap kali anda dengar perkataan pengurusan masa? Jadual?


Benar, membuat jadual harian, mingguan dan bulanan adalah sebahagian dalam teknik pengurusan masa. Namun, jadual bukanlah perkara utama dalam pengurusan masa. Saya mahu tanya anda, pernahkah anda membuat jadual sebelum ini? Saya percaya anda pernah membuat jadual anda sendiri. Namun soalan saya lagi, adakah anda benar-benar mengikut jadual anda itu sepenuhnya?


Jarang saya mendengar pelajar berkata bahawa mereka berjaya mengikuti sepenuhnya jadual yang mereka buat. Mengapa? Sukar kata mereka untuk melakukan aktiviti mengikut jadual. Selalunya pasti ada perubahan yang tidak dijangka. Kadangkala, apabila sampai waktu mengulangkaji, pelajar rasa tidak ada semangat untuk belajar. Jadi jadual itu tidak diikuti.


Sebenarnya, jika anda ada jadual harian, tidak semestinya jadual itu diikuti sepenuhnya. Jadual harian sebenarnya hanyalah bertindak sebagai panduan tentang apa yang patut dilakukan. Anda akan lebih fokus tentang apa yang patut anda lakukan jika anda ada jadual anda sendiri.


Baiklah, sebelum saya meneruskan topik pengurusan masa ini, saya mahu tahu dahulu, apakah masalah-masalah yang anda hadapi berkenaan dengan pengurusan masa?


Adakah anda rasa masa tidak cukup untuk anda? Adakah anda rasa kerja anda terlalu banyak hingga mustahil untuk menyiapkan semua kerja tersebut? Atau, masalah anda ialah anda ada terlalu banyak masa hingga anda tidak tahu apa yang patut anda lakukan dalam masa yang terluang itu? J Senaraikan semua masalah tersebut.


Lihat pada senarai anda. Pada pendapat anda, adakah masalah itu semua disebabkan masa 24 jam sehari itu tidak mencukupi atau andalah sebenarnya yang tidak menggunakan masa yang ada sebaiknya? Kebiasaannya, anda akan dapat lihat bahawa masalah itu semua muncul akibat sikap anda sendiri. Melalui senarai itu, anda patut sedar bahawa masalah pengurusan masa boleh diselesaikan.
Sebenarnya, setelah anda senaraikan semua masalah anda berkenaan pengurusan masa, anda akan lebih mudah untuk belajar teknik pengurusan masa. Ini adalah kerana melalui masalah itu, anda tahu apa yang patut anda perbaiki. Anda boleh lihat apa jenis masalah berkenaan masa yang perlu anda selesaikan.