Semalam saya telah ceritakan pengenalan kepada tekni pengurusan masa. Saya telah minta anda senaraikan semua masalah anda tentang pengurusan masa. Sudahkah anda senaraikan semua masalah anda tentang pengurusan masa? Jika sudah, bagus. Kita boleh teruskan belajar teknik ini. 

Hari ini saya mahu ceritakan sedikit tentang pengurusan masa seorang pelajar cemerlang. Semasa saya di sekolah dulu, saya ada beberapa orang kawan yang sangat cemerlang dalam prestasi akademik mereka. Mereka selalu mendapat markah yang tinggi dalam peperiksaan. Bukan itu sahaja, mereka ini juga sangat aktif dalam aktiviti sukan dengan mewakili sekolah dalam beberapa aktiviti sukan. Tidak cukup dengan itu, mereka juga aktif dalam kegiatan persatuan dan kelab. Mereka kerap terlibat dalam aktiviti persatuan seperti menganjurkan lawatan, pesta sekolah dan aktiviti-aktiviti kecil yang lain. Lebih menghairankan lagi, mereka ini selalunya ada memegang jawatan penting di sekolah seperti pengawas, ketua kelas atau pengawas perpustakaan. 

Persoalannya, bagaimanakah kawan-kawan saya ini boleh menguruskan masa mereka hingga dapat melakukan banyak perkara itu? Bilakah masa mereka mahu belajar jika asyik sibuk dengan aktiviti sukan, persatuan dan jawatan mereka di sekolah? Bagaimana mereka boleh belajar dengan baik walaupun masa mereka cuma sedikit sahaja untuk belajar? 

Inilah yang perlu anda juga fikirkan. Ada kemungkinan, anda tidak begitu sibuk di sekolah tetapi anda rasa tidak cukup masa untuk melakukan semua kerja sekolah bukan? 

Satu teknik utama yang saya mahu kongsikan hari ini berkenaan masa yang digunakan oleh kawan-kawan saya tadi ialah teknik ‘fokus’. Teknik fokus bermaksud, setiap kali anda lakukan sesuatu, anda perlu benar-benar fokus kepada apa yang anda lakukan itu. Contohnya, jika anda sedang belajar subjek Bahasa Inggeris, anda perlu fokus seratus-peratus kepada subjek itu dan tidak memikirkan tentang perkara lain. Lupakan tentang semua perkara lain buat sementara. Ia seolah-olah, ketika anda belajar subjek itu, di dalam dunia ini cuma ada anda dan subjek itu sahaja. Semua perkara lain tidak wujud. 

Apabila anda fokus begini, anda akan lebih mudah faham apa yang anda pelajari. Selalunya, pelajar yang tidak fokus akan selalu terganggu dengan perkara-perkara seperti bunyi televisyen, radio, bunyi telefon dan juga gangguan-gangguan minda lain seperti berangan-angan mahu bermain di waktu petang dan sebagainya. 

Jika anda tidak fokus dan cuba berfikir tentang banyak perkara dalam satu masa, keberkesanan anda dalam melakukan sesuatu akan hilang. Ini bermaksud, katakan anda belajar dalam masa satu jam, anda mungkin sebenarnya hanya betul-betul belajar selama 20 minit sahaja. Bukankah anda sudah rugi masa selama 40 minit di situ? Adakah 40 minit itu sedikit bagi anda? Banyak sebenarnya. Mari kita cuba fikirkan apa akan jadi kalau anda rugi 40 minit sehari. 

Jika anda rugi 40 minit sehari, anda akan rugi 280 minit seminggu, 1,120 minit sebulan dan 14,560 minit setahun. Jika anda rugi 14,560 minit setahun, ia adalah sama jika anda hilang lebih kurang 10 hari dalam hidup anda. Bukankah itu satu kerugian masa yang besar? 

Jadi, mulai hari ini, fokus seratus-peratus kepada apa sahaja yang anda lakukan. Jika anda sedang bermain, fokus seratus-peratus kepada permainan anda dan lupakan pelajaran buat seketika. Jika anda sedang berpesatuan, fokus seratus-peratus kepada aktiviti yang anda lakukan dan lupakan semua perkara lain buat seketikan. 

Jika anda mampu fokus sepenuhnya begini, anda pasti dapat menggunakan waktu anda dengan lebih baik. Anda pasti akan rasa bahawa masa anda telah menjadi semakin banyak dan anda boleh lakukan semakin banyak perkara dalam hidup anda. Mulakan teknik ini hari ini dan insyaallah saya percaya anda pasti akan berjaya!