Ramadhan dan Kejayaan

Pembuka kata

Sama ada anda sedar atau tidak, Ramadhan membawa pelbagai rahmat bukan sahaja dari segi pahala berbuat amalan yang digalakkan dan amalan kebajikan, tetapi dari segi membentuk sifat dan keperibadian untuk menuju kejayaan. Apakah yang saya maksudkan?

Cuba anda lihat orang-orang yang berjaya di sekeliling anda atau orang berjaya yang anda kenal. Tentu mereka mempunyai sifat-sifat unik tertentu yang tidak banyak terdapat di dalam diri orang-orang yang kurang berjaya. Contohnya, orang yang berjaya mempunyai matlamat yang jelas tentang apa yang mereka mahu capai. Orang yang berjaya juga tidak kenal erti berputus-asa. Lebih hebat lagi, orang berjaya boleh bersabar dan terus berusaha walaupun apa yang mereka kerjakan belum membuahkan hasil.

Percayakah anda jika saya katakan ciri-ciri dan sifat-sifat ini semua boleh dibentuk semasa anda menjalani ibadah puasa? Hmm? jika anda mahu berjaya seperti mereka juga suatu hari nanti, mari kita bincangkan dan fikirkan bersama mengenai apa yang anda perolehi sepanjang bulan Ramadhan ini????..

Satu perkara yang saya selalu tanya kepada para pelajar mengenai puasa ialah, jika esok puasa, apakah yang mereka lakukan malam ini. Kebanyakannya akan menjawab ?membaca niat? (tapi ramai juga yang jawab ?makan sahur????? ). Niat merupakan satu matlamat yang hendak dicapai. Jika anda hendak mencapai sesuatu, cara terbaiknya ialah anda berniat dahulu. Niat anda mestilah jelas supaya anda dapat capai apa yang anda benar-benar hendak. Lihat pada niat puasa.

?Sahaja aku puasa esok hari di bulan Ramadhan kerana Allah Taala?. Ia jelas dan tepat. Jika saya tanya, ?Nak buat apa??, jawapannya nak puasa. Jika saya tanya ?Bila nak puasa tu??, jawapannya ?esok?. ?Esok tu bila??, dalam bulan Ramadhan. ?Kenapa nak puasa??, Nak puasa kerana Allah Taala.

Hmm? bukankah ini satu latihan awal untuk kita umat Islam menetapkan matlamat? Rasulullah S.A.W. juga ada bersabda bahawa setiap amal itu bermula dengan niat. Niat akan membantu anda mencapai apa yang anda inginkan.

Orang-orang berjaya memahami konsep ini. Mereka memasang niat tentang apa yang mereka mahu capai. Jika mereka mahu beli kereta baru, niat mereka ialah ?Aku nak beli kereta baru Proton Pesona, warna merah metallic, tayar Goodyear, aksesori penuh, downpayment RM10,000 dan mesti dapat sebelum Jun 2008. Bila dapat kereta ni, aku nak bawa keluarga aku berkelah di Port dickson dan aku nak hantar anak-anak aku ke sekolah tiap-tiap hari.?

Itu cuma contoh sahaja. Memasang niat untuk berjaya mungkin tidak sama seperti niat ita berpuasa, tetapi intipatinya adalah serupa. Jika anda mahu capai sesuatu, tuliskan dan sebutkan dengan jelas apa yang hendak dicapai, bila hendak dicapai dan mengapa anda hendak mencapai perkara tersebut. Kajian-kajian lepas dan sejarah sentiasa membuktikan bahawa orang yang tahu niat/matlamat mereka pasti akan dapat mencapainya.

Itulah satu perkara yang kita sudah pelajari di bulan Ramadhan?dalam posting?kali ini.

Setelah anda ada niat, tahu bila ia?mahu dicapai dan tahu mengapa dia perlu dicapai,?semangat anda akan jadi semakin kuat untuk berusaha mencapainya. Jika anda sudah berniat untuk berpuasa dan mahu melakukannya bersungguh-sungguh, adakah iman anda akan mudah tergugat dengan?burger yang dimakan oleh adik-adik anda? Saya percaya tentu tidak bukan.

Jika iman anda tergugat lalu makan?burger tersebut, ia bermakna niat anda tadi tidak bersungguh-sungguh dan anda tidak benar-benar maksudkan apa yang anda niatkan.

Saya ada kenal seorang sahabat yang sangat kuat semangatnya untuk mengotakan apa yang dia kata mahu lakukan. Jika dia kata mahu belajar, tidak akan ada sesiapa pun yang boleh memujuknya untuk keluar bermain atau membuat perkara lain. Semangat ini benar-benar kelihatan semasa beliau berpuasa.

Ada satu ketika saya lihat sahabat saya ini berniat untuk berpuasa sunat pada hari Isnin. Kami tinggal di asrama ketika itu. Selepas solat subuh dan tadarus al-quran, lebih kurang pukul 7.30 pagi, sahabat saya ini dapat tahu bahawa ada latihan bolasepak untuk pemilihan wakil sekolah.

Tanpa berfikir panjang, sahabat saya ini menyertai latihan dan pemilihan itu. Anda boleh bayangkan betapa letihnya bermain bolasepak di waktu pagi selama lebih kurang 2 jam. Apa yang mengejutkan saya ialah sahabat saya ini masih meneruskan puasanya walaupun itu cuma puasa sunat. Dia kelihatan sangat letih menjelang tengahari tetapi masih dengan niat berpuasanya tadi.

Selepas habis sekolah (kami bersekolah sesi petang ketika itu), saya lihat sahabat saya ini tertidur keletihan di atas katilnya. Dia seolah-olah tak mampu nak bergerak langsung. Namun, saya sangat kagum dengan semangatnya.?Sahabat saya?ini menjadi pelajar terbaik sekolah saya ketika peperiksaan PMR. Dia terus menjadi pelajar terbaik ke mana-mana sekolah dia berada.

Cuba anda fikirkan, adakah anda melatih iman dan semangat anda menjadi kuat di bulan Ramadhan? Adakah anda merungut kerana cuaca panas atau merungut kerana terlepas makan sahur? Bulan Ramadhan adalah masa yang sangat sempurna untuk melatih kekuatan diri anda secara fizikal dan mental.

Saya percaya, dalam bulan ini anda perlahan-lahan boleh menguatkan diri anda berpuasa dengan tenang dan kekuatan ini pasti boleh anda gunakan untuk mencapai kejayaan nanti.

Inilah satu kelebihan bulan Ramadhan yang dapat anda pelajari melalui posting kali ini.?

Apakah lagi sifat dan ciri-ciri yang anda pelajari dan amalkan di dalam bulan Ramadhan, yang membantu anda menuju ke arah kejayaan? Mari kita bincangkan.

Menurut pendapat pakar-pakar psikologi barat, antara satu sifat paling utama individu yang berjaya dan kaya-raya ialah?having the ability to delay gratification? (mempunyai kebolehan untuk menangguhkan keseronokan).

Ia bermaksud, orang-orang yang berjaya selalunya sanggup bekerja keras dalam satu jangka masa yang lama tanpa mengharapkan pulangan yang segera. Mengapa? Kerana mereka tahu, pulangan yang akan datang nanti sangat besar dan mereka akan nikmatinya dengan penuh kepuasan.

Contohnya, pelajar cemerlang sanggup bekerja keras belajar?dan mendisiplinkan diri dalam jangka masa lama. Walaupun aktiviti belajar boleh jadi memenatkan, memeningkan, dan tidak menyeronokkan, mereka masih boleh teruskan kerana mereka ada kebolehan untuk menangguhkan keseronokan yang mereka ingin kecapi.

Pelajar tidak cemerlang pula asyik mahu seronok dengan cepat. Mereka rasa belajar itu memenatkan, lalu mereka bermain kerana bermain mendatangkan keseronokan segera. Mereka bosan belajar di sekolah lalu mereka ponteng kerana ponteng mendatangkan keseronokan segera.

Cuba tanya diri anda, adakah anda selalu membuat sesuatu yang mendatangkan keseronokan segera? Jika jawapan anda ya, anda perlu berhati-hati kerana itu adalah sifat yang jarang membawa kearah kejayaan atau kebahagiaan.

Satu contoh lagi orang-orang yang boleh menangguhkan keseronokan ialah para petani dan pekebun. Jika anda lihat, petani dan pekebun sanggup bekerja keras menanam pokok buah-buahan, sayur-sayuran dan sebagainya tanpa mendapat pulangan yang segera.

Sebab itulah jika anda mahu belajar bagaimana mahu bersabar dan berusaha untuk mencapai kejayaan, para petani dan pekebun selalu menjadi contoh yang baik. Orang yang tidak sabar tidak boleh jadi petani kerana jika mereka tanam pokok hari ini, esok atau minggu depan mereka sudah mahu lihat hasilnya. Jika tidak ada hasil, mereka akan putus asa.

Sama seperti pelajar, pelajar yang tidak sabar apabila mereka belajar hari ini, mereka mahu terus mendapat A hari esoknya. Apabila mereka tahu mereka perlu bekerja keras belajar sepanjang tahun untuk berjaya, mereka lemah semangat dan mula putus asa. Pernahkah anda rasa begitu?

Jadi, bagaimanakah anda boleh pupuk dan bina kebolehan untuk menangguhkan keseronokan ini? Apa pula kaitannya dengan bulan Ramadhan? Saya akan terangkan esok.?

Seperti yang saya nyatakan semalam, orang-orang berjaya mempunyai satu sifat yang mampu menangguhkan keseronokan mereka supaya kejayaan mereka jadi lebih bermakna. Apa kaitannya dengan bulan Ramadhan?

Di dalam bulan Ramadhan, rasa lapar dan dahaga adalah perkara biasa. Namun ada ketikanya anda rasa terlalu lapar atau dahaga hingga anda rasa seperti tidak mahu meneruskan puasa anda. Ketika itu, fikiran anda akan berperang dengan persoalan, nak berbuka atau tidak?

Jika anda terus berbuka, anda akan nikmati keseronokan makan dan minum serta-merta tetapi anda akan hilang pahala dan amalan puasa. Jika anda mahu teruskan puasa, anda terpaksa menahan diri dari menikmati keseronokan segera dan merasa sedikit terseksa hingga tiba waktu berbuka. Apa yang akan anda lakukan?

Sebenarnya, jika anda mengalami situasi di atas di bulan Ramadhan, itu tandanya anda mempunyai peluang untuk mendidik dan memupuk kebolehan menangguhkan keseronokan yang kita bincangkan ini. Jika anda lihat orang-orang yang berjaya puasa sepanjang bulan Ramadhan sebenarnya merasa dugaan lapar dan dahaga yang amat sangat.

Namun, mereka sabar dan latih diri mereka agar dapat menikmati keseronokan yang lebih bermakna iaitu berbuka pada waktunya. Apabila mereka berbuka pada waktunya, mereka rasa seronok kerana berjaya melepasi dugaan. Dugaan itu juga membuktikan bahawa mereka mampu melepasi apa jua rintangan. Jika lapar dan dahaga dapat diatasi, cabaran-cabaran lain seperti untuk mencapai kejayaan hidup sudah pasti jga boleh diatasi.

Allah S.W.T telah menjanjikan kegembiraan yang pasti buat orang-orang yang berpuasa iaitu kegembiraan semasa berbuka dan kegembiraan semasa bertemu dengan Allah nanti.

Sama seperti semasa kita menempuh cabaran dalam hidup, kita akan pasti kecapi kegembiraan dan kebahagiaan disebabkan kita sabar dan sanggup menangguhkan keseronokan kita.

Jadi, jika anda seorang pelajar, tangguhkan keseronokan untuk banyak bermain, melepak dengan kawan, ponteng sekolah atau buat sesuatu yang dilarang. Anda perlu sedar bahawa keseronokan segera jarang membawa kepada keseronokan yang berpanjangan.

Latih diri anda untuk berpuasa dalam erti kata yang betul. Kuatkan semangat dan ketahanan diri anda dalam menghadapi cabaran puasa nescaya anda akan jadi kuat juga dalam menempuhi cabaran hidup. Hasilnya, kejayaan pasti menjadi milik anda. Selamat berjaya!

Menurut Stephen Covey, penulis buku 7 Habits of highly effective people, disiplin bermaksud kebolehan untuk membuat janji dan mengotakannya.

Contohnya, disiplin diri yang mudah ialah mengemaskan tempat tidur sebaik sahaja bangun daripada tidur. Banyak ketikanya, apabila anda sudah berniat atau berazam untuk mengemas tempat tidur setiap pagi, anda tidak terasa hendak?melakukannya kerana mengantuk, hendak cepat atau tidak ada mood untuk mengemas.

Namun, seseorang yang berdisiplin untuk mengemas, dia pasti akan mengemas tempat tidurnya walau apa jua keadaaan sekalipun. Ini bermaksud, dia sentiasa berusaha untuk mengotakan janjinya.

Adakah anda seorang yang berdisiplin? Kekurangan disiplin adalah salah satu sebab utama mengapa pelajar gagal menjadi cemerlang. Contohnya, saya banyak lihat contoh kawan-kawan saya sendiri yang sangat cemerlang di zaman persekolahan namun gagal di universiti. Mengapa?

Di universiti tidak ada orang yang akan kejutkan anda dari tidur. Di universiti tidak ada orang yang akan marah anda jika anda ponteng kelas. Di universiti tidak akan ada orang akan marah jika anda malas membuat assignment. Disebabkan tidak ada disiplin, pelajar-pelajar ini memilih untuk merasa selesa dan menikmati keseronokan cepat dengan tidur lewat dan bangun lewat, buat kerja saat akhir dan sebagainya.

Sama seperti disekolah. Menurut pemerhatian dan pengalaman saya mengendalikan kaunseling untuk ibu bapa, saya lihat banyak pelajar sekolah rendah yang cemerlang bermula darjah 1 hingga darjah 3. Namun yang pelik, prestasi mereka semakin menurun apabila mereka memasuki darjah 4 dan seterusnya. Mengapa agaknya?

Satu penjelasan yang dapat saya fikirkan ialah, jika anda cemerlang di peringkat bawahan, anda mempunyai potensi dan kebolehan secara intellektual. Dalam erti kata lain, anda ada bakat dalam bidang pelajaran. Namun jika prestasi semakin jatuh apabila usia meningkat, ia menunjukkan anda mempunyai tahap disiplin diri yang rendah.

Begini, pada tahap bawahan, banyak pelajar yang boleh mengingat dan menjawab dengan baik dalam dewan peperiksaan hanya dengan mendengar penjelasan guru di dalam kelas sahaja. Sekali dengar, terus boleh ingat dan boleh jawab dalam dewan peperiksaan.

Namun, bermula darjah 4, sukatan pelajaran menjadi lebih sukar. Anda tidak akan berjaya hanya dengan bergantung kepada apa yang anda dengar dan lihat dalam kelas sahaja. Anda perlu latihan tambahan di luar waktu kelas. Dalam kata lain, anda perlu buat banyak latihan dan kerja rumah. Bila sudah banyak kerja rumah dan latihan, barulah anda boleh praktikkan dan menjawab dengan baik dalam dewan peperiksaan.

Bagaimana dengan anda? Saya percaya anda ada berazam dan memasang niat untuk berjaya dalam bidang yang anda lakukan. Adakah anda mendisiplinkan diri anda membuat latihan yang diperlukan untuk berjaya dalam bidang anda?

Jika anda tidak cemerlang atau tidak hebat kerana tidak berdisiplin, ini bermaksud anda masih boleh lakukan sesuatu untuk mengubahnya. Bagaimana? Latih diri untuk menguatkan disiplin diri. (saya akan terangkan tentang teknik ini dalam posting akan datang).

Apa kaitannya disiplin dengan bulan Ramadhan pula? Saya akan terangkan esok.?

Apa kaitan Ramadhan dan disiplin diri? Hmm? saya percaya anda sudah boleh menekanya. Di dalam bulan Ramadhan, anda sentiasa berperang dan berlawan dengan nafsu anda untuk makan, minum dan membuat sesuatu yang dilarang. Dalam bulan Ramadhan, bukan sahaja anda menahan diri dari makan dan minum, malah melarang diri daripada berkata atau melihat?sesuatu yang tidak baik. Kadangkala ia agak sukar bukan?

Kesukaran inilah yang menguji dan melatih disiplin diri dalam umat Islam. Contohnya anda sedang berjalan pulang ke rumah di bawah sinar matahari yang terik. Tekak anda kering. Tubuh anda terasa lemah. Apabila anda sampai di rumah, anda terlihat adik bongsu anda sedang seronok minum air tin berkabonat yang sejuk (baru dikeluarkan daripada peti ais). Secara lojiknya, fikiran anda pasti akan mahu minum air tersebut. Namun, anda tahu ia salah. Jadi, fikiran anda seperti sedang bermain tarik tali antara mahu memuaskan kehendak fizikal anda atau memenuhi tuntutan agama.

Alhamdulillah, disebabkan didikan agama yang baik daripada ibu bapa anda, anda memilih untuk tidak minum atau berbuka. Anda teruskan juga berpuasa walaupun anda tidak terasa hendak berpuasa. Bukankah ini satu contoh disiplin diri yang sangat baik?

Seperti contoh yang saya beri semalam, pelajar di universiti tidak akan dimarahi sesiapa kalau mereka tidak bangun pagi. Jadi, pada waktu pagi, pelajar ini ada dua pilihan, hendak bangun, sembahyang dan pergi ke kelas awal atau mahu sambung tidur. Lojiknya, tentulah memilih tidur lebih seronok bukan? Namun pelajar yang berdisiplin tinggi tetap memilih untuk bangun dan pergi ke kelas. Ini kerana mereka tahu, walaupun mereka tidak terasa hendak bangun dan pergi ke kelas, ia perlu dilakukan demi kebaikan pada masa hadapan.

Bagaimana dengan anda? Adakah Ramadhan tahun ini menambahkan lagi disiplin diri anda? Adakah ia lebih melemahkan disiplin diri anda?

Harapan saya, Ramadhan tahun ini akan membawa lebih berkat dan melatih diri kita semua agar lebih berdisiplin dan bergerak menuju kejayaan, di dunia dan akhirat. Selamat berpuasa. Selamat mendisiplin diri.?

Ada satu pepatah Arab yang bermaksud, ?akal yang sihat berada di dalam tubuh yang sihat?.( Ini adalah?pepatah Arab pertama saya belajar semasa belajar bahasa Arab di?tingkatan 1 dulu?)?Sebagai seorang pelajar, pekerja mahupun seorang usahawan, akal adalah satu kelebihan yang anda ada dan tidak mungkin boleh diganti.

Dalam program saya selalu saya tanya pelajar apakah alat utama yang mereka bawa ke sekolah untuk belajar. Mereka akan jawab buku dan alat tulis. Namun saya kata alat utama yang paling penting ialah akal fikiran mereka.

Akal merupakan satu alat untuk anda mempelajari sesuatu dengan mudah. Seperti yang disebut dalam pepatah arab tadi pula, akal yang baik dan sihat datangnya daripada tubuh badan yang sihat.

Pernahkah anda demam atau tidak sihat semasa belajar atau bekerja? Apakah yang anda rasa? Bolehkah anda belajar atau bekerja dengan berkesan? Tentu tidak bukan? Seperti saya sendiri, jika saya tidak sihat, hendak berfikir tentang perkara-perkara mudah pun saya tidak mampu.

Bagaimanakah cara anda menjaga kesihatan diri anda? Tentu anda akan jawab dengan makan makanan yang berkhasiat dan membuat senaman beberapa seminggu.?Ya, itu adalah antara cara yang sangat berkesan untuk menjaga kesihatan. Namun, tahukah anda bahawa puasa di bulan Ramdhan adalah satu cara yang sangat baik untuk menjaga kesihatan?

Begini. Setiap hari apabila kita makan, tubuh kita bekerja keras untuk memproses makanan itu untuk dihadamkan dan ditukarkan kepada tenaga yang kita perlukan. Anda perlu tahu bahawa tidak semua yang kita makan akan menjadi tenaga.

Seperti semasa kita melihat ibu kita memerah santan, setelah santan habis diperah, yang tinggal ialah hampas kelapa. Sama seperti makanan yang kita makan, setelah zatnya habis diserap, hampasnya akan dihantar ke usus besar untuk disingkirkan daripada tubuh badan kita.

Apa akan jadi jika hampas makanan kita tidak dibuang dengan sempurna? Bayangkan rumah anda. Bayangkan satu hari ada dua plastik sampah di dapur rumah anda. Apa akan jadi jika anda tidak membuang sampah itu selama seminggu? Tentu dapur anda akan jadi busuk bukan?

Malah, seluruh rumah anda juga akan berbau nanti. Akibatnya, anda sekeluarga akan jatuh sakit.?Sama seperti hampas makanan tadi, jika ia tidak dibuang dengan betul, ia akan memenuhi usus besar anda. Hampas-hampas ini adalah beracun untuk tubuh anda dan ia perlu dibuang.

Masalahnya ialah, disebabkan cara pemprosesan makanan di zaman kita ini, tubuh badan kita menghadapi kesukaran untuk memproses makanan yang kita makan dan sukar untuk menghapuskannya.

Menurut Harvey & Marilyn Diamond dalam buku mereka Fit For Life I & II, kebanyakan orang di zaman kini menghadapi masalah pencernaan disebabkan makanan yang terlalu banyak diproses hingga menghilangkan semua zat yang ada dalam makanan tersebut.

Akibatnya, banyak kejadian perut meragam, pedih ulu hati, sembelit dan masalah alahan?kulit.? Adakah anda juga mengalami masalah sebegini?? Bagaimanakah puasa di bulan Ramadhan boleh menyelesaikan masalah ini? Kita akan sambung perbincangan ini esok.?

Apa kaitannya Ramadhan dan kesihatan dan kekuatan akal fikiran? Begini.

Di dalam bulan Ramadhan, kita sepatutnya makan kurang daripada apa yang kita makan daripada hari-hari biasa. Ini kerana, kita tidak makan pagi, tengahari atau petang. Tambahan lagi kita tidak minum air. Jika anda berpuasa dibulan Ramadhan tetapi makan sama banyak seperti bulan-bulan biasa (balas dendam semasa berbuka dan sepanjang malam??), anda mungkin masih dapat kesan baik bulan Ramadhan walaupun tidak sepenuhnya.

Apabila anda berpuasa di siang hari, tubuh badan anda tidak perlu bekerja keras untuk menghadamkan apa yang anda makan sepanjang hari. Ini bermaksud, tubuh badan anda ada tenaga lebihan untuk membuat perkara yang lain. Apa yang akan dilakukan dengan tenaga lebihan ini?

Ia akan digunakan untuk membuang sisa-sisa makanan dan toksik (beracun) di dalam tubuh anda terutamanya yang berada di dalam usus besar anda. Bagaimana ini boleh berlaku?

Biar saya berikan satu contoh. Contoh ini diberikan oleh Harvey Diamond dalam bukunya Fit for life. Katakan anda bekerja di sebuah pejabat. Tugas anda ialah untuk melupuskan / menghapuskan kertas-kertas terpakai yang telah dibuang ke dalam beberapa kotak khas. Katakan juga, sehari, anda hanya mampu melupuskan 5 kotak kertas sahaja. Tetapi,?setiap hari, ada 8 kotak kertas terpakai yang terhasil.

Jadi, pada hari pertama, anda lupuskan 5 kotak, ada 3 kotak baki. Esok, datang lagi 8 kotak, tetapi anda boleh lupuskan hanya 5 kotak, jadi bakinya berapa? 6 kotak bukan? (3 dari hari pertama, 3 lagi hari kedua). Esoknya lagi datang lagi 8 kotak dan anda lupuskan 5 kotak. Berapa bakinya? Ya, 9 kotak (3 dari hari pertama, 3 lagi hari kedua dan 3 lagi hari ketiga). Jika ini berterusan, bukankah kotak-kotak itu akan memenuhi ruang pejabat anda kerana belum dilupuskan? Bukankah pejabat itu akan jadi semakin sempit dan tidak selesa? Katakan proses ini berterusan selama 10 hari, sudah tentu ada?30 kotak kertas terpakai yang belum dilupuskan.

Entah bagaimana, disebabkan polisi baru kitar semula syarikat, kertas terpakai yang terhasil setiap hari menurun daripada?8 kotak kepada hanya 3 kotak sehari. Anda pula kekal boleh melupuskan 5 kotak sehari. Jadi, pada hari ke 11, hanya 3 kotak kertas terpakai dihasilkan. Setelah anda lupuskan 3 kotak, anda masih boleh lupuskan 2 lagi bukan? Apa anda buat? Anda lupuskan kertas yang tidak mampu anda lupuskan selama ini. Jadi, daripada 30 baki kotak tadi, anda lupuskan 2. Lama kelamaan, baki kertas terpakai sebanyak 30 kotak tadi pasti akan habis dilupuskan.

Begitu juga dengan tubuh badan anda. Tenaga anda cuma cukup untuk menghadamkan makanan dalam kadar tertentu. Disebabkan anda makan terlalu banyak pada hari-hari biasa, tenaga itu tidak cukup lalu banyak sisa-sisa atau hampas yang tinggal. Namun, pada bulan Ramadhan, oleh kerana kurang makanan yang anda makanan, tubuh badan anda mempunyai tenaga yang cukup untuk menghadamkan makanan dan cukup untuk membuang sisa-sisa makanan yang selama ini terkumpul.

Inilah sebabnya mengapa selalunya pada hari pertama hingga ke tiga Ramdhan anda rasa agak lemah dan tidak bermaya. Ini bukan sahaja kerana anda kurang makan, tetapi kerana tubuh anda sudah mula mengeluarkan sisa-sisa toksik (beracun) daripada tubuh anda. Hasilnya, anda jadi lebih gagah dan bertenaga selepas beberapa hari berpuasa.

Apabila sistem perncernaan anda berfungsi dengan baik, tubuh anda akan jadi lebih sihat. Apabila tubuh jadi lebih sihat, otak dan minda anda juga jadi lebih sihat dan cergas. Bukankah ini satu kelebihan yang anda perolehi di dalam bulan Ramadhan?

Selamat berpuasa dan selamat menyihatkan tubuh badan.?

Satu sifat yang biasa dilihat pada orang-orang yang berjaya ialah mereka pandai dan cekap mengambil peluang yang ada. Jika mereka lihat ada peluang yang melintas di depan mereka, dan jika mereka percaya bahawa peluang itu boleh membantu mencapai matlamat mereka, mereka pasti tidak lepaskan.

Mengambil peluang merupakan satu sifat yang jarang dilihat pada orang-orang yang kurang berjaya. Orang-orang yang kurang berjaya selalunya hanya melihat peluang yang melintas di depan mereka tanpa berbuat apa-apa. Ini mungkin disebabkan mereka tidak dapat buat keputusan, takut gagal atau rasa peluang itu akan datang lagi.

Sebagai pelajar contohnya, banyak peluang yang akan melintas di depan anda. Ada peluang untuk jadi pelajar cemerlang, ada peluang untuk tingkatkan kemahiran soft skills, ada peluang untuk belajar berfikir dan sebagainya. Namun, apa yang pelajar lakukan dengan peluang ini semua?

Satu sebab mengapa ramai yang tidak mahu mengambil peluang yang ada ialah kerana mereka tidak mahu berusaha dan mereka tidak mahu rasa susah. Peluang?yang lalu di depan mata tidak seperti makanan, sedap dimakan apabila diambil.

Peluang yang lalu di depan mata umpama sebakul tanah yang mengandungi butir-butir emas. Tanah itu perlu diayak /proses sebelum butir-butir emas itu menjelma. Sama seperti peluang yang lalu di depan mata anda, ia perlu diusahakan dengan sepenuh hati sebelum ia mendatangkan hasil yang diharapkan.

Satu cara untuk anda melatih diri anda supaya sanggup mengambil peluang yang ada ialah dengan mula?menghargai?peluang yang ada. Anda perlu ingat, peluang tidak selalu datang. Sebab itulah Rasulullah S.A.W. berpesan agar kita merebut lima perkara sebelum lima perkara; masa kaya sebelum miskin, masa sihat sebelum sakit, masa muda sebelum tua, masa lapang sebelum sibuk dan masa hidup sebelum mati.

Jika anda dapat melatih diri anda supaya boleh gagahkan diri untuk mengambil peluang yang ada, anda pasti akan lebih berjaya suatu hari nanti. Soalan saya kepada anda, bagaimana Ramadhan boleh mendidik anda supaya menghargai sesuatu yang anda ada? Bagaimana Ramadhan melatih anda melihat kepentingan dan nilai yang tinggi pada sesuatu yang ada disekeliling anda? Kita sambung perbincangan ini esok.?

Jadi bagaimanakah Ramadhan mengajar anda menghargai sesuatu yang anda sedia ada? Seperti yang pernah saya tulsi sebelum ini, apabila anda sedang berpuasa, makanan yang selama ini anda tidak suka dan tidak menyelerakan bagi anda pun kelihatan sungguh hebat dan menyelerakan.

Bayangkan anda mahu makan ayam goreng pada waktu sahur dan terlewat bangun. Lalu anda tidak dapat makan ayam tersebut. Apakah yang akan anda rasa sepanjang hari? Tentu asyik teringatkan ayam tersebut bukan?

Apa yang kita pelajari di sini ialah, salah satu pengajaran di bulan?Ramadhan ialah ia mengajar kita bagaimana rasanya jika tidak ada apa yang kita ada selama ini. Selama ini negara kita kaya dengan air, jadi rakyatnya suka membazir air. Di bulan Ramadhan, umat Islam mula memahami betapa pentingnya air dan bagaimana rakyat di?negara yang kekurangan air rasa.

Apabila kita sudah tahu apa rasanya tidak memiliki sesuatu yang kita sudah biasa ada, kita akan mula menghargainya. Contohnya, jika anda seorang pelajar, cuba bayangkan 10 ke 20 tahun akan datang di mana anda sudah hilang peluang untuk belajar. Bayangkan jika anda gagal dalam pelajaran anda sekarang.

Agak-agaknya, apakah yang akan anda rasa 10 ke 20 tahun akan datang? Apakah yang akan anda rasa apabila anda tahu peluang yang anda ada sekarang tidak akan datang lagi? itulah yang dirasakan oleh pelajar yang gagal dalam bidang pendidikan disebabkan mereka tidak hargai peluang yang mereka ada.

Mulai hari ini, hargai semua peluang yang anda ada. Sama ada peluang itu akan datang semula atau tidak, jika peluang itu boleh membawa anda mencapai matlamat hidup anda, ambil peluang itu sekarang! Jika belajar bersungguh-sungguh akan mematangkan fikiran anda dan meningkatkan kebolehan anda untuk berfikir dengan lebih baik, ambil peluang itu sekarang! Jangan biarkan peluang itu berlalu di depan anda.

Selamat berpuasa. Semoga anda akan mula menghargai atau lebih menghargai semua peluang yang ada di depan anda.?

Alhamdulillah, dalam kesibukan menjalankan training dan menulis untuk buku seterusnya, saya masih diberikan kemampuan untuk menulis dan mengemaskinikan blog saya ini. Untuk pembaca setia blog saya ini saya ucapkan terima kasih. Sokongan anda menambahkan semangat dan keinginan saya untuk berkongsi sesuatu yang berguna di blog ini.

Kepada yang menghantar email kepada saya, saya ucapkan terima kasih. Saya percaya saya telah cuba sebaik mungkin menjawab sebarang persoalan mengikut apa yang saya tahu atau berdasarkan nasihat beberapa sahabat saya yang lain.

Kepada yang belum mendapat balasan daripada saya, harap bersabar kerana saya akan usahakan untuk menjawabnya. Agak luar biasa sedikit email yang saya perolehi di dalam bulan Ramadhan ini. Jadi agak mengambil masa untuk menjawab kesemuanya.

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Salam Aidilfitri kepada anda semua. Semoga Syawal tahun ini menambahkan lagi rasa syukur dan ketakwaan kita kepada Allah S.W.T. Semoga kita semua dirahmati dengan sebaik-baik nikmat sepanjang Syawal ini hingga Syawal yang akan datang. Selamat hari raya Aidilfitri daripada kami sekeluarga.

Comments are closed.