Saya tidak sekuat yang saya sangka

“Saya tidak sekuat yang saya sangka….” -Disember 2013-

Jika anda seorang suami atau seorang ayah, daripada manakah datangnya sumber kekuatan anda untuk bekerja keras dan berusaha untuk menampung kehidupan keluarga anda?

Lama saya fikirkan berkenaan persoalan ini. Dulu saya sangka saya sangat kuat berusaha kerana saya ada ego tersendiri untuk berjaya dan menjadi yang terbaik.

Rupa-rupanya, saya tidak sekuat yang saya sangka.

=======================
Bagaimana Kesedaran Tercetus
=======================

Sekitar awal Disember 2013, satu malam, saya terperasan, 2 orang anakanda saya memakai baju tidur yang koyak-koyak pada bahagian lutut dan punggungnya.

Saya terus tegur Puan Isteri, kenapa bagi anak pakai baju koyak begitu, kenapa tidak beli baju lain?

Puan Isteri menjawab dengan satu jawapan ringkas yang terpahat, terbakar dan terukir dalam otak yang terkurung dalam tengkorak kepala saya hingga kini…

“Mana ada duit Bang… Abang tak perasan ke, sejak lebih setahun lepas, kalau minta duit nak beli apa-apa, abang mesti jawab, duit ada, tapi nak backup duit gaji staff….”

=========================
Tidak Pernah Tersentak Sebegitu
=========================

Sepanjang usia perkahwinan kami, rasanya tidak pernah saya tersentak sebegitu. Rasa malu, sedih dan kecewa dengan diri sendiri kerana saya rasa saya telah gagal menjaga kebajikan ahli keluarga saya dengan baik.

Lutut saya terasa begitu lemah. Wajah dan mata saya tidak dapat menahan perasaan kecewa dan sedih yang memenuhi ruang hati saya.

Ketika itu, langsung saya tidak tahu dan tidak sedar yang sebenarnya saya jadi susah begitu kerana sudah hampir 2 tahun staf saya pecah amanah, curi duit, curi program dan rosakkan nama baik syarikat saya di mata pelanggan.

Bermula malam itu, saya terus gagahkan diri berhadapan dengan situasi sebenar perniagaan saya. Situasinya ialah saya sebenarnya sudah tidak mampu menanggung kos membayar gaji pekerja dan urusan syarikat.

Saya sedang menulis kisah ini dalam buku ‘Majikan Masuk Mahkamah’ yang bakal diterbitkan satu hari nanti namun dipendekkan cerita, lebih kurang 2 minggu kemudian, saya kumpulkan semua staf dan umumkan bahawa saya terpaksa lepaskan mereka semua.

====================
Hikmah Di Sebalik Tersentak
====================

Percaya atau tidak, rasa sakit disebabkan tersentak itu membuat saya berani membuat keputusan untuk merendahkan ego saya dan melepaskan semua staf saya.

Siapa yang ada pengalaman menjadi majikan tentu tahu apa perasaannya apabila kita terpaksa lepaskan staf. Ada rasa malu dan ada rasa bimbang sebab terfikir bagaimana pula mereka mahu cari pekerjaan lain nanti.

Namun kejadian ini sebenarnya merupakan satu rahmat buat kami sekeluarga. Disebabkan saya ambil tindakan melepaskan semua staf, barulah akhirnya kami tersedar tentang kegiatan pecah amanah 2 orang trainer dan seorang kerani kami hingga menyebabkan syarikat kami sakit tenat selama hampir 2 tahun.

=======================
Tidak Sekuat Yang Saya Sangka
=======================

Hari ini saya sedar, saya sebenarnya tidaklah sekuat atau segagah yang saya sangka. Ramai memuji saya kerana gagah bertenaga menjalankan program dan memandu ke sana ke mari seorang diri ke seluruh pelusuk negeri di Malaysia.

Hakikatnya, saya cuma kuat disebabkan dorongan kasih sayang dan keinginan untuk menyediakan sesuatu yang terbaik buat keluarga saya. Saya tidaklah sekuat yang ramai sahabat saya sangkakan.

Buat sahabat saya yang bergelar seorang suami atau seorang ayah, adakah anda semua mendapat sumber kekuatan dan dorongan daripada kasih sayang terhadap isteri dan juga ahli keluarga anda juga???????

==================================

P/S Buat sahabat yang baru menjadi follower FB saya, cerita dan fakta berkenaan kes pecah amanah ini ada di laman web utama saya melalui link ini:

http://www.osmanaffan.com/keputusan-saman-pecah-amanah/

Comments are closed.