Tanpa halangan…

Tanpa halangan…

Tanpa halangan, matlamat bukanlah suatu impian” ~Osman Affan~
Kata-kata ini adalah antara mutiara kata yang pertama yang saya hasilkan. Semasa saya menulis mutiara kata ini, saya masih baru di dalam bidang yang saya ceburi ini dan masih terlalu banyak cabaran dan halangan yang saya hadapi. Saya masih ingat lagi ketika tahun pertama saya mula memberi ceramah dan latihan tentang teknik belajar dan di sekolah dan universiti. Program saya yang pertama ialah pada bulan Mac 2005. Ketika itu saya diminta menyampaikan program selama 4 jam di sebuah sekolah rendah di Kuala Lumpur.
Masih saya ingat betapa saya rasa berdebar sepanjang malam sebelum program. Saya rasa saya luangkan lebih 8 jam berada di depan komputer di pusat tuisyen saya untuk menyediakan bahan yang mahu disampaikan. Apabila sampai di sekolah rendah itu pula, sesekali terasa jantung saya seperti mahu meletup. Padahal yang bakal hadiri program itu cumalah pelajar sekolah rendah. Saya benar-benar berada di luar zon selesa saya ketika itu.
Selain daripada halangan rasa berdebar dan kurang pengalaman, saya juga hadapi cabaran dari segi kelengkapan. Saya baru bermula. Duit belum ada untuk membeli laptop. Saya dengan berhati-hati mengeluarkan duit untuk membeli pendrive dan mengharapkan agar pihak sekolah dapat menyediakan laptop untuk saya gunakan. Cabarannya di sini ialah selalunya laptop sekolah terlalu tidak boleh dijangka masalahnya. Sebagai contohnya, selalu hasil kerja powerpoint saya berkecamuk akibat setting laptop yang berlainan versi perisian dan selalu juga video klip yang saya bawa tidak boleh dipasang dengan baik. Akibatnya, presentation saya sentiasa menghadapi risiko menjadi presentation yang tidak kemas dan baik.
CPUCPUPernah sekali disebabkan terlalu mahu menyampaikan presentation yang baik tanpa perlu bergantung kepada laptop pihak sekolah atau penganjur program, saya bawa ‘CPU’ komputer saya ke tempat program. Ya, CPU komputer. Orang jinjing laptop, saya pikul CPU. Bukan pikul begitu sahaja, saya terpaksa menyorok-nyorok agar peserta dan guru tidak terlihat apa yang saya pikul itu. Ketika itu program dijalankan di luar sekolah, jadi ada peluang saya bawa masuk CPU itu ke tempat program tanpa guru dan pelajar sedari.
Hari ini saya tersenyum sendirian mengenangkan kenangan dan pengalaman itu. Apabila saya lihat saya bawa 2 laptop ke program yang saya jalankan kini, cabaran itu semua tadi adalah hanya cabaran-cabaran kecil yang beratur di depan saya. Saya benar-benar percaya bahawa semakin besar dan bernilai impian kita, semakin besar juga jenis halangan dan cabaran yang bakal kita tempuh. Namun tidak ada apa yang perlu dibimbangkan kerana semua cabaran itu pasti dapat kita atasi.
Jadi, apa kata hari ini anda lihat senarai matlamat yang ingin anda capai. Jika matlamat itu mempunyai halangan yang sangat besar, ia bermaksud matlamat itu merupakan satu impian dan keinginan yang sangat bermakna buat anda. Namun jika matlamat itu boleh dan mudah dicapai tanpa halangan yang mencabar, ia mungkin hanya kemahuan kecil yang tidak mengecewakan jika anda tidak mencapainya.
Selamat mencapai IMPIAN!

Comments are closed.